17.2.2006
(Terbit di di TokeiKedai pada Mei 28, 2006 - 12:08 AM)
Aku terbaca di internet tentang kes bunuh diri di Malaysia. Elok juga untuk kita hayati kandungan artikel ini.
MEMBUNUH DIRI DAN PENYAKIT MENTAL
Oleh Profesor Dr Syed Hassan Ahmad
APABILA seseorang itu dikatakan mengalami penyakit mental, ramai orang akan membuat andaian bahawa individu berkenaan tidak boleh dipercayai dan berisiko melakukan sesuatu perbuatan ganas kepada orang lain.
Keganasan yang dimaksudkan boleh membawa kepada pembunuhan.
Sesungguhnya andaian seperti ini agak prejudis kerana lebih ramai orang yang sanggup membunuh, tetapi mereka tetap waras.
Dalam keadaan sama juga, ada golongan sanggup membunuh diri dan dalam golongan ini juga ada sebilangan yang masih waras, tetapi sanggup melakukan perbuatan tidak berperikemanusiaan ini.
Kedua-dua senario ini menunjukkan setiap perilaku itu mempunyai motif dan niat tersendiri. Walau apapun, semua orang disuruh berbuat yang baik dan meninggalkan perkara keji.
Apabila berbicara mengenai pembunuhan diri, daripada perspektif undang-undang tindakan ini dianggap satu jenayah. Namun dalam konteks agama, khususnya Islam, perilaku membunuh diri dilarang sama sekali.
Ini kerana nyawa yang ada di badan bukan milik individu berkenaan, tetapi kepunyaan Allah yang dipinjam sementara kepada manusia.
Apabila sampai masanya, nyawa yang dipinjamkan itu akan diambil semula dan inilah sebabnya membunuh diri menjadi dosa besar.
Bukan saja perilaku pembunuhan diri dilarang, bahkan niat untuk berputus asa juga tidak dibenarkan. Ini bermaksud kita sentiasa disuruh berfikiran positif dan membina. Apa bentuk pun kesusahan dihadapi, kita disuruh bersabar dan sentiasa berusaha mencari jalan penyelesaian.
Dalam masyarakat kita, ramai orang berlumba-lumba mencari kaedah untuk hidup lama. Oleh itu pelbagai cara dibuat seperti menjaga pemakanan, beriadah serta mendapat pemeriksaan perubatan dan kesihatan dari semasa ke semasa. Tujuannya supaya panjang umur. Hidup ini penuh nikmat, oleh itu semua orang hendak mengecapinya.
Namun, ada segolongan pesakit, sama ada fizikal atau mental, berasa hidup tidak bermakna lagi. Dalam fikiran pesakit ini timbul perasaan putus asa dan sanggup melakukan sesuatu bagi mengakhiri hayat mereka. Kenapa perkara ini berlaku?
Kajian yang dibuat menunjukkan sebahagian besar daripada perilaku pembunuhan diri adalah disebabkan penyakit mental kemurungan.
Individu yang mengalami penyakit mental kemurungan, terutama pada tahap serius, berisiko melakukan pembunuhan diri. Kajian juga menunjukkan 15 peratus daripada pesakit kemurungan membunuh diri, terutama yang turut mengalami penyakit fizikal dan daripada golongan warga tua. Golongan lelaki didapati lebih ramai terbabit.
Pun begitu, ada juga golongan warga tua yang masih sihat dan mampu memberi pandangan dan buah fikiran bernas. Penuaan adalah proses semula jadi dan sangat penting untuk kita sentiasa mengamalkan cara kehidupan sihat kerana mereka yang sentiasa mengambil berat mengenai kesihatan diri sejak zaman muda lagi akan berupaya menjangkau alam warga tua dengan sejahtera.
Pembabitan penyakit mental kemurungan atau depresi dalam aktiviti pembunuhan diri berlaku kerana pesakit dipengaruhi fenomena delusi, di mana pesakit percaya mereka tiada harapan untuk sembuh.
Kadangkala ada juga fenomena delusi berbentuk rasa bersalah sehingga menyebabkan pesakit percaya hanya kematian mampu menghapuskan dosanya.
