Penyu Menangis Siapalah Tahu *
Anak muda berlagu sayang
di bukit remis melepas rindu
adik ketawa di rantau abang
penyu menangis siapalah tahu
Sesak nafasnya sesak
tak tahu adik tak tahu
sebak dadanya sebak
tak tahu adik tak tahu
bengkak jantungnya bengkak
tak tahu adik tak tahu
Retak hatinya retak
tak tahu adik tak tahu
Lenyap ditelan derauan ombak
telur penawar hatinya lebur
tumpah air matanya melimpah-ruah
agar terhibur adik terhibur
Anak muda berlagu sayang
di batu remis melepas rindu
adik ketawa di rantau abang
penyu menangis siapalah tahu
penyu menangis siapalah tahu
Kelabu matanya kelabu
tak tahu adik tak tahu
sendu tangisnya sendu
tak tahu adik tak tahu
Sayu jiwanya sayu
tak tahu adik tak tahu
layu langkahnya layu
tak tahu abang pun tak tahu
* telah dijadikan lagu oleh penyanyi nombor 1 Malaysia
Sudirman Haji Arshad
Puisi Penyu
Bergurau senda di rantau adik
bergetak ketawa di rantau abang
tetamu bertemasya lalu mengusik
jantung hatinya berlubang
Siapa tahu matanya kelabu
siapa tahu dadanya sesak sebak
sedang air matanya berguguran
di atas lubang yang dikambus
sering digali orang
namun demikian penyu bertelur seumur
Telurnya berlubang segar
telurnya mewangi pantai timur
telurnya berisi penawar
Demikianlah nyanyian
lagu puisi penyu
dalam derita menabur jasa
Kesian Dia *
Kasih sayang tiada sempadan
bagai laut dan pantai
nasib malang bercerai badan
bak pasir dibelah badai
Buah hati timbangan badan
tidak dua dan tiga
sudah berjanji berpegang tangan
kiranya terlepas jua
Kesian dia
kesian dia
kesian dia
kesian dia
Serakit sirih seumbut pinang
selaut kasih sepantai sayang
Kalau boleh pinjamkan selendang
abang rindu harum baunya
merayu pada yang disayang
jika ada sisa kasihnya
Kesian dia
kesian dia
kesian dia
kesian dia
Biduk sebuah kita bermudik
dibuai tapak gelombang
biduk kekasih itulah adik
tempat abang menumpang sayang
Kesian dia
kesian dia
kesian dia
kesian dia
Serakit sirih seumbai pinang
selaut kasih sepantai sayang
Ombak kasih datang bertandang
pantai sayang menanti
namun abang tetap mengenang
sendiri kehilangan hati
Kesian dia
kesian dia
kesian dia
kesian dia
Serakit sirih seumbai pinang
selaut kasih sepantai sayang
* telah dijadikan lagu oleh penyanyi nombor 1 Malaysia
Sudirman Haji Arshad
Berkolek Bersajak ( 1 ) *
Aku berkolek
di dada laut
dengan jala-jemala
kutebar sepenuh tenaga
memburu hidup
Aku bersajak
di tangga pondok
dengan mata pena
kukhabar kisah manusia
di pintu maut
Aku berkolek dan vbersajak
dari pantai timur
ke kuala selut
mencari penawar
turubn-turunlah angin selatan
sorong-soronglah kolekku ke Pelabuhan Kelang
19 Mac 1972
* telah dijadikan lagu oleh penyanyi lagu-lagu puisi Ibrahim Bachik
Sepi Itu Indah
( untuk seniwati Sarimah )
Serakit puisi seumbai madah
selaut sepi sepandai indah
Di bawah jendela pantai terbuka
di tengah laut nan sepi
kudendangkan lagu puisi
kuntum cintanya berkelopak kembang
setanjung kasih seteluk sayang
Puteri penyu bermadah
sepi itu indah
sepi itu penawar rindu
Putih kebiru-biruan
laut indah berbunga mesra
kucah manis menyimbah
kolek sebuah kita berdua
lalu berkayuh meniti buih
dari pantai timur ke kuala lumpur
berlabuh kasih
Puteri penyu bermadah
sepi itu indah
sepi itu pewangi kalbu
Sebutir Bintang
( untuk Sudirman Haji Arshad )
Sebutir bintang timur
bertapak
di hujung malam
Sebutir bintang timur
berkelip-kelip
gilang-gemilang
pamar-berpamar
Sebutir bintang timur
berkilat
terang benderang
bersinar banar
Sebutir bintang di langit pagi
sinar cahayanya berseri di muka
air pasang naik meninggi
riaknya berbunga emas manis
bertabur kembang selaut seni
mengharum wangi nama ibunda tercinta
Berita Harian 23 April 1989
J.M. Aziz, nama sebenarnya Abdul Aziz bin Abdul Rahman dilahirkan pada tahun 1934 di Hujung Tanjung Seberang Takir, Kuala terengganu. Anak kelima daripada enam orang adik beradik. Bapanya terkenal sebagai seorang penyanyi kasidah manakala ibunya penyanyi lagu-lagu rakyat.
