iDAN

25 September 2011

Keistimewaan 'nasi kandar' Ipoh

PELANGGAN sanggup berbaris untuk mendapatkan nasi kandar ayam merah.

TIDAK sah kunjungan anda ke Ipoh jika tidak singgah makan nasi kandar di sebuah kedai di Jalan Yang Kalsom di bandar raya itu.

Restoran istimewa ini terletak dalam sebuah restoran Cina lama yang dinamakan Kedai Kopi Yong Suan. Gerai nasi kandar itu mula beroperasi sejak 1960, iaitu seusia dengan kedai kopi tersebut.

Kewujudan gerai itu sejak 51 tahun menjadikannya sebuah kedai makan yang tertua di bandar raya Ipoh. Namun apa yang lebih istimewa ialah popularitinya di kalangan penggemar nasi kandar.

Populariti dan kelazatan nasi kandar di gerai itu membuatkan banyak pihak memberi gelaran tertentu yang kadang kala tak masuk akal. Misalnya, mereka yang gemar makan nasi kandar ayam merah akan menggelar hidangan lazat itu sebagai 'nasi ganja'. Bagi yang biasa menjamu selera nasi tersebut, kata mereka kesedapan nasi bersama lauk pauk yang dihidang bersamanya membuatkan mereka 'ketagih'.

Ini diakui mereka yang pernah mencuba 'nasi ganja' yang mana, menurut mereka apabila sudah mencubanya sekali, mereka akan terus menjadi pelanggan setia masakan tersebut.

Bagi orang dari luar pula, mereka yang menggemarinya tidak pernah terlupa untuk singgah makan di situ, setiap kali mengunjungi bandar raya Ipoh.

Jika anda ke restoran ini pada waktu tengah hari, anda bukan sahaja terpaksa berbaris panjang malah sukar untuk mendapat tempat duduk.

Bagi pelanggan baru, mungkin mereka 'angkat kaki' kerana tidak sanggup beratur panjang. Namun sebaliknya bagi penggemar setia nasi kandar di gerai ini, mereka sanggup beratur panjang demi sepinggan 'nasi ganja'.

Apa yang lebih menarik, barisan pelanggan itu terdiri daripada pelbagai wajah tanpa mengenal warna kulit dan bangsa, pelanggan Melayu, Cina dan India sabar menanti giliran untuk tujuan sama.

"Vangge... vangge... vangge..., panggilan dalam bahasa Tamil yang bermaksud 'mari... mari... mari... sering kedengaran berkumandang setiap kali anda lalu di hadapan restoran tersebut.

Sama seperti Kedai Kopi Yong Suan. Pengusaha asal nasi kandar tersebut, Kamal Naseer Abdul Rahman, sudah meninggal dunia.

Tradisi perniagaan tersebut diwarisi oleh ahli keluarganya.

Adik ipar Kamal, Nihmatullah Syed Mustafa, 44, berkata, keistimewaan 'nasi ganja' ialah ayam merahnya dihidang bersama sambal kelapa yang tidak terdapat di mana-mana restoran di seluruh negara.

"Nasi kandar ini menggunakan resipi kami sendiri. Kami gunakan rempah yang digiling dan dibeli di Pulau Pinang," katanya ketika ditemui di gerainya baru-baru ini.

Menurut Nihmatullah, sejak dibuka puluhan tahun lalu, 'nasi ganja' semakin hari semakin mendapat sambutan daripada orang ramai termasuk pelancong asing dari Singapura, Thailand dan Australia.

Katanya, kebanyakan pelanggan memberitahu, keistimewaan 'nasi ganja' terletak pada menu ayam merah miliknya.

"Keenakan ayam merah ini tidak boleh ditandingi mana-mana pengusaha nasi kandar lain di bandar raya ini.

"Dahulu, tempat ini menjadi tumpuan orang ramai kerana terletak di hadapan stesen bas Tanjung Rambutan. Walaupun stesen bas itu telah ditutup sejak 15 tahun lalu, namun sambutan orang ramai terhadap 'nasi ganja' tidak pernah pudar," katanya.

"Biasanya, kami menjual tidak kurang daripada 1,000 pinggan nasi kandar sehari," katanya.

Restoran itu dibuka setiap hari mulai pukul 8 pagi hingga pukul 5.30 petang.

Antara pemimpin yang sering mengunjungi restoran itu ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan beberapa tetamu kenamaan yang lain.

Sementara itu, pemilik kedai kopi, Yang Yong Suan, 58, berkata, sambutan hebat orang ramai ke atas masakan nasi kandar turut membantu melariskan jualan minuman dan roti bakar yang dijual di kedainya.

"Saya mewarisi perniagaan ini daripada mendiang ayah saya," katanya ringkas tanpa mahu mengulas lanjut.