iDAN

29 Ogos 2009

Raja mengeluarkan Melayu dari agama hindu-malaysiakini

Raja Mengeluarkan Melayu Daripada Hindu!

Zaman Prasejarah Malaysia dapat dijejaki seawal 200,000 tahun yang lalu berikutan penemuan alatan-alatan yang diperbuat daripada batu dan dijumpai di tapak arkeologi Kota Tampan, Lenggong. Rangka manusia terawal, Perak Man yang berusia 11,000 tahun dan Perak Woman yang berusia 8,000 tahun juga turut dijumpai di Lenggong.

Gangga Negara (abad ke-2-11) dipercayai merupakan kerajaan Melayu Hindu yang hilang dan ada disebut dalam Sejarah Melayu yang kini merangkumi Beruas, Dinding dan Manjung masa kini dalam negeri Perak, Malaysia dengan Raja Gangga Shah Johan sebagai salah seorang rajanya. Penyelidik percaya bahawa kerajaan ini berpusat di Beruas dan ia runtuh selepas serangan oleh Raja Rajendra Chola I dari Coromandel, India Selatan, antara 1025 dan 1026.

Kejatuhan Sultan Mahmud Shah dan Melaka pada 1511 di tangan Portugis telah menyebabkan baginda berkubu di Bentan. Akhirnya, pada tahun 1526, seangkatan kapal yang besar di bawah Pedro Mascarenhaas dihantar oleh negeri Portugal untuk memusnahkan bandar Bentan. Sultan Mahmud terpaksa melarikan diri melintasi Selat Melaka ke Kampar, Sumatra di mana beliau mangkat. Baginda meninggalkan dua orang putera iaitu Tengku Muzaffar Shah dan Tengku Alauddin Riayat Shah.

Muzaffar Shah seterusnya menjadi Sultan Perak manakala Alauddin Riayat Shah menjadi sultan Johor yang pertama. Kesultanan Johor juga dikenali sebagai “Kesultanan Johor-Riau-Lingga”. Oleh itu kesultanan Perak hari ini mempunyai jurai keturunan dengan kesultanan Melaka.

Hari ini, negeri yang mempunyai sejarah tertua di Malaysia sedang dilanda gelombang dan badai. Sultan yang mempunyai jurai keturunan daripada kesultanan Melaka itu sedang dihina dan diinjak oleh segelintir orang Melayu dan penduduk yang asalnya bukannya penduduk asal negara ini.

Saya ingin mengingatkan kepada Orang Melayu, Walaupun DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong itu adalah pelindung kepada semua rakyat Malaysia dan Raja-Raja Melayu di negeri-negeri itu adalah pelindung kepada seluruh rakyatnya tetapi bukan Melayu memang tidak akan faham tentang sejarah bangsa kita.

Sebab itu lahirlah sebuah puisi baru-baru ini, bertajuk Kingdom of Purplaya dikarang oleh orang yang bernama Cecil Rajendra dan diterbitkan dalam majalah Aliran, menghina orang Melayu dengan berkata bahawa orang Melayu yang berada di negara yang disebut `Tanah Melayu’ itu bukan penduduk asal kawasan ini. Orang Melayu adalah kaum pendatang. Mereka datang merantau dari kawasan-kawasan lain, terutama dari Sumatera, lalu mendakwa inilah `tanah asal’ mereka. Maka dikatakan bahawa orang Melayu itu mula menuntut hak sebagai kaum bumiputera Persekutuan Tanah Melayu, lalu akhirnya mereka menggubal perlembagaan yang menetapkan beberapa hak mereka.

Menurut puisi itu, orang Melayu menetapkan, dalam perlembagaan itu bahawa raja di negara ini ialah raja Melayu, agama rasminya ialah agama Islam, bahasa rasminya ialah Bahasa Melayu. Selain ini, orang Melayu yang dianggap kaum pendatang ini, menuntut hak-hak istimewa yang lain lagi, misalnya dalam bidang pendidikan, dalam bidang ekonomi, dalam bidang pentadbiran, dan sebagainya (dipetik daripada rencana DATUK DR. HASSAN AHMAD, Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan)

Bagi orang Melayu, Sultan-sultan Melayu adalah pelindung kepada orang Melayu.TITAH Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin ketika merasmikan sidang Parlimen bagi penggal kedua kelmarin supaya menghormati Perlembagaan Persekutuan wajar mendapat perhatian semua pihak.

