Jangan salah faham... nanti
marah pula orang-orang Kelantan bila saya menyebut Kota Bharu sebagai
pekan lama. Kota Bharu yang saya maksudkan bukanlah ibu negeri Kelantan
Darul Naim, tetapi adalah Kota Bharu yang terletak tidak jauh dari
bandar Gopeng didalam negeri Perak Darul Ridzuan. Rasanya bagi penduduk
negeri Perak Darul Ridzuan juga agak asing dengan kedudukan pekan ini.
Saya sendiri mengakui bahawa inilah kali pertama saya menjejakkan kaki
ke pekan Kota Bharu ini. Mari ikuti catatan perjalanan saya. Mungkin ada
sesuatu yang boleh kita kongsikan.
Selepas sahaja keluar dari
simpang pekan ke pekan Malim Nawar, saya meneruskan perjalanan saya ke
destinasi seterusnya iaitu menghala ke utara. Sasaran saya ialah pekan
Kota Bharu yang terletak tidak jauh dari bandar Gopeng. Namun untuk ke
pekan ini kita kan melalui satu jalan yang sunyi. Hanya sesekali sahaja
motosikal saya berselisih dengan kenderaan lain. Pada awalnya agak
ragu-ragu juga diri saya untuk ke pekan ini. Namun saya gagahkan juga
hati dan perasaan saya untuk melihat sendiri pekan kelahiran kartunis
tersohor Malaysia ini iaitu Dato' Lat.
Sampai sahaja ke pekan ini,
perkara pertama yang terlintas di fikiran saya ialah sunyi, sepi dan
tenang. Namun dapat saya rasakan, dahulu ia sebuah pekan yang agak hidup
dengan aktiviti penduduknya. Namun kini ia seolah-olah menunggu masa
sahaja untuk mati. Sebuah balai polis yang pada saya agak besar tidak
sesuai dengan saiz pekan ini menyambut kehadiran saya. Pelik juga
saya... hanya beberapa orang manusia sahaja yang saya temui di pekan
ini. Itupun memandang saya dengan pandangan yang tajam.
Balai Polis Pekan Kota Bharu
Pekan Kota Bharu bolehlah
disifatkan sebagai sebuah pekan perkampungan. Setelah melintasi balai
polisnya, nun jauh disana dapat dilihat sebuah jejambat merintangi pekan
ini. akibat dari projek pembinaan landasan berkembar. Dalam fikiran
saya sudah pasti pekan ini akan terputus dua seperti yang terjadi
terhadap pekan Malim Nawar dan Tanjong Malim. Tekaan saya tepat, memang
pekan ini terputus dua. Namun sesuatu yang melegakan saya ialah, rumah
kedai lamanya masih wujud dan masih boleh dilihat. Namun keadaannya agak
uzur. Sempat saya merakamkan gambar-gambar kenangan rumah kedai yang
terdapat di pekan ini.
Rumah kedai klasik yang masih terdapat di pekan Kota Bharu.
Dapat dilihat jejambat yang merintangi landasan keretapi
yang memisahkan pekan ini kepada dua bahagian.
Rumah kedai di pekan Kota Bharu
Saya juga sempat meninjau
kawasan di seberang landasan keretapi. Rupa-rupanya masih ada rumah
kedai yang uzur. Ia kelihatan seperti sebuah kedai makan. Seperti biasa
ianya tetap sunyi dan tiada manusia yang kelihatan. Apa yang menarik
perhatian saya ialah kewujudan papan tanda jalan yang tertulis JALAN
PANGGUNG. Errmm.. ini mungkin bermakna satu ketika dahulu di pekan ini
terdapat sebuah panggung wayang. Lokasinya tidak pula saya berjumpa.
Antara rumah kedai lama
Papan tanda jalan yang tertulis JALAN PANGGONG
di hadapan deretan rumah kedai lama
Apa yang menyedihkan ialah
jalan-jalan di sekitar pekan ini adalah tidak berturap denganh sempurna.
