iDAN

21 Oktober 2011

Zizan, Juliana, Tai Raya Di Panggung

GANDINGAN Tai, Juliana dan Zizan menjadikan filem Hantu Bonceng sebuah produksi wajib tonton di pawagam pada hari raya ini.

Oleh HARYATI KARIM

TIGA nama, Zizan Razak, Juliana Evans dan Taiyuddin Bakar buat pertama kali digabungkan dalam sebuah filem berjudul Hantu Bonceng. Meskipun begitu, keserasian yang timbul antara mereka bertiga jelas kelihatan ketika tayangan perdana filem tersebut di Pawagam Odeon, Kuala Lumpur baru-baru ini. Saling mengusik antara satu sama lain terutamanya antara Zizan dan Juliana Evans menguatkan lagi gosip kononnya pasangan pelakon ini sedang hangat bercinta.

Namun ketika disoal media, kedua-dua mereka menafikan gosip tersebut dan menjelaskan mereka hanya sahabat baik. "Mana ada kami bercinta memang tidak betul sama sekali tetapi saya mengaku saya rapat dengannya dan pernah keluar bersama selepas penggambaran filem tetapi bersama rakan-rakan yang lain termasuk pengurusnya," kata Juliana. Zizan pula berkata: "Antara kami tiada cinta lokasi. Kami memang rapat tetapi jarang berjumpa, hanya berhubung di telefon."

Zizan malu babak bogel

Sebagai seorang pelakon, Zizan nyata menaruh harapan agar orang ramai berpuas hati dengan lakonannya dalam filem Hantu Bonceng kerana menurutnya, dia sudah memberi yang terbaik begitu juga dengan seluruh tenaga produksi. "Selepas tayangan perdana ini saya sedikit lega, sebab masa saya sampai tadi filem telah dimainkan dan saya lihat orang tidak berhenti ketawa. Sebelum ini saya bimbang, orang akan ketawa pada peringkat awal dan ia mendatar selepas itu, tetapi Alhamdulillah, kebanyakan orang yang datang hari ini seronok dengan filem ini.

"Tetapi reaksi orang ramai di luar sana, saya belum tahu lagi, itu yang membuatkan saya berdebar-debar, saya harap siapa sahaja yang menontonnya akan terhibur," ujarnya yang memegang watak Amran. Bercerita lanjut mengenai filem arahan Ahmad Idham yang menelan kos RM1.5 juta itu, Zizan mengakui banyak adegan yang sukar untuk dilakonkan tetapi adegan yang paling sukar buatnya adalah adegan di kubur. "Ketika adegan di kubur, saya tidak mahu buat lawak sebaliknya mahu serius tetapi apa yang saya lihat masih ada orang ketawa sebab saya bercakap dengan nada yang serius. Satu lagi adegan yang tidak dapat saya lupakan adalah adegan saya dan Tai berbogel di Taman Titiwangsa.

"Bayangkan untuk melakonkan adegan itu kami berdua hanya memakai boxer sahaja, malunya saya tidak boleh dikira, kebetulan ketika itu ada pula tiga buah bas rombongan berhenti di tempat kami melakukan penggambaran. "Saya sedang bekerja ketika itu, jadi saya minta orang yang lalu lalang jangan mengambil gambar saya dalam keadaan itu. Orang tidak faham, walaupun ketika itu saya hanya pakai boxer, yang keluar di layar lebar hanyalah separuh badan kami, kalau mereka ambil gambar, malulah saya," tutur Zizan ketawa.

Rumah terbuka raya ketiga

Setiap kali tibanya lebaran, keluarga Zizan akan mengadakan rumah terbuka pada hari raya ketiga. Tahun ini rumah terbuka akan diadakan di kediaman keluarga Zizan di Jalan Terkukur, Kuala Terengganu, Terengganu. Zizan menjemput seluruh keluarganya dan juga peminat yang sentiasa menyokongnya untuk menghadiri rumah terbukanya itu. "Memang setiap tahun kami buat rumah terbuka, tetapi sebelum menjadi artis, rumah terbuka keluarga kami dibuat di rumah nenek di Dungun, Terengganu. Saya memang menggunakan rumah terbuka ini untuk dekatkan diri dengan peminat serta menjamu keluarga dan sahabat handai.