Yang di-Pertuan Agong antara lain menekankan bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tubuh dan tertinggi di negara ini yang telah dipersetujui oleh semua pihak semasa negara mencapai kemerdekaan.

Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah turut melahirkan rasa kecewa kerana sikap biadab sesetengah pihak terhadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Walaupun kenyataan itu bersifat peribadi dan tidak mewakili mana-mana sultan negeri lain, namun ia sudah cukup untuk melambangkan betapa tercalarnya peranan sultan Melayu pada pandangan masyarakat.

Sememangnya pihak istana mempunyai sebab untuk berasa kecewa dengan sikap pakatan pembangkang mencabar Sultan Perak sehingga tergamak menyaman baginda tidak bertindak demokratik.

Akhir sekali, sewaktu saya masih bersekolah, cikgu sejarah saya pernah berkata, apakah sumbangan terbesar Raja-Raja Melayu kepada orang Melayu. Katanya’ Jikalau Parameswara tidak memeluk Islam pada tahun 1414 melalui perkahwinannya dengan puteri Pasai, Indonesia dan menukarkan nama beliau kepada “Raja Megat Iskandar Shah”, Melayu pada hari ini masih lagi berugama Hindu. Sebelumnya Parameswara beragama Hindu.

Ini kerana pada masa itu orang Melayu menganggap Raja itu Bayangan Tuhan, dipercayai memiliki kesaktian, bertujuan memperkuatkan status / kedudukan raja, mitos dan lagenda memperkuatkan kedudukan raja, bertujuan untuk membezakan kedudukan raja dengan golongan yang diperintah, konsep orde kosmos/ menjadi raja terulung dan berkuasa terhadap seluruh alam semesta. Sebab itulah jika seorang Raja itu memeluk Islam maka sudah diwajibkan seluruh rakyat jelata mengikutnya.

Apa pun jua tujuannya, Raja-Raja Melayu telah memberikan jasa terbesar kepada Melayu iaitu dengan memilih ISLAM itu sebagai agama baginda.

Amir Hamzah
Batu Pahat
http://amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Malaysia jelas isu tarian Pendet (Ceritera)

JAKARTA - Kerajaan Malaysia tidak mempunyai sebarang kaitan dengan penerbitan klip video 30 saat yang sebahagian kecilnya memaparkan tarian Pendet, yang berasal dari Bali.

Timbalan Ketua Perwakilan di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Amran Mohamed Zain berkata, dakwaan keras oleh media massa Indonesia kononnya Malaysia telah mencuri atau mendakwa sebagai miliknya tarian Pendet itu ternyata dibuat secara melulu dan tanpa usul periksa.

Amran memberitahu Bernama semalam, beliau telah bertemu Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Indonesia, Jero Wacik bagi menjelaskan kesediaan Malaysia bekerjasama mencari punca salah faham berkaitan tarian Pendet itu.

Beberapa akhbar nasional Indonesia menyiarkan di muka depan masing-masing bukan saja tuduhan bahawa Malaysia mendakwa tarian Pendet sebagai miliknya tetapi dikaitkan juga dengan pelbagai tuduhan sebelum ini.

Akibat daripada laporan media massa yang berbaur provokasi itu, sebuah stesen TV melaporkan sekumpulan penunjuk perasaan di Bali yang menggambarkan dalam dramatarinya Malaysia sebagai 'setan' yang menyerkup dan kemudian mendakwa tarian Pendet sebagai miliknya.

Bernama difahamkan sebuah syarikat berpejabat di Singapura yang menerbitkan klip video 30 saat itu telah menulis surat kepada Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Indonesia bagi menjelaskan kedudukan sebenar klip video terbitan mereka.

Penyair iDANRADZi@BlogSpot: Asam Pedas Bertam Ulu (Harum Aroma)

Dalam Bulan puasa ini ngapa tak cuba masakan berlainan aroma...

‘Ingatkan dia tidur’ (Ceritera)

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee
shantynur@hmetro.com.my

KAJANG: “Arwah mengadu letih dan lenguh ketika di lapangan terbang lagi. Sewaktu dalam penerbangan, dia meminta saya memicit badannya. Sangkaan saya dia tidur kerana keletihan tetapi rupa-rupanya dia sudah tiada,” kata isteri Allahyarham Senator Profesor Datuk Dr Ismail Salleh, Datin Hasnah Wahab, 51.

