iDAN

09 Oktober 2008

MMms 9 ... Pembedahan Am Penyair iDANRADZi (Famili)

3:28 AM 1/12/2007

(Siang tadi di Jabatan Pembedahan Am, Hospital Kajang.)

Igauan November lalu bagaikan datang lagi 22 November 06 lalu telah dilakukan X-ray, nampaknya masih kabur & masih misteri penyakitnya.

"Sememangnya melalui X-ray kita cuma berkemungkinan dapat mengesan batu karang 30% sahaja, selebihnya kena melalui scan, atau ultrasound atau banyak lagi cara lain" Dr Chong menjelaskan kepada aku. Sambil menulis borang laporan rawatan ISO, Hospital Kajang nak ikut jejak kami kot. ISO yang memeningkan.

"Doktor bila agaknya saya boleh melalui proses scan atau ultrasound itu "

"Hari ini kami buat ujian darah & air kencing dulu, mungkin seminggu dua lagi kita akan berjumpa kembali" Jelas Dr Chong

"Tak lama sangat ke dua minggu itu doktor, saya takut diserang sakit lagi!, tambahan sekarangpun tekanan darah saya makin tinggi, tidakkah nanti boleh strok & melibatkan jantung pula" Aku memerhati radas yang menguji tekanan darahku. Wow melonjak 200 lebih bacaannya, nampak menurun sedikit demi sedikit.

"Saya harap tidak sampai begitu, nanti saya kasi ubat tahan sakit " Begitu yakin tapi memang tidak memberikan harapan bagiku.

"Isk! tekanan darah En Haridan melampau tinggi ini " Nampak iras kerisauan di raut mukanya, Dr Chong nampak muda, tentunya usianya sekitar 30an, dari cop memo tertera MBBS (Malaya). Mesti baru berkerja.

"Nanti saya tenguk X-ray awak "

Dia pergi ke meja sebelah, meletakkan X-ray di lampu pengesan. Ada tak kurang dari lima orang doktor, muda belaka di Bilik nombor 4. Aku sudah mula rasa tenang diri. Tadinya memangnya aku kalut & stres amat. Apabila jururawat yang berlilit merah di tudung kepalanya, jururawat yang sama wajah mirip anak mami; mengatakan hari ini sekadar jumpa doktor bukan untuk buat ultrsound atau scan. Memang aku tidak menjangkakan sedemikian. Tentunya aku yang tersilap maklumat, lantaran tidak sabar ingin tahu apa sakitku yang sebenarnya melalui ultrasound atau scan.

Lagipun telah dua kali aku diuji akan air kencingku; ada darah. Paling akhir semasa aku pergi ke Klinik Husni. Dia begitu yakin aku memang punyai batu karang di dalam buah pinggang. Doktor di Pusat Perubatan UPM juga mengatakan begitu. Aku ditahan di Wad Kecemasan Pusat Kesihatan UPM pada 22 Disember 06 tempoh hari. Kira telah kronik sakitku



Aku juga menjangkakan bilamana telah buat temujanji jam 9:00 pagi 11 Januari ini pasti tidak perlulah berbaris mengambil nombor & akan terus sahaja untuk aku melalui proses ultrasound atau scan. Rupanya anggapan aku meleset. Prosedurnya masih panjang. Setelah aku jadi pesakit gabra sendirian lagi kebingungan tanya sana tanya sini, barulah aku di berikan tiket nombor giliran. 1092. Huh nasib tidak ada angkat 4 lagi. Gerun juga dengan angka 4 itu. Tertera di tiket tersebut 9:00 pagi. Menunggu proses kedua pun hampir setengah jam. Entah berapa lama aku akan menunggu lagi.

Di kamar menunggu. Aku sempat berbual panjang dengan seorang bekas perajurit. Katanya dia menghantar isterinya untuk mendapatkan rawatan bersalin. Dari ceritera pembangunan bandar Kajang hinggalah dia mengeluh panjang tentang masalah untuk mendapatkan geran di mana dia membina rumah kini, di tapak bekas lombong di belakang Sekolah Leftenan Adnan katanya. Ada yang telah menetap lebih dari 20 tahun masih kerajaan negeri tidak kasi geran. Memang harta tanah di Selangor ini mahallah amat.

"Tak tahulah saya abang, tadi saya dengar berita di radio dalam kereta, kalau di Perlis, siapa juga yang ingin membangunkan hotel di sana kerajaan negeri akan kasi tanah percuma lantaran mahu menggalakkan pembangunan di Perlis"

"Kita mungkin tiada kepentingan ekonomi bagi kerajaan kita, nilai tanah di Kajang mungkin terlalu mahal.. " Aku tahu dia memang tertekan. Bekas perajurit; bagaikan jasanya tidak dikenang. Aku diam saja.

