iDAN

27 Julai 2009

Menjejaki Dewi Tenggiri Episod 9 (Singggahsana)

Aku asyik memerhatikan Brother Joe memancing, bukan sekali dua umpannya disambar ikan besar tetapi gagal dinaikkan. Aku agak tergamam melihat dia merentap joran, punyalah kuatnya bagai koboi merembas tali belati ke arah lembu jantan sahaja lagaknya. Awak-awak pun menggeleng kepala. Takutnya bukan apa, kot joran yang patah atau habis rongak gigi sang ikan.

Ajak pun nampaknya lepas makan mula mengantuk, lelap di sebelah di Amirul, Fairuz pula masih tekun dengan umpanan tenggiri. Jarang Fairuz pulang tanpa ikan tenggiri. Che Wan pula kian putus asa lantaran banyak amat mata kail terputus, mungkin banang atau pun hulubalang Dewi Tenggiri menyakat pancingnya.

Kami pun berpindah unjam lagi, kali ini Che Wan memanggil Amirul cuba menaikkan sang ikan yang agak ganas tetiba merentap jorannya. Asyik pancing Che Wan sahaja yang mengena, manis amat kot umpannya. Amirul yang baru tingkatan dua. Amirul juga digelar King of "ketarap” oleh ayahandanya kerana berjaya mendaratkan ketarap 4 ekor sekaligus pada tahun 2004. Amirul yang pening-pening lalat mencapai pancing dari ayahnya. Agak lama juga dia melayan ikan agak berat ini. Akhirnya dapat juga dijinakkan. Dia berjaya memikat ikan tenggiri yang seberat sekitar 6 kg. Boleh tahan besarnya. Selang beberapa ketika pancing Fairuz pula direntap ikan. Tentunya ikan tenggiri dari kumpulan yang sama. Tapi terputus ketika hampir dapat di cangkuk oleh Pak Arip.

Laut kembali tenang, tak nampak pun burung camar terbang bermain deburan ombak. Tiada tangkapan ikan besar yang kami dapat, aku masih asyik dengan Apollo melayan mambong berumpan daging segar anak ikan kembung. Tentunya Sang Tenggiri di panggil oleh Dewinya, mungkin juga ada sang gerladangan menganggu kampung halam Sang Tenggiri ini.

Tetiba joran Che Wan direntap ganas amat. Sekali direntak itu direntapnya & mengena; kami semua menaikkan semua umpan kami.

"iDAN mari cuba naikkan ikan ini..!" Che Wan memang bagaikan putus asa lantaran banyak sangat ikan terlepas di tangannya. Paling tidak telah tiga atau empat ekor cuma nampak kelibatnya sahaja. Bila mahu sampai ke bot terputus lagi!. lalu dia bersandar harapan kepadaku.

Aku agak panik juga lantaran aku tak pernah menaikkan ikan besar biarpun kerap ke laut. Tambahan lagi pancing orang & harapan orang ; Che Wanlah pula yang baru aku kenali & aku amat kusegani. Aku mencapai joran Che Wan. Menggunakan pengalaman yang ada melalui pembacaanku. Jangan paksa ikan terlalu keras, jangan juga terlalu kendurkan tali. Pesanan itu lekat di ingatanku.

"Huh!... beratnya ikan ini.." Aku terusan memusing kekili serapi & sekedap mungkin.

"Pam... baik-baik! lagi... lagi..!" Che Wan menguatkan semangatku sambil dia memegang kameranya.

Lima minit, sepuluh minit, kejap ikan berenang kejap ke kiri, kejap ikan lari ke kanan. Sang ikan bermain dengan aku. Berdebar dadaku & aku berdiri menggeletar di sebelah kiri bot. Aku letakkan pangkal joran di perut boroiku, adui! beratnya; Aku pam pelahan-lahan agar sang warga laut ini rapat denganku. Lawan tetap lawan. Tidak sesekali aku benarnya tali terlalu tegang pun terlalu kendur. Apalah jenis ikan berat amat ini!, bagaikan ada kaki-kakinya mencakar karang di dasar laut. Sesekali aku nampak kelibatnya kekuningan. Sah bukan Dewi Tenggiri. Aku kenal kerlingan Dewi Tenggiri.

Peluh telah menitik di dahi, aku risau amat kalau-kalau ikan terlepas; apatah lagi kalau set Che Wan ini rosak, bukan murah harga satu set pancing Che Wan yang aku guna. Kecil ringan tetapi amat mantap kekilinya.

"Layan abg iDAN jangan sampai terlepas" Fairuz berdiri di belakangku memberikan semangat.

Sekitar lima belas minit barulah sang ikan yang berat amat ini rapat di bot. Itu pun bukan main payah untuk mencangkuknya naik ke bot. Hingga akhirnya ia tewas juga di tangan Penyair iDANRADZi. Memang aku pun tak menduga.

"Haruan Tasik abg iDAN, padanlah ganas sangat!" Fairuz teruja, Che Wan amat gembira & betalu-talu ambil gambarku bersama rekod pertama menaikkan ikan sebesar ini. Aku terduduk mengeletar, Fareez kata aku bagaikan kena penyakit parkinson Fareez berandaikan 12 kg beratnya. Aku pula rasakan bagaikan lebih 20 kg bila berada di dalam air berlawan dengan tenagaku, bagaikan hilang khudratku.
Klik gambar nak tenguk besarnya ikan Haruan Tasik ini

- bersambung

Menjejaki Dewi Tenggiri Episod 8 (Singgahsana)

Ada beberapa Siri yang masih belum selesai di jurnal@blogku maka ini aku akan cuba menyudahkannya.
Ini antara siri yang aku gubah masih belum berpenghujung sila klik sini awal ceritera Dewi Tenggiri

Amirul dalam mabuk-mabuk boleh layan ngail ikan!