Beliau yang ditemui di kediamannya di Jalan Melati 2, Sungai Kantan, di sini semalam berkata, beliau bersama Allahyarham dalam perjalanan pulang dari China selepas menghadiri mesyuarat mengenai urusan universitinya, Universiti Kolej Antarabangsa Teknologi Twintech sejak dua hari lalu.

“Arwah kebelakangan ini memang sering tidak sihat, namun dia tetap aktif menjalankan tugasnya termasuk menjadi penceramah motivasi di beberapa universiti tempatan.

“Lebih menyedihkan, dia bakal menyambut ulang tahun kelahirannya ke-62 pada 2 September ini dan majlis perkahwinan anak sulung hujung tahun ini, namun Allah lebih menyayanginya,” katanya.

Hasnah berkata, suaminya disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung di dalam penerbangan Tiger Airways kira-kira jam 2 pagi dan tiba di Lapangan Terbang Changi, Singapura kira-kira jam 3.45 pagi.

“Sebaik tiba di Singapura, arwah dibawa ke Hospital Besar Singapura untuk dibedah siasat sebelum dibawa ke Masjid Ba’alwie untuk dimandi dan dikafankan.

“Semua urusan terbabit dilakukan kakitangan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura dan kemudian terus disembahyangkan di sana,” katanya.

Jenazah Allahyarham kemudian dibawa ke Lapangan Terbang Senai, Johor sebelum diterbangkan menggunakan pesawat Hercules C130 milik Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM) dan tiba di Lapangan Terbang TUDM Subang jam 7 malam.

Jenazah kemudian dibawa ke kediamannya di sini, kira-kira jam 9 malam dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Kantan jam 10.30 malam tadi.

Allahyarham meninggalkan enam orang anak iaitu Irwan Hanis, 26, Norhazwani, 24, Farah Shazwani Hanis, 22, Syafiq Hanis, 19, Aqilah Zafirah Hanis, 17 dan Syakir Hanis, 12.

Selain itu, Allahyarham yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Twintech Holdings dan Naib Canselor Universiti Kolej Antarabangsa Teknologi Twintech mencipta sejarah sebagai Senator pertama yang dilantik daripada kalangan Orang Kurang Upaya dan cacat penglihatan di Malaysia.

Dilahirkan di Pasir Mas, Kelantan pada 2 September, 1947, Allahyarham pernah mendapat pelbagai anugerah atas kecemerlangannya termasuk anugerah Guinness Book of Records sebagai orang cacat penglihatan pertama di dunia mendapat ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Harian Metro

Penyair iDANRADZi@BlogSpot: Senator, profesor OKU terhebat meninggal dunia (Singgahsana)

...Mereka yang sakit jantung terusan meninggalkan kita...Semalam aku ke pakar jantung; buat kali ke lima...

50% sudah lulus (Ceritera)


Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my

PUTRAJAYA: Lima puluh peratus daripada 32,900 permohonan taraf kewarganegaraan sudah diluluskan sejak Januari lalu selaras usaha kerajaan menyegerakan proses pemohonan status kerakyatan yang tertangguh sejak beberapa tahun lalu.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Mahmood Adam berkata proses berkenaan dikendalikan satu pasukan petugas khas yang ditubuh kementerian.

“Kita ada 60 petugas khas untuk memproses permohonan yang diterima kementerian dan mereka bertugas mengikut syif bagi memastikan sasaran kita menyelesaikan semua permohonan menjelang akhir tahun dapat dicapai.

“Jika dulu kita hanya bergantung pada satu bahagian yang mengendalikan proses permohonan dan ini yang melambatkan proses kerana kekurangan kakitangan, tetapi dengan penubuhan pasukan petugas khas ini pemprosesan berjalan lancar dan cepat.

“Setiap hari tidak kurang daripada 500 permohonan mampu diproses dan ini memberi keyakinan kepada kita untuk mencapai sasaran,” katanya ketika melawat pasukan Petugas Khas Pemprosesan Taraf Kewarganegaraan Malaysia di kementerian di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Kanan) KDN, Datuk Raja Azahar Raja Abdul Manap dan Setiausaha Bahagian Pendaftaran Negara dan Pertubuhan KDN, Datin Jariah Mohd Said.

Mahmood berkata, petugas terbabit juga bertanggungjawab mengendalikan temu duga kepada pemohon yang sudah diberikan surat kelulusan permohonan sebelum disahkan sebagai warganegara Malaysia.

