|
|
|
|
KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan mengakui bahawa wabak selesema babi (H1N1) yang melanda negara ketika ini berada di peringkat serius, namun ia belum sampai ke tahap mengisytiharkan darurat kesihatan.
Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, walaupun kes kematian H1N1 kini telah mencatatkan angka 51 orang tetapi pihak berkuasa masih mampu memberi rawatan kepada rakyat.
"Memang keadaan sekarang dalam peringkat serius dan kita perlu memastikan orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga dan membantu kita membendung wabak ini daripada menular," katanya selepas melancarkan persidangan Persatuan Bagi Kajian Obesiti Malaysia (MASO) di sini semalam.
Menurut Tiong Lai, perintah darurat bermaksud kementerian perlu melakukan kuarantin terhadap semua komuniti dan segala pergerakan mereka perlu disekat untuk mengawal penularan pandemik tersebut.
"Bagaimanapun, kita belum sampai ke tahap itu," tegas beliau.
Ekoran itu, beliau meminta supaya rakyat di negara ini supaya tidak panik kerana daripada pesakit yang menghidap penyakit H1N1 itu, 98 peratus telah disahkan sihat.
Katanya, apa yang dikhuatiri adalah kumpulan yang berisiko tinggi yang memerlukan rawatan segera sekiranya menunjukkan simptom- simptom dijangkiti H1N1.
Dalam pada itu, katanya, tujuh lagi kematian berkaitan dengan H1N1 dilaporkan semalam, menjadikan jumlah kes kematian di negara ini seramai 51 orang.
Kosmo!
Asri Rabbani meninggal - Rebah sewaktu pegang mikrofon pada sesi latihan di RTM
KUALA LUMPUR - Vokalis dan ketua kumpulan nasyid popular Rabbani, Mohd. Asri Ibrahim, 40, meninggal dunia secara mengejut selepas rebah di Auditorium P. Ramlee, Angkasapuri di sini semalam.
Beliau yang mesra dengan panggilan Ustaz Asri di kalangan rakan-rakan artis menghembuskan nafas terakhir pada pukul 10.30 pagi akibat serangan jantung ketika dalam perjalanan ke Pusat Perubatan Pantai Bangsar.
Anak kelahiran Bukit Naga, Klang itu tiba-tiba jatuh dan tidak sedarkan diri semasa menjalani sesi latihan untuk persembahan majlis pelancaran program Syahadah musim kelima terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Menurut seorang anggota Rabbani iaitu Mohd. Asri Ubaidullah, Asri kelihatan kurang sihat sejak Rabu lalu dan mengadu sakit tekak serta muntah pagi semalam.
"Sejak dua minggu lalu, memang kami agak penat disebabkan jadual dan aktiviti persembahan yang padat memandangkan bulan Ramadan bakal menjelang tidak lama lagi.
"Pagi tadi (semalam) Allahyarham ada memberitahu bahawa dia sakit tekak dan muntah tetapi beliau segera minum air masak yang dicampur madu bagi mengurangkan masalah yang dihadapi.
"Beliau gagahkan diri juga untuk melakukan persembahan di RTM sempena pelancaran program Syahadah. Tiba-tiba tidak semena-mena sewaktu memegang mikrofon sebelum sempat membuat persembahan di atas pentas, Allahyarham rebah dan tidak sedarkan diri," jelasnya.
Asri mengadu tidak sihat
Oleh Nor Akmar Samudinakmar@hmetro.com.my
AL-FATIHAH...keluarga dan anggota kumpulan Rabbani |
SHAH ALAM: “Balik malam tadi (kelmarin), Asri mengajak saya keluar makan malam, perkara yang jarang dapat kami lakukan bersama kerana kesibukannya. Kami keluar berdua kerana anak-anak sudah tidur dan Asri kata pesan (makanan) apa saja. Selepas itu kami menonton televisyen berdua dan berbual lama.
“Bagaimanapun, ketika keluar hendak menjayakan rakaman program Syahadah di RTM (Radio Televisyen Malaysia), pagi tadi (semalam), Asri mengadu tidak sihat dan batuk lalu dia minta saya menghantarnya ke pejabat Rabbani Productions di Taman Manjalara, Kepong.
“Itu pertemuan terakhir saya dengannya sebelum diberitahu dia sudah tiada, lebih kurang jam 11 pagi,” kata Nur Jannah Shahadan, 39, isteri vokalis utama Rabbani, Allahyarham Mohd Asri Ibrahim, 40, ketika ditemui di rumah keluarga arwah di Kampung Bukit Lanchong di sini.
Asri meninggal dunia akibat serangan jantung. Allahyarham meninggalkan enam cahaya mata, Mohd Nasimuddin, 15, Mohd Fathi, 14, Nur Atikah, 12, Mohd Ilham, 10, Soffiyah Munawwarah, 6, dan Hamdi Rabbani, 5.
“Komitmen Asri terhadap kerjaya seninya menjadikan saya seorang yang berdikari. Allahyarham seorang suami dan bapa yang baik. Tidak ada apa yang terkilan di hati cuma pagi tadi (semalam) sebelum dia keluar rumah, saya tidak dapat memeluknya erat.
“Kenangan paling manis baru-baru ini kami dapat menunaikan umrah bersama-sama sambil berziarah di Istanbul. Asri menyifatkan pemergian kami ke Tanah Suci itu untuk mengerjakan umrah sambil berbulan madu selepas 16 tahun kami berkahwin.
“Insya-Allah, saya akan tabah mengharungi kehidupan ini membesarkan anak bersendirian,” katanya.
Azadan Abdul Aziz, 36, seorang daripada anggota Rabbani dan yang paling rapat dengan Allahyarham berkata, dia dan anggota lain akan meneruskan perjuangan kumpulan nasyid paling popular itu.
“Asri bukan hanya kawan dan rakan seperjuangan dalam dunia seni yang berdakwah menerusi lagu nasyid, malah dia pemimpin dan bapa kepada kami. Namun, Allah lebih menyayanginya dan kami reda pemergiannya.
“Meskipun beliau sudah tiada, semangat dan kekuatannya akan terus bersama kami untuk meneruskan perjuangan Rabbani. Banyak program dirancang pada Ramadan ini terutama persembahan di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya.
“Selepas ketiadaan Asri, saya akan kumpulkan semua anggota Rabbani untuk membina semula kekuatan bagi menghadapi hari esok. Perjuangan Rabbani dalam bidang seni akan diteruskan.
“Meskipun saya dan anggota lain dapat menerima ketentuan Allah SWT, kami semua tetap terkejut kerana pemergian Asri terlalu mendadak. Sebelum itu kami pernah berbual berdua, macam mana dengan Rabbani jika berlaku apa-apa dengan Asri. Tak sangka pula perbualan kami menjadi kenyataan.
“Pun begitu kami bersyukur kerana Asri pergi dalam keadaan tenang dan wajahnya seperti orang tidur,” katanya.
Jenazah Allahyarham selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Seksyen 21 di sini, selepas Maghrib malam tadi, bersebelahan pusara bapanya yang meninggal dunia hampir setahun lalu.
Harian Metro