iDAN

25 Februari 2011

Kenapa mesti Saujana Impian


Dalam perancangan Projek Mass Rapid Transit Lembah Klang; cadangan bagi jajaran Sungai Buloh - Kajang adalah projek yang akan menghubungkan komuter di sekitar Lembah Klang. Dalam pelan cadangan antara stesen yang bakal dibina adalah di Saujana Impian. Saujana Impian tidak jauh dari Jenaris teratakku yang kini makin ditelan bandar.

Tak siapa menolak pembangunan, tetapi aku sering tertanya-tanya apakah kedudukan stesen Saujana Impian Strategik atau sebaliknya. Bagi mereka yang tinggal di Kajang pasti terfikir agak jauh Stesen Komputer dari pusat bandar; begitu juga Terminal Bas di Kajang. Jika bergantung kepada bas mini memang amat buang masa; aku terasa amat gerun tiap kali berada hentian bas di sekitar pusat bandar contohnya di hadapan Pasaraya Billion Kajang; pergilah sesekali ke sana bagaimana sesak & ramainya pendatang luar menunggu bas di sana. Masih macam zaman 80an atau 70an lalu nampak tidak cantik & merimaskan.

Stesen Komuter Kajang jua tak semeriah mana lantaran tempat letak kereta yang amat kecil, tanpa ruang menunggu atau terminal yang boleh menghantar penumpang; malahan rasa tak kena amat keadaan sebegitu terpencil & jumud. Sebaiknya dibina di sebelah Arked Mara, parkir telah sedia ada & luas. Atau pun sebelah Medan selera Sate Kajang; pasti ramai orang senang nak makan sate Kajang.

Mereka yang menetap di sekitar Saujana Impian pasti mengakui yang sekitar Jenaris, Prima Saujana; Kantan Permai jauh lebih sesak & padat penduduknya. Bayangkan setiap kali hujan di waktu pagi kesesakan lalu lintas melimpah sampai ke rumahku Jalan 3, Desa Sri Jenaris. Jalan 3 bukan jalan utama di Jenaris; tetapi telah tiada pilihan banyak kenderaan terpaksa mencari jalan pintas. Jalan utama terlalu sesak.

Keujudan Kolej Komuniti Hulu Langat di Prima Saujana salah satu faktor pembangunan di sini cepat berkembang. Selain Giant, Kamdar, Al-Jabbar, McD, Pasar Malam dan banyak kedai lagi sentiasa menunggu kunjungan pelanggan. Berbanding Saujana Impian sekadar ada TESCO & Padang Bunian Pemancar Radio.

Aku lama menjadi salah seorang Pakar Kajiselidik dalam masalah trafik di KL sebelum ujudnya komuter pun Subway (Putra); secara lojiknya kemudahan komuter adalah untuk orang ramai, stesen dibina di kelompok ramai bukan nun di tanah perkuburan; jika stesen dibina di Saujana Impian yang tak seramai mana penduduknya apa sebenarnya pembangunan yang bakal dibina nanti. Aku lama tinggal di sekitar Shinjuku & Hirajuku Jepun; di pusat bandar yang padat pengguna komuter & subway kerajaan Jepun sanggup bina stesen yang sampai lebih dari 5 tingkat. Warga Jepun bagaikan semut keluar dari perut bumi setiap ketika di Tokyo yang sesak ini.

Kerajaan kena menumpukan pembangunan bagi kawasan yang padat penduduk; stesen keretapi sesuai dibina di kawasan ramai penduduk tak sama jika mahu membina stadium atau sekolah yang pastinya elok dibina di luar kawasan padat. Stesen adalah persinggahan untuk orang ramai bukan menghantar orang ramai nun jauh terpencil yang akan mengakibatkan kos pengangkutan itu bertambah rumit.

Bayangkan rakyat marhaen terpaksa bersesak di sekitar Jenaris atau Prima Saujana untuk menuju ke stesen komuter barulah dapat menaiki komuter di Stesen Saujana Impian; amat terdera, akan banyak membuang tenaga, masa & percemaran tentunya. Perlu diingat di Saujana Impian sana ramai kalangan orang berada berbanding Jenaris, Sungai Kantan Permai serta banyak lagi taman yang tumbuh bagaikan cendawan. Orang berada akan selesa dengan kereta mewah mereka seyogia siap dengan pemandu mereka. Kenapa mesti rakyat marhaen, pelajar pun penduduk yang tinggal di Flat serta apartment perlu berkejar ke Saujana Impian sana.

Buatlah bancian di mana kawasan yang ramai penduduk di situ yang sesuai untuk stesen komuter didirikan. Jangan jadi pembangunan yang tak seimbang seperti di Putrajaya sana mewah dengan jambatan ala Taj Mahal tetapi di bumi nyata, sekitar pribumi miskin contohnya perkampungan orang asli atau sekitar daerah perdalaman; nak melintas ke jambatan mereka pun seram takut hanyut dibawa arus banjir.

Tak payah jauh ketika hujan lebat cubalah melintas jambatan di Sungai Langat Kajang; tenguk arus sungai & bandingkan jambatan yang amat tua sedang menongkah arus sungai ini; rasa mengingau pun ada amat risau akan keselamatan jambatan lama ini; Mana pernah jambatan ini sunyi dengan kenderaan. Sebaiknya pihak berwajib memikirkan untuk menaik taraf jambatan yang uzur ini. (Kerap kutulis di blog lamaku masalah jambatan ini)

Inilah yang akan berlaku jika pemaju Mass Rapid Transit Lembah Kelang tidak menumpukan kawasan terpadat penduduk untuk dibangunkan stesen komuter; golongan marhaen ini akan terusan tersepit di arus pembangunan. Bak arus Sungai Langat yang padat amat sukar dikembalikan jernih atau nin airnya tanpa pencemaran.