iDAN

08 Jun 2009

Bertan-tan emas tersembunyi (Delima Merkah)



Geseran kerak bumi adalah antara pencetus fenomena gold rush. Ia boleh berlaku di pelbagai lokasi pada bila-bila masa kerana proses pemineralan sentiasa aktif.

Pagi Rabu itu, Sulaiman Tujuling, 76, pantas menghirup kopi O panas bersama isterinya, Halimah Amri, 73. Usai mengalas perut, pasangan tersebut mencapai kuali dan peralatan lain untuk ke pantai. Mungkin janggal jika diperhatikan pada kelengkapan yang digalas dengan destinasi yang hendak dituju.

Apa yang menanti mereka di Kampung Sri Pantai, Mersing, Johor sebenarnya jauh menandingi keseronokan bermandi-manda. Pasangan ini hendak mendulang emas!

Cubaan pertama mendulang di lokasi baru itu bukan sahaja mencatat sejarah tersendiri bagi Sulaiman dan Halimah, malah 'pesta mendulang' di situ sudah bermula mendahului sarapan mereka tadi.



SEBAHAGIAN daripada ‘kegilaan’ mendulang emas di Kampung Sri Pantai, Mersing, Johor yang dirakamkan dua tahun lalu.

"Saya mendulang sejak tahun 1957 tetapi ini kali pertama kami mendapat emas yang banyak. Biasanya kami mendulang di Teluk Iskandar tetapi tak sangka, percubaan kami di tempat baru ini dianugerahkan rezeki yang melimpah ruah.

"Seharian di pantai, kami memperoleh kira-kira 12 gram emas dan apabila dijual, kami mendapat RM800," katanya.

Kisah 'durian runtuh' Sulaiman dan isterinya pantas tersebar ke seluruh negara dan menarik minat luar biasa orang ramai untuk datang mendulang di situ.

Buktinya, jika sebelum ini nama Kampung Sri Pantai hanya terkenal di kalangan penduduk setempat, kini masyarakat luar bukan sahaja bercerita malah berpusu-pusu ke kawasan tersebut untuk mendulang emas.

Bagi suri rumah, Halimah Sidin, 56, dia sanggup datang dari Minyak Beku, Batu Pahat untuk bersama ribuan pendulang lain mencuba nasib.

"Saya datang bersama seorang anak dan dua cucu. Kami membawa tiga kuali dari rumah dan sanggup berembun mendulang dimulai tengah malam sehingga air pasang keesokannya.

"Ini kali pertama saya datang mendulang. Semalam saya cuma dapat beberapa gram, itu yang membuatkan kami berkhemah di sini dan terus mendulang dengan harapan untuk dapat lebih banyak emas," katanya.

Biarpun fenomena emas 'timbul' jarang berlaku dan hasil yang dijanjikan tidak menentu, ia tidak melemahkan semangat orang ramai untuk turun mendulang di situ.



EMAS sentiasa dalam senarai teratas komoditi yang mahu dimiliki manusia kerana nilainya tinggi dan kalis inflasi.

Menjelang hujung minggu, keadaan lebih meriah malah ramai yang sanggup mendirikan khemah dan menjadikan kenderaan sebagai tempat untuk melelapkan mata setelah seharian mendulang emas.

Sekalipun sudah hampir dua tahun berlalu, pesta mendulang di Mersing mungkin akan berlaku lagi selepas ini tetapi kali ini lokasinya belum dapat dipastikan.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Datuk Yunus Abdul Razak, kejadian yang dikenali sebagai gold rush itu boleh berlaku pada bila-bila masa dan lokasinya juga pelbagai kerana proses pemineralan boleh berlaku di mana-mana.

"Sebelum ini gold rush juga pernah dilaporkan di Lubuk Mandi, Rusila, Marang, Setiu dan Mersing. Emas yang ditemui itu terhasil daripada geseran yang berlaku di kerak bumi menyebabkan emas yang selama ini 'tersimpan' terangkat ke permukaan bumi," katanya.

Yunus memberitahu, kejadian yang membuka peluang kepada ribuan pendulang itu bagaimanapun tidak sesuai untuk dijadikan lokasi perlombongan sistematik.

"Atas ihsan kerajaan negeri, orang ramai boleh mendulang sehingga JMG mengeluarkan arahan pemberhentian atas faktor keselamatan," kata beliau yang ditemui Jurnal baru-baru ini.

Bekalan belum susut

Ramai beranggapan aktiviti perlombongan tidak lagi produktif dan tumpuan masa kini lebih terarah kepada sektor industri pembuatan, bioteknologi dan pertanian.


BERDASARKAN statistik tahun 2007, pengeluaran emas di Kelantan adalah sebanyak 80,151 gram (g), sementara di Pahang pula berjumlah 2,832,489g.

