ALLAH SWT menjelaskan
bahawa orang yang akan memasuki syurga-Nya kelak adalah dalam keadaan
berkumpulan. Ia dijelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan orang
yang bertakwa kepada Rabb-nya dibawa ke syurga berombongan, apabila
mereka sampai ke syurga itu, pintunya terbuka dan berkatalah kepada
mereka penjaganya: Kesejahteraan dilimpahkan atasmu, berbahagialah kamu,
masukilah syurga ini, sedang kamu kekal di dalamnya.” (QS Az-Zumar: 73)
Ibn Kathir
menjelaskan, setiap orang yang bertakwa akan menuju ke syurga
bersama-sama dengan kelompok mereka seperti nabi bersama nabi, golongan
syuhada bersama kumpulan syuhada, golongan ulama bersama kumpulan ulama,
orang yang jujur bersama orang yang jujur dan begitulah seterusnya.
Dalam erti kata lain, setiap orang dikumpulkan sesuai dengan kumpulan
mereka.
Begitu pun, di
kalangan kelompok manusia di atas, Rasulullah SAW adalah orang yang
pertama sekali memasuki syurga. Hal ini dijelaskan oleh Anas bin Malik
bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Aku mendatangi pintu syurga pada hari
kiamat, lalu aku meminta dibuka. Penjaga berkata: Siapa engkau: Aku
Muhammad. Penjaga berkata: Aku diperintahkan untuk tidak membukakannya
untuk seorang pun sebelummu.” (HR Muslim)
Selepas Rasulullah SAW
memasukinya, barulah kumpulan lain akan memasukinya mengikut pintu
syurga yang ditentukan berdasarkan amalan mereka. Keadaan ini dijelaskan
oleh Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Barang sesiapa yang
berinfak dengan emas dan perak daripada hartanya di jalan Allah, maka
dia akan dipanggil dari mana-mana pintu syurga. Syurga itu ada beberapa
pintu. Sesiapa yang rajin menunaikan solat, maka dia akan dipanggil dari
pintu solat. Sesiapa yang rajin bersedekah, maka dia akan dipanggil
dari pintu sedekah. Sesiapa yang berjihad, akan dipanggil dari pintu
jihad dan sesiapa yang berpuasa, dia akan dipanggil dari pintu
ar-Rayyan."
Hadis itu menjelaskan
syurga mempunyai beberapa pintu. Rasulullah SAW menjelaskan bahawa
syurga itu memiliki lapan pintu. Ia dijelaskan oleh Umar al-Khattab
bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah salah seorang di antara kamu
berwuduk, kemudian menyempurnakan wuduknya, lalu membaca: Aku bersaksi
bahawa tidak ada yang hak kecuali Allah Maha Esa, yang tiada sekutu
bagi-Nya dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya,
melainkan dibuka baginya pintu-pintu syurga yang berjumlah lapan pintu
dan ia masuk dari pintu mana saja yang ia kehendaki.” (HR Muslim)
Pintu syurga ada lapan, tetapi jarak di antara satu pintu dengan yang lain amat jauh, sejauh di antara Makkah dan Hajar (sebuah kota di Bahrain).
Jarak ini dijelaskan dalam hadis daripada Abu Hurairah, di mana beliau
berkata: “Allah berfirman: Wahai Muhammad, masukkan umatmu yang tidak
dihisab melalui pintu sebelah kanan. Mereka bebas masuk pintu lainnya
bersama orang lain." Rasulullah SAW bersabda: Demi Tuhan yang jiwa
Muhammad ada di tangan-Nya, jarak di antara dua daun pintu syurga adalah
seperti Makkah dan Hajar atau di antara Hajar dan Makkah.” (HR Bukhari
& Muslim).
Di dalam syurga,
nikmatnya tidak terhingga, sehingga digambarkan kenikmatannya adalah
sesuatu yang belum pernah terlihat oleh mata, belum pernah terdengar
oleh telinga dan tidak pernah juga terlintas dalam fikiran manusia.
Di dalam al-Quran,
Allah menyifatkan syurga itu dengan beberapa keadaan seperti firman-Nya:
“Di dalamnya ada sungai-sungai daripada air yang tidak berubah rasa dan
baunya, sungai-sungai daripada susu yang tidak berubah rasanya,
sungai-sungai daripada khamar yang lazat rasanya bagi peminumnya dan
sungai-sungai daripada madu yang disaring dan mereka di dalamnya
memperoleh segala macam buah-buahan.” (QS Muhammad: 15)
Mengenai sifat syurga
di atas, Rasulullah SAW juga bersabda: “Di dalam syurga itu ada lautan
susu, lautan air, lautan madu dan lautan khamar. Sungai-sungai itu
mengalir daripadanya.” (HR At-Tirmidzi).
Di dalam syurga kelak,
tidak akan ada penghuninya yang tidak menikah. Hal ini dijelaskan oleh
Abu Hurairah, di mana Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya rombongan
pertama yang masuk syurga seperti bulan pada malam purnama dan rombongan
seterusnya seperti cahaya bintang yang bersinar di langit,
masing-masing daripada mereka mempunyai dua isteri yang mana mereka
dapat melihat sum-sum betisnya daripada luar kulit dan di dalam syurga
tidak ada orang yang tidak menikah.” (HR Bukhari & Muslim).