"Uniknya, rumah terbuka kami akan diadakan di depan rumah kami yang kecil, jadi kami akan pasang khemah seperti orang kahwin. "Semua makanan yang dihidangkan pada rumah terbuka itu adalah air tangan ibu saya seratus peratus bersama orang-orang kampung yang turut membantu. "Tahun lepas saya anggarkan seramai 5,000 yang hadir ke rumah terbuka saya yang dibuka dari pagi sampai ke malam," ceritanya yang pernah digigit lipan pada malam hari raya.

Juliana hantu kembar

Filem Hantu Bonceng yang akan ditayangkan di 80 pawagam menyaksikan Juliana Evans melakonkan dua watak iaitu sebagai pasangan kembar hantu Maya dan Ayu."Sebenarnya yang paling susah adalah saya kena memakai kanta lengkap berwarna putih yang mana saya bukannya seorang yang pakai kanta lengkap. Jadi, saya sungguh tidak selesa dan mata sentiasa berair."Sebab itu, apabila ada adegan yang memerlukan saya memakai kanta lengkap putih itu, saya akan melakonkannya dengan bersungguh supaya tidak perlu diulang semula adegan yang sama dan saya boleh buka kanta lengkap dengan segera," luahnya.

Mercun meletup di tangan

Saban tahun, Juliana dan keluarganya akan pulang berhari raya di Bagan Datoh, Perak yang merupakan kampung sebelah ibunya. Tidak mengambil banyak kerja pada hari raya, Jue akan berada di kampung halamannya selama empat hari. Meskipun hidup di bandar tegas Jue, sebaik sahaja tiba di kampung dia akan memastikan diri serasi dengan masyarakat di kampung. "Balik kampung, saya akan jadi budak kampung, pakai biasa-biasa sahaja. Saya main mercun, lawan mercun siapa bunyi lagi kuat dengan budak kampung sebelah. Seronok sangat bila balik kampung.

"Jadi, setiap tahun peminat tahu saya balik kampung, jadi akan ada peminat yang datang melawat saya di kampung dan minta bergambar. Saya tidak kisah, sebaliknya seronok bertemu peminat di kampung saya sendiri," balasnya. Jue yang menggemari hidangan rendang tok, lontong dan soto pada hari raya menceritakan pengalaman pahitnya ketika beraya dua tahun lepas apabila tangannya berbalut gara-gara mercun meletup ditangannya sendiri. "Saya jadi nakal bila balik kampung, semua benda saya nak buat, jadinya kena balik pada diri sendiri. Nasihat saya, jangan main mercun bila hari raya, nanti tidak dapat bersalaman dengan orang sebab tangan berbalut, nak minta duit raya pun susah," katanya dalam tawa.

Komedi pertama Tai

Pelakon Taiyuddin Bakar atau Tai, sebelum ini merupakan pelakon yang aktif dalam teater dan pernah berlakon dalam filem Mukhsin, Lu Fikirlah Sendiri The Movie. Dia yang baru menamatkan penggambaran filem Petiga arahan Farid Kamil bukanlah seorang pelakon baru. Namun, baru hari ini kelibatnya mula kelihatan di layar kaca dan layar lebar. Diberi kepercayaan untuk memegang watak Kunyit, sahabat baik kepada Amran (Zizan), kata Tai, inilah kali pertama dia diberi peluang memegang watak utama sejak menceburi bidang lakonan pada tahun 2002

."Teruja dan terima kasih kerana beri peluang kepada saya, tetapi pada masa yang sama saya takut kerana saya memang tidak biasa dengan komedi. Sebelum ini, saya hanya melakonkan watak yang serius sahaja," ujarnya. Menyambut lebaran kali dengan kelainan, buat pertama kalinya, Tai dan seluruh keluarganya bakal berhari raya di Central Hougang, Singapura yang merupakan kampung halaman ibunya.