Membunuh diri kerana penyakit mental kemurungan boleh berlaku kepada siapa saja, tidak kira sama ada mereka yang baik budi pekerti atau sebaliknya.
Seorang tokoh agama, tidak kira apa agamanya, masih boleh melakukan pembunuhan diri. Perkara ini berlaku disebabkan cengkaman delusi yang dialaminya.
Justeru, kadangkala orang ramai terkejut bagaimana seorang tokoh agama boleh membunuh diri, walhal beliau tahu perilaku itu dilarang keras oleh agama.
Namun, ia berlaku juga kerana orang berkenaan mengalami penyakit mental kemurungan atau depresi. Penyakit yang tidak dikesan dan dirawat dengan secepat dan sebaik mungkin ini, akhirnya akan membawa musibah.
Kadangkala ada juga yang mengalami penyakit mental kemurungan memohon bantuan orang lain supaya sesuatu dilakukan kepada diri mereka supaya mereka cepat mati.
Kepada kumpulan pesakit ini, mereka berasa azab dialami tidak dapat ditahan lagi. Oleh itu mereka berpendapat lagi cepat mereka mati, lagi baik untuk diri mereka.
Dalam keadaan seperti ini, semua orang yang terbabit dalam penjagaan pesakit tidak dibenarkan sama sekali membantu pesakit supaya cepat mati. Pendekatan seperti ini disebut eutanasia.
Ia salah daripada segi undang-undang. Bahkan ramai doktor dan jururawat terbabit dengan perilaku ini, sama ada secara sukarela atau terpaksa.
Satu lagi gejala tidak sihat berkaitan pembunuhan diri adalah salah guna teknologi maklumat.
Sekarang ini apa saja yang anda cari, anda boleh dapat jawapannya daripada penggunaan komputer dan internet.
Ini termasuk pendekatan bagaimana hendak membunuh diri secara perseorangan atau beramai-ramai yang disebarkan pelbagai laman web. Sudah berlaku banyak kes di mana seseorang yang dilanda penyakit mental kemurungan sanggup meniru apa yang dicadangkan dalam laman web berkenaan.
Hak kebebasan individu seperti ini sangat berbahaya kerana kesan sampingannya akan merosakkan pedoman hidup orang lain.
Walaupun kita disuruh jangan lupakan mati, kerana kita semua akan mati, hidup kita ada matlamat dan tanggungjawab.
Oleh itu kita harus laksanakan tanggungjawab berkenaan sebaik yang boleh sebelum mati. Ingatan kepada Tuhan yang maha kuasa akan dekatkan kita dengannya.
Pembunuhan diri adalah satu fenomena yang merugikan negara. Mengikut perangkaan yang dikeluarkan Persatuan Psikiatri Malaysia, pada masa ini jumlah penduduk negara kita yang membunuh diri setiap tahun ialah 2,500 orang dan ramai daripada mereka mengalami kemurungan atau depresi.
Justeru, sangat wajar kita mengetahui serba sedikit mengenai perilaku pembunuhan diri supaya jumlah mereka yang terbabit dapat dikurangkan.
©The New Straits Times Press (M) Berhad
Punca membunuh diri seperti disebut di atas banyak sangat menyebut sakit mental pun masalah kemurungan. Tidak disebut masalah kerasukan yang bukan mustahil menjadi punca segala. Arwah Nasha tidak pernah sakit mental, dia seorang yang tabah, penyabar, memang tidak pernah aku sendiri melihat dia naik minyak, pemarah, atau baran tak tentu pasal. Memang tak pernah. Murung? pun rasanya tidak, dia dapat menyampaikan masalahnya terhadapku. Contohnya dua minggu sebelum kejadian, dari kata-katanya; memang dia amat normal.
" iDAN ... bilamana dapat berbual & meluahkan masalah aku pada kau, aku rasa amat lapang. & nasihat kau aku rasa dapat meringankan bebanan masalahku. Terima Kasihlah iDAN"
Memang kata-kata arwah tergenang-genang di kolam ingatanku. Maka itu aku amat kontras bilamana menerima khabar pemergian arwah.