"Tapi kita ini bukankah anak peribumi, anak watan di tanah air kita sendiri, untuk kita menumpang membina hidup dalam ruang tanah selesa pun amat payah, saya sendiri hairan bagaimana bangsa lain, contohnya kilang-kilang haram yang dimiliki kaum lain, boleh terus berkembang, boleh ditukar status dari tanah haram ke tanah tol, kemudian silap-silap dapat hak milik tetap! "

"Itu adalah pengaruh duit, mereka banyak duit... semua boleh jadi "

Banyak perbualan menarik dengan abg bekas perajurit tersebut, apabila nombor tiket 1092ku menyala, aku memohon diri & masuk ke Pejabat rawatan Jabatan Pembedahan Am. Memang terkejut beruk. Sepadat-padat manusia di dalamnya. Bangku disusun pun sampaikan berlaga lutut. Yang mahu dirawat sedikit punya ramai yang mengiringi apatah lagi. Di luar, di dalam macam sama sahaja; memang tidak terfikirkan olehku. Padat, padat dengan wajah kesakitan. Sakit puan, golongan istimewa, banduan, emmm! perbagai jenis orang. Termasuk banduan pun ada.

"Encik ke yang bawa senapang patah kat pintu itu?.. " Tiba-tiba aku dikejutkan oleh seorang jururawat.

"Hah!.. bukan saya punya "

"Siapa yang punyai senapang iyer..! "

"Entah-entah polis yang bawa banduan tadi tak? " Sangkaku.

"Tak mungkin polis tadi ada bawa pistol sahaja " Dr Chong mencelah.

"Pak cik yang hujung sana kot " Jawap seorang doktor perempuan yang bagai sebaya dengan Dr Chong.

Lor.. mesti pengawal keselamatan punya kes yang sakit. Padanlah bawah senapang patah. Biasalah bila sudah umur peringkat pencen. Nampak akan raut ketuaan pakcik jaga tersebut.

Ketika itu sudah hampir jam 1:00 tengah hari. Congaklah berapa jam aku menanti di bilik menunggu. Dari duduk sebelah gadis yang mengiringi ibunya. Lari duduk ke sebelah warganegara Indonesia, dia juga dalam bualannya sama sakit denganku. Bangun ke tandas, ke hulu ke hilir berbual dengan seorang pangkat Atok yang menghantar cucunya ke seawal 7:00 pagi. Sampailah beberapa orang sahaja diluar. Maknanya akulah kumpulan akhir menerima rawatan.

"Dari filem X-ray ini memang tak nampak batu karang dalam badan Encik Haridan "

"Bagaimana pula dengan tekanan darah saya doktor "

"Haa ahh iyer sudah ada bacaan tu " Sambil mencatatkan di rekod rawatanku " Tinggi ni.."

"Patutnya berapa iyer doktor, bukankah bergantung dengan berat badan & umur ..? "

"Berapa iyer umur Encik Haridan " Sambil membelek di kad peribadiku.

"Emmm ada tulis dalam ni.." .... " Sepatutnya sekitar 130 ke 140 sahaja.."

"Maknanya saya telah pasti ada masalah tekanan darah tinggi " Aku mencari kepastian.

" Yes!, saya ingat kes tekanan darah tinggi ini saya serahkan kepada doktor panel Encik Haridan di Klinik Husni "

"Doktor... saya lebih suka kes tekanan darah saya ini diserahkan ke Pusat Kesihatan UPM, sebab Klinik Husni tu tidak dibuka 24 jam, jika kes kecemasan payah saya nanti. Pusat Kesihatan UPM saya rasa ada khidmat 24 jam "

"Baiklah saya tulis memo untuk Encik Haridan serahkan ke klinik UPM, untuk kes tekanan darah tinggi, kes batu karang ini kami yang akan ambil "

"Sepanjang minggu ini bagaimana dengan sakit dalam perut Encik Haridan? "

"Masih sakit, terutama jika saya berhenti makan ubat yang diberi oleh doktor di Pusat Kesihatan UPM, tapi tidaklah seteruk ketika tiga kali saya kena serang dulu itu.. "

"Cuba pusing sikit badan Encik Haridan " Dr Chong menekan sedikit di rusuk sebelah kananku.

"Sakit tak? "

"Okey... " Apalah ini doktor, mana mungkin dalam keadaan sakit tak menyerang boleh dirasakan sakitnya. Bukannya buah pinggang itu letakkannya dikulit belakang kita.

