Translate

||| Tentang Aku |||

Foto saya
Jenaris, Kajang Selangor, Malaysia
¤¤ Penyair nan tidak akan berhenti memaparkan sesuatu. Berkata benar biar pahit sekali pun. Kata kata biarlah membawa makna. Makna jangan berbau hina.¤¤

Perlu Baca

masalah tanah pusaka Md Sesh masih tidak selesai Klik Label: Pusaka Mengambil hak milik orang lain tanpa mengikut panduan Islam adalah HARAM; akta tanah yang dipinda oleh manusia hanya perangkap NERAKA bagi mereka yang tamak akan harta dunia

01 Januari 2012

Bagaimana munculnya pandangan mazhab?

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء والمرسلين، وبعد

Ramai sudah mengetahui kewujudan pelbagai cara beramal dalam masyarakat kita hari ini. Ada yang beramal dengan berpandukan pandangan-pandangan imam mazhab dan ada yang beramal terus merujuk kepada sunnah nabi s.a.w atau nas-nas syarak. Masing-masing mempertahankan cara mereka.

Pada saya, kedua-dua mereka berada di atas jalan yang lurus selagi mana mereka saling hormat menghormati dan mereka mematuhi disiplin ilmu istinbat hukum seperti yang ditetapkan oleh ulama Usul.

Kadangkala timbul dakwaan gopoh bahawa orang-orang yang beramal dengan pandangan-pandangan imam mazhab adalah beramal dengan tidak bersandarkan kepada dalil atau hujah syarak. Betulkah dakwaan ini?

Di sini saya ingin menyebut secara ringkas bagaimana lahirnya sesuatu hukum atau pandangan dalam sesuatu mazhab supaya kita lebih memahami bahawa orang yang beramal mengikut pandangan imam mazhab juga mempunyai sandaran syarak.

Mari kita lihat sejenak bagaimana sesuatu pandangan mazhab boleh lahir. Di antara empat mazhab terkenal, saya pilih mazhab pertama muncul, iaitulah mazhab Hanafi yang diasaskan oleh Imam Abu Hanifah an-Nu’man bin Thabit. Beliau lahir di Kufah pada tahun 80H dan wafat di Baghdad pada tahun 150H. Beliau juga digelar sebagai Imam A’zom atau Imam yang agung.

Tujuan pendedahan ini adalah supaya kita berlapang dada dan menghormati bahawa orang yang mengikut pandangan imam mazhab bukanlah mengikut pandangan akal ulama mereka semata-mata tanpa dalil dan hujah yang sahih.

Sekarang mari kita lihat bagaimana pengeluaran sesuatu hukum berlaku dalam mazhab

Hanafi seperti yang diasaskan oleh pelopornya Imam Abu Hanifah an-Nu’man. Pendekatan yang diambil oleh Imam Abu Hanifah ialah dengan membentuk pasukan ijtihad di kalangan sahabat-sahabatnya yang terdiri daripada ilmuan-ilmuan hebat pada waktu
tersebut. Pasukan ini berusaha mengeluarkan sesuatu hukum dengan melakukan ijtihad secara jama’ei. Abu Hanifah tidak beruzlah atau bersendirian dalam berijtihad untuk mengeluarkan sesuatu hukum.

Dalam perbincangan tersebut Abu Hanifah telah menjemput ulama lain (ashab Abu Hanifah) yang mempunyai berbagai-bagai bidang pengkhususan atau kepakaran. Mereka bermula dengan membentang suatu masalah, berdebat untuk satu tempoh, boleh jadi mereka bersepakat dengan Abu Hanifah, dan boleh jadi juga mereka mempunyai pandangan yang berlainan
dengan Imam mereka (Abu Hanifah).

Anggota-anggota dalam majlis perbincangan tersebut terdiri daripada:

1) Qadhi Abu Yusof, kepakarannya dalam bidang hadis melebihi Imam Abu Hanifah sendiri dan ahli-ahli yang lain.

2) Muhamad bin Hassan as-Syaibani, pakar bahasa. Ini penting supaya apabila dibawa sesuatu nas quran atau hadis, maka nas tersebut dapat difahami dengan tepat mengikut kaedah bahasa arab yang betul.

3) al-Qasim al-Mas'udi, juga pakar bahasa bagi mengimbangi pandangan Muhamad bin Hassan as-Syaibani.

4) Zufar bin al-Huzail, yang tajam akalnya untuk mengistinbat intipati kandungan nas quran atau hadis.

5) al-Hassan bin Ziad, sama seperti Zufar bagi mengimbangi pandangan Zufar.

6) Yahya bin Zakaria, pakar ilmu hadis, perawi Bukhori, muslim dll. Ada pandangan yang mengatakan dia lebih hebat dari Abu Yusof. Cuma kelemahannya dia jarang bersama Abu Hanifah.

Mereka semua bersama-sama dengan Imam Abu Hanifah berdebat dan berbincang terhadap sesuatu isu sehingga lahirlah pandangan-pandangan mazhab Imam Abu Hanifah (mazhab Hanafi).

Selepas kematian Imam Abu Hanifah, muncul ulama jenerasi kedua dan mereka mewarisi feqah Imam Abu Hanifah daripada ulama yang sempat bersama-sama dengan Imam Abu Hanifah. Antara mereka ialah:

1) Muhamad bin Sima'ah, tokoh ahli zuhud, pintar dari kalangan ilmuan Islam.

2) Abu Na'im al-Fadhl b Dukain, syeikh Bukhori, thabat/tetap bersama Imam Ahmad dalam kes fitnah makhluk al-Quran.

Begitulah muncul pandangan-pandangan dalam mazhab Hanafi. Selepas itu pandangan-pandangan tersebut mula tersebar dan diwarisi oleh jenerasi berikutnya.

Moga huraian ringkas ini dapat memberi sedikit gambaran bahawa orang yang mengikut imam mazhab juga mempunyai sandaran yang sahih. Cuma banyak penulisan kitab-kitab feqah menyebut hukum tanpa membawa dalil kerana ingin meringkaskan atau memudahkan para pembaca untuk beramal.

Walaubagaimanapun seperti yang disebut oleh Imam Hasan al-Banna; orang yang mengikut imam mazhab tertentu, wajar meningkatkan pengetahuannya sehingga boleh mengetahui hujah-hujah yang digunapakai oleh imam mazhabnya.

Oleh itu bagi pengikut mazhab syafi'e, jika anda ingin mengetahui sesuatu dalil dan huraiannya, maka anda kenalah cari kitab mazhab yang mengandungi dalil dan hujah seperti kitab Majmuk karangan Imam Nawawi.

Sekian والله أعلم بالصواب

Rujukan:
Usul berijtihad dan memberi fatwa dalam Fiqh Dakwah oleh Ar-Rasyid.

Disediakan oleh:
Ustaz Ahmad Zainal Abidin
Setiausaha MUIS