Memang hebat arwah Nasha menyimpan rahsia perbalahan dengan isterinya; sebab dalam pertemuaan ringkas dengan emak mertuanya, kami memang tak dikabar pun biar sedikit tentang punca tragedi membunuh diri ini. Masakan keluarga mertua dia tak tahu. Begitulah keruntuhan sistem kekeluarga Islam kita.
Jika mengikut anjuran Agama, kalau terjadi keretakkan rumah tangga Islam, kedua-dua pihak kena sama-sama bermuafakat menyelamatkan sebuah rumah tangga. Kedua-dua pihak yg dimaksudkan ialah kedua ibu bapa pihak suami & pihak isteri. Kenapa Islam menganjurkan begitu? Kembali ke asalnya. Dari merisik meminang pun majlis kenduri kahwin, kedua-dua besan akan bermuafakat mencari jalan terbaik untuk menyatukan dua hati. Begitu juga dengan keretakan rumah tangga. Seharusnya begitu, bila ada perbalahan dalam rumah tangga patut kedua-dua pihak bermuafakat dengan cara baik. Jangan sesekali sebelah pihak membuat keputusan. Contohnya mak mertua sorang yang campur tangan, pastinya mak mertua akan memihak anaknya sendiri, payah dia memihakkan menantu. Seharusnya menyelesaikan masalah dengan mengetahui puncanya dari ke dua pihak. Jangan buat andaian di sebelah pihak sahaja.
Firman Allah, bermaksud: “Dan jika kamu khuatirkan ada persengketaan antara kedua-duanya (suami isteri), maka kirimlah seorang hakam dari keluarga lelaki dan seorang hakam dari keluarga perempuan.” (An-Nisa’: 35).
Seperkara lagi, jangan ada orang luar yang pertaliannya jauh dari keluarga rumah tangga yang bermasalah. Dikuatiri orang luar akan menangguk di air keruh. Seharusnya kedua ibu bapa atau keluarga terdekat yang boleh dijadikan pedamai dalam sesebuah perkahwinan. Kedua ibu bapa pasti akan sayangkan cucunya (jika pasangan itu telah ada anak). Tak mungkin orang tua yang waras akan mahukan cucunya jadi mangsa jika terjadinya perceraian. Itu cantiknya anjuran agama kita sarankan.
Itu antara isunya kes arwah, keluarga ke dua pihak memang tidak dapat menyelami masalah kedua-dua pasangan. Arwah Nasha memang telah kematian ayah, emaknya di kampung memang tidak dikhabarkan permasalah mereka. Keluarga isterinya, faham sajalah jika ayahnya pun kawin lain, ayah Ani kemungkinan tidak langsung menasihati anaknya agar bersabar & terus menjaga hati suami.
Kemungkinan juga masing-masing tidah mahu keluarga kedua pihak tahu. Terusan melayan hati, faham sajalah jika isteri dengan pertimbangan 1 Akal + 9 Nafsunya, . Lelaki pulak sebaliknya 9 Akal + 1 Nafsu , terlalu banyak pertimbangan iaitu 9 Akal tadi mungkin menjadikan bagai nak pecah kepala. Pun nafsunya yang 1 itu sudah lah sedikit... terabai pula! apakah akan jadi bilamana ianya makin tidak diimbangi. Memang boleh pecah bagaikan Empangan Temenggor pecah!. Itulah hebatnya nafsu 1 lelaki itu.
Huh aku terlalu kasihan dengan arwah, aku pula tak serapat Wak Lan (Ulan) dengan isterinya!. Ulan pernah berkata arwah kerap mengungut isterinya, sampaikan mengugut mahu membunuh. Aku tidak menafikan perkara sedemikian akan terjadi, semua suami akan bertindak perbagai, jika tak sanggup lagi melihat kerenah isterinya yg kian terlampau. Sudah lupa rukun rumah tanngga.
