iDAN

27 April 2009

Surat Dari Pej Tanah (Singgahsana)



Limpahan terima sahaja yang dapat aku nyatakan di atas keprihatinan pegawai atasan Pejabat Tanah & Galian Negeri Perak Darul Ridzuan; secara peribadi telah berusaha untuk mengesan akan tanah pusaka Mat Sesh (Arwah Apak) yang telah hilang akan gerannya. Aku menulis e-mel kepada pihak Pej. Tanah adalah lantaran kehilangan yang beberapa geran yang tersimpan di Peti Besi Gajah Hijau.

Takkan nak libatkan polis perbagai, jika boleh aku mahu menarik rambut dalam tepung; rambut jangan putus tepung jangan pula berselerak. Itu yang malas ganggu keluarga arwah Opah Bi.

Sayangnya ianya tak akan selesai kecuali tahun No. Geran & No. Lot. Bagaimana nak tahu semua itu, di simpananku kini ada geran besar tanah sekitar kampungku ianya agak rumit mengenal pasti akan sesuatu lokasi. Sedangkan tapak masjid pun di dalam geran besar ada tujuh ekar lebih; mana lojik ianya sebahagian milik orang lain.

Antara geran yang hilang ialah, tapak rumah pusakaku, tanah air hangat, tanah dekat rumah Pak Aris, tanah tapak kedai dan ada beberapa tempat lagi aku tak pasti. Itu semua di Mukim Teja, bagaimana pula tanah di Tukang Sidin. Arwah Apak lama merantau di sana; memang ada tanahnya di sana.

Tambah sakit pewaris sebelah arwah Apak tak seorang pun mahu berhubung tentang tanah ini. Ada yang mengatakan arwah Apak dah beli semua dari adik beradiknya. Mungkin sebab itu tak seorang pun pewaris yang menuntut. Sementelah semua adik beradik arwah Apak seramai empat orang telah meninggal. Arwah Apak pula yang bungsu.

Takkan ceriteranya sama, aku juga anak yang bungsu dari empat adik beradik. Semuanya apakah akan terpikul di bahuku. Semua adik beradik arwah Apak perempuan; memang ada lojiknya arwah Apak yang perlu diharapkan. Kes aku lain, aku ada abg kandung lelaki dua orang. Bagaimana pula dengan saudara tiri. Ikut hukum faraid semuanya ada hak cumanya sikit atau banyak sahaja. Huh! patutnya semualah kena bantu aku. Inilah isunya. Masing-masing kejar dunia; hingga lupakan kampung halaman.

Bagiku tak kisahlah jika No. Geran yang diberikan oleh Pej. Tanah itu bukan milik arwah Apak; setidak-tidaknya ianya meringankan tugasanku mengesannya. Ianya satu rahmat Ilahi yang memudahkan pencarianku. Aku akan merujuk No. Geran tersebut hak milik siapa di kampung nanti. Aku tahu mesti ada penyelesaian. Tak mungkin masalah tak ada penyelesaiannya. Moga roh arwah Apak dapat mendengar akan usaha & munajatku ini.

Ish! sedar tak sedar telah sebulan UPM tak kasi sebarang tindakan tentang pencenku. Apa yang belum selesai & apa lagi yang kena aku uruskan. Selagi tak dapat semua wang pampasan & wang tuntutan bagaimana aku mahu bergerak; memang payah jika hanya bersenjatakan dengan tulisan. Tanpa bantuan duit untuk bergerak ke sana ke sini.

Hidup harus diteruskan jua... Sabarlah Desa Tualang.

Penyair sepenuh Masa (Singgahsana)



Aku telah mula menghantar karya kebanyakannya puisi ke akhbar. Tak tahulah bila ianya akan tersiar; sebahagian dari karya lama yang tidak tersiar & sebahagian karya terkini. Perubahan besar telah berlaku bagi akhbar Berita Harian, ruangan Sajak kini ditukar kepada ruangan Puisi yang diterbitkan di Berita Harian pada hari Sabtu; Tidak lagi di Berita Minggu setiap Ahad bagai dulu.

