iDAN

08 Februari 2009

Makan dan tidur dalam perahu (Santai)

Perahu tambang kukuh sebagai ikon Sungai Sarawak


PERAHU tambang menjadi sumber rezeki kepada Morshidi Sahri, 65, yang mengemudi perahu sepenuh masa di tebingan Sungai Sarawak.


KEADAAN Tebingan Kuching di ibu negeri Sarawak sepi jika tiada orang ramai yang lalu lalang atau pasangan muda-mudi berpegangan tangan sambil memadu kasih di pinggir Sungai Sarawak.

Itu gambaran suasana di tebing sungai popular itu. Namun di dada Sungai Sarawak, perahu tambang terus setia mudik ke hulu dan ke hilir sibuk mencari penumpang untuk dibawa menyeberang.

Setiap hari, bulan dan tahun malah sejak berabad lamanya, suasana sedemikian menjadi nadi di Sungai Sarawak. Cuma yang mungkin berubah adalah perahu dan pendayungnya.

Maka tidak hairan jika disebut Sungai Sarawak saja, perkara paling sinonim dengannya adalah perahu tambang.

Meskipun zaman berubah, negara makin maju dan Bumi Kenyalang sendiri membangun dengan jaringan jalan raya, namun perahu tambang terus kukuh sebagai ikon pengangkutan di ibu negeri itu.

Mungkin ada ramalan bahawa perkhidmatan perahu tambang tidak akan kekal dalam tempoh 20 tahun akan datang ekoran pembangunan pesat selain bebanan kenaikan harga bahan api.

Namun, selagi Sungai Sarawak mengalir, maka selama itu jugalah perahu tambang di Tebingan Kuching beroperasi walaupun pengusahanya terpaksa menanggung kenaikan kos operasi.

"Sungai ini bukan Sungai Sarawak jika tiada perahu tambang kerana kedua-duanya ibarat isi dan kuku," kata Morshidi Sahri, 65, ketika ditemui di Pangkalan Haji Omar di Kuching.

Dia yang bekerja sebagai pengemudi perahu tambang di Sungai Sarawak berkata, lebih 30 tahun usianya dihabiskan untuk membawa penumpang berulang-alik menyerangi sungai itu.


PERAHU tambang menjadi pilihan para pelancong.


Inilah punca pendapatan tetapnya bagi menyara seisi keluarga yang tinggal di Kampung Niub, Kota Samarahan, kira-kira 200 kilometer dari Kuching.

"Begini juga hidup pak cik saban hari. Terpaksa meninggalkan rumah untuk tempoh antara tujuh hingga lapan hari dengan membawa penumpang menyeberangi sungai ini," ujarnya.

Dalam tempoh sehari dia mampu memperoleh kira-kira 50 hingga 100 penumpang dengan pendapatan RM15 hingga RM40 jika bekerja dari seawal pukul 3 pagi hingga ke larut malam.

"Pak cik tidur dan makan di dalam perahu. Cuaca panas dan dingin malam sudah menjadi kebiasaan. Adakala pak cik naik ke darat untuk beli barang keperluan yang kehabisan," katanya.

Morshidi berkata, selepas bekerja lebih kurang seminggu, dia akan kembali ke kampungnya melalui jalan sungai dengan perahu tambangnya itu. Perjalanan memakan masa selama sehari.

Dia akan berada selama hampir sebulan di kampung tanpa bekerja sementara menunggu giliran kumpulannya yang lain pula menjalankan perkhidmatan perahu tambang di Sungai Sarawak.

Selain penduduk tempatan, pelancong asing turut menggunakan perkhidmatan tersebut untuk melihat keindahan bandar raya Kuching atau menyeberang sungai.

"Selagi Sungai Sarawak mengalir, selagi itulah aktiviti itu berterusan biarpun pak cik tahu zaman semakin berubah dan ada pelbagai pengangkutan lebih mudah dan selesa," katanya.

Perahu tambang bukan dilihat semata-mata sebagai pengangkutan air tetapi mampu dijadikan produk pelancongan dan paling penting, ia satu warisan bersejarah buat Sarawak.

Hakikatnya industri perahu tambang di Sungai Sarawak itu berjaya menonjolkan imej unik kepada bandar raya Kuching sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.

Tidak banyak destinasi di dunia yang mempunyai sistem pengangkutan air di tengah bandar. Di Kuching, perahu itu sudah wujud sejak beratus-ratus tahun dahulu dengan kisah sejarah tersendiri.

Namun, usaha meningkatkan industri perahu tambang perlu dipergiatkan kerana tanpa langkah tersebut dikhuatiri pengangkutan air itu tidak dapat bertahan daripada di pinggir arus pemodenan.


PARA penumpang perahu tambang di Tebingan Sungai Kuching.


Seman Bujang Sidi, 58, berkata, bandar raya ini memang telah terkenal dengan kegiatan perahu tambang di Sungai Sarawak seperti Melaka yang cukup popular dengan imej becanya.

"Walaupun hanya untuk ke seberang, penumpang pasti berasa teruja apabila berada di tengah-tengah sungai yang memberi satu pemandangan indah di bandar raya ini," katanya.

Malah pelancong yang belum berpuas hati menikmati pemandangan Kuching boleh menyewa perahu untuk membawa mereka menyusuri Sungai Sarawak sambil menyaksikan panorama bandar raya.

"Pelancong terpaksa bayar harga mahal mencecah ratusan ringgit jika naik bot besar untuk melihat pemandangan di sepanjang Sungai Sarawak. Walhal mereka boleh naik perahu tambang dengan harga murah untuk tujuan sama," Seman.

Kosmo!