Kenapa Mawi menang lagi!
"Kalau tak kerana dia itu Raja SMS belum tentu menang lagi" Itu kata mereka yang bukan peminat Mawi.
"Mawi world!, memang kemenangan ini hak dia" Kata peminat Mawi yang masih setia mengundi dia.
Jika kita kumpulkan jumlah hadiah yang Mawi dapati dari ABPBH sahaja sudah lebihi RM1juta dengan tiga kali dinobatkan menjadi Bintang Paling Popular. Belum lagi ganjaran menjadu Duta & perbagai pengeluaran barangan. Aura Mawi memang sukar ditandingi oleh artis lain. Biarpun ada kalangan artis telah kita nobatkan sebagai sifu, biduan, biduanita, seniman & perbagai gelaran lagi.
Rezeki Mawi memang murah berbanding dengan artis lain yang memang lebih popular sebelum dia tetapi di hari tua mereka bernasib malang seperti M.Rajoli mengidap Kanser Kelenjar Otak. M. Rajoli hidup sebagai manusia biasa, jauh sekali digelar jutawan. Diuji pula dengan penderitaan yang memang gurur.
Bagi mereka yang pernah bergiat sebagai pelakon, pastinya mengakui betapa payahnya untuk berlakon di pentas teater. Bukan mudah dapat menghayati watak & membuat penonton terhibur. Bukan mudah mahu di gelar bintang. Begitu jika mahu menjadi DJ berjaya seperti Halim Othman jika sekadar pandai bercakap kurang membaca.
Malam tadi Mawi sekadar menyanyikan lagu pelek yang peminatnya pun mengeleng kepala. Entah apa bunyinya tetapi peminat tetap menghadiahkan dia sekitar RM400 ribu.
Bilamana terkenang Kak Yan yang kian gugur rambut lantaran kanser pasti ramai peminat Kak Yan terkilan. Apatah jadi dengan peminat Mawi ini terlampau memanjakan dia. Sedangkan duit ganjaran semewah itu baik digunakan membantu artis yang bermusibah. Sudah tiba masanya peranan juri mengadili bintang popular agar imbuhan buat artis tidaklah sewenang-wenangnya dimonopoli oleh seseorang artis sahaja.
Bukan tujuan aku menulis ini lantaran mahu menidakkan bakat & aura Mawi, tetapi rasanya ada sesuatu yang tak kena dalam anugerah ABPBH ini. Dulu semasa Siti di puncak pun ramai persoalkan. Tetapi dulu hadiahnya tidaklah selumayan tiga tahun kebelakangan ini.
Nak buat apa Mawi dengan kereta Mewah yang ada pun tak terpakai.
Cuba kita imbas kembali Bintang yang kita puja sejak berzaman. P. Ramlee contohnya; masalah royalti Allahyarham pun masih tidak selesai. Dia memang telah tiada. Keluarganya yang tinggal pun tidak merasa hasil seni yang ditinggalkan P. Ramlee. Sekitar dua tiga tahun lalu aku sering melihat cahayamata Allahyarham sempena lagu Anakku Sazali masih menjadi buruh di Kajang seperti aku. Sewajarnya dengan hasil seni P. Ramlee peminat pun kerajaan dapat membela nasib keluarga yang ditinggalkan.
Persatuan artis seharusnya memainkan peranan agar mencari jalan agar penaja tidak sewenang-wenangnya menaja sesuatu anugerah tanpa memikirkan anugerah ini mungkin boleh melumpuhkan minat & daya kreativiti penggiat seni.
Ramai mereka yang bergiat di bidang seni pasti teruja & terpanggil mahu menyuarakan rasa terkilan mereka lantaran pasti ada rasa diketepikan dalam anugerah seperti ABPBH ini.
Ramai artis yang benar-benar boleh kita banggakan tetapi oleh kerana tidak dicalonkan, kalau pun dicalonkan tetapi tanpa perhatian peminatnya pasti terasa terkilan. Jika bersuara di media pasti dipersoalkan; kot dikatakan iri hati kepada kejayaan Mawi. Tetapi hakikatnya mesti ada cara lain mengadili ABPBH ini bukan dengan cara undian Berita Harian. Berapa sangatlah warga peminat seni membeli Berita Harian & mahu mengundi.
Tentunya cara undian boleh diperbagaikan; sebagai contoh mengujudkan pilihan juri & pilihan peminat. Juri itu amat penting dalam menjadikan ABPBH ini lebih adil.
Anugerah Bintang Paling Popular milik Mawi
Oleh Akmal Abdullah
GENTING HIGHLANDS: Penyanyi popular, Asmawi Ani atau Mawi mencipta hatrik apabila sekali lagi dinobatkan oleh pembaca akhbar ini sebagai Bintang Paling Popular pada majlis kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007, yang berlangsung di sini, malam tadi.