Mingguan Malaysia seperti selalunya masih mengekalkan cara tradisional. Setiap hari Ahad mesti ada ruangan sastera Cerpen & Puisi. Tentunya ramai menyukai Mingguan Malaysia dalam segi saiznya. Bayangkan jika kita mahu membuat lapik untuk berkelah atau sebagainya. Pasti semua memilih Utusan Malaysia. Agar penerbitnya tidak berkira-kira mengikut jejak Berita Harian. Kecillah amat tak luas & meriah rasanya.

Masalah isian beritanya bagi aku terpulanglah kepada kita; tak salah jika kita membaca akhbar semua visi. Janganlah lantaran pertelingkahan politik kita menolak banyak akhbar. Sedangkan akhbarlah satu-satu wadah media massa yang dapat membina ilmu & mengembangkan pengetahuan kita.

Baik Utusan Malaysia, Berita Harian, Harakah, Kosmos & banyak lagi akhbar terbit tiap hari, capailah semua jika mendapat peluang membacanya. Agar kita tidak menjadi masyarakat jumud membaca.

Sejak aku menjadi Penyair sepenuh masa, aku banyak menulis jurnal & melayari internet. Maka banyak minda aku tertumpu dengan bahan di internet. Ada satu kehilangan yang amat ketara; aku tidak dapat berbual dengan kekawan bagai dulu. Melalui bualan selalunya dapat bertukar minda. Banyak masalah kekawan sebenarnya dapat membantu aku dalam menilai kehidupan. Terasa amat kosong hidup ini tanpa bualan & khabar dari kekawan.

Tadi aku buka telefon bimbit talian DiGi, & SMS Eris, nampaknya dia pun tak perasan SMS aku, lambat baru dijawabnya. Jika dulu Eris ini memang kembar telefon bimbit; tak sampai sedetik pasti dijawabnya. Jawapan SMSnya kali ini juga agak pelik lantaran mungkin terkilan kot aku memang tak kasi berita langsung buat kekawan sejak sebuan lalu. Sementelah telah lama tentunya aku tidak ketemu dia; mungkin dia dah lupa pun wajah aku.

Aku memang ada dua talian telefonku; selain telefon rumah. Ada DiGi & 013; tapi minta maaflah aku bukan jenis orang sentiasa hidupkan talian telefon bimbit. Kot nak guna sahaja aku hidupkan. Sebab aku nak jumpa Eris pun lantaran nak minta bantuan dia tentang masalah pencen yang belum selesai. Mahu pergi ke pejabat cukai pendapatan. Nak naik kapcai ke sana aku tak pasti sangat tempatnya. Nak bawa kereta perang pula, masih tak yakin akan taraf keupayaannya. Sesekali amat payah nak mengidupkan enjinnya. Nak guna Avanza Mila, bilalah dapatnya. Sibuk memanjang Mila kini, balik pun dah malam-malam. Ikut anginnya. Terkadang jam 6:15 ptg dah terpocol di muka pintu. Cepat pula. Lagipun aku & Eris macam dengan Asraf juga, selalu berurusan ke mana juga mesti akan bersama.

013 itu yang paling lama aku gunapakai. Tapi bak kata PengailSejati.

"Ada dua talian pun nak buat apa, jika payah amat nak terima panggilan!"

Macam ini sajalah...Semua SMS aku baca belaka, jika aku buka talian memang berduyun SMS masuk: Takkan aku padam terus talian bimbit tu, dalam seminggu mesti aku buka juga. Seperkara lagi jika rajin bukan jurnalku; pasti mudah mengesanku. Terutama jurnalku di easyjournal; itu yang paling rajin kubuka. Boleh kata tiap hari aku akan membukanya. Selain jurnal aku rajin juga buka e-mel idanradzi di yahoo.

Sesekali bosan sangat buka TAGGED. Semua itu wadah untuk berkomunikasi. Mahu tak mahu sahaja mendekati Penyair iDANRADZi ini.