iDAN

24 Februari 2010

Kementerian Pelancongan Malaysia kena baca ini (Delima Merkah)

Blogger iDAN berkata...

Saya ada talian telefon bebas tol tajaan Streamyx... di antara talian tetap ke talian tetap seantero Malaya; maka banyak tempat peranginan yang telah saya telefon & buat bandingan. Pihak hotel ini macam berpakat; rata-rata jika mahu selesa menginap di mana-mana penginapan keluarga sebesar saya ini; enam orang, empat dewasa dua kanak-kanak terpaksa mengeluarkan sekitar RM350 (Resort 2 atau 3 bilik) bagi satu malam. Ingat iyer ini baru kos penginapannya. Tak masuk makan, perjalanan & beli belah. Jangan tanya hotel 4 atau 5 bintang bagi Kamar Keluarga rata-rata RM500 ke atas. Bagaimana orang biasa nak melancong ni!. Dalam kajian saya Melaka agak murah, terutama di rumah rehat tepi pantai. Sekitar RM200 kita boleh selesa sewa dua Kamar Keluarga di sana. Itu pun atas usaha individu, buat rumah penginapan sendiri. Malahan disediakan pakej untuk makanan yang berbaloi buat seisi keluarga. Rumusannya ketika keluarga kecil anak baru seorang dua; puaskanlah melancong sebab memang kosnya amat rendah & banyak pilihan. Sudah tua begini kena fikir dua tiga kali kalau mahu melancong dengan keluarga. Kementerian Pelancongan Malaysia sebaiknya kena memberikan syarat; mesti ada potongan bagi Semua Rumah Penginapan seMalaya; baik hotel, chalet, resort segala. Potongan Untuk Keluarga Besar; Golongan Bersara, Warga Emas, Ibu Tunggal ramai tanggungan & jangan lupa Orang Kurang Upaya (OKU). Kasihan golongan ini asyik stres & duduk rumah sahaja. Jangan mimpi nak tidur di hotel 5 bintang guna duit sendiri. Apa ertinya pembangunan jika hanya untuk golongan bangsawan atau pelancong dari negara maju semata; golongan rakyat marhaen sekadar bentang tikar mengkuang, balik hari, jika mahu berkelah atau ke mana-mana. Lagi pening, jika waktu padat lagilah mahal bayarannya. Gila ke apa semua syarat yang diluluskan ini. Mahu untung berganda.

2:52 Pagi

Bagi rakyat marhaen Balik kampung juga bagaikan melancong.

Rakan saya yang baru balik dari UK sekitar 5 tahun tinggal di sana. Dia amat terkejut dengan melambungnya harga barangan di Malaysia. Sampai dia takut ke TESCO jika cuma ada RM50 di tangan. Dia kata di UK jika ada GBP50 duit mereka sarat troli, tak mungkin muat bakul jinjing. Barangan makanan maksudnya. Buahan ikan segala. Dia pelik tenguk harga durian, seakan sama harganya 5 tahun lalu. Nampak sangat durian banyak di kampung Melayu atau di hutan milik Orang Asli. Golongan ini tak asyik nak buat duit berganda. Tak sampai hati nak naikkan harga. Kenapa pengusaha hotel tidak begini. Mahal sangatkah nak bayar lesen tiap tahun. Hotel telah gah tersergam indah, kenapa tiada pengunjungnya. Hujung tahun lalu saya tidur di Teluk Batik Perak. Ada saya catat dalam blog ini. Pihak resort sanggup jadikan resort mereka bagaikan bangunan berhantu. Sunyi tak ada orang; tidak sekali menurunkan harga. Biar hantu jembalang tidur di resort mereka. Kerajaan kena buat kajian terperinci dalam masalah ini.

Wet World Pedas; Berendam di Air Panas (Singgahsana)


Sabtu ini kami sekeluarga akan ke Pedas; cumanya saya mungkin mencari anak sungai memancing. Tak pasti pasti apakah ada anak sungai di sana. Orang Pedas mungkin boleh kasi maklumat.


1. Kenapa pilih Taman Tema Air Pedas baca artikel di bawah ini; si Azim pun si Anif punyai banyak masalah kulit. Manalah tahu kut! serasi. Kami pernah berkunjung ke sana sekitar tiga tahun lalu. Masa itu harga tiket sekitar Rm8 Dewasa, kanak-kanak bukan ikut umur!; ada ukuran di luar pintu masuk; 85cm ke atas sahaja kena bayar. jika anak anda tinggi belaka jangan mengeluh pula terpaksa bayar harga dewasa.

Sekarang Dewasa RM10 & Kanak-kanak RM8. Jika anda anda rendah & kecil belaka bermakna percumalah!.

2. Kenapa pilih Taman Tema Air Pedas. Perjalanan yang menarik, tidak sesibuk Taman Tema Air di Shah Alam yang tiket di sana lebih kurang. Jika anda dari KL mungkin mudah ikut Lebuh Raya Plus KL Seremban; turun tol Senawang & menuju ke Tampin.

