iDAN

27 Mei 2010

12 Di 2 buah Kota Bharu 13 di Sahom Jun 2010 (Singgahsana)


"Elok abg iDAN tidur di Kota Bharu, sudah dekat sangat!, kita tak pasti majlis orang itu akan selesai; kut kalau lepas sembahyang Jumaat pasti banyak masalahnya." Hashim membuat cadangan; aku pun terfikir begitu. Andai kata 11 Jun itu lewat agendanya akan habis; aku tak biasa jalan ke Grik itu; ada baiknya bercuti di Kota Bharu Kelantan.

"Masa cutilah Hashim hotel atau resort pasti penuh!"

"Saya boleh suruh tolong rakan saya carikan!"

Aku terfikir ada benarnya cakap Hashim itu, baik aku ke Kota Bharu Kelantan; asyik balik ke Kota Bharu Perak sahaja; bila lagi nak beli budu di Kelantan. Lagi pun aku ada talian bebas tol; cubalah cari di mana masih ada kosong lagi!.

Emmm! isunya sekarang mungkin keluarga kakak aku juga akan ikut serta; takkan dia nak balik sendirian. Atau apakah agenda dia berubah!.

Dengar ceritanya Dayang anak buahku pun nak ikut serta; maka bertambah ramailah rombongan kami. Hashim & Ijam kalau tak ada aral akan turut serta. Biarlah Nik tak ikut serta; nampaknya biar pun dia ada di kampung ketika itu; dia lebih mahu ke rumah pengantin waris isterinya. Setahu aku Kota Bharu & Machang tak sejauh mana. Jangan persoalkan biar pun janji asal memang dia akan turut serta.

Payah kita mahu mengukur ukhuwah & nilai persahabatan dalam zaman sekarang. Aku teringat ketika Nordin kahwin kali kedua; ratusan rakan sekerja hanya aku seorang yang berkejar ke Trolak sana. Samalah ketika Amar berkahwin tak siapa sudi menjenguk dia di Hutan Melintang sana.

Tapi bila orang ada kedudukan buat kenduri kahwin; pangkat bos lagi berpusu datang biar pun nun jauh di Bagan Datuk sana. Apatah lagi kalau artis bersanding. Lagi pun mana ada paksaan dalam menunaikan undangan.

Yang penting doakan aku & rombongan selamat pergi menghantar Afiz bernikah pun selamat kembali ke Jenaris. Lagipun ini majlis kecil, aku harap ketika majlis kenduri kahwin Afiz nanti akan ramai yang sudi datang. Aku mungkin tak buat kenduri di Jenaris lantaran semua perbelanjaan menghantar, belanja hangus dan lain-lain aku yang kena sediakan.

Terpulanglah pada Mila jika dia mahu buat majlis di mana nanti; jika aku buat pun sekadar majlis kecil doa selamat mungkin jemput saudara mara terdekat sahaja. Rasanya manalah ada saudara mara yang ingatkan kami di sini. Saudara mara rapat pun nun jauh di Perak. Pastinya amat sukar untuk mereka akan datang. Rakan sekerja nampaknya endah tak endah sahaja; jika buat di sebelah fakulti mungkin baru ramai yang datang. Amat dahsyat nilai ukhuwah zaman kini.

Dunia persaudaraan di kalangan kaum Jawa berbeda; aku begitu yakin jika kami buat majlis pasti saudara mara Mila yang ramai akan datang!.

Jodoh pertemuan, ajal & maut semuanya ketentuan Tuhan, mana mungkin kita dapat menentukan talian kasih atau jodoh itu tetiba akan datang menyapa kita.

Sabtu 12 Jun 2010 aku akan bertolak ke kampung halamanku Kota Bharu Perak, ikut Grik. Memang lama tak pulang ke kampung!. Desa Tualang. 13 Jun 2010 akan berada di Sahom. Tak jauh dari rumah Shahir & ada jeram yang cantik di sana. Jeram Salu. Jarangkan dengar nama itu; memang cantik Jeram Salu ini.


Berbalik nilai ukhuwah tadi; Bayangkan ketika aku setahun setengah di bawah jagaan Klinik Kardio; saban malam asyik sesak nafas memintas maut. Tak siapa pun datang menziarahi. Sedang sakit jantung yang kronik ketika itu bila-bila masa akan boleh jatuh strok & pelbagai kemungkinan. Masuk wad kecemasan pun selalu tak siapa yang sudi melawat; silap-silap nazak pun maut seorang diri.

Harap-harap jangan sampai telah meninggal dunia tiada siapa yang tolong uruskan!; sudahlah.

Maka itu aku sering berpesan jangan nikah lambat sangat; bila telah berumur nanti mana saudara mana kita; apatah lagi andai kata telah berpindah jauh ke kampung. Apakah generasi muda akan kenal kita. Hanya masyarakat keliling sahaja yang akan bertandang ke majlis kita. Ukhuwah orang Melayu nampaknya makin genting; bayangkan jika punyai 20 orang anak saudara; berapa ramaikah sudi bertandang menjenguk kita di hari raya?.

Pak Saudara atau Mak Saudara manalah ada lagi!. Adakah semua Abang Saudara atau Kakak Saudara kenal kita lagi. Masing-masing sebaya kita entah bertaburan entah di mana. Jangan sampai satu hari nanti hanya rakan terdekat sahaja yang mesra dengan kita; saudara mara makin lupakan kita. Biar pun kita tak pernah menolak undangan mereka.