Semasa aku rapat dengan Meor Hashim Manaf, memang aku tahu dia mahukan aku menjadi artis popular ketika itu. Gambarku banyak telah dipotretkan untuk diterbitkan di akhbar arus perdana untuk teater Mimpi Haryatie.
Sayangnya ketika itu aku asyik kemarok cinta dengan Mila lalu aku terpaksa melupakan dunia Teater. Lagipun banyak faktor yang aku rasa aku amat lemah dalam berteater. Antaranya untuk menghafal dialog yang panjang². Aku ini memang jenis penggemar kepala ikan maka amat payah untuk menghafal. Pelupa. Skrip yang Meor berikan pula sering berubah-ubah.
"Aku cuma layak jadi Pak Pacak sahaja nampaknya!.." Aku bersungut dalam hati.
Melihat Sani Sudin begitu petah berdialog & berlakon. Abg Hisham juga adalah pelakon yang gigih. Aku rasa aku makin terpinggir. Bilamana aku melihat Abg Hisham yang kini belakon sebagai ayah di TV pun di layar perak memang ianya mengembalikan zaman bujangku. Bagaimana aku intim dengan mereka.
Aku hanya sempat berlakon dalam drama Tiada Gendang Mengiringi Tari arahan Zain Yahya yang menang pertandingan Teater Peringkat Kebangsaan bagi Wilayah Persekutuan. Aku jadi pengemis menari-nari & tidak siuman. Tiga kali dipentaskan & aku ada bersama kumpulan Zain Yahya dalam menjayakan teater ini.
Selebihnya aku hanya banyak berlatih & memang hasrat berlakonku tidak kesampaian.
Jika diingati memang sejak sekolah aku kerap berlakon. Pernah menjadi pelakon Teater Inggeris di St. Michael Inst. Di mana-mana seminar atau bengkel bina semangat aku juga sering berlakon slot² pendek. Hingga kini saki baki minat berteater itu masih ada, terkadang aku bertanding sendirian dengan persembahan pendek buat majlis di jabatanku. Kejayaan manisku pernah dinobatkan juara dalam persembahanku yang aku lakonkan sendirian.
Impian aku untuk menjadi pelakon aku lupakan lantaran cintaku. Aku membuat keputusan mengejut untuk bernikah gantung dengan Mila setelah satu semester dia memasuki UiTM. Aku meninggalkam Group Teater Kreatif lantaran mengejar cintaku.
Semasa aku rapat dengan Meor Hashim Manaf, pernah dia berkata.
"iDAN kau tahu skrip yang paling bagus di layar perak?"
"Filem India kot.."
"Haa aah! cerita Tamil, memang berbelit-belit ceritanya tetapi leka kita menontonnya"
- Bersambung