Hentikan tayangan filem Hantu Bonceng
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 20 Sept: Dewan Pemuda PAS menggesa filem Hantu Bonceng yang sedang ditayangkan di pawagam dihentikan segera kerana mengandungi unsur penghinaan kepada agama Islam.

Ketuanya Nasrudin Hassan berkata, filem komedi baru yang dibintangi pelawak terkenal Zizan Razak mengandungi babak yang jelas menghina Rasulullah.

Babak tersebut ketika Zizan di atas katil wad hospital menyebut dialog "asyhadu anna Muhammadar... syaitan" (aku naik saksi bahawa Muhammad itu syaitan).

Jika mahu ditayangkan juga ujarnya, sekurang-kurang babak mengucap syahadah secara salah itu mesti di potong untuk tayangan berikutnya.

"Menyebut perkataan "Muhammadar Syaithan" yang bermaksud Muhammad adalah syaithan dalam sebutan syahadah yang dijenakakan adalah haram dan boleh memesongkan aqidah.

"Saya dan seluruh ummat Islam yang sensitif terhadap agama tidak mampu tidur lena. Selagi ia menjadi tontonan umum, fikiran saya gelisah dan perasaan saya resah," ujarnya.


Filem arahan sutradara terkenal Ahmad Idham dengan durasi 90 minit itu ditayangkan di panggung wayang di Malaysia, Singapura dan Brunei bermula 31 Ogos lalu dan dikatakan mencipta sejarah dengan kutipan terbesar dalam musim perayaan dengan jumlah RM 5 juta untuk lima hari tayangan.

Selain Zizan ia turut membariskan aktres terkenal Juliana Evans dan Jue Aziz.

Mengulas lanjut, Nasrudin berkata pihak pengarah dan penerbit termasuk Zizan sendiri wajar memohon maaf kepara seluruh umat Islam di atas jenaka keterlaluan itu.

Sama ada Zizan sedar atau tidak keterlanjuran itu katanya, ia tetap salah kerana menghina Rasulullah SAW.

"Saya dengan segala baik sangka mengharapkan saudara Zizan selaku pelakon babak ini tidak menyedari implikasi aqidah sewaktu melakonkan watak tersebut, namun saya menyarankan agar Zizan segera memohon maaf kepada umum terhadap jenaka yang keterlaluan itu.

"Saya yakin, Zizan akan lebih dihormati kerana saya juga meminati beliau selaku anak seni dalam negara ini," katanya.

Hantu Bonceng: Peminat hargai Zizan mohon maaf
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 22 Sept: Pelakon filem Hantu Bonceng, Zizan Razak mulai dihujani penghormatan para peminatnya, apabila bersikap terbuka memohon maaf kepada orang ramai berhubung dialog kontroversi yang dituturkannya di dalam filem itu.

Penghormatan tersebut antara lain dikesani menerusi laman-laman blog para peminatnya yang jelas memuji sikap keterbukaan beliau mengakui kesilapannya menuturkan dialog yang menghina Islam tanpa disengajakan di dalam filem berkenaan.

Di dalam blog ustazlove.com, pemiliknya sendiri berserta beberapa orang peminat Zizan menyuarakan kesyukuran mereka kepada Allah kerana telah menggerakkan hati Zizan memohon maaf kepada para penonton dan peminat beliau di atas keterlancangannya itu.

"Ustaz Love sangat menghargai usaha beliau memohon maaf itu.. secara tak langsung, ini menunjukkan Zizan merupakan antara pelakon yang tak segan silu memohon kemaafan atas kesilapannya," tegas pemilik blog itu.

