iDAN

24 November 2009

Honorarium Karya (Singgahsana)


Sejak dua tiga tahun ini diam tak diam ada tak kurang dari enam karyaku berupa Sajak terbit di Berita Harian. Aku baru sahaja menerima e-mel dari Sdr Salbiah bt Ani di New Straits Times Press (NSTP) tentang Honorarium tersebut.

Yang sedihnya, pihak NSTP sentiasa mengirimkan cek kepadaku setiap kali karyaku tersiar tetapi tak sekeping cek pun sampai ke alamatku. Punca angkara adalah kesilapan alamat. Tidak ditulis Nombor Jalan maka posmen tak dapat menghantarnya. Alamat di Jenaris semuanya menggunakan Nombor Jalan. Dari Jalan 1 entah berapa banyak jalan entahlah. Rumahku adalah di alamat Jalan Jenaris 3. Tanpa angka 3 ini memanglah susah posmen mahu mengecam alamatku. Nombor rumah 65, semua jalan ada.

"Itu tandanya rezeki ayah itu mahal!" Mila menyindirku bila aku mengadu tentang Honorarium yang entah menyelit di mana. Setahuku Mila tak pernah pun baca puisi aku, entah kenapa apa sahaja minatku Mila pasti membencinya.

Tak pasti apakah Pejabat Pos Kajang memulangkan semula cek tersebut ke NSTP atau terperap di pejabat mereka. Masalah rezeki itu bagiku bukanlah punca segalanya. Lagi pun Honorarium yang di itu tidaklah seberapa. Minat menulisku sejak berzaman bukanlah mencari laba. Tentang laba ini yang sering menjadi labah-labah di dada Mila.

"Kerja tak berfaedah, melayan perasaan, khayal tak tentu tempat" aduh! sedih menjadi Penyair ini, tak semua yang meminati bidang penyairan ini. Menyampah ramai. Biarlah jangan ambil hati. Janji jiwa ini bahagia ada tempat mengadu. Menulis itu bagiku adalah persada Mahkamah Jiwa; tempat kita mengadu yang bebas & luas.

Samalah ceriteranya Honorarium di Mingguan Malaysia atau Utusan Malaysia tak pernah aku terima. Apakah lantaran kesilapan alamat yang berlaku?. Memang tak pasti!. Dulu semasa karya tersiar di majalah, Wanita, Al Islam, Ummi, Mastika & beberapa media memang aku terima Honorarium. Titiklah bab Honorarium ini.

Puisi-Puisiku banyak terkumpul di sini, tengah mencari mana-mana yang tersisip & hilang; emmm! sayang aku tak kumpul sejak dulu. Sila klik jika anda bukan seperti kekasihku si Mila itu, masa di bangku sekolah dia memang tak pernah belajar sastera. Payah juga jika orang tak kenal sastera mahu mendekati sastera. Aku pula biar pun tidak pernah belajar sastera minat itu datang sejak di bangku sekolah rendah lagi; banyak membaca karja Hamka & puisi penulis lama, seperti Pak Engku Allahyarham T. Alias Taib.

iDAN: Mengantuknya mata penangan ziarah Tok Tongkat di Kuala Kangsar!.

Jika anda meminati bidang Sastera sila klik sini untuk ke situs Sastera iDAN