iDAN

04 Februari 2010

MMms 24 Jumpa Doktor Lagi (Singgahsana)

Seperti lazimnya, jika sakit kronik ini tidak meruncing, dua bulan sekali aku terpaksa jumpa doktor. Jika didapati glukos tinggi, tekanan darah tak okey, jantung pula bermasalah, tiap bulan terpaksa mengadap doktor.

Sakit darah tinggi, kolestrol, hati & diebetes di bawah rawatan PKupm, Doktor Imah. Buah pinggang pula doktor yang tak menentu di Hospital Kajang. Jantung & gastrik pula di Hospital Serdang, Klinik Kardio Pakar Jantung pun doktornya tak menentu.

8 Februari 10, Senin jam 9:00 pagi aku kena berada di PKupm, selalunya Dr Imah datang agak lewat lalu aku lewat sikit bertolak dari rumah. Sebenarnya hati ini terlalu berat nak ke UPM, lantaran sejarah lalu banyak memberi kesan negatif pada diri ini. Tetapi mengenangkan ubatan di PKupm agak baik berbanding di hospital awam yang lain. Aku kuatkan juga semangat ke sini. Bagusnya ubatan yang disediakan di PKupm hanya perlu makan sekali sahaja dalam sehari; tak perlu sampai sehari dua atau tiga kali. Maka mudah sedikit aku menyusun jadual pemakanan ubat. Sehari sekali makan pun terkadang aku boleh terbabas, tak tahulah jika sehari terpaksa makan tiga kali. Harus bertambah kronik sakit ini.

Sepanjang bulan Januari 10 ini agak tidak teratur penjagaan aku tentang permakanan, terutama aku banyak makan limau mandarin, banyak juga minuman air isotonik. Kurang pula makan buah goji. Dua tiga hari ini pula aku asyik sesak nafas ketika tidur. Tak pasti kenapa mungkin aku tak ikut sangat jadual makan ubat cair darah & ubat kolestrol. Aku tak larat nak makan ubat kolestrol itu lantaran selepas memakannya pasti seluruh sendi ditarik, ubat cair darah pula terasa pedih hati. Ubat lain itu tak kisah sangat.


Apa-apa pun semuanya terkawal, sejak lebih dari tiga tahun aku berulam dengan ubatan ada beberapa kali sahaja aku dalam keadaan kecemasan; itu pun lantaran terjadinya kejutan. Jika aku terusan menjaga jadual permakanan ubat aku yakin akan boleh bertahan lagi. Ajal maut di tangan Tuhan. Aku berharap sangat agar jangan sampai ubat yang kutelan merosakkan buah pinggangku. Bila aku mencongak usia ini, jika aku masih bertahan sepuluh tahun lagi, itu bagiku adalah satu rahmat. Jika lebih dari itu ianya satu anugerah yang amat bernilai. Emm! kejap sangat rupanya persinggahan kita di dunia ini.

Impian aku tinggal di Desa Tualang masih tak tercapai!.