iDAN

29 Mei 2009

Waheeda: Akhil minta saya bersabar (Ceritera)



Oleh WAHIDA ASRANI

Waheeda lebih selesa untuk tidak mengeluarkan sebarang komen lagi tentang kontroversi ini

PETALING JAYA: "Saya rasa setakat ini saya masih boleh bersabar. Ini hal mereka suami isteri, jadi selesaikanlah sendiri," luah Waheeda berhubung kontroversi yang melanda dirinya ketika ini.

Pendedahan isteri penyanyi nasyid dan penceramah bebas, Ustaz Akhil Hayy, iaitu Maizawati Zainal yang mengaku suaminya memang mempunyai hubungan dengan penyanyi itu nampaknya semakin 'panas' apatah lagi bila Maizawati dilihat semakin 'berani' mengeluarkan kenyataan kepada media tentang masalah yang melanda rumahtangganya itu sehingga dia mengambil keputusan untuk bercerai dengan Akhil.

Antara yang didedahkan oleh Maizawati, dia pernah menyatakan persetujuan membenarkan Akhil berkahwin lagi dan bersedia hidup bermadu setelah suaminya itu mengaku tentang hubungannya dengan Waheeda.

Namun, dia tidak tahu apa status hubungan suaminya dengan penyanyi itu kini apatah lagi Akhil sendiri sudah tiga bulan tidak pulang ke rumah dan hanya mengikuti perkembangan kisah suaminya itu menerusi media.

Kata Maizawati lagi, dia terpaksa mengambil keputusan bercerai untuk membina kehidupan baru dan kes berkaitan perceraiannya dengan Akhil akan dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh pada 2 Jun depan.

Menurut Waheeda yang dihubungi hari ini, dia hanya mampu berserah kepada Allah agar perkara ini akan berakhir jua.

"Saya tak ada apa untuk cakapkan lagi. Biarlah saya terus bersabar selagi saya mampu. Apa saja tohmahan orang, saya redha saja.

"Malah, Akhil sendiri ada menghubungi saya ketika hal ini mula tercetus dan minta saya banyak-banyak bersabar. Dia beritahu saya 'ini bukan urusan kamu Wawa, ini urusan aku. Biar aku yang selesaikan'.

"Alhamdulillah, saya tetap kuat teruskan kehidupan seperti biasa. Keluarga dan kawan-kawan sentiasa tidak putus memberikan sokongan.

"Tapi seperti yang saya pernah katakan, setiap orang ada tahap kesabarannya. Jadi, biarlah dia (Maiza) nak cakap apapun sekarang ini.

"Cuma, saya juga ada hati dan perasaan. Jangan sampai saya terpaksa buka mulut lagi," kata Waheeda yang menambah, dia sendiri tidak tahu di mana Akhil berada ketika ini.

Ditanya sama ada dia sebenarnya tidak terlepas berasa tertekan gara-gara kontroversi itu, dalam nada perlahan, Waheeda menjawab:

"Saya serah kepada Allah. Hanya itu yang terbaik boleh saya katakan."