iDAN

21 Ogos 2013

Pasti Terhakis


Terpanggil untuk menyelam dasar wawasan
yang terpenjara dek segala fitnah petualang
semua perundangan semakin sirna hilang
berlaku curang tanpa siapa pun menghalang
kejatuhan nilai moral menolak seri pesona
diri tidak dapat lagi menjana piagam mulia.

Bila warga alam kian bertuhan kebendaan
tiada lagi nilai simpati pun nilai keintiman
yang licik terang-terangan meratah enak
juadah yang miskin tanpa teragak-agak
merompak segala kemewahan milik diri
tiada lagi nilai murni memagari jauhari. 

Terpanggil untuk memalu tabuh kesedaran
tak siapa lagi menghirau amanat Tuhan
memilih mana yang dapat membawa rahmat
melanggar ajaran yang mengekang visi kudrat
tunggulah pembalasan tanpa dapat menangkis
kuasa terkini sekadar pinjaman pasti terhakis.

Idanradzi
Kota Bharu Perak
17 Jun 2013  
 Terbit di Harakah Daily

MAMAHAN USIA

iDANRADZi,


Di medan perang kuasa
derita bermaharajalela melata lara
menepis simpati diri sembilu bumi
menjentik anak kecil tidak berdosa
tamak sempadan bak Belanda melanda
senjata bukan lagi perlindung diri
tetapi mencari sasaran gegar bergegar
minda dahaga & kemarau ihsan.


Di medan gerbang jalan raya
ego pemandu tanpa erti waspada
menolak tolak ansur bergalur arus
mengejar waktu tanpa ketentuan jitu
lalai engkar dek gagal memintas
panduan bukan lagi aturan jalan
tetapi kemalangan maut taut bertaut
nyawa melayang & tragedi berulang.


Di medan nafsu jiwa raga
noda bertakhta leka menukik usia
mengabai nahi mungkar berbaur balur
mengejar kemewahan tanpa had kepuasan
intim keprihatinan bagai galaksi mainan
pakatan bukan lagi modal insan
tetapi perjarakan wasasan gelut bergelut
impian menghilang & airmata terbuang.


IDANRADZI
Kota Bharu, Perak.
18 Mac 2012 

Terbit di Harakah Daily.

Puisi iDAN Ingkar


Idanradzi,

Ingkar
Dirantai oleh bara dendam sengketa
menyeringai ego ke medan bencana
bergalaskan janji melata memujuk rasa
berpagarkan penyokong membawa rebah
terbenamlah tunggak iman di maya gundah.

Di lembah serba mewah berhias laba
bertintakan emas sejarah agong dicipta
nasib rakyat marhaen berulang nestapa
dikerah tenaga secara sadis lagi sengsara
menyambung hayat sekadar secukup sara.

Agihan yang tak seimbang membawa padah
habis diselongkar khazanah alam terpunggah
sampaikan dirampas empunya hak mutlak
terhakislah sifat keprihatinan menjadi onak
tak lagi hiraukan diri berlaku kejam dan tamak.

(Tanpa ada yang menyedarkan pun mahu
disedarkan; waima terusan berlaku ingkar)

IDANRADZI
Kota Bharu Perak.

30 Jul 2013 

PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.