iDAN

02 Januari 2009

Taman untuk keluarga (Delima Merkah)

Gabungan elemen Inggeris dan Nusantara menjadikan ruang santai tampil bergaya.


SUASANA hijau yang mendamaikan walaupun dikelilingi pagar tinggi.


KEDIAMAN ini bagaikan taman di dalam taman walaupun ia dipagari jeriji setinggi bumbung. Malah, dek kerana jeriji yang tinggi itulah, rumah ini unik dan amat mudah dikenali di kejiranannya.

Menurut pemiliknya, Patimah Jepri, 57, pembinaan asas rumah ini adalah dalam bentuk memanjang dengan keluasan 100 x 50 kaki persegi. Ini sekali gus memberi kelebihan kepadanya untuk menghias rumahnya.

"Hiasan ini semuanya bermula dengan hobi waktu muda-muda dulu. Sekarang, semua anak saya sudah berkahwin. Jadi saya teruskan saja minat menghias rumah ini. Malah, ia lebih senang sekarang ini sebab tiada yang mengacau," jelasnya ketawa.

Bermula di ruang tamu utama, Patimah memilih konsep Nusantara. Meskipun hanya menggunakan perabot asas, ruang ini masih sarat dengan himpunan pasu berkaca daripada pelbagai medium.


SENTUHAN ala Inggeris mewarnai ruang dapur.


Umpama taman untuk keluarga, pilihan warna ceria dan kontras seolah-olah mencipta identiti tersendiri.

Di ruang tamu, kerusi panjang jati menjadi pemisah antara ruang tamu dan ruang makan. Pilihan fabrik langsir dan bentangan hamparan berwarna polos juga cuba diserasikan dengan jubin yang berwarna gelap bercorak abstrak.

"Mudah untuk menjaganya sementelah ruang ini adalah tumpuan kaum keluarga di samping ruang tamu kedua," katanya yang senang membuat sendiri hiasan di dalam kediaman empat bilik tidur itu.

Memilih warna lembut iaitu krim sebagai latar dinding, impak daripada siling tinggi berkemasan kornis menjadikan ruang tersebut tampak luas di samping kehadiran cermin hiasan serta jendela tanpa jeriji.

Ujar Rohana, beliau tidak mengehadkan dekorasi rumahnya hanya pada satu tema atau ruangan tertentu. Ruang santai untuk ahli keluarganya melepak sambil menonton televisyen turut dititikberatkan.


PERABOT jati menjadi pilihan dalam tata rias di ruang tamu.


"Sebab itulah saya gemar meletakkan kusyen pelbagai saiz di ruang ini. Mudah untuk anak serta cucu saya bersantai.

"Malah, sementara menanti hidangan disertakan, mereka boleh menonton televisyen terlebih dahulu tanpa perlu ke ruang depan," ungkapnya yang turut berbakat dalam bidang masakan.

Galak bercerita, Patimah membawa penulis meninjau bilik air yang telah diubahsuai menjadi taman. Sentuhan kreatif wanita ini membawa transformasi yang unik.

"Asalnya, memang ia bilik air biasa. Tapi setelah beberapa tahun dibina, kolam tersebut bocor. Jadi, daripada dibiarkan begitu saja dan dihuni cicak atau serangga lain, saya ubahnya menjadi taman.


PERINCIAN konsep dan tema menepati cita rasa penghuni kediaman.


"Sekurang-kurangnya dapatlah juga saya merasa seumpama berada di hotel," katanya.

Siapa menyangka, jala ikan yang tidak lagi digunakan menjadi ilham riasnya di sudut dinding bilik air itu. Selain itu, pokok pandan yang diletakkan di tepi kolam memberi aroma menyegarkan.

Tanpa meninggalkan landskap luaran, pokok-pokok daripada jenis daun hijau menjadi pilihan Patimah sebagai penyeri laman luarnya. Gaya santai ruang itu disempurnakan dengan letakan set meja bulat dengan tiga kerusi rotan.


CANDELIER kaca melengkapkan pusat tumpu pada kemasan kornis di siling.


Baginya, kehijauan pokok-pokok ini membuatkan rumahnya lebih sejuk sekali gus bertindak sebagai penyaring debu yang diterbangkan daripada kesibukan jalan raya di hadapan rumahnya.

"Dulu, lebih banyak pokok yang ditanam di rumah ini tetapi ia sudah diberi kepada jiran yang berkenan untuk membiakkannya di rumah sendiri," katanya.