iDAN

31 Januari 2010

Perahu (Delima Merkah)




Alangkah seronoknya kalau dapat berlayar!

Senyap (Singgahsana)

Senyap seketika, tak dapat menulis panjang-panjang sekitar 3 hari ini; Mila asyik pandang serung sahaja minat menulis ini.
Sempat lari ke CabSquare KL, pertama kali jejak kaki di sini. Tenguk 3 Idiots; semua benggali yang tenguk. Ramai benggali moden di Malaya rupanya. Cantik-cantik belaka. Ada juga benggali Muslim. Pakistani kut!. Hebat filem ini dah sebulan tayang di pawagam masih penuh penontonnya. Dapat tiket dua baris dari depan.
Kena uruskan Aziq hantar ke Sek Teknik Gombak; tersangkut di Batu Cave; Ahad pun tak habis berarak lagi. Lihat patung Tuhan Perempuan orang Hindukah itu?. Tersergam gahnya. Nanti orang cina mesti nak buat juga. Dulu di Nilai patung Guru Cina dipersoalkan tepi lebuh raya. Apa jadi Batu Cave ini?. Sensitif.

Afiz & Mie pun kena hantar ke Poli. Sempat ke Seremban jemput Mie. Mie nampaknya makin sihat selepas kemalangan tempoh hari.

Sempat ke TESCO beli ikan segar & udang, tawaran murah & beli tilam lipat buat Afiz. TESCO ini bukan milik kita tapi orang kita borong semua barangan macam esok nak darurat. Aku beli bakul kecik sahaja emmm! bantulah juga; Faham-faham sahaja orang sudah bersara, berbelanja pun ikut taraf persaraan.

Semak duit di bank, klim pindah tak masuk lagi. PTPTN Afiz tak masuk lagi. Macam mana nak bantu dia. Afiz masih tak dapat lagi rumah sewa. Kekawannya tak berduit nak bayar cagaran sewa rumah. Nampaknya Mila kena bantu Afiz lebihlah bulan ini.

Mila cuti Hari Wilayah hari ini; kena cari harapan nampaknya.


28 Januari 2010

Aib di sudut Agama Islam (Singgahsana)

Hadits Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam yang berbunyi:

مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا، نَفَّسَ اللهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ، وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ اللهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَاْلآخِرَةِ، وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللهُ فيِ الدُّنْيَا وَاْلآخِرَةِ، وَاللهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيْهِ ...

“Siapa yang melepaskan dari seorang mukmin satu kesusahan yang sangat dari kesusahan dunia niscaya Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan dari kesusahan di hari kiamat. Siapa yang memudahkan orang yang sedang kesulitan niscaya Allah akan memudahkannya di dunia dan nanti di akhirat. Siapa yang menutup aib seorang muslim niscaya Allah akan menutup aibnya di dunia dan kelak di akhirat. Dan Allah senantiasa menolong hamba-Nya selama hamba-Nya itu menolong saudaranya….” (HR. Muslim no. 2699)

Semalaman tadi aku begitu keliru, hinggakan sukar mahu lena memikirkan apakah pengertian menutup aib di dalam Islam ini.

Aib yang bagaimana yang perlu kita tutup & aib yang bagaimana yang perlu kita bongkar.

Sebagai contoh, jika seseorang itu melakukan dosa besar. Berzina umpamanya. Apakah ini dikatakan aib atau kemungkaran yang perlu kita dedahkan.

Dalam melaksanakan hukum hudud penzinaan umpamanya apabila telah ada saksi yang cukup malahan kedua-dua si penzina telah mengaku; pastinya yang bujang disebat di kalayak ramai sebanyak 100 kali & suami atau isteri disebat sampai mati di tepi jalan. Perkara ini jelas. Apakah ini juga dianggap aib. Jangan laksanakan hukum, jangan uar-uarkan maksiat yang telah terdedah di depan mata.

Tapi kita di negara ini melindungi penzina ini, malahan menganggap ianya aib. Apakah aib berzina ini boleh diterimapakai merujuk hadits di atas?. Apakah zina itu aib atau dosa besar. Jika silap mengertian zina itu aib. Maka berluasalah kejadian zina di negara ini. Jika suami & isteri yang berzina ditangkap pun sekadar didenda. Pada hakikatnya penzina yang telah bernikah ini seharusnya tidak ujud lagi di dunia. Tunggulah musibah atau bala yang bakal Allah SWT akan turunkan di bumi ini. Aku sering menulis bab ini lantaran, aku menganggap perkara ini amat mengusik hati & hidupku.

Kes Arwah Abg Din yang berkait dengan zina ini tidak terbela hingga dia ke liang lahat. Malahan dalam banyak kes mereka yang seharusnya telah menjadi mayat menjaja ceritera yang sampai mengaibkan suami atau isteri sendiri lantaran membela diri kononnya kenapa dia melakukan zina lantaran kekurangan pasangannya.

Selagi kita keliru tentang pengertian menutup aib di dalam Islam; selagi itulah kita tidak mungkin dapat mengurangkan penzinaan. Malahan akan tambah membiakkan perbuatan maksiat ini di masyarakat kita.

Jika kita ke URL YouTube ini, bayangkan penerimaan kita orang Islam di Malaysia terhadap hukuman hudud yang dijalankan di negara Arab sana. Jelas iman kita ke arah Islam yang sumur ini masih amat samar. Yang sedihnya bila sebut hudud sahaja kita beranggapan mainan politik. Silap-silap kita dicop seorang pembangkang yang menentang kerajaan sedia ada. Lebih malang lagi jika kita dilabelkan pengganas & disumbatkan ke penjara waima ada yang telah terhumban di tahanan ISA lantaran mencari kebenaran ini.

Sedangkan amat jelas bila kita namanya orang Islam terikat dengan hukuman Islam. Kenapa kita tidak ikut hukum sendiri dalam soal ibadah Puasa atau mengerjakan Haji; ikut rasa sendiri dalam rukun nikah, agihan harta pusaka ikut pemurah kita & sebagainya. Kenapa pula dalam bab hukuman zina, arak, rogol, bunuh, judi & banyak lagi bab jenayah besar kita katakan ini perkara aib, ini kena dilindungi di perundangan sivil olahan masyarat di barat sana. Mahu menyebut sipolan itu kaki judi, kaki mabuk pun kita katakan itu aib orang. Maka sejauh mana nahi mungkar kita.

Isu ini aku bangkitkan lantaran aku tak punyai niat mengaibkan siapa jua, seperti catatan kes Arwah Nasha. Ada yang menganggap tulisan aku itu liar berniat jahat & mengaibkan orang. Sedangkan Arwah Nasha membunuh diri bukan kerana dia gila, bukan dia tak siuman, bukan juga mabuk. Aku lebih menyakinkan kepercayaan aku dia kerasukan & terlalu stres ketika itu. Aku amat menyayangi Arwah Nasha ini. Terkilan amat rohnya pergi secara sedemikian. Aku tak mahu ada kalangan orang Islam kita akan mengikut jejak dia. Aku berharap sangat agar roh Arwah Nasha dapat diampunkan.

Arwah Nasha mangsa keadaan di mana semasa masih hidup dia mengesyaki isterinya berlaku curang, dia juga terhimpit dengan kerjaya di mana majikannya terlalu mengejar nama, ISO tetapi sifar kebajikan, dia juga terhimpit dengan masalah hutang yang mana riba itu telah mengambil rezekinya yang bukan sedikit buat saraannya. Aku sekadar mencatatnya. Aku mahu ceritera dia dapat kita ambil iktibar. Nama & tempat kejadian jika pun secara spontan bertepatan dengan apa yang aku tuliskan seharusnya janganlah dijadikan isu. Yang pasti di mana jua kita akan temui masalah yang sama, telah pun berlaku & akan terus berlaku jika kita biarkan formula ini berulang tanpa kita memantaunya.

Rasanya tak siapa boleh berasa aib lantaran semuanya telah berlaku; sebaiknya kita bergerak ke arah muhasabah diri, mencari jalan agar perkara begini tidak terus berlaku. Seperkara lagi bagaimana tindakan kita bila muslim membunuh diri tetap berlaku malahan dijangkakan selepas tahun 2020 akan lebih bertambah.

Biarpun mereka yang terdekat & lebih tahu dengan kejadian ini masih tak terkesan hati. Malahan sampai mengatakan Arwah Nasha sesat; jasadnya tidak akan diterima bumi. Agama Islam jelas mengatakan sedemikian. Itu telahan mereka. Benarkah?.

Apakah kita tidak mahu mengambil iktibar. Aibkah kita menulis perkara begini. Di al-Quran sendiri banyak menulis bab anak derhaka, isteri seorang Nabi tak mahu dengar nasihat hingga diturunkan bala tenggelam dalam bah, sebagaimana Zulaikha pernah menarik baju Nabi Yusuf sampai terkoyak; Itu hak Allah & suri teladan di al-Quran.

Apakah Allah Azzawajalla itu kejam menurunkan bala mengakibatkan semua makhluk di dunia ini ranap terkorban; tak kira anak-anak mahu pun orang tua.

Kenapa kita pula melindungi segala perkara mungkar & maksiat di dunia kini. Mencatatnya pun dikatakan salah.

Keadaan kita bernama Islam tidak banyak berubah sejak berzaman. Si penzina masih hidup bergumbira, majikan di mana-mana masih terusan menghimpit pekerjanya, riba masih berluasa. Masih ramai isteri zaman kini sanggup meninggal suami lantaran mengejar harta. Banyak sangat kes yang amati di media massa amat tragis malahan amat tidak bijaksana kita menanganinya.