Melihat kotak ikan yang telah penuh dengan perbagai ikan unjam & karang tentunya telah meredakan rasa resah desahan ombak. Desahan ombak selalunya petanda halimunan, ikan pasti lari. Kebanyakan yang menaikkan ikan unjam adalah Pak Ali & Pak Arip. Mereka berdua menggunakan koyan bermata panjang. Ajak, Brother Joe begitu rajin dengan perbagai kemahiran yang ada untuk memujuk ikan naik ke bot. Brother Joe menggunakan perbagai mata dari kekili yang dihadiahkan oleh ayahnya. Kira-kira berbekalkan kekili pusaka yang tentunya telah pun hanyir dengan sentapan ikan di laut. Amirul masih termangu dengan mabuk laut. Lena di pondok bot.

Angin basah dari tenggara yang membawa deruan ganas terusan menguncahkan tenang laut. Bot menjadi bagaikan buaian besar bertalikan ombak ganas yang pastinya tambah melenakan tidurnya si Amirul. Aku yang sedari awal menelan ubat-ubatan pakej tua termasuk ubat tahan muntah nampaknya masih bertahan. Bilamana melihat sambaran ikan yang banyak tentunya menjadikan semangat semakin tinggi terus memancing.

ombak & mendung sering berbisik

Bilamana ombak semakin tenang. Tekong kami Abg Mat menuju ke unjam seterusnya. Hanya bot kami sahaja yang berada di Karang Ngah ketika itu. Banyak kedapatan camar laut berterbangan menangkap anak ikan di unjam ini. Petanda banyak ikan. Selang sekitar tak sampai sepuluh minit, joran Che Wan disambar ganas oleh warga laut. Apakah Dewi Tenggiri. Kami menaikkan semua joran takut terbelit tali pancing. Rentapan agak ganas, sesekali nampak bagaikan ianya mahu terlepas, melompat ke permukaan laut. Masing-masing teruja tertanya-tanya ikan apakah gerangan. Bila dekat dekat bot barulah kenal kelibatnya si ikan banang. Suku sakat si todak yang melanggar Singapura.

Brother Joe memasang tak kurang dua atau tiga set pancing. Tetiba salah satu pancingnya direntap kuat, Fareez yang berdekatan dengan pancing Brother Joe; merentap agar mata kail menyusuk mulut si ikan. Agak lama juga Fareez bertarung dengan warga laut ini, aku terbayang akan selendang Dewi Tenggiri telah terlerai. Bila ianya naik ke bot kami, ternyata sekadar Inang Tenggiri seberat sekitar 8 kilo. Boleh tahan besarnya. Tenggiri kedua. Yang anehnya bukan sangkut di mulut tapi di badannya. Pastinya si Inang tengah beronggeng terkena selendangannya laut tersangkut di pinggangnya. Teringat si Azim anaku yang bungsu di rumah yang suka amat makan daging tenggiri, setidak-tidaknya telah dapat kami sediakan barang sekeping juadah daging tenggiri buat keluarga.

Fareez dengan tenggirinya, nak rezeki kena di badan pun
boleh dijinakkan.


Mentari kian meninggi, Pak Arip makin sibuk di dapur dibantu oleh Pak Ali. Tentunya kami akan makan ikan kembung, selar segar; goreng pun sedap. Apatah lagi Pak Arip buat masakan asam pedas. Siap dia buat sambal belacan. Menyelerakan.

Inilah Pak Arip chef kami yang enak masakannya

Aku begitu yakin unjam ini banyak penghuni sang tenggirinya. Selang beberapa ketika pancing Aru pula direntap ikan besar. Che Wan menyambar set pancing. Aku memang perasan Aru selalu membiarkan pancingnya terdongak sendirian, senyap-senyap aku ikatkan ianya di badan bot. Serba salah aku, memang Che Wan suruh aku guna pancing yang itu; tapi Aru yang tetiba menyambarnya; mahu pakai pancing yang mana pula dia kalau kurampas semula. Belum pun sempat kami menaikkan tali pancing, tali pancing Aru telah pun tersangkut sesama sendiri. Che Wan menggunakan kepakarannya agar tali tidak putus, ikan dapat dinaikkan. Ianya berjaya tapi masih bukan Dewi Tenggiri. Inang Pengasuh Tenggiri juga yang sudi bertandang seberat kira 5 kg.

Amirul telah bangun, mungkin telah puas tidur. Dia terus mencari jus buahannya. Tenguk dia minum alangkah sedapnya, maka aku pun terasa perut sudah kian keroncong. Kami pun makan tengah hari dengan juadah yang disediakan menunya oleh Pak Arip dibantu Pak Ali. Ikutkan hati memang habis seperiuk aku baham gulai asam pedas Pak Arip. Sedap amat masakan Pak Arip. Terutama sambal belacannya. Pedas pun sedap. Setanding dengan sambal belacan arwah makku tumbuk.

Che Wan bersama layaran, ikan ini hanya boleh dipancing
tetapi tak boleh dimakan ... dilepaskan semula ke laut
.

Pertama kali aku naik bot bertandas. Jadi apa risau jika teringin makan banyak, selagi selera masih ada makan saja. Lupalah kata kitab, maunya dituruti! ... berhenti sebelum kenyang, Huh! berhenti selagi tak kenyanglah jawabnya.

Amirul biasalah, selera makannya ada tapi faham-faham sahajalah orang mabuk laut. Makan mesti keluar balik. Kasihan dia asyik tunduk di bendul bot menatap permukaan laut tak henti-henti muntah. Tapi Amirul ini penuh semangat, masih cuba bangun memancing bersama ayahnya.

- Bersambung

sila klik sini awal ceritera Dewi Tenggiri

*