Dari Situs Ibu Kesuma
Buah mengkudu juga dikenali dengan pelbagai nama mengikut negara. Contohnya "Noni" (Hawaii, Polynesia); "Nono" (Tahiti); "Lada" (Guam); "Indian Mulberry" (India); "Painkiller tree" (Kepulauan Caribbean); "Nhau" (Sebahagian di Asia Tenggara); "Cheesefruit" (Australia); "Bumbo" (Afrika) dan ""Kura" (Fiji).
Mengkudu merupakan sejenis tumbuhan yang biasa di jumpai dikawasan tropika. Mengkudu, secara amnya boleh dikategorikan kepada dua jenis yang biasa dilihat iaitu mengkudu kecil dan mengkudu besar. Ia juga boleh dikategorikan kepada berbiji dan tidak berbiji namun yang tidak berbiji agak sukar ditemui.Di barat mengkudu dipanggil queen of morinda, ia juga di panggil cheese fruit kerana baunya yang menyerupai bau keju setelah masak. Ada yang mengatakan bau buah mengkudu masak menyerupai bau muntah.
Mengkudu termasuk dalam golongan pokok saka dan boleh mencapai ketinggian antara 15-20 kaki.Kayunya mudah dibelah setelah kering dan biasa dijadikan kayu api atau bahan bakar.Daunnya besar berukuran 15-50 x 5-17 cm dan berbentuk tunggal.
Pucuk mudanya biasa dijadikan sayuran atau ulaman.Ia kaya dengan vitamin A.Bunganya pula kecil-kecil berwarna putih dan berbau agak wangi. Bunganya mempunyai dua jantina iaitu jantan dan betina.Buahnya bulat sebesar telur ayam, permukaannya agak berkerutu.
Ketika muda buahnya berwarna hijau dan akan bertukar menjadi kuning apabila masak. Mengkudu membiak melalui keratan batang dan biji benih. Bijinya berwarna hitam dan boleh bertahan selama 6 bulan.Ia akan bercambah setelah 3-9 minggu disemai.Ia akan mula mengeluarkan buah setelah lebih kurang 3 tahun ditanam dan akan mengeluarkan buah sepanjang tahun selama lebih dari 25 tahun.Noni mula di komersialkan di Hawaii pada tahun 1993 setelah para saintis membuat kajian mengenai khasiat perubatannya.
Mengkudu mula digunakan sebagai ubatan dikepulauan pasifik selatan, kemudian di China dan India.Mengkudu digunakan dalam perang dunia kedua oleh tentera yang berada di kepulauan Polenisia untuk mengelakkan keletihan dan menguatkan badan.
Dikepulauan carribean mengkudu dikenali sebagai 'pain killer tree' dan ia digunakan untuk meredakan kesakitan akibat demam, bengkak dan terseliuh.
Di Myanmar pula, buah yang masih mudah dijadikan gulai manakala yang telah masak dimakan bersama garam.
Di malaysia mengkudu biasanya dijadikan penawar untuk gangguan semasa kencing tidak lawas), senggugut dan pendarahan. Daun mengkudu juga biasa dijadikan campuran mandian untuk perempuan selepas bersalin untuk memulihkan kecergasan badan. Daunnya biasa dijadikan alas batu tungku, dikatakan dapat membantu mengeluarkan darah nifas selepas bersalin.
Kajian yang dilakukan oleh seorang ahli botani yang terkenal iaitu Dr Isabella abbof mendapati mengkudu mempunyai khasiat untuk mencegah diabetes dan penyakit barah serta tekanan darah tinggi.
Sementara itu seorang ahli kimia , Dr. Joseph Bafz pula mendapati mengkudu dapat mencegah dan melegakan asma, hay fever dan rheumatis.
Pengambilan jus mengkudu juga boleh mencegah penyakit yang disebabkan oleh kekurangan hormon seperti nyanyuk dan juga melambatkan proses penuaan.
Cara penggunaan asas buah mengkudu ialah dengan cara mengisar buahnya menjadi jus (untuk di minum) untuk kegunaan luaran pula, buahnya akan disapu pada bahagian yang terlibat.60 % dari kandungan jus mengkudu terdiri dari air menyebabkan ia selamat diminum pada bila-bila masa.
Walaupun begitu, mengkudu akan merendahkan kandungan glukosa dalam darah, untuk pesakit diabetes yang mengambil insulin, kandungan glukosa dalam darah perlu dipantau selalu kerana jika kandungan gula dalam darah terlalu rendah ia akan mengakibatkan hipoglisomia yang akan menyebabkan pesakit berada dalam keadaan khayal yang memerbahayakan.