iDAN

23 Ogos 2009

Peta Seantero Dunia (Singgahsana)

Aku baru sahaja cuba memasuki akaunku di Wikimapia, nampaknya semuanya dipadamkan. Yang menjadi masalah semakin hari semakin terlampau peranan Wikimapia untuk kita mencari lokasi tempat. Ada yang begitu rajin memadam semua lokasi, sampaikan payah kita mahu menemui, masjid, pasar & lain-lain lokasi penting.

Puncanya bukan apa ada kelompok di Wikimapia yang dikira bagaikan kata Cikgu Rashid bersikap "Beruk Berayam" Bunyi istilah ini memang agak buruk tetapi itulah kenyataannya.

"Cikgu apa maksudnya Beruk Berayam itu cikgu" Masa itu aku di bangku Darjah Lima sekolah di kampungku.

"Beruk kalau dapat ayam mesti dicabut-cabutnya bulu ayam sampai ayam tu togel, faham maksud saya?."

"Orang tak tahu untung, betul cikgu?"

"Lebih kurang begini, dapat sesuatu kuasa dia salah guna, dapat rezeki dia membazirkan.."

Memang makin togel Wikimapia. Sampai jika kita klik ke situs Melayu, kubur Mona Fendi yang aku tanda sejak lebih dari 3 tahun lalu telah hilang. Mesti ramai nak tahu di mana lokasi kubur Mona Fendi kan?.

Bilamana akaun seseorang itu telah dipadam semua yang ditandanya ikut terpadam. Puncanya golongan Beruk Berayam ini marah sangat seseorang itu menandakan tempat-tempat yang penting bagi dirinya, seperti rumahnya, rumah di kampungnya, rumah opahnya & mungkin gerai tempat dia selalu lepak. Semua lokasi peribadi ini terlarang di Wikimapia.

Kononnya golongan ini mahukan semua tempat yang tersohor sahaja, Saya pernah menulis ke empunya Wikimapia. Bagi mereka tidak menjadi masalah asalkan ditandakan secara betul & tidak ada perkataan porno, lucah atau tidak sopan disertakan. Akibatnya bila semua akaun yang tersalah menandakan lokasi peribadi tadi dicantas (banned) maka terikutlah terpadam lokasi masjid, pasar atau tanah perkuburan. Memang biasanya bila akaun seseorang dicantas semua lokasi yang beliau tandakan juga terpadam.

Apakah golongan Beruk Berayam ini mampu mencari semula lokasi penting ini. Apakah golongan Beruk Berayam ini mampu pusing satu dunia untuk mendapat maklumat sebenar sesuatu tempat yang selalu berubah. Maka makin payah untuk kita mencari maklumat terperinci dengan Wikimapia oleh kerana ujudnya penggodam ini.

Seperkara lagi, biasanya akaun dari mereka yang pernah menandakan lokasi terlarang ini bagi golongan Beruk Berayam ini sentiasa dipantau. Jika akaun menggunakan Bunga, mahu didaftar Bunga1 pun tak boleh, sampai ke taraf itu mereka mahu menguasai Wikimapia. Wikimapia pula banyak berkait rapat dengan Google Earth. Jadi kedua-dua server ini makin jadi tidak berhasil memberikan maklumat terkini lantaran sikap golongan Beruk Berayam ini.

Aku tadinya mahu menunjukkan di mana lokasi Masjid Kajang kepada rakanku lantaran mahu menandakan ada Restoran Rahsia yang baru dibuka. Aku selalu ceritera kepada kekawan betapa menariknya Restoran Rahsia ini. Jika masjid Kajang pun tidak ditandakan di Wikimapia tentunya payah dia mahu ke sana. Aku terpaksa reka akaun baru & menandakan lokasi Masjid Kajang & menandakan di Mana Restoran Rahsiaku itu. Aku yakin menjelang tiga hari lagi akan hilanglah akuan aku sekali gus bersama lokasi Restoran Rahsia tersebut. Jika golongan ini merasakan masjid ini penting mereka akan menggunakan akaun klon mereka menanda semula lokasi masjid tersebut & melenyapkan nama penanda lokasi terawal. Tentunya ini membuang masa & tak pasti apakah sebenarnya harapan serta cita-cita golongan Beruk Berayam ini.

Perkara ini pernah berlaku di kampungku sendiri, kelakarnya Mat Saleh dari luar negara menandakan lokasi Sekolah Kebangsaan di kampungkan. Bagaimana Mat Saleh ini boleh tahu, apakah dia pernah datang ke kampungku. Malahan Kubur Pedas yang penuh misteri entah kali ke berapa hilang asyik hilang di Wikimapia. Padahal telah lebih tiga tahun lalu aku yang rajin menandakan tempat & bangunan di sekitar perkampunganku.

Aku teringat akan Dr Asraf yang lama berada di United Kingdom. Dia pernah menunjukkan betapa terperincinya plan di alam maya mereka. Aku terlupa URLnya. Jika mahu ke rumah rakan, taip sahaja nombor lot rumah, bukan setakat rumah ditemui, berapa petak parkir yang tersedia pun dilukiskan terperinci.

Itu yang aku pertikaikan kepada geng Beruk Berayam tersebut. Mana yang lebih kita mahu temui di peta yang kita lihat. Balai Poliskah atau rumah rakan kita. Jika di bandar memanglah tidak lojik untuk menandakan lokasi sebuah rumah jika tinggal di Flat. Cukuplah sekadr Blok Flat ditandakan. Bagaimana kalau di kampung yang rumahnya jarang-jarang. Ada yang terpencil sampai beratus meter. Satu kilometer pun ada jauhnya rumah seseorang. Sebagai contoh rumah milik Haji Soba. Kalau di kampung aku siapa tak kenal Haji Soba. Dia Imam di kampungku, salahkah atau cacatkah Wikimapia jika kita tandakan rumah Imam kita sendiri. Memang rumah Haji Soba ini jauh terpencil. Begitu juga apa bedanya pentingnya kita tahu mahu rumah Ketua Kampung atau rumah Tok Penghulu. Sayangnya golongan Beruk Berayam ini telah menolak semua itu. Jadi jika kita mahu mengembara. Bagaimana mahu mencari rumah P. Ramlee melalui Wikimapia. Memang tak jumpa.

Kita kena buat sendiri nampaknya lokasi rumah kita. Macam yang aku buat ini.

Sila Klik ini Peta Rumahku