Yang lebih aku terkesima ketika berita Arwah Nasha mati tergantung ramai pula yang menyangka aku yang membunuh diri. Bayangkan kenapa mereka berfikir ke arah ini.
Seyogia percikan dari kejadian ini aku juga terhimpit & terpaksa bersara awal lantaran berhadapan dengan majikan yang sebegini. Maknanya tulisan aku itu sungguh satu yang dirasakan aib maka jiwa seorang majikan langsung tidak mahu berubah.

Kes yang sama juga berlaku terhadap Arwah Abg Din; dunia perundangan kini aku rasakan tidak adil, kita terlalu melindungi penzina sehinggakan mengorban jiwa seorang suami seperti Abg Din. Aku yakin ramai yang menerima nasib seperti kejadian Arwah Abg Din, cuma reda & cara penerimaannya sahaja yang berbeda.

Sementelah itu terkadang aku makin malas mahu memikirkan dunia penulisan ini yang terkadang menjadikan diri terhimpit sendiri. Apa yang kita tulis tak semestinya dapat ditafsirkan sebaiknya oleh si pembacanya. Malahan mungkin akan merosakkan talian kasih sayang yang seharusnya kita pupuk sesama Islam.

iDAN


PERBUATAN BUNUH DIRI BERDOSA BESAR
Soalan 20: Sejak akhir-akhir ini semakin banyak kes bunuh diri di-laporkan. Saya teringat kata-ka-ta ustazah ketika belajar dulu dan melalui ruangan ini, bunuh diri hukumnya berdosa besar dan dikira terkeluar daripada Islam atau murtad. Orarig yang membunuh diri tidak boleh dikebumikan di tanah perkuburan Islam.

Soalan saya, bagi kes bunuh diri yang ditemui di rumah (tidak diketahui sama ada dia membunuh diri atau dibunuh), dan siasatan polis atau bedah sia-sat tidak menemui motif pem-bunuhan, bagaimana hendak menguruskan mayat si mati kerana keluarga pasti tidak dapat menerima hakikat bahawa si mati terkeluar daripada Islam pada hujung hayatnya.

Apakah hukumnya jika si mati dikebumikan di tanah perkuburan Islam? Jika benar si mati murtad, bagaimana keluarga dapat mendoakannya? Adakah doa keluarga untuk si mati akan sampai kepadanya?
- MUSYKIL Seremban, NS

Jawapan: Membunuh diri adalah dosa yang sangat besar di sisi Islam. Allah Taala berfirman: "Dan, janganlah kamu membunuh dirimu sendiri." (Surah An-Nisa: 29) Namun, sama ada hukum si mati yang membunuh diri itu terkeluar daripada Islam atau tidak, terserah kepada penga-dilan Allah SWT.

Urusan menguruskan jena-zahnya masih sama seperti pengurusan jenazah muslim lain dan tetap dikuburkan di perkuburan Islam juga, kecuali jika terbukti dengan jelas bahawa dia benar-benar membunuh diri.Bagi kita yang masih hidup, tetap menerima dia sebagai saudara muslim dan patut diuruskan secara muslim.

Soal hukum bukan kerja manusia, sebaliknya serahkan pada ketentuan Allah meng-hukumnya. Keluarga si mati, terutama anak, boleh mendoakan kesejahteraan rohnya kerana hubungan si mati dengan anak-nya tidak akan terputus. Cuma sama ada doa itu sampai atau tidak kepada si mati masih menjadi perbahasan golongan ulama.


Ulama Malaysia

Mati Bunuh Diri

Assalamualaikum, wr wb. Pak Ustaz yang saya hormati, bagaimana status orang yang meninggal karena bunuh diri? Saya punya teman yang meninggal bunuh diri. Bolehkah saya mendoakan agar didiampuni? Terima kasih atas penjelasan Bapak.

Wassalam
Suhud di Jawa Tengah

Nyawa manusia bahkan seluruh jiwa dan raganya adalah milik Allah SWT yang diamanatkan kepada masing-masing manusia. Kita tak dapat menjualnya karena bukan milik kita. Nyawapun tak boleh dipisahkan dari badan kecuali atas izin-Nya misalnya dalam peperangan atau pelaksanaan sanksi hukum.

Atas dasar ini, maka membunuh diri sendiri pun dilarang keras oleh-Nya. Sekian banyak ayat al- Quran yang mengingatkan hakikat di atas. Dalam sebuah hadis qudsy Allah berfirman menyangkut orang yang bunuh diri; Dia mendahului Aku, maka Aku haramkan baginya syurga.

Namun demikian, jika yang bersangkutan hingga akhir hayatnya tetap mengucapkan dua kalimat syahadat, maka ia tetap diperlakukan sebagai Muslim. Jenazahnya disolati, dan dimakamkan di pekuburan Islam. Dia bukan kafir dalam istilah hukum, tapi juga bukan Musyrik.

Ia dinamakan Muslim yang durhaka atau aashen. Mendoakannya pun tidak terlarang. Yang terlarang didoakan setelah kematiannya hanyalah orang musyrik yang mempersekutukan Allah SWT. Demikian Wa Allah A'lam.

Ulama Indon


27 Januari 2010

Buah-Buahan (Delima Merkah)

Bolehkah kita membuat sendiri buahan begini banyak!.

Aku suka sangat nenas yang dicicah sos rojak.

Secantik mana kita buat buahan tak selazat buahan ciptaan Ilahi.

26 Januari 2010

♥ Hadiah hari lahir Paling bermakna (Singgahsana)

Tak sangka tetiba ada telefon berdering waktu malam, jarang ada panggilan malam untukku.

"Siapa telefon tu Azim, lelaki ke perempuan!"

"Entah tak kenal suara, perempuan!" sebut perempuan telefon malam-malam ini rasa risau juga. Sudah tua-tua pun Mila tu takut fikir yang bukan-bukan.

"Siapa ni?.."

"Linda..!"

"Linda mana pula ni?"

Tak ramai kenalanku yang namanya Linda, payah juga mengecam suara orang di telefon apatah lagi jarang berbual di telefon. Kalau Suara Fairuz yang rajin telefon aku di rumah, jangan nak cuba menyamar kenal sangat suaranya. Keintiman seseorang itu cepat sangat lekat di hati kita. Biar pun nada suaranya nun jauh dari kita.

"Paksu Dan takkan tak ingat... Linda ni! anak abgnya Abg Din!"

Baru aku dapat bayangkan wajah Linda, aku selalu panggil dia Lin. Namanya Haslinda. Bila dia membahasakan diri Linda maka terasa pula orang asing. Rupanya dia baru ditahan di wad; telefon dari wad. Hospital di Shah Alam. Rasanya mana ada hospital kerajaan di Shah Alam itu. Dia sakit jangkitan dalam tulang; doktor membenarkan dia pulang esok. Lama sangat dia tak pun telefon ke rumah. Salah seorang dari 21 orang anak arwah Abg Din. Linda telah berumah tangga & katanya beli rumah di Shah Alam. Tak pernah sampai pun lagi rumahnya.

Secara rasmi isteri Abg Din ada empat orang. Pertama arwah Kak Ha tinggal sekampung; punyai anak 3 orang. Linda adalah anak kedua arwah Kak Ha. Isteri kedua Kak Mazie orag Banting pun punyai anak 3 orang. Isteri ketiga Kak Kiah di Kuala Kangsar punyai anak 7 orang & isteri paling akhir yang bungsu; isteri keempat Kak Aishah, di Muar punyai anak 7 orang.


Selepas bernikah dengan Kak Mazie ada seorang isteri yang Abg Din nikah secara sulit. Tak ramai tahu pernikahan ini; Hanya orang terapat sahaja yang tahu. Kak Nomi pun Yot adik beradik aku pun tak tahu. Rasanya arwah apak & emak pun tak tahu. Punyai seorang anak. Jumlahnya 21 orang anak Abg Din dari 5 (lima) isterinya. Aku sering berpesan dengan Nasuha; anak arwah Abg Din yang sulung; cari adiknya yang ini takutnya ada adik beradik bercinta & nikah tak kenal bersaudara nanti.

Dalam bualan aku dengan Linda dia menyebut tentang anak Abg Din yang seorang ini. Dia pernah telefon & katanya tinggal sekitar Kajang. Sebelum Abg Din meninggal dunia dia pernah berceritera tentang isterinya yang ini. Anaknya perempuan. Dia berpisah lantaran tak diterima oleh keluarga perempuan. Dia dibelasah oleh keluarga perempuan, abg ipar & rakannya; katanya abg iparnya itu bekas komando. Sampai lembik tak boleh berjalan Abg Din dibelasah.

Bagi pihak keluarga perempuan tentunya tak beradat bernikah secara sembunyi; secara sulit. Masa itu isterinya tengah sarat mengandung anak sulung. Setahu aku Abg Din bernikah dengan isterinya memang kebanyakannya secara sulit. Lebih kurang perangai AC Mizal anak saudara tiriku itu. Keluarga emak ayah tak tahu pun tiap kalai bernikah.

Yang aku ingat betul-betul secara adat hanya dengan Kak Azie seorang. Pernah Abg Din kata dia bernikah salah seorang isterinya dengan seorang ustaz di Gopeng. Ustaz yang sama menikahkan pelakon Noorkumalasari yang pernah menjadi isu sensasi. Kononnya ustaz ini kira ustaz celup tak laku di Majlis Agama.