Mawi, 26, yang meraih 119,268 undi, memenangi gelaran itu untuk tahun ketiga berturut-turut selepas mengetepikan saingan kelompok empat artis yang mendapat undi tertinggi iaitu Faizal Tahir, Datuk Siti Nurhaliza, Saiful Apek dan Aznil Nawawi.
Bagaimanapun, jumlah undi yang diperoleh Mawi kali ini merosot berbanding 261,555 undi yang diraihnya musim lalu bagi anugerah tertinggi itu.
Berikutan kemenangan itu, Mawi membawa pulang kereta Peugeot 407 (2.0) berharga RM185,000 tajaan Nasim Sdn Bhd serta set barang kemas eksklusif tajaan Habib Jewels Sdn Bhd bernilai RM150,000, selain trofi.
Mawi turut dipilih memenangi kategori Penyanyi Lelaki Popular, juga kali ketiga berturut-turut selepas mengetepikan Faizal, Anuar Zain, Hazami dan Adam.
Trofi Bintang Paling Popular 2007 disampaikan Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Hishamuddin Aun, pada majlis kemuncak ABPBH 2007 yang berlangsung di Arena of Stars, di sini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Syed Faisal Albar dan Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Datuk Manja Ismail.
Majlis gilang-gemilang itu turut disiarkan secara langsung menerusi TV3 dan stesen radio Hot FM. Lebih 5,000 penonton hadir mengikuti acara berkenaan yang berlangsung semalam lebih dua setengah jam.
Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat diberikan kepada seniman M Nasir sebagai mengiktiraf sumbangan besarnya dalam bidang muzik dan perfileman sepanjang pembabitannya sebagai anak seni selama lebih tiga dekad.
Sementara itu, juruhebah radio Hot FM yang juga pengacara rancangan Melodi TV3, Fara Fauzana mencipta kejutan apabila meraih dua kemenangan sekali gus iaitu masing-masing bagi kategori Pengacara TV Wanita Popular dan Penyampai Radio Wanita Popular.
Siti Nurhaliza berjaya mempertahankan trofi Penyanyi Wanita Popular buat kali ke-11 berturut-turut apabila menang gelaran itu selepas mengetepikan Jaclyn Victor, Mila, Misha Omar dan Adibah Noor.
Beliau mempertahankan gelarannya sejak ABPBH 1997.
Fasha Sandha dan Rusdi Ramli membuat kejutan apabila masing-masing terpilih sebagai pemenang Pelakon Filem Wanita Popular dan Pelakon Filem Lelaki Popular. Fasha mengetepikan saingan terdekatnya, Maya Karin selain Erra Fazira, Vanidah Imran dan Sharifah Amani.
Rusdi yang menang buat kali pertama kategori itu mengetepikan pemenang tahun lalu, Saiful Apek, selain Rosyam Nor, Afdlin Shauki dan Pierre Andre.
Bagaimanapun, Fasha gagal mempertahankan gelaran Pelakon TV Wanita Popular apabila trofi kategori itu dimenangi muka baru, Dynaz yang truut mengetepikan Rita Rudaini, Rozita Che Wan dan Eja.
Saiful Apek mempertahankan kejayaan dalam kategori Artis Komedi Lelaki Popular, manakala kategori Artis Komedi Wanita Popular terus dipertahankan Sheila Rusly.
Rosyam Nor berjaya mengekalkan kemenangannya dalam kategori Pelakon TV Lelaki Popular apabila dengan mudah menyingkirkan empat saingannya di peringkat akhir iaitu Fahrin Ahmad, Aaron Aziz, Datuk Jalaludin Hassan dan Arash Mohamad.
Kumpulan Rabbani turut mengekalkan reputasinya apabila meraih kemenangan dalam kategori Penyanyi Nasyid Popular buat tahun keenam berturut-turut, manakala bagi kategori Artis Baru Lelaki Popular dan Artis Baru Wanita Popular masing-masing dimenangi bintang Akademi Fantasia musim kelima (AF5), Dafi dan Mila.
Faizal Ismail merampas trofi Penyampai Radio Lelaki Popular yang sebelum ini didominasi Halim Othman. Nama Halim tidak tersenarai dalam pertandingan kali ini.
Kumpulan Sofaz menang kategori Artis Berkumpulan/Duo Popular, manakala Aznil mempertahankan buat kali keempat kategori Pengacara TV Lelaki Popular.
ABPBH 2007 ialah edisi ke-21 penganjurannya oleh Berita Harian, iaitu acara yang menggabungkan penganugerahan berdasarkan undian peminat untuk artis dan selebriti yang terbabit dalam bidang perfileman, muzik dan penyiaran. Lebih 400,000 borang diterima penganjur dalam kempen undian musim ini.
Berita Harian