Harian Metro

iDAN: Tentunya ini termasuk pengesahan Pemastautin Tetap (PR). Bayangkan sehari seramai itu bakal diluluskan. Siapakah yang dapat menyekat kebanjiran manusia yang bakal menjadi warganegara kita.

Penyair iDANRADZi@BlogSpot: PR di Malaysia tahun 2007 (Ceritera)

elok juga kita tahu apa itu PR... kenapa mesti kita harus risau!

‘Tunggu balasan akhirat’ (Ceritera)

Oleh Maiamalina Mohamed Amin

KUALA LUMPUR: “Dia mungkin terlepas risiko dunia tapi risiko akhirat belum tentu lagi....kena tanggung balasan apa yang dibuatnya di dunia,” kata penceramah bebas yang juga perunding motivasi, Mohd Fauzi Mustaffa.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan tidak berperikemanusiaan seorang pemuda berusia 24 tahun sanggup meninggalkan isterinya yang berusia 40 tahun selepas menamatkan pengajian di institut pengajian tinggi awam (IPTA), baru-baru ini.

Lelaki terbabit bukan saja meninggalkan isterinya begitu saja malah tidak menghargai pengorbanan wanita berkenaan yang menanggung perbelanjaan pengajiannya sepanjang empat tahun menuntut di IPTA.

Mohd Fauzi berkata, tindakan pemuda itu menggambarkan dirinya bukan saja tidak berhati perut malah contoh generasi muda yang terpengaruh dengan niat songsang ingin cepat ‘senang’ ketika masih menuntut.

“Orang begini dari awal dia berkahwin bukan kerana tanggungjawab dan kasih sayang sebaliknya dipengaruhi niat buruk yang ingin berada dalam kesenangan ketika sedang melanjutkan pengajian.

“Malah berdasarkan pengamatan dan apa yang diberitahu remaja kepada saya, penuntut institut pengajian tinggi suka mencari pasangan yang berumur tidak kira lelaki mahupun perempuan kerana boleh menanggung mereka.

“Bagi pemuda ini pula dia mungkin mengikut trend mencari pasangan berusia tetapi akhirnya terjebak dalam perkahwinan...dia berpura-pura cinta tetapi kemudian mengikis harta,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Pengamal Perubatan Islam Darussyifa' itu turut menjelaskan ilmu yang diperoleh secara mengikis harta orang lain tidak berkat sekali gus dikeji Islam.

Beliau menasihati wanita yang berdepan masalah sebegitu supaya melaporkan kepada pihak berkuasa termasuk polis dan pejabat agama bagi membela nasib selain membawa suami ke muka pengadilan.

“Lebih-lebih lagi suami yang meninggalkan isteri melebihi tiga bulan dan membawa bersama harta si isteri, berhak membuat laporan polis kerana dia dianggap pencuri atau perompak terhormat,” katanya.

Muka depan Harian Metro semalam melaporkan Emy Mayshta, 40, tidak semena-mena ditinggalkan suaminya sejurus lelaki muda terbabit menamatkan pengajian di sebuah IPTA di ibu negara, baru-baru ini.

Emy mendakwa suaminya berusia 24 tahun menghilangkan diri seminggu sebelum majlis konvokesyen pada 15 Ogos lalu, bersama tujuh gelang, rantai dan cincin emas miliknya dianggar bernilai lebih RM10,000 yang kononnya diambil sebagai simpanan.

Difahamkan sebelum menghilangkan diri, suaminya turut melarikan diri bersama beberapa dokumen penting milik Emy termasuk pasport dan sijil perkahwinan mereka.

Harian Metro

Adik ipar Mawi pilih duda anak tiga (Hiburan)


AENN (kanan) bersama kakak kembarnya, Ekin.

KUALA LUMPUR - Tidak sampai setahun selepas Ekin mendirikan rumah tangga dengan penyanyi popular Mawi, kini giliran adik kembar, Nora Ain Rahmat atau Aenn pula menamatkan zaman solonya tidak lama lagi.

Pelakon berusia 30 tahun itu bagaimanapun memilih untuk mengadakan majlis pernikahan secara sederhana di kampung halamannya di Johor Bahru manakala lokasi bagi resepsi persandingan masih belum ditentukan.

Aenn yang sebelum ini terkenal menerusi drama bersiri Kawan bakal menjadi isteri kepada duda berusia 41 tahun yang telah mempunyai tiga cahaya mata. Mereka akan bernikah selepas Hari Raya Aidilfitri.