Aturan Agama, contohnya syarat keluar rumah yang isteri wajib meminta keizinan suami. Langgar saja. Izin itu maksudnya meminta keizinan suami terlebih dulu, berbeda dengan memberitahu. Izin & memberitahu amat berbeda. Kerap para isteri sekarang begitu, " Abang saya nak pergi facial Sabtu ini " Temujanji sudah dibuat, belumpun lagi suami izinkan. Itu beritahu bukan minta izin. Itulah isteri sekarang. Begitu juga soal pinta izin dalam rumah tangga arwah; Isteri arwah selalu langgar aturan ini. Lepas bebas ke mana saja, maka itu arwah jadi tambah buntu.
Perlu diingat aturan itu bukan suami yang membuatnya. Itu adalah aturan dari Allah Azza Wa Jalla. Apatah lagi jika keluar rumah berjumpa dengan lelaki yang suaminya sendiri tidak kenal!. Akan melaratlah kemungkaran. Amat payah bagi arwah untuk menunaikan amar ma'ruf dan nahi mungkar dalam rumah tangga sendiri. Bilamana peraturan izin itu sendiri Ani tidak hormati. Maka itulah jadinya peristiwa di Bukit Dukung.
Memang tidak mustahil apa yang Ulan ceritakan. Arwah mengungut perbagai terhadap isteri, bukan satu yang mustahil, bukan kes "telefon karat", bukan cerita dongeng. Ugutan begitu seharusnya sang isteri faham lantaran mahukan isteri kembali sedar kembali insaf, kembali menjaga kerukunan rumah tangga. Bertitik-tolakkan peraturan rumah tangga yang agama ajukan. Jika isteri telah mengingkarinya, maka sudah semesti suami yang sayangkan rumah tangga akan bertindak. Islam membenarkan sampai memukul, bukanlah pukul ganas!. Pukulan pengajaran!
Para suami dibenarkan oleh Islam memukul isteri yang melakukan nusyuz (derhaka kepada suami) akan tetapi pukulan yang dimaksudkan itu ialah pukulan untuk tujuan mengajar atau mendidik dan tidak meninggalkan bekas (kesan pukulan), bukannya untuk tujuan memudaratkan, mencederakan atau penderaan. Itu pun setelah mendahului mengambil langkah-langkah lain terlebih daahulu dengan menasihatkannya kemudian memisahkannya daripada tempat tidur (tidak tidur bersama). Jika ini tidak berjaya barulah dibenarkan memukulnya dengan pukulan yang tidak meninggalkan bekas kepada tubuh badannya.
Perkara ini jelas sebagaimana Allah Subhanahu Wataala berfirman yang tafsirnya:
"Wanita-wanita yang kamu khuatirkan nusyuznya, maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah mereka daripada mereka di tempat tidur mereka, dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka mentaatimu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkaannya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar." (Surah An-Nisaa’ : 34).
Bagiku masalah hati seperti masalah hilang langsung perasaan kasih sayang atau cinta terhadap suami atau isteri adalah jadi perkara kedua atau ketiga. Pertama yang penting adalah mengekalkan jodoh, takdir Allah yang menjodohkan kita, diikuti dgn tanggungjawab mendidik anak, menjaga anak, menumpahkan seluruh kasih sayang terhadap anak. Itu lebih utama dari menjaga hati & perasaan kita sendiri. Dari terus mementingkan diri sendiri. Lantaran jodoh perlukan keprihatinan, anak-anak pula perlukan bimbingan. Anak-anak kita lemah tak punya apa; Lihatlah jernihnya mata mereka. Mereka perlukan kuasa ibu bapa untuk membesarkan mereka.
Dr Khairi pernah berbual dalam kes ini, katanya risikan kasih dari luar keluarga, contohnya janda gilakan suami orang, suami orang kejar anak dara orang, isteri orang kejar suami macho & kaya, isteri orang ghairah nak jejaka muda. Semua itu adalah ibarat fatamorgana. (fatamorgana adalah bayangan yg kabur, contohnya kalau kita menaiki kereta tengah panas terik nampak macam di jalanraya tersebut ada seakan-akan air dipermukaan jalan) Fatamorgana itu akan hilang bilamana kita jejak dia. Kenapa perlu kita nak kejar fatamorgana itu.
