
Usia kita makin pendek. Pendek itu satu hal. Yang lebih merisaukan bilamana kita terusan diserang penyakit moden kini; sakit jantung, darah tinggi, diabetes atau lebih berat badan... gemuk atau obesiti.
Tak ramai yang dapat mengekalkan berat badan bila berumur 50an. Baik lelaki atau perempuan pasti akan menghadapi masalah ini. Puncanya tentu permakanan. Di samping kurang bersenam atau bilamana diserang sakit kronik.
Ramai kenalanku akan menghadapi masalah obesiti ini berpunca dari Batu Karang di buah pinggang. Bilamana buah pinggang sudah tidak selancar dulu berfungsi maka penapisan air akan perlahan lalu ketara amat perut akan boroi.
Bagi pengidap sakit Batu Karang di dalam buah pinggang peringkat awal; mungkin boleh mencuba ubat herba di kedai Sensei Cina; Shilintong. Harga Shilintong sekitar RM8 bagi 100 biji pill.
Kebiasaannya jika berat badan kita tidak seimbang segala penyakit akan mudah menyerang. Peringkat awal tentunya akan mengidap sakit Darah Tinggi lantaran kolestrol yang tinggi bila mana obesiti ini tidak terkawal.
Bila telah mendapat sakit Darah Tinggi akan amat mudah terganggunya kelancaran jantung kita. Maka itu aku amat risau bilamana sejak kebelakang ini ramai sangat mereka yang punyai penyakit kronik ini saban hari meninggalkan kita dalam usia masih muda. Aku yang punya pakej yang sama amat gusar dengan masalah ini lantaran aku ada segala penyakit & terpaksa terusan bergantung dengan ubat doktor.
Bila telah berkeadaan di selubungi sakit yang kronik ini terasa amat dunia semakin mengecil. Tenaga yang dulunya begitu sasa semakin tidak selesa. Tidur yang dulunya lena kekinian semakin terganggu. Selera yang dulunya layan belaka kekinian telah ada pantang larangnya. Paling terasa bilamana mahu menghadapi Hari Raya begini. Terasa bagaikan tidak segembira mana, mana tidaknya... usia yang semakin tua tentunya kita kehilangan ramai orang yang kita kasihi. Ibu & ayah, rakan & saudara mara. Bayangkanlah beraya dengan keluarga sendiri tanpa dapat berjumpa ibu & ayah apalah meriahnya. Sekadar menziarahi pusara ayah bonda kemudian terasa hambar beraya dengan juadah yang biasa. Mana nak cari Rendang Tok atau kuih Bahulu beracukan ikan emas ibu.
Maka itu aku selalu memasang impian mahu kembali ke kampung halaman. Banyak perkara boleh dilakukan di sana. Paling tidak memulihkan dusun Arwah Apak. Merumput menebas. Atau upah orang terangkan tanah terbiar, tanam semula atau buat dusun tersusun; tanam pisang, durian nangka madu atau jering petai. Buat kolam ternakan ikan. Tanahnya memang telah kutebus cumanya modal & kudrat sahaja.
Biarlah anak-anak pulang ke kampung halaman. Kita orang tua sekadar menunggu kepulangan mereka. Begitu seharusnya.. kan?. Kekawan pun boleh datang bermalam sebabnya sekitar kampungku kaya dengan tapak lombong yang boleh berikan, berkelah atau bercuti.
Siri Pertama