Jika anda dari Cheras, Kajang anda akan menjimat masa ikut Lebuh Raya yang baru dibuka. LEKAS turun tol Mantin Kadar RM4 menuju ke Seremban. Dari Seremban carilah Jalan Za'ba mengarah ke Senawang atau Tampin.


3. Sering ada jual petai di sepanjang jalan LEKAS; baru ini aku beli 3 ikat petai baru RM10. Cantik petainya. Seikat tak kurang dari 5 papan. Hampir nak sama harga petai (Parkia Speciosa) di Tapah Perak. Jika aku balik ke Kota Bharu Perak, aku suka sangat ikut jalan lama singgah kejap beli petai di Tapah. Sambal udang taruh petai adalah makanan kegemaran Azim.



Jika anda melalui LEKAS, pastinya anda akan dapat singgah di bandar Seremban boleh singgah melihat Muzium Negeri Taman Seni Budaya di sini.

Nikmat Air Panas

Sumber: Harian Metro

Nikmat air panas
Teks dan gambar Mohd Amin Jalil
rencana@hmetro.com.my

TAMAN Tema Air Panas Pedas di Rembau , Negeri Sembilan (WWRPHS) mendapat sambutan menggalakkan daripada pelancong tempatan dan luar negara.

Taman tema ini menggunakan sumber air panas semula jadi yang dikatakan ditemui penduduk di situ sejak abad ke-19.

Kolam air panas ini dikatakan pernah digunakan tentera

Jepun dan Inggeris untuk memulihkan luka akibat peperangan.

Air panas itu dikatakan menyembuhkan pelbagai penyakit kulit serta lenguh sendi dan melegakan otot badan serta saraf yang tegang.

Ada pengunjung datang dari Thailand, Jepun dan Singapura untuk mengubati pelbagai penyakit.

Kini, kolam yang mempunyai kepanasan suhu mencecah antara 28 hingga 46 darjah Celcius itu sudah dinaik taraf menjadi taman tema air.

Ia dikenali dengan nama Wet World Resort Pedas Hot Spring pada 1998 sebelum dibuka kepada orang ramai pada 1999.

Pengurusnya, Thomas Yeo, berkata sejak dibuka, taman tema itu mendapat sambutan di luar dugaan sehingga menjadikan taman itu antara destinasi pelancongan popular.

Menurutnya, setiap hujung minggu, antara 5,000 hingga 6,000 pengunjung datang ke taman tema itu.

"Ada kolam air panas mendidih akibat pemanasan magma dalam bumi manakala airnya mengandungi kalium serta pelbagai bahan organik yang sesuai untuk kesihatan.

"Ia boleh dikategorikan taman tema pertama di negara ini menggunakan bekalan air panas semula jadi. Uniknya, airnya tidak mengandungi unsur sulfur," katanya.

Pelbagai kemudahan disediakan untuk pengunjung termasuk kolam besar untuk kanak-kanak dan orang dewasa mandi.

"Kita mempunyai restoran, surau, gimnasium, bilik persalinan, gelanggang tenis, kedai cenderamata dan kolam renang.

"Kita juga mempunyai 'kolam refleksologi' dan kolam ombak buatan setinggi 1.6 meter di tengah taman ini.

"Kanak-kanak boleh bermain ombak di sini tanpa perlu ke laut," katanya.


Di sinilah air panas semula jadi untuk anda berendam.
Mengandungi kalium serta pelbagai bahan organik untuk kesihatan anda.


>Taman tema itu dibuka setiap hari bermula dari jam 1 petang hingga 7 malam manakala pada hujung minggu, cuti umum atau cuti sekolah, ia dibuka dari jam 10 pagi hingga 7 petang.

>Pengunjung dikenakan bayaran masuk RM10 bagi dewasa manakala kanak-kanak RM8 dan mereka yang menjadi ahli kelab bakal beroleh manfaat dengan harga potongan 10 peratus.

CARA KE SANA: Terletak di Kilometer 20, Jalan Seremban - Tampin dan pengunjung yang melalui Lebuh Raya Utara-Selatan boleh turun ke Plaza Tol Senawang dan terus menuju Jalan Seremban - Tampin.

Pengunjung juga boleh datang melalui Lebuhraya Utara Selatan dan masuk di laluan susur keluar Pedas/Rembau sebelum mengambil jalan lama Tampin-Seremban. Perjalanan dari bandar Seremban ke WWRPHS pula mengambil masa kira-kira 20 minit.

(Tetiba Azim kata nak ke Times Square Cosmo's Thame Park pula. Alasan kukuh ibunya ada kad kredit yang memberi potongan 20%. Maka besar kemungkinan tak jadi ke WWRPHS, Huh!)