TANGGUNGJAWAB sosial dan sejarah yang perlu dipikul oleh media dalam konteks penerbitan bahan sastera sebagai salah satu cara untuk membangunkan masyarakat dan negara disorot pada Diskusi Sastera dan Media.
Setiausaha Agung, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Syed Mohd Zakir Syed Othman, menganggap persoalan hubungan antara khalayak sastera dengan media dan masalah halaman sastera yang semakin mengecil sebagai isu serantau dunia sastera.
“Pertemuan dengan pengarang kreatif dari negara serantau seperti Thailand, Indonesia, Singapura dan Brunei Darussalam mendedahkan, masalah yang sedang sastera Malaysia hadapi turut berlaku di negara terbabit.
“Bagaimanapun, Malaysia masih bernasib baik kerana Berita Harian menyediakan ruangan Sastera setiap hari, manakala Dewan Sastera yang diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sejak 1970-an masih di pasaran,” katanya pada dialog di Bangunan E-Learning, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, baru-baru ini.
Syed Mohd Zakir yang lebih dikenali sebagai SM Zakir melihat pengecilan ruangan sastera menunjukkan sastera tidak lagi menjadi komponen penting dalam dunia dagang dan pasaran bebas seperti yang pernah berlaku pada zaman sekitar kemerdekaan.
“Sastera tidak lagi dilihat sebagai komponen yang dapat menarik keuntungan dan penerbitan karya kreatif dilihat tidak lebih daripada tanggungjawab sosial untuk memartabatkan bahasa ibunda atau rasmi sesebuah negara,” katanya pada diskusi yang dipengerusikan Ketua Jabatan Bahasa dan Kesusasteraannya, Prof Madya Datuk Dr Mohd Rosli Saludin, Prof Madya Datuk Dr Mohd Rosli Saludin.
Bagaimanapun, beliau berharap sastera dan penerbitan karya kreatif dilihat sebagai tanggungjawab sejarah kerana hubungan antara media dengan dunia sastera sudah melalui sejarah yang panjang dan penting.
“Baru-baru ini, saya bertemu dengan editor majalah Kompas di Jakarta yang mengakui sastera tidak lagi menjadi komponen penting dalam aspek pasaran bagi majalah gergasi itu dan tidak dianggap sebagai tanggungjawab sosial.
“Hanya tinggal satu saja untuk menerbitkan karya sastera, iaitu tanggungjawab sejarah tetapi ia tidak boleh diremehkan kerana sastera menyumbang dalam sejarah perjuangan dan pengisian kemerdekaannya,” katanya pada diskusi yang turut dihadiri Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, Prof Madya Dr Nor Azmi Mostafa dan Pengerusi Jawatankuasa Diskusi Sastera dan Media, Dr Abdul Halim Ali.
Pandangan Syed Mohd Zakir itu wajar diberikan perhatian dalam memastikan hubungan sastera dan media serta tanggungjawab sosial dan sejarah kembali diberi nafas segar tetapi khalayak sastera juga perlu mengambil kira realiti gerak kerja media yang lebih bersifat praktikal.
Justeru tidak hairanlah Diskusi Sastera dan Media itu turut membuka ruang kepada editor yang terbabit secara praktikal dalam meneruskan kesinambungan sastera sebagai tanggungjawab sosial dan sejarah, tetapi terikat kepada tuntutan keuntungan bagi membolehkan syarikat terus beroperasi.
Editor Sastera, Berita Harian, Salbiah Ani, ketika diminta mengulas pemilihan karya bagi terbitan dalam Berita Harian dan Berita Minggu menjelaskan baik pengarang berjenama mahupun pendatang baru diberi peluang kerana penekanan adalah kepada mesej bukan pada status.
“Terus terang saya katakan bukan status penulis yang mempengaruhi pemilihan karya untuk terbitan dalam Berita Harian dan Berita Minggu. Karya penulis berjenama seperti Dr Fatimah Busu juga pernah saya tolak. Saya juga tidak mengamalkan kronisme. Silap jika penulis baru mengatakan mereka tidak diberi peluang,” katanya.
Selain itu, pemilihan karya untuk terbitan dalam kedua-dua akhbar terbabit lebih bertumpu kepada karya yang mengetengahkan mesej yang baik dan tidak menggunakan teknik terlalu kabur sehingga menyukarkan pemahaman pembaca massa.
Justeru, Berita Harian dan Berita Minggu tidak membataskan ruangan Sastera untuk penggiat sastera tulen semata-mata kerana sokongan pembaca massa diperlukan bagi membolehkan halaman terbabit terus berdaya saing.
“Kami bergerak dari dana yang kosong dan dalam situasi semasa yang pembaca lebih cenderung kepada berita politik, ekonomi dan hiburan, saya sangat bersyukur ruangan Sastera mendapat dua halaman setiap hari. Beli dan bacalah akhbar untuk mengetahui bentuk karya pilihan editor.
“Pemberian halaman berdasarkan jumlah pembaca dan pendapatan yang dijana daripada halaman menyesakkan Editor Sastera. Faktor kos kertas dan keterbatasan ruang menjadikan iklan terlalu mahal. Berapa ramai penerbit buku sedia membeli iklan?,” katanya.
Editor Dewan Sastera, Rozninah Abd Azib, membuat saranan serupa kepada pembaca bagi memastikan karya mereka mendapat tempat dalam majalah terbitan DBP kerana tanpa membeli dan membaca sukar penyumbang menilai bentuk karya yang menjadi pilihan.
“Betul apa yang dikatakan rakan seperjuangan saya, Salbiah Ani kerana tanpa membeli dan membaca akhbar atau majalah yang menjadi sasaran penulis, mereka tidak dapat memahami bentuk karya yang mendapat tempat,” katanya.
Pengurus PTS Litera, Asma Fadila Habib, berkata PTS Sdn Bhd (PTS) mengambil inisiatif dan mengembangkan sastera serta karya sastera kerana menyedari wujudnya ruang kosong dalam bidang penerbitannya.
“Oleh itu, kami mula mengkaji keperluan pasaran dengan memberi tumpuan kepada genre yang berasaskan kehendak pembaca generasi muda, tetapi pada masa sama tetap memperjuangkan bahasa.
“Kami mulakan dengan penerbitan novel dewasa dengan menekankan kepada pemilihan judul karya kreatif yang cenderung kepada Islam tetapi tidak terlalu ‘ekstrim’ dalam penekanan kepada latar agamanya,” katanya.