Aku bersangka baik sahaja tentang pernikahan Abg Din; orang kita pun ramai bernikah di Golok. Rakanku pun ada bernikah di Indon dengan adik angkatku orang Indon.

Wisma Abg Din dibelasah teruk di tempat kerja, dipapah baru boleh berjalan; Aib tentunya. Dia dipaksa menceraikan isterinya oleh Abg Iparnya sendiri. Mereka berpisah & tidak pernah berjumpa sejak tragedi itu. Abg Din terasa namanya tercemar amat & dia meninggalkan Kuala Lumpur gerladangan ini & tinggal kembali di kampung halaman Desa Tualang.

Abg Din mengambil alih perniagaan arwah apak; tetapi bangkrup kedai itu. Aku ingat mahu menyambung semula cerita kehidupan Abg Din yang banyak amat berselekuh & rumit amat perjalanan ceriteranya. Sebahagian ceritera Abg Din ini ada aku tulis di jurnalku yang lama di Easyjournal. Cuma dari jauh Abg Din dapat khabar anaknya dengan isteri yang dikahwini secara sulit ini adalah perempuan.

"Dia telah berumur 24 tahun lah Paksu Dan!" Linda menceritakan.

"Huh! dah besar!, dah boleh kahwin"

"Itulah pasal... dia mahu mencari walinya!" adoi! pening; aku rasa hanya emaknya sahaja yang tahu dalam bab wali ini. Kalau ada surat nikah di tangan emaknya memang tak jadi masalah.

Selepas berbual di telefon dengan Linda, aku berharap sangat dia datang menjenguk aku. banyak perkara yang aku ingin berbual terutama dengan Nasuha abang Linda yang sulung. Aku tak ingat rumah Nasuha, telefon mereka pula asyik berubah.

Aku baru berjumpa dengan Kak Kiah isteri ketiga Abg Din di Kuala Kangsar & dia menceritakan tentang anak Abg Din yang seorang ini. Aku tersenyum sahaja sebab aku tahu ceriteranya sejak dulu lagi. Mungkin Kak Kiah juga mengandaikan rahsia ini hanya dia yang menyimpan seorang. Abg Din pernah berceritera betapa Kak Kiah adalah isterinya yang paling dia sayang & hormati. maka itu mungkin semua rahsia diri tersimpan di diari Kak Kiah. Ada beberapa sebab kenapa arwah Abg Din sayang sangat Kak Kiah; aku rasa tak manis pula menceriterakan bebenda sulit ini.

Satu kejutan yang amat aku teruja. Tiba-tiba telefon berdering lagi. Linda rupanya kasi nombor telefonku pada anak arwah Abg Din yang tak pernah kutemui sejak 24 tahun. Yang aku sebut-sebut sejak lama dulu.

"Fatin ni..! dapat nombor dari Linda, Fatin anak Khairuddin!" (Fatin bukan nama sebenar)

"Baru sangat Linda telefon & sebut pasal... siapa ni namanya tadi?.."

"Fatin!.."

Dalam bualannya, Fatin tinggal dengan ibunya di Bangi Lama. Dia teringin sangat nak jumpa aku.

"Paksu boleh kita jumpa malam ini!" aku tergamam & teruja.

"Kita jumpa kat luar pun tak apa, sebab sudah malam!"

"Rasa tak sedap hati tak jumpa kat rumah, rumah Paksu pula punyalah bersepah ni!" Aku perasan sangat Mila memang pantang tetamu berkunjung ketika rumah berselerak. Aku pun satu hal jenis menyepahkan rumah.

"Fatin balik kerja jam 10:00 malam"

"Fatin ada kenderaan sendirikah? Tahu tak bagaimana nak ke Jenaris? "

"Adalah Paksu, Jenaris tu Fatin biasa...!"

Inilah hadiah hari lahir yang paling bermakna bagiku. Bukan mudah dapat mengikat kasih sayang yang terputus sejak berzaman. Rasanya Fatin pasti terkenang akan arwah ayahnya yang tak pernah dia jumpa pun. Aku meramalkan pasti dia datang dengan teman lelakinya. Dia sebut soal mencari wali, pasti namanya dibintikan nama arwah Abg Din. Jika sebaliknya pasti jadi rumit. Bagaimana penerimaan calon suaminya. Aku tak pasti bagaimana pernikahan anak-anak Abg Din yang lain.

Kira-kira jam 10:45 dapatlah ku lihat wajah anak saudaraku yang terpisah selama 24 tahun. Mirip arwah Abg Din. Fatin masih keliru tentang saudara mara ayahnya. Banyak sangat bualan kami tergantung. Fatin tak faham apa pun. Tak kenal siapa pun yang aku sebut!.

"Emak Fatin apa khabar?.. dia sudah kahwin lain tak?"

"Tak!, sejak berpisah dengan ayah sampai sekarang dia tak kahwin!"

"Berapa umur emaknya sekarang iyer?"

"44 tahun!" bermakna dia bersama dengan arwah Abg Din baru sekitar berusia 19 tahun.

Fatin bekas pelajar UiTM & kini membuka Salon Kecantikan di Bandar Baru Bangi. Dia datang bersama rakan kerjanya & seorang anak buah rakannya masih kecil.

"Bagaimana Fatin mengesan keluarga ayahnya ini?"

"Fatin ke JPN untuk mendapatkan maklumat terkini saudara mara arwah ayah!"

Pastinya dia ke Jabatan Pendaftaran Negara di bawah kementerian Jabatan Perdana Menteri. Di sana maklumat terperinci masih tersimpan. Lama juga katanya untuk mendapatkan maklumat terkini. Kena menunggu berminggu. Dia dapat alamat terakhir arwah Abg Din di Muar & telah jumpa dengan emak bungsunya Kak Aishah. Sampai ketika telah malam katanya, hari pula hujan tak sempat ke pusara arwah Abg Din; ayahnya di Muar. Dia ada membawa surat kematian arwah Abg Din yang diberikan oleh arwah Abg Din. Diam tak diam telah sembilan tahun rupanya Abg Din pergi.

Aku berharap sangat dapat mengenalkan Fatin dengan keluarga kami. Rasanya tak sabar mahu mendirikan semula rumah di kampung agar kami dapat mengembalikan nostalgia kami di sana. Terlalu kontras rasanya hidup di kota ini. Banyak sangat perkara yang tak masuk di akalku boleh berlaku. Berjumpa dengan anak saudara yang terpisah sejak 24 tahun lalu di gerai begini juga amat tak masuk akal. Aku terbayang wajah arwah Abg Din; Fatin membawa salinan xerox wajah arwah ayah ke mana-mana. Ayahnya yang tidak dikenali. Dia mengadu, emaknya tak boleh pun sebut nama Abg Din, ayahnya. tak mahu pun berceritera tentang siapa ayahnya.

"Abg Din amat menyayangi emak Fatin, dia sentiasa ingat emak Fatin; kalau tidak takkan dia cerita dengan Paksu tentang emak Fatin!"

"Fatin salahkan keluarga Fatin turut campur tangan masalah emak!"

Payah aku mentafsirkan ayat Fatin yang ini.

Sila klik sini secebis ceritera arwah Abg Din di bawah ini.

Siri Kemelut Madu

25 Januari 2010

Tak Pakar Lagi (Singgahsana)

Sepanjang dua hari aku cuba memasang semula komputer peribadi yang tersadai di rumah ini. Pentium IV. Aku telah lama membeli bekas@kerangka komputer (Casing) ; Selalunya Pentium IV perlukan bekalan kuasa komputer memerlukan elektrikal yang agak besar. Maka tak berbaloi beli; Bekalan kuasa komputer sahaja. Mahal, baik tukar sekali kerangka komputer. Kerangka biasanya termasuk Bekalan kuasa komputer

"Boleh lajukah ayah komputer lama ni!" Anif macam tak percaya.

"Ayah bukankah pakar! dekat 15 tahun ayah hidup dengan komputer tak kan tak boleh lajukan komputer ini!"

Anif tak sabar mahu melihat komputernya beroperasi. Kasihan juga dengan anak-anakku ada tak kurang lima komputer yang beroperasi di rumah ini, cuma dua buah Pentium IV yang lain tu sekadar boleh klik e-mel & menaip sahaja. Komputer bimbit Afiz selalu jadi mangsa sampai dinihari tak berhenti digodam.

Baru sahaja aku ke Metro Point Kajang. Lihat harga komputer peribadi. Rata-rata berharga RM3,00o ke atas. Telah tiada kumputer murah sebab teknologinya semakin pantas & tinggi. Entah Pentium apatah aku tak tahu. Intel Core 2 Quad. Cakera kerasnya pun dah ratusan GB, ingatan capaian rawaknya pun tak ada lagi DDR2. Jangan cerita bab Unit pemprosesan pusat tak reti nak menyebutnya. Quad. Jika mahukan harga komputer yang murah kena beli di Plaza Low Yat KL tiada jalan lain. Masih ada komputer peribadi sekitar RM700 tapi kira cap ayamlah tanpa monitor. LCD monitor telah turun harga sekitar RM500 telah dapat yang cantik-cantik.

Maka aku jadinya bukan pakar lagi, bagi membaiki komputer terkini.

Gambar Sekadar Hiasan

Aku berjaya memasang semula komputer peribadi lama ini tetapi Windowsnya semakin payah untuk digunakan. Kebanyakan komputer sekarang menggunakan Windows 7, bila aku mahu gunakan WindowsXp makin payah untuk aku mendapatkan lesennya. Lesen yang aku guna banyak yang telah disekat. Biar pun sebahagian lesen memang tulen di mana aku ambil lesennya dari komputer jabatan semasa aku berkerja tempoh hari.

