iDAN

06 Disember 2009

MMms ♥ 22 Glukos semakin baik (Singgahsana)

Buah Goji

Dari awal pagi aku memang hilang tumpuan, semalaman tadi aku tidur² ayam. Masalah sesak nafas datang semula. Ada banyak kemungkinan, pertamanya pemakanan, mungkin aku tak boleh makan terlalu banyak daging. Mila masak sedap sejak siang semalam, mulanya dia masak daging rendang, rendang apatah aku tak pasti. Malamnya pula dia masak daging masak kicap. Seawal maghrib aku telah pekena laksa yang aku beli di pasar malam. Siap taruh otak udang lagi. Sekitar 10:00 malam makan nasi lagi. Melampau kenyang memang aku akan payah tidur!. Datanglah sakit sesak nafasku.

Menonton saluran ZEE sampai 12:00 malam, lama sangat tak tenguk Karisma Kapoor berlakon dengan Salman Khan syoklah pula!. Kemudian tenguk siaran langsung bola sepak; apalah nak jadi dengan Everton, kalah! sekitar jam 2:00 pagi baru habis. Itu pun masa separuh akhir aku pejam² celik. Bila terjaga jam 2:30 pagi Aziq tak tidur lagi, apalagi ngadap komputernya di kamar panjang.

Sambung lagi tenguk bola piala kelab² di Itali kut!, aku tak pasti sangat, tapi tenguk pemainnya memang bunyi macam Itali. Aku memang peminat Itali sejak berzaman, sedap pula tenguk kelincahan pemainnya. Tapi tak seorang pun pemainnya aku kenal. Memang aku tak ikut sangat perkembangan bola sepak antara kelab² di Eropah. Selalunya kalau piala dunia memang aku kemaruk amat menontonnya. Memang tak pernah cukup tidur kalau musim piala dunia. Gila menonton bola sepak ini satu penyakit juga!.

Masalahnya kalau berjaga malam pasti tekanan darahku akan melambung tinggi. 7hb aku kena jumpa doktor Imah di PKupm. 9hb kena jumpa pakar jantung di Hospital Serdang. Jadi aku bergantung dengan buah Goji untuk stabilkan darahku. Harap² doktor Imah tidak akan gusar melihat perkembangan kesihatanku.

Kali ini aku akan pergi sendirian, talian telefon bimbit aku tutup, malas nak pujuk anak² untuk temankanku. Tak mahu menyusahkan Fairuz kelaparan bagai dulu. Selagi mampu melangkah sendiri kena redahlah sendirian.

Karisma Kapoor

PKupm kekinian bukan lagi kawasan hitam Selesema Babi, tak perlu lagi memakai topeng kecuali mereka yang selesema sahaja. Ramai pula aku lihat mereka yang bersara datang berjumpa doktor hari ini. Aku dapat nombor 1102 Melalui borang pendaftaran dapat kukenal mereka yang bersara. Borang merah sepertiku. Tak seorang pun yang aku kenal, ramai pula mereka yang mahu berjumpa Dr Imah hari ini; aku terpaksa menunggu lebih dari setengah jam.

"Bagaimana projek di kampung..?" ingat lagi rupanya Dr Imah tentang projek di kampungku. Aku pernah ceritera yang aku ingin kembali ke kampung bila bersara nanti.

"Tak tahu lagi doktor, tengah fikirkan mahu mengganti bumbung rumah pusaka itu, masalah tanah di Perak teruk amat, tak kurang 10 ekar tanah arwah ayah itu tak tahu status lagi, ada yang telah bertukar nama..."

"Kenapa pula jadi macam itu?"

"Cukainya tak berbayar, saya pewarisnya tak diberi tahu!, nanti kalau telah duduk di kampung saya mahu usahakan tanah yang hilang itu!"

"Dah pergi ke Klinik Kardio Hospital Serdang kan?"

"Dah!, lusa baru tahu keputusannya, tapi saya gagal sudahkan Ujian Stres itu, saya mampu bertahan 7 minit sahaja, sepatutnya 10 minit!"

"Tapi jantung okey! kan?.."

"Okey! rasanya, badan yang terlebih berat, kaki tak mampu nak nampung barat badan ini!"

"Hari ini kita buat Ujian Glukos sahaja.." Aku lihat tekan darahku sekitar 135/85 mmHg.

Aku menunggu nombor 1102 di kaunter Ujian Darah, sekitar 10 minit aku dipanggil masuk ke kamar 35. Bacaan glukosku nampaknya beransur baik 5.4 mmol/l. Selalunya sekitar 7++ mmol/l. Bila aku ketemu Dr Imah semula, dia begitu ceria & menasihati aku agar terusan mengekalkan keadaan kesihatan begini.

"Berapa bacaan glukos sebaiknya doktor?"

"Di bawah 6.0 itu kira sudah bagus!"

Satu yang dapat kukesan, aku sebenarnya dalam seminggu dua ini banyak memakan buah goji kering. Jika nak diikutkan pemakanan ubatan ada beberapa hari aku langkaukan pemakanannya. Aku akan ke PKupm pada 8.2.10 tahun depan nanti, InsyaaAllah.