APA yang perlu saya buat selain solat dan doa? Saya ada seorang kekasih, tetapi ayahnya tidak suka saya kerana lebih memandang harta dan darjat. Saya dan kekasih saya bukan seperti kebanyakan pasangan remaja lain yang suka bersosial.
Saya sedih kerana selama ini kekasih saya memendam rasa fobia berikutan pernah dicabul oleh kawan ayahnya yang tinggal di sebelah rumahnya ketika kecil dulu. Perkara ini dia rahsiakan daripada pengetahuan ayahnya sampai sekarang.
Apabila meningkat remaja, kekasih saya bercinta dengan A, malangnya lelaki ini menjerumuskannya ke lembah maksiat. Mereka sering melakukan hubungan seks. Hubungan mereka putus selepas empat tahun kerana ayah kekasih saya tidak menyukai A.
Ayah kekasih saya terserempak ketika kekasih saya dan A cuba melarikan diri. Biarpun kekasih saya masih sukakan A, ayahnya mengugut untuk menceraikan ibunya jika kekasih saya tetap mahu menjalin hubungan dengan A.
Selepas peristiwa itu, kekasih saya bercinta pula dengan B, lelaki yang stabil daripada segi kerjaya, memiliki rumah dan kereta. Namun, sekali lagi berlaku peristiwa hitam. Kekasih saya dibawa B pulang ke rumahnya dan ditiduri secara paksa. Akibatnya, hubungan mereka yang baru terjalin tujuh bulan terputus, apatah lagi selepas kekasih saya mendapat tahu B rupa-rupanya sudah bertunang.
Selang beberapa bulan, baru kekasih saya berkenalan ketika saya makan di kedai milik bapanya. Sepanjang tiga bulan bersama, banyak masalahnya yang dikongsi dengan saya dan dia sangat percayakan saya.
Dang Setia, saya seperti juga remaja lain yang ingin bercinta dan dicintai. Saya tidak suka bersosial. Saya memelihara solat saya dan saya juga tidak bergaul bebas dengan perempuan. Selepas tingkatan lima, saya bekerja dan kini hidup berdikari.
Kami merahsiakan hubungan daripada pengetahuan ayah kekasih saya dan kami juga berjumpa secara sembunyi, namun akhirnya dia tahu juga. Saya memberanikan diri bersemuka dengannya untuk memohon maaf serta menerangkan keikhlasan saya, namun dia memperlekehkan saya.
Dia mencaci saya dan pada masa sama memuji B. Katanya, B lelaki sempurna dan paling sesuai untuk anaknya. Biarpun sedih, marah dan geram, saya tidak melawan cakapnya kerana masih ada rasa hormat diri saya terhadapnya sebagai orang tua.
Sejak kejadian itu, kekasih saya tidak dibenarkan bertemu saya dan kami hanya berhubung melalui telefon. Selama empat bulan, kekasih saya menderita dengan sikap keluarga, terutama ayahnya yang langsung tidak bertimbang rasa terhadapnya.
Mungkin kerana tidak tahan, satu hari kekasih saya keluar dari rumahnya senyap-senyap dan datang ke tempat kerja saya. Selepas tamat waktu kerja, hari menjelang malam dan tak tahu hendak ke mana, saya membawanya pulang ke rumah sewa saya.
Akibatnya, saya kecewa dengan diri sendiri kerana pada malam itu kami terlanjur. Selepas kejadian itu saya rasa cukup bersalah dan terfikir untuk kahwin lari, namun tak berani kerana sedar banyak masalah akan timbul di kemudian hari.
Untuk pengetahuan Dang Setia, kekasih saya kurang didikan agama. Dia lemah dan mudah terpengaruh, tapi dia mendengar kata. Saya tidak mahu mengambil kesempatan di atas kelemahannya. Kami sama-sama berjanji untuk mendalami ilmu agama. Ini kerana, kami berasa diri sangat kotor. Kami bukan sekali terlanjur, tapi banyak kali.
Persoalannya, apa patut saya buat sekarang. Masalah utama saya ialah sikap bapanya yang tidak sukakan saya. Keluarga saya tiada masalah kerana mereka merestui pilihan saya. Saya harap sangat pandangan Dang Setia kerana selagi ayahnya bersikap begitu, saya tidak nampak cara bagaimana nak mengahwini kekasih saya.
Seperkara lagi, saya juga nak tanya pendapat Dang Setia, bagaimana dengan amalan saya selama ini? Saya masih menjaga solat, tapi saya juga sudah beberapa kali berzina dengan kekasih saya. Adakah solat saya diterima Allah?
HAMBA HINA
Kuantan, Pahang
Saudara memulakan penulisan dengan satu pertanyaan menarik, iaitu apa lagi yang perlu saudara lakukan untuk menyelesaikan masalah dihadapi selain bersolat dan memanjatkan doa kepada Allah SWT?
Bagi Dang Setia, jawapan kepada persoalan ini mudah saja iaitu berusaha dalam bentuk tindakan. Ini bertepatan dengan konsep tawakal yang sebenar iaitu berusaha dan berdoa.
Sebagai contoh, jika kita ingin berjaya dalam peperiksaan atau hebat dalam kerjaya, Islam tidak menyuruh kita sekadar bersolat dan berdoa, sebaliknya kita disuruh berusaha terlebih dulu, selepas itu baru disusuli dengan doa. Jadi, begitu jugalah dalam kes saudara. Usaha itu sangat penting, selain solat dan berdoa.
Bagaimanapun, Dang Setia sedar persoalan yang timbul ialah, apakah bentuk usaha yang sepatutnya saudara lakukan? Saudara sudah bersemuka dan menerangkan keikhlasan saudara, namun ayah kekasih saudara tetap dengan pendiriannya.