Bila aku ke laman sesewang Plaza Low Yat; Ingatan capaian rawak pun nampaknya kembali naik harga. Mungkin ianya mengikut harga pasaran emas. 1GB DDR1 kini berharga RM159.00, barangan lama mahal; macam barangan antik; 1GB DDR2 separuh hargai RM83.00.

Zaman sekarang jika mahu selesa melayari dunia maya terpaksa guna Ingatan capaian rawak sekitar 2GB ke atas. Aku cuba cari Ingatan capaian rawak yang ada aku simpan kebanyakannya 256MB. Papan induk cuma boleh dilekatkan dua Ingatan capaian rawak sahaja.

Nampaknya kenalah cari duit lebih untuk menjadikan komputer peribadi Anif ini laju. Belum lagi Kad Videonya.

Aku teringat ada satu hari itu seseorang telefon aku, aku pun tak pasti siapa; dia sebut namanya aku tak kenal rapat. Dia mahukan aku membuang birus di komputer riba rumahnya. Masalahnya aku guna Antivirus BDC, jika buang birus selalunya kalau tenat sangat Windowsnya pasti akan mamai, terpaksa dilaraskan semula. Masalah aku sekarang ini tak punyai perisian yang terkini. Belum pun sempat nak godek Windows Vista, sudah keluar Windows 7 pula. Orang kita pula tak mahu mahirkan Linux. Ramai kalangan kita tak simpan pun perisian yang penting ini. Peranti untuk Kad Audio sering bermasalah. Sebab itu jika dihantar ke kedai membaiki komputer tak masuk akal mahal banget dikenakan upahnya. Bukan senang mahu mencari perantinya di alam maya.

Macam-macam minat orang tentang komputer.

21 Januari 2010

Damainya (Delima Merkah)

Jernih bahasa Perak Nin... nya air ini

Santai atau dapat memancing di sini memang syok!

Hutan sebenarnya banyak menyimpan rahsia.

(Klik imej untuk saiz yang lebih jelas)

Aku hairan ramai kalangan rakanku mengatakan jika bersara mereka mahu tinggal di bandar sahaja. Alasannya anak-anak semua di bandar. Tak ramai berminat tinggal di kampung alasannya di kampung tak ada apa, rakan lama pun semua tiada. Orang muda di kampung sudah tak kenal kita.

Aku rasakan anggapan begini akan membuatkan kampung halaman akan terbiar; rumah pusaka akan roboh. Aku sering juga ke perkampungan Melayu kita, baik di Melaka, Johor, Terengganu, Kelantan mahupun Perak negeriku, yang jauh di perdalaman; Banyak rumah tinggal. Mungkin penghuninya hanya pulang sesekali dalam sebulan. Banyak kebun semakin semak; ramai anak kampung berdagang atau merantau jauh ke bandar.

Bila telah tua bangka... sikap menyayangi bandar melebihi kampung halaman sendiri rasanya satu kenyataan yang silap. Bayangkan semua ibu ayah atau orang tua-tua telah tiada, apakah kita mahu terus duduk dengan kesesakan kota. Terhimpit dengan hutan batu & manusia yang semakin mengejar kebendaan. Bayangkan ketika Hari Raya lagu Balik Kampung Sudirman mahupun P. Ramlee Dendang Perantau tak diputarkan lagi. Tak ada siapa pun balik kampung, sebab semua tanah di kampung telah rampas penyagak & perasuah di Pejabat Tanah.
Duduklah kita di habuk, asap beracun & hutan batu yang bukan pun milik kita ini.

Kampung sekadar tinggal lukisan dalam kartun.

20 Januari 2010

Dikunjungi Ulan (Singgahsana)

Dua hari lalu Ulan telefon; dia teringatkan aku lantaran hampir setengah tahun kami tak jumpa. Seingat aku sejak aku bersara kut! jumpa Ulan pun sekadar sekali dua terserempak tak sempat berbual panjang.

Apa yang menarik tentang Ulan ini?. Yang kenal dia secara rapat pasti dapat mengesannya. Dia seorang yang begitu rajin mencari rezeki sampingan lantaran majikannya terlampau sifar dalam menjaga kebajikan terutama bab kenaikan pangkat. Nasib Ulan tak jauh bedanya denganku. Ulan seorang pekerja yang mahir tetapi majikannya tak nampak kemahiran Ulan & lebih ke arah pengaruh cakap serta hasutan orang melihat dari sudut lain. Menilai seseorang dari sudut kelemahan; akan pasti hasil parah. Si mangsa tohmahan akan pasti menjadi mangsa.

Jika kita menilai seseorang dari arah songsang tanpa melihat bakat & kemahiran besar yang staf itu miliki; sememangnya kita memerangkap diri sendiri pun menganiaya orang berbakat besar ini. Aku takut majikan yang begini akan tempang di dunia sebelah sana nanti.

(YB yang pasti baca tulisan ini mungkin terasa kut! bagaimana dia sendiri patah hati lantaran sikap majikan yang begini. Sementelah itu YB merajuk jauh. Tak pasti patah hatinya kini telah terubat?. Aku rasanya jejak kakiku ke sana pun tak mahu lagi. Mungkin tidak YB.)

"Ada ceritera terbarukah Lan" aku biasa panggil dia Lan sahaja, ramai kenali Ulan sebagai Wak Lan.

"Tak adalah iDAN, cuma tahun lalu mereka kasi aku anugerah cemerlang!"

"Tahniahlah, jika ada rezeki tak kan ke mana..." aku tergamam juga tadi dia parkir depan rumah dengan Mitsubishi Storm setahu aku dia juga ada MPV Nissan GRAND LIVINA, sampai aku tersilap nak masuk pintu, terbabas ke pintu pemandu!. Nyanyuk.


"Mana Livina, kau dah jual ke?"

"Adalah, dia macam bini kedua aku sayang nak berpisah, orang rumah pakai!"

"Anugerah cemerlang sekarang ni berapa RM UPM tu kasi!"

"Seribu!"

"Okeylah! tu... rezeki untuk anak-anak!" yang penting adalah penghormatan kerjaya kita. Duit itu masalah lain. Sejak aku berkhidmat dengan UPM; aku cuma sempat sekali dapat anugerah cemerlang peringkat universiti; tahun 1999. Hanya itu; dapat cemerlang peringkat fakulti boleh dibilang dengan jari. Alasan atau sebab musababnya aku asyik tercicir adalah dicopmohorkan staf bermasalah; degil, lawan tauke, tak berprotokol emmm! entah apa lagilah tangkapan orang atas-atas ini terhadap aku.

Ulan ada bengkel sendiri, bengkel kimpalan untuk buat kerja-kerja logam. Bengkel ini yang banyak membantu dia membaiki ekonominya. Menampung dalam membangunkan rumah tangga. Isterinya tiada kerja tetap, terkadang menjahit terkadang buat kerja jualan langsung. Tak menentu. Ganjaran kerja hakikinya sekadar cukup makan. Biarpun dia membuat kerja teknikal seperti aku tetapi ganjarannya memang boleh dipertikaikan. Ulan lebih awal berkhidmat dariku; pasti tahun ini telah cukup 30 tahun; mungkin lebih lama berkhidmat dengan kerajaan berbanding aku. Aku sempat 28 tahun sahaja.

Ada kalangan majikan silap tafsir, staf yang ada kerja sampingan ini sering dipersoalkan prestasi kerjayanya di jabatan. Asyik cari penyebab kenapa perlu disekat kenaikan pangkat. Sedangkan tanpa kerja sampingan ini apakah staf ini akan dapat menikmati hidup sebenar. Staf yang ada kerja sampingan; bagiku sebenarnya mereka ini yang punyai kemampuan lebih dari mereka yang kaki bodek & intan payung sanjungan jabatan. Staf yang ada kerja sampingan ramai yang ikhlas dalam menyebarkan khidmat & kemahiran mereka. Buat jabatan juga buat orang luar.

Aku teringat semasa aku berkerja dulu, boleh dikatakan setiap minggu pasti ada komputer yang datang ke makmal aku untuk aku baiki. Terkadang tak menang tangan. Cumanya aku bukan seorang yang berjiwa berniaga; aku tak pernah meminta upah, aku lebih suka membantu & memberikan sumbangan. Aku tidak pernah abaikan kerja hakiki.

Masa lapangku sentiasa ada aktiviti sumbangan; kalau tidak baiki komputer, aku adakan kelas ICT aku sendiri. Pelajar yang aku telah mahirkan lebih dari seratus orang, dari belajar baiki komputer hinggalah penggunaan perisian komputer, buat laman web, photoshop, buang birus, permasangan perkakasan baru, kemahiran internet, cara jalan pintas menghalang kerosakan windows, hinggalah baik buruk jadi penggodam. Menariknya pelajarku ada pelbagai peringkat; dari kalangan pelajar sekolah rendah, hinggalah pensyarah malahan bertaraf profesor.

Bukanlah masuk bakul angkat sendiri tetapi sesiapa yang mengenali aku memang faham sangat watak aku.

Ulan mahir dalam kimpalan tetapi majikan tak nampak, Ulan sekarang lebih ditugaskan kepada kerja senggaraan bangunan. Lari dari bidang kemahiran sebenar. Maka tak hairanlah Ulan buka bengkel sendiri.

"Bagaimana projek Lan di Pahang tempoh hari telah siap tak?" Ulan buat semua kerja jika ada peluang; dia ada buat kerja-kerja membina & senggara bangunan baru bersama kontraktor di Pahang.

