iDAN

31 Mac 2011

Ratusan mayat di zon larangan nuklear Jepun

2011/04/01

HONG KONG: Kira-kira 1,000 mayat mangsa gempa bumi dan tsunami masih tidak dikutip dalam kawasan zon larangan di sekitar loji nuklear kerana kebimbangan terhadap kesan radiasi, kata laporan hari ini.

Memetik sumber polis, Kyodo News berkata, pihak berkuasa berhasrat menghantar mayat keluar daripada zon larangan 20 kilometer di sekitar loji Fukushima tetapi menimbang semula rancangan berkenaan.

Mayat itu sudah "terdedah dengan kesan radiasi tinggi selepas kematian", kata laporan itu memetik sumber.

Polis tempatan memutuskan untuk tidak mengutip mayat-mayat berkenaan kerana kebimbangan terhadap radiasi.

Kira-kira 28,000 orang disahkan terkorban atau disenaraikan sebagai hilang sejak gempa bumi dan tsunami melanda pada 11 Mac lalu di timur laut Jepun serta melumpuhkan operasi loji nuklear berkenaan dan berlaku kebocoran sehingga menyebabkan kesan radiasi. - AFP

Berikut merupakan kejadian tsunami utama dalam sejarah:

* 2011: Gempa bumi berukuran 8.9 di Utara Jepun dan mengorbankan lebih 28,000 orang.
* 2004: Gempa bumi di Lautan India menyebabkan tsunami melanda banyak negara dan mengorbankan lebih 150,000 orang.
* 1998: Gempa bumi berukuran 7.0 di perairan Papua New Guinea menghasilkan ombak setinggi 10 m, dan membunuh lebih 6,000 orang.
* 1976: Tsunami yang melanda Filipina mengorbankan lebih 5,000 orang.
* 1960: Gempa bumi paling besar dalam sejarah (berukuran 9.5) di selatan perairan Chile menghasilkan tsunami di Lautan Pasifik dan membunuh lebih 3,000 orang di Chile dan Hawaii.
* 1946: Gempa bumi berukuran 7.8 berhampiran Alaska, Amerika Syarikat menghasilkan ombak besar setinggi 35 m, dan membunuh sebanyak 165 orang.
* 1883: Letupan gunung berapi Krakatoa di Selat Sunda menghasilkan tsunami setinggi 35 m, dan mengorbankan 36,000 orang.
* 1755: Tsunami menghancurkan Lisbon, Portugal dan mengorbankan kira-kira 60,000 orang.