iDAN

25 Februari 2011

Kenapa mesti Saujana Impian


Dalam perancangan Projek Mass Rapid Transit Lembah Klang; cadangan bagi jajaran Sungai Buloh - Kajang adalah projek yang akan menghubungkan komuter di sekitar Lembah Klang. Dalam pelan cadangan antara stesen yang bakal dibina adalah di Saujana Impian. Saujana Impian tidak jauh dari Jenaris teratakku yang kini makin ditelan bandar.

Tak siapa menolak pembangunan, tetapi aku sering tertanya-tanya apakah kedudukan stesen Saujana Impian Strategik atau sebaliknya. Bagi mereka yang tinggal di Kajang pasti terfikir agak jauh Stesen Komputer dari pusat bandar; begitu juga Terminal Bas di Kajang. Jika bergantung kepada bas mini memang amat buang masa; aku terasa amat gerun tiap kali berada hentian bas di sekitar pusat bandar contohnya di hadapan Pasaraya Billion Kajang; pergilah sesekali ke sana bagaimana sesak & ramainya pendatang luar menunggu bas di sana. Masih macam zaman 80an atau 70an lalu nampak tidak cantik & merimaskan.

Stesen Komuter Kajang jua tak semeriah mana lantaran tempat letak kereta yang amat kecil, tanpa ruang menunggu atau terminal yang boleh menghantar penumpang; malahan rasa tak kena amat keadaan sebegitu terpencil & jumud. Sebaiknya dibina di sebelah Arked Mara, parkir telah sedia ada & luas. Atau pun sebelah Medan selera Sate Kajang; pasti ramai orang senang nak makan sate Kajang.

Mereka yang menetap di sekitar Saujana Impian pasti mengakui yang sekitar Jenaris, Prima Saujana; Kantan Permai jauh lebih sesak & padat penduduknya. Bayangkan setiap kali hujan di waktu pagi kesesakan lalu lintas melimpah sampai ke rumahku Jalan 3, Desa Sri Jenaris. Jalan 3 bukan jalan utama di Jenaris; tetapi telah tiada pilihan banyak kenderaan terpaksa mencari jalan pintas. Jalan utama terlalu sesak.

Keujudan Kolej Komuniti Hulu Langat di Prima Saujana salah satu faktor pembangunan di sini cepat berkembang. Selain Giant, Kamdar, Al-Jabbar, McD, Pasar Malam dan banyak kedai lagi sentiasa menunggu kunjungan pelanggan. Berbanding Saujana Impian sekadar ada TESCO & Padang Bunian Pemancar Radio.

Aku lama menjadi salah seorang Pakar Kajiselidik dalam masalah trafik di KL sebelum ujudnya komuter pun Subway (Putra); secara lojiknya kemudahan komuter adalah untuk orang ramai, stesen dibina di kelompok ramai bukan nun di tanah perkuburan; jika stesen dibina di Saujana Impian yang tak seramai mana penduduknya apa sebenarnya pembangunan yang bakal dibina nanti. Aku lama tinggal di sekitar Shinjuku & Hirajuku Jepun; di pusat bandar yang padat pengguna komuter & subway kerajaan Jepun sanggup bina stesen yang sampai lebih dari 5 tingkat. Warga Jepun bagaikan semut keluar dari perut bumi setiap ketika di Tokyo yang sesak ini.

Kerajaan kena menumpukan pembangunan bagi kawasan yang padat penduduk; stesen keretapi sesuai dibina di kawasan ramai penduduk tak sama jika mahu membina stadium atau sekolah yang pastinya elok dibina di luar kawasan padat. Stesen adalah persinggahan untuk orang ramai bukan menghantar orang ramai nun jauh terpencil yang akan mengakibatkan kos pengangkutan itu bertambah rumit.

Bayangkan rakyat marhaen terpaksa bersesak di sekitar Jenaris atau Prima Saujana untuk menuju ke stesen komuter barulah dapat menaiki komuter di Stesen Saujana Impian; amat terdera, akan banyak membuang tenaga, masa & percemaran tentunya. Perlu diingat di Saujana Impian sana ramai kalangan orang berada berbanding Jenaris, Sungai Kantan Permai serta banyak lagi taman yang tumbuh bagaikan cendawan. Orang berada akan selesa dengan kereta mewah mereka seyogia siap dengan pemandu mereka. Kenapa mesti rakyat marhaen, pelajar pun penduduk yang tinggal di Flat serta apartment perlu berkejar ke Saujana Impian sana.

Buatlah bancian di mana kawasan yang ramai penduduk di situ yang sesuai untuk stesen komuter didirikan. Jangan jadi pembangunan yang tak seimbang seperti di Putrajaya sana mewah dengan jambatan ala Taj Mahal tetapi di bumi nyata, sekitar pribumi miskin contohnya perkampungan orang asli atau sekitar daerah perdalaman; nak melintas ke jambatan mereka pun seram takut hanyut dibawa arus banjir.