Bagi menjawab persoalan dan menyelesaikan masalah seperti ini, Dang Setia berpendapat saudara harus bersikap lebih rasional dan praktikal. Apabila berdepan masalah besar, membabitkan masa depan, keluarga dan banyak pihak lain, banyak faktor perlu kita ambil kira.
Maksudnya, pertimbangan akal harus lebih dominan dan dipastikan mampu mengatasi segala kepentingan lain, termasuk kehendak nafsu, perasaan, cinta dan sebagainya. Apabila akal lebih panjang, insya-Allah baru kita mampu membuka pintu kebuntuan dan menentukan jalan penyelesaian kepada masalah dihadapi.
Dengan bimbingan akal yang bertunjangkan petunjuk Allah SWT, insya-Allah kita akan menyedari jalan penyelesaian yang ada ketikanya tidak membolehkan kita dapat semua yang kita kehendaki, sebaliknya ada yang perlu kita lepas atau korbankan.
Dalam kes saudara, jika kehendak hati, cinta dan nafsu yang lebih menjadi keutamaan berbanding akal, jalan penyelesaian yang tersedia besar kemungkinan bakal menghadirkan lebih banyak impak negatif berbanding yang positif.
Satu daripada impak negatifnya, sudah saudara sendiri kesan iaitu apabila saudara terfikir untuk kahwin lari. Jika itu saudara lakukan, sebagaimana saudara katakan, banyak masalah lain pasti timbul. Ringkas kata, saudara hanya menang untuk jangka masa pendek, tapi kalah untuk jangka masa panjang.
Ya, itulah aspek penting yang perlu saudara fikirkan, ingin menang untung jangka masa pendek atau panjang? Bagi Dang Setia, pilihan terbaik untuk saudara ialah menang untuk jangka masa panjang dan ini bermakna saudara perlu bersedia untuk tewas atau berkorban pada masa sekarang.
Senang cakap, bagi Dang Setia, saudara perlu menerima hakikat betapa situasi sekeliling pada masa ini menunjukkan jodoh saudara bukan dengan kekasih saudara. Aset saudara cumalah cinta dan keprihatinan terhadap kekasih saudara, sedangkan itu tidak mencukupi.
Ini kerana ayah kekasih saudara memiliki lebih banyak sebab dan lebih penting, kuasa untuk menentukan jodoh anaknya. Sebagai ayah, dia berkuasa penuh ke atas anaknya. Kuasa itu pula sah daripada sudut syariat Islam mahupun undang-undang negara.
Sama ada kuasa itu dia gunakan dengan cara betul atau tidak, itu soal lain. Yang pasti, saudara atau sesiapa saja tidak bolah persoalkan kuasa yang ada padanya. Sama ada saudara suka atau tidak, itulah hakikatnya yang saudara perlu terima keadaan itu.
Apabila ayah kekasih saudara membulat tekad tidak menerima saudara menjadi menantunya, akses untuk saudara boleh diibaratkan tertutup. Saudara tidak boleh marahkan dia, merampas atau melarikan anaknya. Cinta dan keprihatinan saudara memang baik, tapi itu tidak bermakna saudara ada hak ke atas kekasih saudara.
Apabila begitu keadaannya, bukankah jalan terbaik ialah berundur dan menerima dengan reda ketetapan Ilahi. Saudara orang sembahyang, jadi saudara kena terima qada’ dan qadar. Jangan pandai baca atau cakap saja, tapi bila kena batang hidung sendiri, kita lupa segala peringatan Allah.
Justeru, berbaliklah kepada paksi ajaran Islam. Dahulukan atau beri keutamaan kepada perkara yang betul. Bagi Dang Setia, dalam situasi saudara sekarang, yang sepatutnya menjadi keutamaan saudara ialah bermuhasabah dan mengkoreksi diri, bukan menagih cinta terlarang.
Mungkin saudara tidak sedar, saudara dulunya seorang yang boleh diletakkan dalam kategori baik. Namun, sejak munculnya seorang wanita bergelar kekasih di dalam hidup saudara, keadaan mula berubah. Di sebalik berulang kali saudara mengatakan tidak suka bersosial, pada masa sama saudara berulang kali terlanjur.
Apa maknanya ini? Bukankah ia jelas satu petunjuk yang saudara kini jauh tergelincir daripada syariat Islam? Jadi, bukankah saudara sepatutnya lebih mengutamakan usaha memulihkan semula diri daripada pening memikirkan untuk memulih dan menyelamatkan kekasih?
Kekasih saudara masih ada ayahnya dan biar ayahnya dan dirinya sendiri memikirkan cara untuk memperbaiki diri serta berdepan seksaan Allah di atas dosa yang dia lakukan. Bagaimana dengan saudara? Adakah saudara kira saudara akan terlepas daripada Allah terhadap segala dosa saudara?
Adakah saudara ingat dengan berkahwin dan menyelamatkan kekasih saudara daripada penderitaan hidupnya bakal membebaskan saudara daripada seksa Allah? Pasti tidak. Jadi, fikirkan mengenai diri saudara dulu. Fikirkan bagaimana cara untuk bertaubat supaya Allah mengampunkan segala dosa saudara yang berulang kali berzina.
Mudah-mudahan pintu taubat masih terbuka untuk saudara. Lihat apa yang berlaku daripada perspektif berbeza yang lebih positif. Ada kemungkinan Allah tidak mengizinkan jodoh saudara dengan kekasih saudara kerana dia bukan yang terbaik untuk saudara.
Sebaliknya jika saudara reda dengan apa yang berlaku, insaf dan bertaubat kepada-Nya, pada masa depan Allah akan menghadirkan seorang wanita yang lebih baik sebagai pasangan hidup saudara, insya-Allah.
Harian Metro