iDAN

07 Januari 2000

Lepaskan ikan yang tidak digemari (Petua)

7.1.2000

Oleh Nuri Angkasa

SETIAP pemancing perlu meletakkan satu tekad dalam hati bahawa segala rezeki adalah ketentuan Allah. Setiap apa yang kita peroleh setiap kali keluar memancing adalah atas kehendak-Nya jua. Sebab itu jangan kita persalahkan sesiapa apabila ada sesetengah kumpulan pulang tangan kosong walaupun keluar beberapa hari memancing.

Yang pasti akan menjadi mangsa cemuhan ialah tekong, rakan sekumpulan, keadaan laut serta segala sebab yang boleh dikaitkan. Sehingga segala umpan yang dibawa juga dijadikan sebab atau dipersalahkan apabila kita tidak mendapat tangkapan seperti yang dihajati.

Kali ini Pak Nuri ingin berkongsi pengalaman dengan pemancing daripada pengalaman orang lama yang menjadikan laut sebagai sumber rezeki dan sentiasa bersyukur dengan segala ketentuan Allah.

Ada sesetengah pemancing tidak bersyukur apabila mendapat ikan kecil atau spesies ikan yang tidak dikehendaki. Mulut mereka sentiasa bercakap celupar atau memaki hamun. Malah lebih buruk lagi, mereka menghempas ikan berkenaan ke lantai bot atau mencederakan ikan berkenaan kononnya kerana rasa kecewa atau marah.

Ini adalah satu perbuatan yang tidak sepatutnya wujud di kalangan pemancing. Ini kerana apa yang kita peroleh ketika memancing adalah sudah ditentukan Allah. Jangan kita pertikaikan kehendak-Nya. Sebaliknya, lebih banyak bersabar dan bersyukur walaupun hanya dapat menaikkan seekor ikan kecil dan tidak mencapai hajat seseorang.

Allah sentiasa menguji hamba-Nya sama ada bersyukur dengan pemberian-Nya dan tidak meletakkan diri masing-masing lebih besar daripada kuasa Yang Maha Esa.

Selain itu, orang tua-tua juga sentiasa mengingatkan kepada pemancing sekiranya ikan yang kita pancing tidak sesuai dengan kehendak kita dan tidak dikehendaki cepat-cepat lepaskan semula ke laut supaya ia kembali kepada keluarga dan habitat asal.

Pak Nuri harap beberapa teguran orang tua-tua dapat kita manfaatkan bersama supaya sentiasa ingat bahawa mati, rezeki dan jodoh pertuan adalah kuasa Allah.

Joran