Tak payah jauh ketika hujan lebat cubalah melintas jambatan di Sungai Langat Kajang; tenguk arus sungai & bandingkan jambatan yang amat tua sedang menongkah arus sungai ini; rasa mengingau pun ada amat risau akan keselamatan jambatan lama ini; Mana pernah jambatan ini sunyi dengan kenderaan. Sebaiknya pihak berwajib memikirkan untuk menaik taraf jambatan yang uzur ini. (Kerap kutulis di blog lamaku masalah jambatan ini)

Inilah yang akan berlaku jika pemaju Mass Rapid Transit Lembah Kelang tidak menumpukan kawasan terpadat penduduk untuk dibangunkan stesen komuter; golongan marhaen ini akan terusan tersepit di arus pembangunan. Bak arus Sungai Langat yang padat amat sukar dikembalikan jernih atau nin airnya tanpa pencemaran.

24 Februari 2011

Teja dapat anak Kembar (Singgahsana)


Teja baru melahirkan anak kembar 5, ibunya Topeng nampaknya mengandung juga; maknanya Topeng telah pun mendapat 5 cucu, sejauh mana Teja pandai jaga anak aku masih terkesima... waima ibunya Teja... si Topeng saban tahun kerap kali beranak terbaru lima anaknya mati mengejut... bagaikan kena wabak cacing. Aku mengesyaki masalah pemakanan ketika kami tiada di rumah; entah makanan apa yang Topeng kasi anak-anaknya.

Inilah masalah Topeng asyik suka gonggong makanan dari luar; maka amat sukar anaknya selamat & berumur panjang; agar Teja tidak begitu.

Ini pertama kali Teja beranak; tak pasti apakah anak-anaknya berekor kembang sepertinya; emm! beranak pun di tilam empuk, memang Teja kucing yang manja. Sebenarnya aku tak suka suami-suaminya... botak... aku panggil si suami botak, wajah-wajah suaminya garang belaka tak pandai senyum & manja seperti Teja.

18 Februari 2011

Shah Rukh Khan jalani penggambaran di Melaka


"Sebelum ini saya telah berjanji untuk kembali ke sini dan jalani penggambaran filem dan sekarang saya di sini," kata artis sensasi Bollywood Shah Rukh Khan.

Dianugerahi gelaran 'Datuk' oleh kerajaan negeri Melaka selepas kunjungan terakhir pada Disember 2008, Datuk Shah kini berada di Melaka untuk menjalani penggambaran filem barunya 'Don 2', susulan filem 'Don: The Chase Begins' yang dihasilkan pada 2006.

"Kami memulakan penggambaran beberapa hari yang lepas dan akan berada di sini antara dua dan tiga hari untuk penggambaran bahagian awal filem ini," katanya kepada pemberita di Sungai Udang di Melaka.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam, isterinya Datin Seri Asmah Abdul Rahman dan dua orang produser filem itu, Ritesh Sidhwani dan Farhan Akhtar.

Filem Don yang diarahkan oleh Farhan masih mengekalkan sentuhannya untuk Don 2, yang dijangka dipasarkan di 32 negara pada Disember ini.

Khan berkata filem baru itu lebih licik dan menarik dari segi teknikal berbanding filem pertama.

"Ia adalah filem aksi ala 'James Bond' atau genre 'Bourne Identity' yang mana lebih diminati oleh golongan lelaki berbanding wanita," kata Khan yang mengenakan kemeja-T putih dan berseluar jingga terang yang tampil dengan gaya ikat rambut ala ekor kuda untuk sesuaikan wataknya dalam filem itu.


Khan, 45, yang kelihatan lebih kurus sempat berseloroh, menyatakan beliau rindukan Priyanka Chopra, heroin filem itu yang tidak dapat hadir pada sidang media berkenaan kerana terpaksa pulang ke India untuk promosi filem barunya.

"Beliau (Priyanka) akan kembali ke sini di mana filem itu turut dibintangi Lara Dutta yang akan menyertai kami untuk babak berikutnya dalam beberapa hari lagi," kata Khan.

Katanya peranan beliau dalam filem itu sama seperti filem pertama, melakonkan watak jahat, mengenakan orang dan selesaikan tugasannya.

"Sama seperti karektor saya yang sebenar," katanya sambil berseloroh.

Melaka, Kuala Lumpur dan Langkawi dipilih sebagai lokasi untuk penggambaran filem ini yang turut disertai 140 kru filem dan ia akan berakhir di Berlin, Jerman.

--Bernama

iDAN:

Dari maklumat dalaman Datuk Sharukh Khan menginap di sini dari 15 hingga 18 Februari 2011 di sini.