Malahan di sesetengah kawasan hanya jalan pasir sahaja yang ada. Pekan
Kota Bharu kelihatan terlalu uzur. Namun demikian, terdapat sebuah
klinik kesihatan kecil di pekan ini. Rasanya itu sahaja kemudahan
kesihatan yang ada di pekan ini. Oleh kerana kedudukan pekan ini
berhampiran dengan bandar Gopeng, secara tidak langsung penduk-penduduk
di sini lebih selesa membeli - belah di bandar Gopeng. Saya tidak
menjumpai pejabat pos di sini. Sebuah masjid yang agak besar menjadi
bukti bahawa penduduk Kota Bharu adalah mejoritinya terdiri dari Melayu
Islam.
Klinik Kesihatan Kota Bharu
Masjid Jamek Kota Bharu
Dari tinjauan didalam internet saya
mendapati suatu ketika dahulu terdapat sebuah stesen keretapi di Kota
Bharu. Besar juga harapan saya supaya stesen keretapi lama Kota Bharu
masih wujud sebagai suatu tinggalan sejarah yang berharga. Namun
demikian apa yang saya fikirkan itu tidak menjadi kenyataan. Sebuah
stesen keretapi baru telah dibina bagi mengantikan stesen yang lama.
Namun demikian stesen keretapi baru ini tidak lagi digunakan untuk
penumpang tetapi khusus untuk perkhidmatan barang sahaja. Lesu fikiran
saya. Nampaknya stesen-stesen keretapi lama semakin hilang dari
pandangan.
Pintu masuk ke stesen keretapi baru pekan Kota Bharu
Stesen keretapi Kota Bharu Perak baru yang
hanya mengendalikan perkhidmatan barangan sahaja.
Papan tanda stesen keretapi lama Kota Bharu
( http://zkeretapi.blogspot.com/ )
ejaan sebenar Kota Bharu bukan Kota Bahru.
Apa
yang menarik perhatian saya ialah kewujudan bangunan-bangunan kuarters
kerajaan lama yang masih berfungsi sehingga ke hari ini. Pada pandangan
saya berkemungkinan bangunan lama ini dahulunya milik pekerja-pekerja
Keretapi Tanah Melayu Berhad ( KTMB ). Namun kini ianya telah dijadikan
sebuah taman asuhan kanak-kanak. Sebuah Dewan Masyarakat yang klasik
juga boleh dilihat. Ia sebuah bangunan yang sunyi dan sepi. Lama saya
berdiri di hadapan bangunan dewan ini. Ada sesuatu yang seolah-olah
meminta saya memandangnya. Aahhh...secara tiba-tiba hati saya menjadi
sayu sendiri. Saya sendiri tidak tahu kenapa.
Bangunan lama yang dijadikan taman asuhan kanak-kanak
dari pandangan atas
Bangunan lama dari pandangan sisi. Ia sangat klasik
Dewan Masyarakat Kota Bharu
Lama juga saya di Kota Bharu. Dari
seberang landasan keretapi berkembar, saya memandang bangunan stesen
keretapi Kota Bharu. Sunyi .... tiada lagi penumpang yang menunggu di
situ. Pekan Kota Bharu juga semakin sepi. Terserempak saya dengan
beberapa orang pekerja warga Indonesia yang senyum simpul melihat saya
termangu dan termenung dipinggir landasan keretapi. Berapalah hayat
rumah-rumah kedai yang masih tersisa di Kota Bharu ini, itu saya tidak
tahu. Pekan-pekan kecil dan lama seperti ini bagaikan tempat menangis
sendiri menunggu saatnya hilang ditelan zaman.
Saya bergerak meninggalkan pekan
Kota Bharu ketika hari sudah agak redup. Sepanjang perjalanan
meninggalkan pekan ini fikiran saya kosong. Tidak ada apa-apa yang
bermain di kepala saya melainkan cuma satu .... semoga saya ketemu lagi
dengan pekan sunyi dan sepi ini. Sasaran saya selepas ini ialah pekan
Kampung Kepayang. Motosikal yang saya naiki terus membawa saya dengan
setia.
Di Kota Bharu ada rasa tenang
yang sayu terjumpa disini. Hati bagai menangis melihat landasan lama
menjadi saksi bisu kewujudan sebuah pekan kecil yang menunggu mati....
semoga ketemu lagi pekan Kota Bharu !!!!