"Dah siap, tapi kena kencing juga..!"

"Banyak ke?.."

"Dalam RM15,000!"

"Isk! banyak tu Lan, habis tu ada untung tak?" rasanya telah puluhan ribu RM hutang lapuk yang terpaksa Ulan tanggung. Aku memang selalu ikut perkembangan perniagaan Ulan. Dulu kalau aku balik lewat dinihari, sering juga Ulan datang menemani aku hingga ke tengah malam. Jadi antara kami tiada apa rahsia.

"Untung itu memang okey!; dia janji nak bayar duit tu tapi senyap sahaja!"

Aku sering berbual dengan Ulan tentang bengkelnya. Tiap bulan dia cerita mesti kena ada duit pusingan tak kurang dari RM20,000. Itu cereita dedulu, mungkin kekinian terpaksa bertambah. Bengkelnya kecil sahaja tetapi memang begitulah orang berniaga. Ada tak kurang dua tiga orang pekerja tetap termasuk adiknya. Terkadang lebih dari itu, ikut besar mana projeknya. Setahu aku kerja kimpalan ini, bermodalkan RM1,000 kita boleh letakkan harga RM3,000. Kerja ini memerlukan kemahiran & kos elektrikal yang tinggi. Maka itu sememang kadar jualan paling tidak 200% dari kos barangan. Ulan tak dapatlah keuntungan yang tinggi sebab dia upah orang yang buat. Jika ada waktu senggang sahaja dia dapat membantu pekerjanya.

Maka itu jika kita mahu buat gerigi rumah atau pagar rumah bukan murah kini.

Dalam bualan kami, tercetus juga rasa terkilan dalam kerjaya di UPM, sebabnya dalam golongan kami masih ramai yang tercicir dalam bab kenaikan pangkat. Kemahiran & pendidikan kami sama sahaja. Rakan kami yang lain, malas & kaki monteng pun telah dinaikkan pangkat, mendapat pencen sekali ganda dengan kami. Itu rezeki mereka. Aku & Ulan kekadar seadanya. Seolah-olah pandangan majikan kami, kami ini lebih teruk dari mereka yang semua tahu kehandalannya membodek, bersandiwara pun punyai masalah lebih kronik. Hipokrit. Ramai yang berjaya ke puncak melalui batu loncatan, guna golongan bawahan, paling menyakitkan melalui kabel besar.

Kerja makan gaji ini terkadang jika pandai bermuka-muka, juga amat pantas memintas staf lain pun mudah berjaya. Di makmal pagi ke petang klik komputer macam ada kerja tak selesai, hakikatnya leka cit cat, main chess, lawan permainan komputer secara langsung, buat jualan langsung lelong & macam-macam kepuraan. Tiap tahun boleh naik pentas dapat cemerlang, jadi kanan & pelbagai lagi jika rapat dengan bos, duduk jadi tugu di pejabat. Pandai menjadikan rakan sendiri sebagai batu loncatan, lebih teruk mengadu domba. Kemahiran tak sepakar mana pun.

SKT sebenarnya baru lagi ujudnya, itu pun hanya 40% selebihnya adalah ketentuan Ketua Jabatan (KJ). Penilaian manusia inilah selalunya menjadi masalah. Memang ini masalah makan gaji. Sampai kiamat pun rasanya tak akan memuaskan hati semua orang. Maka itu Islam menggalakkan berniaga; kerja sendiri lebih jelas & telus. InsyaAllah jika rajin & jujur akan lebih murah rezeki berbanding makan gaji.

"Lan kena menabung dari sekarang, kita ni pencen tak banyak mana; hanya duit tabungan sahaja yang dapat membantu di hari tua kita.." itu pesan aku terakhir aku kepada Ulan setelah lebih dari dua jam kami lepak makan-makan di Sungai Kantan.

Agar dia dapat terima nasihat aku ini. Tak sangka ada rakan yang sudi ketemu aku. Baru beberapa hari lalu aku menulis bab persahabatan ini di jurnal aku Easyjournal. Terdetik hati Ulan datang dari jauh, malam-malam lagi semata-mata mahu ketemu aku.

Terima kasih Ulan.

19 Januari 2010

Pengikut ke 200 lebih (Singgahsana)

Diam tak diam blog aku kini telah ada 200 lebih pengikut; Paling banyak membantu menguar-uarkan blog ini antaranya adalah Bro Mazidul, Sdr Zeq, YB, Sdr Exlshina, Sdr Eelobor, Sdr VIC Diana, Cerpelai, Abuyon, Sdr SitiMurni, MrHabuk, AkuAnakPahang, Dik Azah, Combi, IeZa, Sdr Gopabahari, Dik Ieja, Sdr Masidaman, Fairuz, Eris, Siti, Sdr YangManis, Sdr Kelompen377, Cik-ejaa, Nuffnang & beberapa pelayar@pengunjung yang lain.

Tanpa bantuan & sokongan pemblog yang lain mana mungkin blog ini akan dikenali ramai. Buat masa ini aku hanyalah pendatang baru di Blogspot baru sekitar setengah tahun di sini. Impianku tentunya mahukan bertambah ramai pengunjung ke blog ini; melalui kaunter setakat ini baru sekitar 150 orang yang sudi berkunjung dalam sehari. Bagaimana langkah untuk meramaikan pengunjung ke blog ini aku masih tak pasti.

Cumanya aku akan terusan menulis biar pun sesekali terasa juga aku sendirian sebenarnya. Tak pasti siapakah yang benar-benar menyukai tulisanku; pun isu bagaimana yang pengunjung menyukainya.
Blog bagiku lebih kepada catatan peribadi & isu yang dapat menyentuh permikiran diri ini. Ada ketikanya mungkin bertepatan dengan fakta pun tarikan buat pembacanya. Tidak mustahil ada ketikanya tanpa kita sedar ada catatan amat menyinggung hati seseorang. Agar apa yang tersurat yang tersirat di dalam blog ini tidak dijadikan isu.

Ianya adalah luahan perasaan empunya blok ini yang tentunya amat peribadi, amat serba-serbi tak sempurna lantaran penerimaan kita berbeda-beda.

Angan-anganku satu ketika nanti blog ini punyai pengikut ke 1,000 lebih; mungkinkah terjadi. Orang lain boleh menarik pengunjung yang begitu ramai melayari blog mereka, kenapa kita tidak.

Penat (Delima Merkah)

Penat tidur.

Penat kerja!.

Penat nangis!... ala! siannya dia kena serang merpati!..

Peliknya Aku (Singgahsana)

Bila aku semak jurnal lamaku di Easyjournal masih ada yang klik ke sana. Sehari tak kurang dari 200 orang klik jurnal itu. Mengatasi pengunjung ke situs ini. Sedangkan aku telah lebih setengah tahun; seharian klik & kemaskini blog yang ini.

Siapa yang klik di sana? Siapa yang rajin mengintai aku di sana. Kenapa Blogspot terlalu kurang pengunjung apakah lantaran terlalu ramai pemblog di Blogspot? Terlalu banyak blog bercambahan di Blogspot hingga mana ada masa kalangan pelayar alam maya mahu membacanya. Kecuali mereka yang benar-benar menyukai tulisan seseorang pemblog.

Aku terpaksa berpindah arah melahirkan ilham di Blogspot lantaran server di sana ada masalah, paling payah mahu meletakkan imej. Sering lembab. Terpaksa menunggu begitu lama terkadang tergantung tak boleh pun muat turun sebarang data. Terpaksa memuat turun imej ke server lain & merangkai ke jurnal Easyjournal.

Di Blogspot begitu cepat, dari komputer di rumah boleh muat turun imej begitu pantas untuk dipaparkan di blog.

Aku tak mahu kehilangan pengunjung di sana. Malahan ada kalangan kenalan dari Blogspot juga asyik klik ke sana.

Sementelah itu aku sesekali terpaksa juga kemaskinikan jurnal aku di sana. Easyjournal tempat aku lama mengumpul ilham. Terpaksa juga kupantau.

18 Januari 2010

Jambu 2 (Delima Merkah)

Jambu Susu... bijinya agak besar

Jarang jumpa jambu yang ini,
ada yang panggil Jambu Susu lantaran rona macam susu.


Gajus di Indon dipanggil Jambu Monyet


Kini makin popular Jambu Batu tanpa biji.
Nampak buruk tapi cicah dengan serbuk asam boi emmm! memang sedap.

Ω Ω Ω Ω Ω Ω Ω Ω Ω Ω Ω Ω Ω Ω
ada beberapa puisi terbaru iDAN sila klik
ĕ-antologi Penyair iDANRADZi
Ω Ω Ω Ω Ω Ω Ω Ω Ω Ω Ω Ω Ω ΩΩ Ω Ω Ω Ω Ω Ω Ω Ω Ω Ω Ω Ω Ω

Ishaan nan Istimewa ( Hiburan & Singgahsana)

Sebut sahaja Amir Khan 45, yang lahir pada 14 Mac 1965 pasti kita teringat lakonannya sebagai Karan bersama Manisha Koirala sebagai Priya yang amat menyayat hati dalam filem Maan yang diterbitkan pada tahun 1999; Pengarah filem ini ialah Indra Kumar di mana skrip yang ditulis Aatish Kapadia terlalu kejam, menjadi watak Priya cacat anggota lantaran kemalangan ketika mahu menunaikan janji pertemuan antara sepasang kekasih. Lagu di filem ini sedap belaka. Tak puas mendengarnya hingga ke hari ini.