Kes arwah Nasha, tanyalah dengan siapapun, dia itu siapa? Nasha itu siapa. Seperti aku nyatakan selalu...Aku sendiri tak pernah dengar atau lihat dia marah, mengamuk jauh sekali. Orangnya memang amat baik, orangnya memang amat sabar, amat pengasih dengan anak-anak. Jika kita berkawan dengan dia, memang kita dapat rasakan betapa baiknya dia. Kehilangan dia memang satu yg amat membungkamkan hati. Jadi jika isteri arwah membenci dia, pasti aku yakini dia silap, dia tak kenal mana intan atau kaca malahan sekai gus dia telah merobekkan hati anak-anaknya. Anak-anaknya rapat dengan arwah. Jika anak-anaknya mendapat ayah tiri aku yakin ayah tiri takkan dapat tandingi keabraban arwah melayani anak-anaknya.
Aku ingin bertanya kepada sang isteri yang membaca tulisan ini, apakah matlamat perkahwinan di sisi mereka. Mahukah anak-anak punya ayah tiri? Tak inginkah melihat anak-anak membesar dengan ayah kandungnya sendiri dalam keadaan bahagia?. Tak bolehkah menerima kekurangan suami, di samping memikirkan segala kebaikan suami; pun sang suami ... tak bolehkah maafkan kekurangan isteri bilamana terjadinya perbalahan keluarga. Ingat-ingatlah kebaikan sang isteri apabila api kemarahan memarak. Ingat-ingatlah ketika membuaknya nafsu (1) kamu itu, mana tempat halalmu untuk melepaskan buakan nafsumu itu. Bukankah isterimu!. Ngapa nak marah melulu. Mana ada suami atau isteri yang sempurna?. Bagiku yang sempurna itu hanya ada pada Bidadari. Sang isteripun inginlah!, kalau nak jadi Ketua Bidadari kenapa tak cuba jadi sempurna?.
Isk aku mula gawat bila terkenang-kenangkan masalah arwah!, perbagai aku fikirkan. Tapi kenapa aku tak sanggup ketemu Ani?. Aku rasa amat bersalah.
Ramai pujangga berpesan, Apabila kamu marahkan seseorang, ingatkan kebaikan yang pernah dia lakukan terhadapmu insya-Allah, kamu kan cepat memaafkan dia, akan reda marahmu & akan dapat mengintimkan kembali jalinan antara kamu.
Hubungan rumah tangga bukan hubungan mainan. Jalan keluar perbalahan bukan kejar lelaki atau perempuan lain. Kena ingatkan hubungan yang kekal dunia akhirat yang akan jadi mangsa perceraian ia itu anak-anak!. Mahukah anak-anak porak-peranda?.
Jauhnya aku mengelamun!.
Hujan masih tak berhenti, bau kapur barus perit meyusuk hidung, sesekali keranda jenazah bergegar-gegar, maklum bilamana ikut lebuh raya ke utara. Jalan simennya memang mengegarkan van jenazah. Aku mereka-reka perjalanan... jauh lagi ke Gua Tempurung. Aku terkenang ketika mengiringi arwah apak yang meninggal di KL mahu dihantar ke Kota Bharu Perak, Lewat malam ketika itu; di Gua Tempurunglah aku berlumba lumba dengan kereta jenazah. Selepas potong kereta jenazah selang beberapa ratus meter ada lagi kereta jenazah memotong kereta aku. Entah kereta-kereta jenazah siapa. Kini aku pula akan lalu tempat yg sama, tapi lain keadaanya. Aku terkurung di dalam van jenazah, rakan karib menggantung diri; emm ... pergolakannya pula amat membelenggu hatiku. Perjalanan jauh begini rasanya tambah jauh.
Kilat sesekali masih kedengaran; aku cuba merapatkan mataku ke cermin kut-kut nampak di luar... isk... gelap.. tak nampak apa-apa pun.
- bersambung
Posted on 17.2.2006 at 6:44 AM
Klik Suram vii