Zizan Razak atau lebih dikenali sebagai Zizan Raja Lawak dalam Twitternya semalam telah tampil meminta maaf atas kesilapannya menghina Rasulullah dalam filem tersebut.

“Saya faham, apa yang salah… salah jugak. Tapi pasal hina Islam memang jauh dari otak fikiran saya la.. takde lagsung terniat. Ini adalah Agama dan Rasul saya.. Maaf sekiranya saya silap,” tegasnya.

Mengulas perkara itu, beberapa orang pemilik blog termasuk pemilik blog ustazlove dan wangerrardblogsport.com mengucapkan tahniah atas keberanian Zizan memohon maaf dan menjelaskan segala kekeliruan berhubung isu tersebut.

"Begitulah sikap yang terbaik.. Dah buat silap, mohon maaf.. kerana sebaik2 orang yg melakukan kesilapan adalah mereka yang bertaubat," ujar mereka.

Sehubungan itu, mereka turut berharap agar Zizan diberikan keberkatan hidup dan dimurahkan rezeki oleh Allah di atas kemuliaan hati beliau itu.

Filem Hantu Bonceng ditayangkan bermula 31 Ogos sehingga 4 September 2011 lalu secara serentak di 80 pawagam di Malaysia, Singapura dan Brunei dengan kutipan sebanyak RM5 juta dalam tempoh lima hari ditayangkan.

Sehingga semalam, filem tersebut dilaporkan melakar sejarah tersendiri apabila menjadi filem kedua tertinggi dalam sejarah daripada segi kutipan apabila mencatat kutipan tiket RM8.35 juta.

Hantu Bonceng yang diterbitkan oleh Excellent Pictures Sdn Bhd adalah arahan Ahmad Idham dan dibintangi Zizan, Juliana Evans, Jue Aziz, Dottie, Tai, Zahid Baharudin dan beberapa orang pelakon lain.

Filem ke-23 arahan Ahmad Idham itu merupakan filem komedi dan mengisahkan Amran yang gemar berlumba haram yang tiba-tiba terlibat dalam satu kemalangan yang meragut nyawa gadis yang memboncengnya.

Sejak itu, gadis yang tidak tenteram itu menghantui Amran dan Amran meminta kekasihnya, Halimaton dan rakannya Kunyit menyempurnakan mayat gadis tersebut.

Namun filem tersebut dikecam hebat oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia kerana dalam satu adegannya, Zizan jelas menghina Rasulullah saw dengan menyebut “Ashaduanna Muhammadar ... syaitan” yang membawa maksud “Aku naik saksi bahawa Muhammad itu ... syaitan”.

Selain itu turut ditambah dengan adegan mempersendakan azan, memakai baju yang mempunyai tanda salib ke masjid dan beberapa isu tahyul seperti bogel depan hantu.

Sejak ditayangkan, Zizan turut dimarahi para peminatnya khususnya yang beragama Islam kerana menuturkan dialog tersebut sehingga memaksa Zizan melakukan beberapa tindakan wajar termasuk menghubungi pendakwah terkenal dari Terengganu, Ustaz Azhar Idrus bagi bertanyakan perkara itu.

Dalam responsnya, Ustaz Azhar turut menghormati tindakan Zizan yang menghubunginya bagi bertanyakan perkara itu bagi mendapatkan kepastian dari segi hukum dan turut menasihati Zizan supaya bertaubat kepada Allah di atas keterlanjurannya itu.

Zizan dipercayai menuturkan kata-kata itu bukan atas niat menghina Islam, tetapi mengikut skrip dan akibat kejahilannya. Beliau diingatkan oleh Ustaz Azhar bukan sahaja perlu memohon maaf kepada orang ramai, malah lebih penting lagi bertaubat kepada Allah, di samping menginsafi diri agar tidak mengulangi lagi kesalahan seperti itu pada masa akan datang.