"Saya minta maaf kerana tidak boleh beritahu nama bakal suami kerana saya hanya mahu dedahkan identitinya pada hari bersejarah kami nanti.

"Cuma saya boleh cakap lelaki itu ialah anak kelahiran Kuala Lumpur dan merupakan seorang ahli perniagaan," katanya ketika ditemui pada penayangan lima saluran di Astro sempena Hari Raya Aidilfitri di Taman Bukit Jalil di sini.

Menurut Aenn, dia dan bakal suaminya mempunyai banyak persamaan sekali gus menjadikan mereka serasi dan selesa bersama.

Kosmo!

Jemaah melimpah ke Stesen lrt Masjid jamek (Agama)



ORANG ramai terpaksa menunaikan solat Jumaat di tepi kaki lima bersebelahan Stesen LRT Masjid Jamek, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Setiap kali solat Jumaat, Masjid Jamek di sini selalunya dipenuhi dengan ribuan jemaah hingga melimpah ruah ke luar pagar masjid berkenaan.

Itu mungkin pemandangan biasa pada setiap kali Jumaat di ibu kota namun sejak Ramadan bermula, suasananya agak berbeza yang memperlihatkan sudah sewajarnya masjid yang sedia ada diubahsuai bagi menampung keperluan itu.

Umat Islam di ibu kota tidak ada pilihan lain asalkan dapat menunaikan solat Jumaat yang diwajibkan oleh Islam. Tambahan pula, mereka mengharapkan keberkatan dan janji pahala yang berlipat kali ganda sepanjang bulan Ramadan.

Semalam, ribuan jemaah yang rata-ratanya bekerja di kawasan sekitar bersesak-sesak di Masjid Jamek, masjid tertua di ibu negara, yang hanya dapat menampung seramai 3,000 jemaah pada satu-satu masa.

Kali ini, bukan sahaja kawasan di luar pagar masjid berkenaan dipenuhi jemaah malah ia juga merebak sehingga ke kawasan kaunter stesen transit aliran ringan (LRT) berdekatan.

Ini sekali gus mewujudkan keadaan yang agak sesak apabila para jemaah terpaksa pula bertembung dengan pengguna LRT yang berpusu-pusu untuk ke destinasi tertentu pada waktu tengah hari Jumaat.

Timbul persoalan, mungkinkah masjid di sekitar ibu negara termasuk Masjid Negara, Masjid India, Masjid Wilayah Persekutuan, Masjid Jamek Kampung Baru dan Masjid As-Syakirin KLCC tidak lagi dapat menampung pertambahan penduduk di sekitarnya.

Kosmo!

Memey seperti baru bangun tidur (Hiburan)


NORMAN dan Memey berbincang sesuatu semasa menghadiri perbicaran kes khalwat mereka di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur semalam.

KUALA LUMPUR - Saksi kes khalwat Norman Hakim dan Memey Suhaiza berkata, ketika serbuan dibuat, pelakon wanita itu dilihat seperti baru bangun tidur berikutan wajahnya yang sembab dan kusam selain terdapat garis-garis halus di pipi.

Jelas Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang terlibat dalam operasi itu, Kyairool Nizam Khairuddin, 25, Memey yang berpakaian lengkap dan duduk di kaunter hadapan pintu kelihatan agak terkejut.

"Salah seorang penguat kuasa tanya kenapa enggan buka pintu, Memey hanya menjawab takut," kata Kyairool Nizam.

Saksi kedua pendakwaan itu berkata demikian dalam pemeriksaan utama oleh Pegawai Pendakwa Syarie JAIS, Muhammad Nazri Basrawi semasa perbicaraan kes khalwat pasangan itu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini semalam.

Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon, 33, dan Memey Suhaiza Suhaimi, 21, dituduh berkhalwat pada pukul 3 pagi 30 Oktober 2008 di pejabat beralamat 4-1A, Jalan UP 1/2, Taman Ukay Perdana, Ampang dekat sini.

Terdahulu, pihak pendakwaan membuat pindaan berhubung waktu dalam pertuduhan iaitu dari pukul 3 pagi itu dipinda kepada di antara pada pukul 1.45 dan pada pukul 3 pagi 30 Oktober 2008.

Norman dan Memey bagaimanapun tetap mengekalkan pengakuan tidak bersalah terhadap dakwaan berkhalwat.

Kosmo!