Sebenarnya banyak lagi filem Amir Khan dapat menambat hati peminat filem hindi antaranya, Yaadon Ki Baaraat, Raja Hindustani, Lagaan, Fanaa dan terkini filem komidi 3 Idiots yang mendapat sambutan seantero dunia. Maka itu tak hairanlah Amir Khan sering dicalonkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik & memenangi bukan sekali award tersebut.

Taare Zameen Par yang ditayangkan pada 21 Disember 2007; adalah filem arahan & terbitan Amir Khan yang menarik ditontoni. Pelakon kanak-kanak yang terserlah bakatnya Darsheel Safary memegang watak Ishaan Nandkishore Awasthi. Dia dapat menjiwai watak kanak-kanak istimewa yang mengalami kesukaran membaca & mengenal angka. Keliru menulis & membaca, agak lembab menerima arahan yang berulang kali; ianya dinamakan sakit dyslexic; Ishaan hanya dua beradik, ayahnya tidak dapat menerima kelemahan anaknya.

Sementelah abg Ishaan ia itu Yohaan adalah kanak-kanak pintar yang mana menjadi bahan bandingan ayahnya. Amir Khan memegang watak Ram Shankar Nikumbh ("Nikumbh Sir") seorang Guru Lukisan, dalam masa yang sama pakar dalam mendidik kanak-kanak istimewa.

Kemuncak filem ini adalah babak Ishaan enggan dihantar ke sekolah berasrama penuh setelah gagal bersekolah biasa. Guru Lukisannya Nikumbh yang dapat mengesan masalah Ishaan & membantu menjadikan dia pelajar cemerlang. Keistimewaan Ishaan amat terserlah dalam bidang melukis & punyai bakat tinggi lagi kreatif dalam banyak seni rekacipta juga animasi.

Filem ini telah galak kali ditayangkan di TV, pun Astro saluran ZEE malam tadi ianya ditayang semula. Pasti anda tak puas menonton sekali filem ini, apatah lagi filem ini banyak memenangi anugerah; termasuklah Pelakon kanak-Kanak Terbaik yang dinobatkan buat Darsheel Safary & banyak lagi anugerah yang diboloti.

Ada beberapa lagu yang menarik di filem ini yang pastinya dapat menjadi halua telinga anda. Antaranya ialah Taare Zameen Par, Bum Bum Bole, & Maa. Cuba hayati irama lagu Maa, ianya memang sayu meresap ke dasar hati, sedap diputarkan ketika larut malam.

Gigi Ishaan yang jonggang itu yang mahal!

17 Januari 2010

Jambu (Delima Merkah)


Jambu Mawar

Jambu Batu

Jambu Bol orang Perak panggil Jambu Kepal

Jambu madu

Ada banyak lagi jenis Jambu yang pelbagai rona. Ada yang rona hijau manis & tak kelat. Jika dulu jambu sekadar dikutip tak pun dijual tetapi Jambu Madu semakin tinggi permintaannya. Jambu selalunya berulat jika tidak dibalut, agak susah menjaganya pembesaran buahnya. Selain Jambu Madu, Jambu Batu juga mendapat pasaran meluas termasuk jusnya yang semakin banyak dijual di tepi-tepi jalan.
Aku suka Jambu Kepal ini, buahnya memang besar jika benar-benar masak amat manis & rasanya pun agak klasik berbanding Jambu Madu. Tak ramai tahu Jambu Kepal ini sebab pokoknya cuma terdapat di kampung tradisional masih tak dibuat ladang secara meluas.

Jambu Keling nama lain Jamblang atau Duwet banyak terdapat di Indon.

Angin merubah segalanya (Singgahsana)

Siapa yang tidak menyukai hutan, siapa yang yang tidak menyayangi pepohon. Ada yang kata hutan itu semak, ada yang kata kata lama rumah yang banyak pokok bunga itu banyak nyamuk. benarkah andaian ini?.

Jika hutan dijaga & sentiasa ditebas akan pastinya ianya damai & menarik. Jika pokok bungaan di laman rumah sentiasa dicantas & sentiasa dijaga memang nampak segar & nyaman. Tanpa pokok bagaimana kita mahu segar bernafas, tanpa pokok bagaimana bumi mahu menyimpan hujan. Maka itu pentingnya hutan simpan. Aku terpersona dengan sebuah rumah di Kantan Permai yang redup dengan pokok bunga menjalar menjadi pintu gerbang ke rumahnya.

Semalam aku ikut Mila menyambut hari jadi Anif di Nandos di Alamanda. Mila kata majlis makan luar ini merangkap menyambut ulang tahun kelahiranku pada 26hb nanti. Mana aci. Aku ada selera sendiri. Aku tak suka tempat mewah begitu. Bagiku tak sesedap mana air minumannya jika terlalu mahal. Tak sesedap mana ayam bakarnya jika berharga berganda-ganda. Terkilan pula Mila kalau aku tak ikut. Mila sebenarnya dapat vaucer Nandos bernilai sekitar RM40. Itu yang teringin nak rasa makan di restoran begitu. Setelah makan biasalah bilnya hampir sama makan di Secret Recepis juga. Sekitar RM120 untuk kami berenam. Murah sedikit banding kami sambut hari lahir di Secret Recepis, hampir RM200.

Mana nak cari anak pokok Jambu Mawar ini

Kemudian kami bergegas ke Sek Teknik Gombak untuk menghantar Aziq. Ngam-ngam sampai sekitar jam 6:00 petang, aku boleh memandu sekitar 40 minit dari Alamanda ke Sek Teknik Gombak. Ikut MMR2. Sementelah jalan tak sesak.

Afiz membuat keputusan tinggal di Meru rumah Nyaie selama dua minggu. Berulang dari Meru ke Poli selama dua minggu.

Dari Gombak ikut lebuh raya Duke ke tol Jalan Duta memang cepat & menjimatkan masa; kemudian aku ikut lebuh raya Bukit Raja menuju ke Meru. Pastilah teringat Altantuya yang jenazahnya dibom sekitar Bukit Cerakah. Apa jadi dengan Taman Pertanian Bukit Cerakah ini. Aku pernah pergi beberapa kali, pernah lihat taman Musim Sejuk. Cantik tanam yang diselaputi salji. Ada lagikah tanam ini?.

Sekitar sejam sampailah ke rumah Nyaie. Nyaie nampak kembali sihat, boleh berbual & senyum. Mila kata minggu lalu dia sudah tak kenal orang!. Alhamdulillah!.

Maka semalam aku telah menghantar barangannya si Afiz di sana. Pakailah Narita lama yang baru kudobi, nak buat macam mana kata Afiz dia nampak di Mydin ada dijual Narita berharga sekitar RM75. Mahal tu! nantilah kalau lalu di Sungai Besar belilah barang dua tiga helai. RM80 itu pasti dapat dua helai.

Sekitar jam 10:00 malam aku bertolak ke Jenaris, sampai Jenaris sekitar jam 11:00 malam tenguk-tenguk laman rumah telah berubah. Angin punyai kerja. Ribut telah melanda Jenaris. Bulan lalu pokok bunga kertas yang merendang dirumahku telah dipusingnya ke arah rumah jiran. Kira okeylah tak ganggu kami. Masih boleh dibiarkan tumbuh merimbun tapi malam tadi tidak lagi. Angin telah memusingkan kembali ke arah asal. Kami tak dapat masuk rumah. Tertutup rimbun pagar rumahku. Aku cuba juga mencantasnya, tambah teruk & menyembah bumi. Sekitar jam 12:00 malam jiranku pulang & membantu. Terpaksa ditebang. Gondol maka kekinian panaslah di depan rumah. Laman rumahku jadi gurun.

Setelah jiranku pulang aku mengemaskan dahan-dahan yang telah dicantas; agar Avanza Mila boleh masuk ke laman rumah. Top-top dekat jam 2:00 pagi baru selesai. Di mana dahan-dahan ini mahu dibuangkan. Durinya jangan cerita. Sakit tanganku dicucuknya. Masih tak bersih laman rumahku. Huh! sesekali angin mendesah, memaksa aku merubah segala keadaan.

Pokok yang besar ini telah lama ditebang oleh majlis bandaran sebab dahannya sudah mulai reput. Pokok Pandan ini juga telah tiada sebab kebocoran paip baru-baru ini. Semalam, Pokok Bunga Kertas juga habis sebab semakin tua & ranap ditiup angin.
Tinggallah pokok Mengkudu yang aku tanam sebelah kawasan jiran.

Ω
Ω Ω Ω Ω Ω Ω Ω Ω Ω Ω Ω Ω Ω
ada beberapa puisi terbaru iDAN sila klik
ĕ-antologi Penyair iDANRADZi
Ω Ω Ω Ω Ω Ω Ω Ω Ω Ω Ω Ω Ω ΩΩ Ω Ω Ω Ω Ω Ω Ω Ω Ω Ω Ω Ω Ω

16 Januari 2010

Kitar Semula (Delima Merkah)

Bahan terbuang boleh dikitar semula!
Golongan inilah penyelamat bumi



Kapcai belakang tolong tolak jadi berapa tayar ni?


Kat mana ni.. terlampau kaya kut!

15 Januari 2010

iDAN buat pembedahan kecil & Avatar (Singgahsana)


Artikel Asal Sekitar
30/12/09


Sila klik sini; idanradzi-ketika-40an Ada beberapa respon terkini & agak menarik tentang kenangan kerjaya dahulu.

30.12 09

1. Hari ini aku tak sihat sangat, batuk hingga tak boleh keluar suara. Telah masuk hari ketiga keadaan kesihatanku semakin merimaskan. Ubat tak larat lagi nak telan.