Bermula dengan profesi sebagai polis hutan, J.M. Aziz terarah kepada puisi. Suatu dugaan yang maha berat diuji kepada beliau apabila beliau di korantin kerana penyakit kusta di Sungai Buluh, Selangor pada tahun 1965. Sejak itu kehidupan J.M. Aziz berubah. Beliau terus menggunakan nama Jiwa Merana tanda kesengsaraan yang membelenggu dirinya. Melihat keadaan itu, sasterawan A. Samad Said mengubahnya menjadi J.M. yang memberi maksud jiwa merana tetapi lebih manis bagi mengikis rasa deritanya yang terlampau. Begitulah asalnya nama itu menjadi sinonim kepada J.M. Aziz.
II
Biar pun J.M. Aziz pengkisah kepada lautan, malah pernah digelar penyair laut, namun beliau juga sinonim dengan panggilan penyair ' penyu menangis '. Ini gara-gara lagu yang didendangkan oleh allahyarham Sudirman, ' Penyu Menangis Siapalah Tahu ' mengetop dan menjadi siulan. Mengapakah lagu itu begitu ngetop sedangkan ia hanya sebuah senikata yang dicuplik daripada puisi? Sebenarnya, ' Penyu Menangis " adalah suara hati penyair buta ini yang mana ia adalah akibat derita penyakit kusta yang dihadapinya. Suara batinnya sungguh luar biasa. J.M. Aziz dilahirkan di perkampungan nelayan di pantai timur Malaysia yang kaya dengan kemiskinan itu. Membayangkan itu, saya terus terbayang kisahnya ' Gadis Pantai ' novel karangan Pramoedya Ananta Toer, yang mana mengisah penderitaan gadis pantai di tangan Bendoro. Derita itu dirasainya, kerana ayah dan saudara maranya adalah pelaut yang miskin. Biarpun kehidupannya agak sederhana, namun ia tidak mengubah nasib biarpun bertungkus lumus sebesar mana sekali pun. Ikan-ikan segar, pari atau ketuka, udang dan sembilang laut, sotong, kepah dan ketam segar akan jatuh ke tangan orang tengah, tempat nelayan mengambil wang pendahuluan untuk membeli jala, membetulkan perahu yang bocor, pecah, ataupun bagi membeli beras, minyak, asam garam, dan membeli pakaian anak-anaknya yang mahu ke sekolah. Tompokan jiwanya terus terusan merana dengan hal ehwal kehidupannya yang bertompokan hutang itu. Sebuah tragedi bangsa merdeka yang dilaungkan akan diberi jambatan emas hingga ke akhirat. Tetapi dengarlah lagu yang mereka dendangkan! Dalam lagu ' Nyanyian Ombak ' nyanyian Zubir Ali dengan groupnya Harmoni, Zubir menyinis, " laut lebih mengerti/ dari mereka yang berkata/ selembut puisi . "
J.M. Aziz tulus menyanyikan derita batinnya disamping menyampaikan khabar derita saudara-saudaranya pelaut pantai timur. Di manakah keadilan yang diharapkan. Orang yang bertungkus lumus mencari penghidupan, terus menerus dilanda kesusahan. Orang yang hanya menadah hasil perih terik nelayan, bisa lumayan hidup dan senyumannya yang melebar. Mereka berdasi baru, cantik dan tidak seperti kaumnya yang berdasi buruk, hapak dan pengap.
III
J.M. Aziz setia dengan alamnya. Keseluruhan puisi yang dihasilkan adalah berlatar belakangkan laut, nelayan, dan sekitar penderitaan pelaut. Dengan gaya puisi tradisi, yang mengharmonikan syair, pantun dan gaya Melayu, penyair ini cukup membesarkan negerinya Terengganu. Rasanya, penyair yang paling banyak menyerlahkan negeri kelahirannya adalah J.M. Aziz. Sudah tentu kerana kecintaannya kepada kehidupannya yang melarat itu dan santun bangsanya yang terus terusan hanya melihat kesengsaraannya dengan senyum mendada. Dan dengan puisinya yang girang dan kelihatannya senang dan santai, tambah menyatakan bahawa penyair ini sebenarnya sedang gembira dengan kesengsaraan.
IV
Pada awal 1990an, saya sempat bertandang ke rumahnya untuk membuat sedikit tinjauan bagaimana kehidupan penyair ini terus berlangsung. Saya sebagai staff sebuah institusi pendidikan Melayu terbesar iaitu Institut Teknologi MARA, Shah Alam ( sekarang Universitas Teknologi MARA )
berasa pilu dengan kehidupan sang penyair yang acapkali dibuai dengan ujaran yang muluk-muluk. Rumahnya, hanya rumah tradisi Melayu kampung yang melarat yang relatif naif. Di depan, berhadapan tangga rumah atau barangkali serambi tertulis dengan ironis ' RUMAH PUISI '. Saya ke sana dengan serampang dua mata, selain meninjau, juga mahu menjemput beliau bagi satu acara konvokensyen pelajar. Daripada acara blak-blakan seperti memanggil artis ( Inul barangkali ) lebih real saya seorang akademik memanggil penyair yang buta matanya tetapi terang mata hatinya. Dan saya berhasil membawa seniman besar ini ke mercu tanda keagongan ilmu manusia.
Semoga ia tercatat dalam sejarah penulis.
Wajah ceria penyair besar ketika mudanya pada tahun 1952