Bagi sesetengah orang, mereka percaya bekalan emas negara semakin menyusut dan aktiviti melombong sudah tidak relevan lagi.

Bagaimanapun, tanggapan itu kurang tepat. Kandungan logam kuning berkilauan tersebut masih ada. Malah menurut Buku Laporan Mineral Malaysia 2007, bekalan rizab emas semasa dalam negara ialah 106 juta tan metrik.

"Namun, angka tepat mengenai bekalan emas tidak dapat dinyatakan kerana ia bergantung kepada pengeluaran dan penemuan terbaru emas.

"Setiap kali cari gali berjaya menemukan emas, angka pastinya bertambah, tetapi apabila ia dikeluarkan, angka akan menyusut. Trend tolak tambah inilah yang mempengaruhi berapa banyak emas yang kita ada," katanya.

Tambah Yunus, walaupun pengeluarannya menunjukkan trend penurunan dari tahun ke tahun, keadaan ini masih mampu memberi pulangan kepada syarikat perlombongan.

"Pada tahun 2006, sebanyak 3.49 tan metrik telah dikeluarkan dan pada tahun 2007, jumlah menurun kepada 2.91 tan. Bagi tahun 2008, dianggarkan 2.75 tan telah dihasilkan," katanya yang menyatakan bahawa lombong emas boleh digali berulang kali bagi mendapatkan emas.

Dengan menggunakan teknik leburan atau semburan air, pelombong sudah boleh mengeluarkan butiran atau serbuk emas yang satu masa dulu tidak dapat dikeluarkan.

"Secara tidak langsung, lombong yang sudah dikenal pasti lokasi cari gali emas boleh diterokai semula bagi mendapatkan logam emas," jelas beliau.


RIBUAN manusia bertumpu ke Lubuk Mandi, Marang, Terengganu untuk mengintai peluang mendulang emas ketika berita penemuan logam berharga itu mula tersebar pada tahun 1988.

Terdapat 11 lombong emas yang masih aktif beroperasi di Malaysia. Yunus memberitahu, lombong Penjom di Kuala Lipis antara yang paling aktif di mana ia mampu mengeluarkan 95 peratus daripada hasil emas negara.

"Ada lima lombong yang beroperasi di Kelantan dan enam beroperasi di Pahang. Setiap tahun, bilangan lombong ini tidak tetap dan boleh kurang atau bertambah, bergantung kepada kos melombong, harga emas dan permintaan.

"Sungguhpun negara mampu mengeluarkan lebih daripada dua juta tan setahun, ia jauh daripada mencukupi bagi menampung keperluan dalam negara," tambah Yunus.

Keselamatan ketika melombong

Baru-baru ini, penduduk Kampung Bukit Koman, Raub, Pahang gagal mendapatkan kebenaran bagi semakan penghakiman untuk menghentikan projek melombong emas di kampung tersebut yang bermula pada Februari tahun ini.

Sebelum itu, mereka mendakwa ada penduduk yang mengalami masalah kesihatan berpunca daripada penggunaan bahan kimia sianida di projek lombong emas berkenaan.


FENOMENA gold rush turut menarik minat Halimah Sidin, 56, untuk mendulang emas di Kampung Sri Pantai, Mersing, Johor, dua tahun lalu.

Mengupas isu keselamatan di lombong emas dan kawasan persekitaran, Yunus memberitahu, aspek tersebut tidak dipernah dipandang remeh.

"Teknik dan cara perlombongan yang dilakukan di Malaysia merupakan cara galian terbaik yang turut dipraktikkan di negara-negara lain. Malah, bagi memastikan syarikat mematuhi piawaian itu, pemeriksaan berkala akan dijalankan ke setiap lombong," terang beliau.

Bahkan, untuk melahirkan industri perlombongan mapan, pengusaha lombong diarahkan untuk membuat pemantauan sendiri di mana mereka perlu mengambil contoh air, asap, tanah dan sebagainya untuk diuji serta dianalisis di makmal. JMG juga akan menjalankan rutin yang sama terhadap lombong tersebut.

"Daripada keputusan yang dikemukakan pihak pelombong dan keputusan yang kita peroleh, perbandingan akan dilakukan. Jika ada percanggahan dengan peraturan yang ditetapkan, teguran dan arahan penambahbaikan akan berikan," jelas beliau.

Walaupun ada aktiviti melombong menggunakan kimia dan teknik peleburan yang mungkin mendatangkan rasa bimbang di kalangan masyarakat setempat, Yunus memberitahu, aspek keselamatan yang tinggi dalam industri perlombongan mampu menyerap semua risiko dan kebarangkalian masyarakat berdepan risiko mungkin amat tipis.

"Kerja melombong mungkin dilihat berbahaya, namun risiko itu terlebih dahulu 'diserap' oleh lombong itu sendiri sebelum ia merebak keluar," katanya.

Kosmo