2. Semalam aku ke Seremban, merisik buat anak sulung; Afiz tak sangka ada Lebuh Raya baru Lekas, dari Jenaris ke Seremban kini sekitar 15 minit sahaja. Tol Rm4. Memang mengejutkan aku, tak sangka perhubungan kini semakin cepat. Esok² aku boleh tenguk wayang di Seremban. Siapa di Seremban nak jumpa Penyair iDANRADZi kasi tahu sahaja. Aku dah pandai nak ke masjid negeri & makan² di Parkson itu. Merisik diteruskan ke Pahang pula!; adoi! katanya tak jauh dari Tasik Cini. Jauh tu!. Macam mana si Afiz ini boleh jatuh cinta dengan Puteri Tasik Cini ini!.

3. Semalam aku membuat pembedahan kecil, baik sangat doktor India perempuan itu, Klinik Damai sebelah rumah sahaja. Malunya kena buka maju, nampak perut boroiku. Dah tu adik lelakinya doktor ini tak reti buat pembedahan kulit begini. Ada ketumbuhan di pelipat ketiak; Adoi sakit banget! hampir dua minggu tak boleh tidur nyenyak. Berdenyut selalu. Doktor kata ianya sejenis penyakit bernama seiras bunyi walt... tak pasti walt disney tu aku memang tahulah. Puas aku cari maklumat di dunia maya tentang sakit ini. Tak jumpa. Kena suntik kebas & guna laser!. Aku cakap dengan pembantu klinik tu, abg nak sunat lagi; dah janji dengan doktor!. Dia tak percaya serta tergelak besar. Konsepnya samalah macam bersunat semula; matikan semua urat ketiak tu! & bakar. Buang daging yang tumbuh itu. Kalau dibiarkan memang boleh jadi Orang Akar.

4. Hari Sabtu aku bersama anak teruna empat orang tenguk Avatar di panggung Cheras Selatan. Bangus banget filem ini. Elok benar bawa kekasih atau keluarga menonton. Di situs ini ramai kalangan pengkritik memberi 9/10 bintang. Kalau aku kasi 10/10 bintang. Watak paling aku suka adalah Neytiri. Babak paling tragis ketika hutan dimusnahkan & apak Neytiri terbunuh. Kalau anda tak menangis ketika ini memang hati anda; hati batu!. Azim kata jeritan Neytiri ketika ini kelakarlah sangat. Jake sanggup meninggalkan dunia nyata & hidup dengan cintanya bersama golongan Pandora yang cintakan hutan belantara dalam dunia animasi. Aku kasi ceritera ini, filem ini terbaik tahun 2009 yang aku tonton. Kalau boleh nak menontonnya berkali²!. Tahniah Pengarahnya James Cameron!.

5. Harap² minggu ini cepat aku sihat sebab nanti Ahad aku akan memandu jauh bercuti di sekitar Lumut & nak balik ke Desa Tualang Kota Bharu Perak.

nota kecil: Aku pernah menulis artikel Moh! Masuk Hutan. Sebenarnya aku pernah tidur sepanjang malam di hutan Puchong. Tanpa sebarang kelengkapan khemah pelbagai... dalam agenda motivasi; ketika itu bulan mengambang!. Memang hutan ini ketika malam amat indah bila disuluh cahaya rembulan; bak 1001 bintang berkerdipan di bumi; aku telah lama jatuh cinta dengan hutan. Terlalu indah hutan ini!; Tenguk filem Avatar ini memang indahnya hutan diterjemahkan di layar perak.

Apa Kata Harian Metro

Filem: Avatar hebat

SELEPAS menggemparkan pawagam 12 tahun lalu dengan Titanic, James Cameron kini hadir bersama buah tangan terbarunya, Avatar.

Perubahan demi perubahan menakjubkan dapat dilihat dalam karya ini. Pendek kata, dunia perfileman kini bagai mengalami ‘perang’ imejan janaan komputer (CGI) dan Cameron kembali dalam industri filem menyahut cabaran itu.

Berpeluang menonton filem terbarunya, tidak banyak yang boleh dipertikaikan. Kredibilitinya semakin teruji selepas filem romantiknya (Titanic) menerima pujian ramai.

Kini, Avatar bakal mengulang kejayaan sama.

Seorang teman penulis berkata, bertih jagung dan minuman ringannya tidak disentuh ketika menonton filem ini kerana dia teruja dengan babak dipersembahkan. Malah, penonton lain juga bertepuk gemuruh selepas tayangannya tamat.

Perlu berkata apa lagi jika penonton mengiktiraf karya menarik Cameron. Penulis juga berkongsi pendapat sama dengan mereka, lebih-lebih lagi filem ini pasti menjadi kerugian besar kepada mereka yang melepaskannya.

Cameron menulis skrip filem ini 15 tahun lalu tetapi ia ditangguh sehingga industri perfileman memasuki era moden seperti kini.

Avatar mengisahkan dunia imaginasi Cameron. Memfokuskan kehidupan watak utamanya iaitu Jack Sully (Sam Worthington), anggota marin Amerika Syarikat yang lumpuh separuh badannya.

Bagaimanapun, Sully diarah menyertai satu misi ke sebuah planet dipanggil Pandora, di mana ia diduduki sekumpulan makhluk biru yang mempunyai ciri-ciri sama seperti manusia tetapi ada ekor dan ketinggian melampau digelar Na’vi.

Sully akhirnya menyertai satu uji kaji dan dia ditukarkan kepada rupa bentuk makhluk berkenaan tetapi memiliki nama berbeza iaitu Avatar.

Meskipun Avatar dihantar dengan agenda tersendiri, planet berkenaan dilanda kucar-kacir apabila manusia menyerang.

Menyentuh soal lakonan, Worthington mempersembahkan lakonan mantap. Selain soal aksi dan paparan CGI, filem ini mengetengahkan elemen cinta antara Avatar dan Neytiri, gadis Na’vi lakonan Zoe Saldana. Tambah menarik, cinta dan perasaan dirasai Avatar membuatkannya berpaling terhadap kaumnya.

Saran penulis, sediakan diri anda untuk meneroka alam fantasi yang menarik dan menakjubkan.

Anda juga bakal dibawa mengembara ke dunia penuh ajaib, berwarna-warni.

  • Data
FILEM: Avatar
ARAHAN: James Cameron
PELAKON: Michelle Rodriguez, Sam Worthington, Sigourney Weaver dan Stephen Lang
GENRE: Aksi / Sains Fiksyen

TAYANGAN: 17 Disember 2009

Avatar mengagumkan

Filem berteknologi tinggi dan paling mahal dengan bajet pembikinan lebih RM800 juta


Filem: Avatar
Genre: Aksi, Pengembaraan, Fiksyen Sains
Pengarah: James Cameron
Pelakon: Sam Worthington, Zoe Saldana, Sigourney Weaver, Stephen Lang, Michelle Rodriguez, Giovanni Ribisi, Joel Moore, CCH Pounder, Wes Studi, Laz Alonso, Dileep Rao

KETEPIKAN judul lain, kini tiba masanya untuk filem terbaru arahan James Cameron bergegar di pawagam! Avatar, filem yang dihasilkan dalam bentuk 3-D selepas sedekad menggegarkan dunia hiburan dengan judul klasik, Titanic, kini bersedia mencatat lembaran baru dalam industri perfileman antarabangsa.

Bersama Titanic, Cameron mencatat kutipan RM6.3 bilion, apabila filem yang menyentuh hati jutaan penonton itu ditayangkan pada 1997. Dia kemudian mendiamkan diri agak lama bagi mencari formula terbaik menghasilkan filem seterusnya. Bagi Avatar, walaupun ceritanya sudah ada di depan mata 14 tahun lalu, tetapi teknologi yang mampu merealisasikan semua gambaran berkenaan belum wujud ketika itu.

Buat penggemar pembikin filem berkaliber ini, penantian lebih sedekad nyata berbaloi. Avatar tentu sekali menjadi hidangan hebat dan menghiburkan. Filem yang ditulis sendiri oleh Cameron ini seperti meletakkan penanda aras baru dalam dunia pembikinan filem.

FILEM terbaru arahan James Cameron yang dihasilkan dalam bentuk 3-D bakal mencatat lembaran baru dalam industri perfileman antarabangsa.

Menggunakan teknologi terkini, pembuatan filem 3-D, Cameron menzahirkan fantasi penerokaan ke sebuah planet asing sebagai sebuah realiti. Avatar tampil sebagai persembahan cukup mantap, disokong kesan visual yang mengatasi segala judul pernah ditayangkan, serta penceritaan yang kukuh lagi mengesankan.

Filem ini mengisahkan bekas askar Amerika Syarikat yang tidak berupaya, Jake Sully (Sam Worthington), mengambil bahagian dalam program Avatar, bagi membolehkannya berjalan semula. Program itu membawanya mengembara ke planet Pandora, yang berada sejauh 4.3 tahun cahaya dari Bumi.

Dunia Pandora penuh dengan kehidupan amat mengagumkan, dengan sebahagiannya amat cantik manakala sebahagian lagi menggerunkan. Ia juga menjadi tempat tinggal bangsa Na'vi, sejenis makhluk setinggi tiga meter dan berkulit biru berkilau. Mereka hidup secara harmoni bersama alam sekitar yang tidak tercemar.

Namun, apabila manusia makin jauh meneroka hutan tempat kediaman mereka bagi mencari galian bernilai tinggi, dikenali sebagai unobtainium, bangsa Na'vi kini harus menggunakan segala kemahiran keperwiraan mereka dalam menentang ancaman pendatang.