Malah, mereka
diberikan oleh Allah rumah yang diperbuat daripada mutiara dan ruangnya
amat luas tidak terhingga. Keadaan ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW
dalam sabda Baginda: “Sesungguhnya di syurga ada rumah yang diperbuat
daripada mutiara yang mempunyai ruang yang luas.” (HR Bukhari)
Ketika Rasulullah SAW
di isra'kan, Baginda diperlihatkan bagaimana rumah dan keadaan tanah di
dalam syurga seperti disabdakan oleh Baginda yang bermaksud: “Di
dalamnya ada kubah-kubah permata dan tanahnya adalah minyak wangi.” (HR
Bukhari & Muslim)
Disebutkan di dalam
kitab “ KASYFUL GHAIBIAH” yang ditulis oleh Syeikh Zainal Abidin bin
Muhammad Al-Fathani menerangkan tentang keadaan syurga dan penduduknya
kelak, berkata Ibnu Abbas: “Bahawa syurga itu mempunyai 8 buah pintu
gerbang iaitu:
1. Pintu masuk untuk
para nabi, syuhada, orang-orang dermawan, orang yang mendermakan
hartanya di jalan Allah. Di atas pintu tersebut tertulis dua kalimah
syahadah yang indah.
2. Pintu masuk bagi orang yang sangat rapih, memenuhi syarat dan rukun serta meneliti fardhu dan sunnahnya dalam solat.
3. Pintu masuk bagi mereka yang suka mengeluarkan zakat dengan hati yang tulus ikhlas semata-mata kerana Allah.
4. Pintu masuk orang-orang yang suka menyeru dan mengajak kepada kebaikan.
5. Pintu masuk bagi orang-orang yang dapat mengekang nafsunya dari melakukan perbuatan yang diharamkan dalam Islam.
6. Pintu masuk bagi orang yang melakukan rukun Islam yang kelima iaitu melakukan haji dan umrah yang mabrur.
7. Pintu masuk bagi orang-orang yang membela dan berjuang di jalan Allah.
8. Pintu masuk bagi orang yang berbakti kepada kedua orang tuanya, keluarganya serta sanak saudaranya.
Demikian keterangan
yang dinyatakan dalam hadis di mana syurga-syurga itu telah disediakan
oleh Allah dengan beberapa tingkatan yang akan diberikan kepada hambaNYA
sesuai dengan amal perbuatan masing-masing.
Diceritakan, ketika
semua para hamba Allah telah dihisab dan telah menerima buku catatan
amalnya yang diterima dengan tangan kanan mereka, pada waktu itu semua
manusia merasa gembira yang tidak terkira, sehingga mereka yakin bahawa
Allah akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang penuh dengan
kenikmatan. Manakala mereka akan memasuki gedung yang indah itu, mereka
akan disambut oleh 'wildan' (pelayan muda) yang memang sudah sekian lama
menanti kehadiran orang yang akan mengisi gedung tersebut (syurga).
Demikianlah keadaan
gedung-gedung itu yang sangat indah bentuknya sedangkan lantainya
dihampar dengan permaidani yang indah pula dan di dalamnya mengalir air
sungai yang ditumbuhi oleh pohon-pohon yang sangat rendang dan buahnya
yang manis dan lazat.
Firman Allah SWT: "Dan
sampaikanlah berita gembira kepada mereka yang beriman dan berbuat
baik, bahawa bagi mereka disediakan syurga-syurga yang mengalir
sungai-sungai di dalamnya. Setiap mereka diberi rezeki buah-buahan dalam
syurga-syurga itu, mereka mengatakan: " Inilah yang pernah diberikan
kepada kami dahulu ". Mereka diberi buah-buahan yang serupa dan untuk
mereka di dalamnya ada isteri-isteri yang suci dan mereka kekal di
dalamnya." (QS Al-Baqarah: 25)
Dengan mata air
terpancar, taman syurga yang terhidang dengan segala kelazatan adalah
destinasi yang aman dan sentosa. Mereka yang menghuninya kekal di
dalamnya, tidak akan merasai kematian lagi.
Terdapat pohon-pohon dan buahan. Sungai mengalir di bawah syurga. Ada
air yang tidak berubah (rasa dan baunya). Terdapat beberapa sungai dari
arak yang lazat bagi orang yang meminumnya dan beberapa sungai dari
madu yang suci bersih.
Penghuninya dilayan
anak muda yang beredar di sekitar mereka, yang cantik seolah-olah
seperti mutiara yang tersimpan sebaik-baiknya.
“Dan diedarkan kepada
mereka bejana dari perak dan piala-piala minuman yang keadaannya laksana
kaca (nampak jelas isinya) - (keadaannya laksana) kaca, (sedang ia)
dari perak, pelayan-pelayan itu menentukan kadar isinya sekadar yang
cukup betul dengan kehendak penggunanya dan mereka di dalam syurga itu
diberi minum sejenis minuman yang campurannya daripada zanjabil - iaitu
sebuah mata air di dalam syurga yang disebutkan sifatnya sebagai
salsabil dan mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang tetap kekal
(dalam keadaan mudanya), yang sentiasa beredar di sekitar mereka,
apabila engkau melihat anak-anak muda itu nescaya engkau menyangkanya
mutiara yang bertaburan.” (QS Al-Insaan: 15-19)
Di syurga juga
terdapat teman-teman yang baik akhlaknya lagi cantik rupanya, iaitu
bidadari yang hanya tinggal di tempat tinggal masing-masing. Bidadari
ini cantik berseri seperti permata delima dan marjan. Kulit mereka putih
melepak, cantik matanya, malah pandangannya tertumpu kepada mereka
semata-mata.
Bidadari ini juga
tidak pernah disentuh oleh manusia mahupun jin. Mereka bersenang lenang,
bergurau senda di atas cadar hijau warnanya dan permaidani yang sangat
indah. Golongan yang sangat bertuah ini disebut sebagai 'Ashaabul
Yamiin' (golongan kanan).