Jika di Phelia Resort & Spa ini mereka berkumpul takkan tak ambil barang sedikit babak di sini, harapanku agar Phelia akan menjadi popular seantero dunia. Dua malam aku menginap di sini memang resort ini layak dinobatkan 5 bintang sebab dari segi layanan pun menu makanan amat kelas & berbaloi menginap di sini. Anda hanya perlu memanggil Buddy (kereta ala padang golf) untuk bergerak; 24 jam anda boleh mendapat khidmat serta layanan istimewa.

Namun jika seperti aku golongan marhaen yang tak berduit banyak... sila semak kos tidur semalam & carilah ketika diadakan tawaran penginapan. Selalunya kamar termurah sekitar RM600 tetapi jika berkumpulan sekarang Phelia membuat promosi majlis mesyuarat sekitar RM466 seorang bagi pasangan dua hari semalam... Sebut majlis mesyuarat makan mestilah kerap; dari sarapan, tengah hari minum petang, makan malam berhidang atau tunggulah jabatan anda sponsor secara percuma tidur di sini itu lebih istimewa...

Kadar orang awam buat masa ini promosi sekitar RM500 bagi kamar dua katil atau kamar kelamin berserta sarapan untuk dua orang.

Tidur di kamar kayu dari Rusia & semua pagar hiasan dari kayu rel kereta api... amat mengujakan.

Lobi utama

10 Februari 2011

Imej kenangan di Melaka & PD 2 (Singgahsana)




Saat bersantai bersama keluarga amatlah damainya
kenapa terkadang kita kepung hati kita dengan pergolakan
sedangkan mana mungkin hidup ini tiada suri ujian
mana mungkin hidup ini akan cukup segala
tak mungkin yang bulat itu akan datang bergolek
yang pipis itu akan datang melayang dengan sendirinya
hidup ini terlalu kejap
kenapa mahu kita isi ianya dengan keresahan
gunakanlah segalanya
dengan segala kesyukuran


07 Februari 2011

01 Februari 2011

Memori di Port Dickson (Singgahsana)


Dari Kajang ke Port Dickson sekitar 75 km tetapi jika teluk Kemang telah mencecah 83 km. Ini mengikut jarak di Peta Google. Google akan mengambil jarak terdekat; jika mengikut jalan yang lain; seperti jalan lama melalui Semenyih mungkin akan mencecah lebih dari 90 km. Dalam setengah pendapat mengatakan dibolehkan jamak solat sekitar 89.04 km atau 90 km (Mazhab Syafie). Ada pendapat yang mengatakan lebih dekat dari itu.

Maka ada baiknya anda semak meter di kenderaan anda. Janganlah diperdebatkan lantaran dua marhalah itu memang banyak ulamak berlainan pendapat kadar jaraknya. Cukup kita fikirkan bagaimana kecintaan kita kepada Allah SWT; apakah mahu jumpa Kekasih kita sekejap atau lama. Qasar itu kejap amat jumpa Kekasih kita. Begitu juga jika memang kita mengejar waktu atau uzur & agama meringankan kita dalam bab kewajiban solat ini tak salah kita tunaikan secara Jamak atau Qasar.

Esok Rabu 2.2.11 aku akan ke Port Dickson; berehat selama tiga hari dua malam; pulang sekitar petang Jumaat. Aku berserta keluarga akan menginap di rumah Rehat milik Sime Darby, Menyinsing Apartment; tak jauh dari Teluk Kemang.

Sebenarnya penat ke Melaka pun masih tak hilang tapi lantaran teringatkan Afiz & Husna yang tidak bersama ke Melaka tempoh hari pastinya esok akan aku penuhi dengan suasana santai. Sementelah semasa aku di Philea Resort & Spa banyak amat gangguan. Risau akan rumah jiran yang dibanjiri hujan lantaran kontraktor yang buat ubahsuai rumah bikin kacau kedua-dua rumah jiranku. Pulak tu, sepanjang dua hari dua malam asyik hujan tak berhenti baik di Melaka atau pun di Kajang Selangor.

Sampai Afiz & Husna tak berani keluar rumah tak tahan leteran Abg Rosli jiranku.

Harapanku agar tidak sesat-larat seperti di Melaka; aku tak jumpa jalan ke Alor Gajah; ingatkan nak ikut jalan lama sebab nak singgah gerai tepi jalan. Nak beli cincaluk & belacan, nak rasa orang kampung buat. Akhirnya sesat berpatah balik ke Tol Air Keroh. Terpaksa beli cincaluk di Hentian Rehat Durian Tunggal sahaja.

Port Dickson sebenarnya telah banyak menyimpan kenangan sejak zaman bujang lagi. Malahan aku pernah berkhemah bersama Mila di sana semasa awal kahwin. Tempat yang sering kami bermalam adalah di Blue Lagoon. Pantai yang sering kami kunjungi selain Blue Lagoon & Teluk Kemang adalah di pantai UPM.

Agar esok kami akan dapat berkumpul dengan semua keluarga; Aziq dapat cuti dari PLKNnya sampai hari Ahad lantaran raya cina; kehadiran Husna pastinya suasana kami akan berubah.