Jake pula menyertai program itu dengan separuh hati, selepas kematian abangnya. Disebabkan manusia tidak mampu bernafas dengan biasa di Pandora, mereka mencipta hibrid manusia Na'vi yang dikenali sebagai Avatar. Di Pandora, menerusi tubuh Avatar, Jake berupaya untuk berjalan semula.

Dia dihantar ke hutan Pandora sebagai pemerhati untuk memudahkan kerja manusia meneroka hutan terbabit, apabila mereka memahami kehidupan penduduk asal planet ini. Bagaimanapun dalam usaha mempelajari cara kehidupan Na'vi, Jake mula menyayangi kehidupan barunya. Kini, dia terperangkap antara kesetiaan kepada bangsa manusia yang makin hebat meneroka dengan bangsa Na'vi yang seboleh mungkin ingin mempertahankan kesucian alam mereka.

Sepanjang hampir tiga jam tayangan, penonton tidak akan sedikit pun kebosanan apabila hampir setiap saat diisi dengan visual yang tidak terjangkau dek fikiran. Maka tidak hairanlah apabila pengkritik melabelkan filem ini sebagai judul paling mahal dan paling berangan dalam dunia perfileman. Avatar yang menelan belanja kira-kira RM830 juta untuk disiapkan, nyata mempamerkan apa yang seharusnya terhasil oleh perbelanjaan cukup besar sedemikian.

Lihat saja pada watak Jake setelah dia bertukar menjadi Na'vi. Walaupun pada dasarnya dia hanyalah watak ciptaan grafik komputer, namun kebenarannya hampir tercapai. Makhluk biru itu menunjukkan emosi yang dapat dirasa, menerusi mimik muka dan cahaya matanya. Watak Na'vi perempuan, Neytiri (Zoe Saldana) turut mengagumkan. Bagaimana penonton boleh terasa dengan wataknya, sedangkan ia hanyalah watak ciptaan hasil kemahiran pakar komputer? Itulah yang dinamakan keajaiban teknologi pembikinan filem masa depan.

Sam Worthington yang ditampilkan sebagai Jake turut memberikan persembahan memberangsangkan. Cacat pada bahagian pinggang ke bawah, kita amat memahami mengapa dia teringin untuk berjalan semula. Namun, lelaki ini akhirnya berperang dengan perasaan sendiri, apakah dia harus kekal memperjuangkan ketamakan manusia, atau mempertahankan kesucian alam Pandora setelah dia sendiri mengerti kehidupan di planet baru berkenaan. Rasa itu ditunjukkan Sam dengan berkesan.

Avatar, selain daripada paparan visual tiga dimensi yang jelas lagi mengagumkan, juga sebuah pendedahan Cameron terhadap sifat manusia yang gemar menjajah dalam usah mengaut laba hanya buat mereka. Selepas bumi makin tandus dikerjakan, kini mereka menjelajah ke dunia lain dengan tujuan serupa. Dalam usaha mereka, kepentingan hidupan lain tidak diendah.

Lalu, sambil berhibur bersama kepintaran Cameron, usah lupa menilik pesanan pembikin filem berusia 55 tahun itu menerusi judul terbarunya. Selamat menonton.

Berita Harian

Sila klik juga ke Blog Sharidan pendapatnya tentang Avatar

http://www.frossonice.com/2009/12/avatar.html

Kehebatan Avatar dalam sejarah perfileman


Avatar


FENOMENA box-office bagi filem sains fiksyen saga, Avatar membuka mata semua pihak tentang kemajuan teknologi tiga dimensi (3D) dan kepentingan grafik yang digunakan sepenuhnya mampu memberi pulangan lumayan.

Sebelum ini, dua perkara itu sering dijadikan bahan sokongan untuk membuat satu-satu filem. Tetapi tidak pada Avatar. Ia merupakan adunan utama dalam olahan cerita Avatar. Dengan bantuan foto realistik yang mengaitkan alam makhluk asing yang kemudiannya diceroboh oleh sekumpulan manusia.

Avatar secara kasar mengutip sebanyak RM2.287 bilion di Amerika Syarikat dan Kanada manakala di United Kingdom pula sebanyak RM25.5 juta dicatatkan. Filem itu juga berterusan menarik ramai penonton untuk mengulangi pengalaman menonton filem berkenaan sehingga ke hari ini. Filem di bawal label 20th Century Fox itu juga berjaya menjadi bualan dan mempengaruhi bukan sahaja peminat sains fiksyen malah kumpulan yang kurang suka menonton di wayang.

Dianggarkan Avatar mencapai keuntungan sebanyak RM6.025 bilion dari seluruh dunia. Keuntungan kali kedua buat pembikin filem, James Cameron apabila berjaya mengulangi kejayaan filem pertamanya, Titanic pada tahun 1997.

Ia adalah filem paling cepat memecah rekod AS1 bilion. Ia turut mengalahkan filem The Lord Of The Rings: The Return Of The King sebanyak RM3.782 bilion, Pirates Of The Carribbean: Dead mans's Chest (RM3.447 bilion) dan The Dark Knight (RM3.347 bilion).

Dihasilkan dengan sokongan lebih 3,000 orang dan 10,000 komputer dengan mengambil masa lebih kurang 4 tahun setengah untuk mencipta Planet Pandora. Satu tempoh masa yang agak panjang bagi menyiapkan dasar untuk filem aksi pengembaraan itu. Ia termasuk untuk menyiapkan makhluk berwarna biru dengan ketinggian 10 kaki yang dikenali sebagai Na'vi. Pergerakan makhluk ini juga perlu dititikberatkan bagi memastikan ia tidak kelihatan canggung apabila proses pemindahan grafik dilakukan.

Cameron adalah seorang yang kuat berimaginasi. Karektor makhluk berwarna biru itu sebenarnya diambil daripada mimpi ngeri ibunya. Menerusi cerita ibunya, sekumpulan askar dari bumi berperang dengan makhluk biru berkenaan. Ia kemudiannya mencetuskan idea buatnya untuk menghasilkan jalan cerita berkenaan.

Kehebatan Avatar apabila mengadunkan karektor ubahan komputer seperti Scrooge dalam filem arahan Robert Zemeski berjudul A Christmas Carol yang ditayangkan baru-baru ini. Kesemua watak yang ditayangkan di skrin dekat di hadapan mata dan kadangkala seolah-olah berada di dalam filem berkenaan.

Cameron bersama rakan penerbitnya, Jon Landau menyelidik kira-kira satu tahun setengah dalam memastikan sama ada mereka dapat merealisasikan idea mereka. Mereka enggan menggunakan teknologi robotik yang dilihat boleh mematikan watak itu. Lantas bersepakat untuk mengubahnya dengan menggunakan teknologi komputer.

Bagi menyempurnakannya, mereka membina satu sistem untuk merakam ekspresi muka menggunakan kamera khas. Ini memaksa pasukan produksi Avatar menggunakan imej besar bagi memastikan kesempurnaan merekod wajah pelakonnya sama ada dalam situasi pergerakan dan pergerakan berpanjangan. Sebab itu anda tidak melihat kelemahan sama ada dalam babak perkelahian anjing, kapal terbang dan menunggang kuda.

Pendekatan Cameron berbentuk novelis. Pada masa yang sama, pengarah Steven Spielberg dan penerbit Peter Jackson meminjam pentas yang sama untuk dalam seminggu dan berfikiran mereka akan menggunakan metodologi yang sama untuk mencipta filem trilogi berjudul The Adventures Of Tintin: The Secret Of The Unicorn. Ia merupakan filem berdasarkan komik bersiri Belgium.

''Avatar adalah filem hibrid. Ia mempunyai syot penuh aksi digabung dengan karektor rekaan komputer dan kehidupan sebenar. Itu menyebabkan penonton tidak tahu yang mana satu imej sebenar atau palsu. Ini kerana Avatar mempunyai 60 peratus elemen rekaan komputer manakala 40 peratus lagi untuk imej realistik," kata Cameron.

Sebanyak 31 hari kumpulan produksi berkampung di Hughes Aircraft, Playa Vista Los Angeles mengambil foto manakala 31 hari lagi untuk sesi rakaman imej asli di New Zealand. Bagi menghidupkan watak golongan minoriti manusia di Pandora, pereka produksi melawat kawasan perlombongan Noble Clyde Boudreaux di Mexico. Itu bagi memastikan fotografi mereka menepati aspek selepas diadun dengan bantuan teknik imej penjanaan komputer (CGI).

Filem ini juga tidak terlepas daripada mendapat kritikan keras daripada pembikin konservatif yang menyifatkan filem ini untuk penerbit yang pemalas. Ia adalah hasil fantasi sinematografi Cameron yang mempunyai stail permainan video. Selain itu, menggabungkan komen sosial masyarakat, mistik dan pemahaman politik yang konservatif.

Mereka juga mengatakan bahawa Avatar menggambarkan imej kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang gemar memperluaskan jajahan dengan menakluk negara kecil. Ia bertujuan untuk mengambil alih kuasa pimpinan, menakluk ekonomi, agama dan hasil semula jadi negara berkenaan. Peperangan adalah satu cara untuk merealisasikan impian kepimpinan AS itu. Bagaimanapun, perkara itu kemudiannya disangkal oleh kebanyakan kepimpinan tinggi agama Kristian yang mengatakan bahawa Avatar hanyalah hiburan semata-mata.

Utusan Malaysia.