Aku menganggap batu karang itu berada bagaikan di dalam sebiji gelas yang kecil di tengah perut boroiku, mungkin dia tidak melekat & boleh beralih, bukan mustahil ketika dia sakit disebabkan berada betul-betul menghalang pundi kencingku. Keadaan sekarang tentunya okey! sebab ianya tidak menghalang kelawasan buang air kecil.

Aku baru perasan sebelah mejaku, macam kenal sahaja; aku lihat akan Abang yang terbaring di bangku menunggu, ketika pertama kali aku diserang sakit kronik November 06 lalu & diintai Malaikat Maut tempoh hari. Di Wad Kecemasan Hospital ini. Abang tersebut mungkin dari sakit dada melarat masalah jantung, lantaran masa menunggu terlalu lama untuk dirawat tempoh hari, cuma tekanan darah tinggi dia sahaja yang dapat dikesan. Mesti masalah kesihatannya tidak selesai hingga ke hari ini. Dia dirawat oleh seorang doktor perempuan. Hampir sebaya Dr Chong.

"Saya kasi ubat tahan sakit, hari ini kerja tak? " Dr Chong bersuara.

"Tak! "

" Saya kasi Sijil Cuti Sakit hari ini, nanti Encik Haridan buat ujian air kencing dan ujian darah "

Aku senyap, sambil memerhatikan Dr Chong menyelesaikan rekod di kad perubatan & entah apa lagi borang ISOnya. Tentunya aku rasa makin tertekan. Mahu tidaknya, belum tentunya dua minggu lagi aku akan dapat dibuat ujian terapi. Alasan doktor mesti ada, perlu dibuat perbagai ujian sebelum dibuat ultrasound atau scan segala. Takut ada sakit lain akan merebak kesan dari ujian terapi, mungkin orang yang punyai sakit kencing manis atau penyakit kronik yang lain ... lain cara ujian terapinya. Selebihnya tentunya pesakit terlalu ramai kena menantikan giliran. Agakanku sekadar menyedapkan hati sendiri.

" Okey Encik Haridan, ini memo untuk doktor UPM, ini pula Sijil Cuti Sakit untuk hari ini, Ini surat untuk ambil ubat tahan sakit, nanti di kaunter luar mereka akan ditetapkan temujanji kita lagi, jangan lupa sebelum balik buat ujian darah & air kencing "

"Terima kasih doktor "

Aku menunggu lagi di luar untuk mendapatkan kad temujanji. 15 Februari 07. Waduh..! janji Dr Chong tadi cuma selewatnya dua minggu, tapi kini lebih sebulan akan terpaksa menunggu episod sakit agar tak tenat seterusnya!. Aku terpaksa berharap jangan ada lagi intaian Malaikat Maut dalam aku bertarung sendirian dengan ugauan kesihatan dalam tempoh aku menunggu 15 Februari 07 nanti. Beginilah nasib pesakit orang awam di hospital kerajaan. Aku terbayang PK UPM tentunya lebih pantas khidmatnya tapi tak semua peralatan ada. Seperti ujian Ultrasound.

Harapanku alangkah baiknya sakit ini akan hilang sendiri bagaikan sakit misteri. Bolehkah!?. Lagipun selama ini pun cuma andaian para-para doktor, belum nampak apa-apapun benda yang menghantui kesakitanku. Secara rasmi telah lima orang doktor aku temui. Apakah benar sakit dalam buah pinggang?. Kalau batu karang mana pengesahannya, kenapakah aku tidak terasa kesakitan ketika buang air kecil; Sindrom dari segalanya yang pasti sakitku kini kian merebak; Darah Tinggi kini sah melanda di badanku. Esok lusa entah sakit apa lagilah yang datang menyergahku.


Punyai umur yang panjang itu nampaknya bagaikan cuma impian. Bersedialah untuk mati bisik Malaikat Maut. Memang itu yang selalu dirasakan bila kita diserang sakit sebegini; nyilu amat.

Perut terasa makin pedih, masuk anginlah itu lantaran tidak makan apa-apa kecuali minun air kosong sejak bangun tidur subuh tadi. Tok Perak seawal pagi telefon & berpesan, isterinya yang memang ketua jururawat di hospital ini, dia berpesan kalau nak buat ultrasound atau scan di perut memang sebaiknya berpuasa. Seawal 10:00 malam sebaiknya berpuasa. Maka aku berpuasalah lagipun tak jadi masalah berpuasa lantaran aku selalunya puasa sunat pada hari Isnin & Khamis. Tapi telah hampir sebulan aku tak berniatpun berpuasa. Sementelah sakit inilah. Pernah aku berdegil berpuasa sunat, terentap segala usus, urat saraf segalanya. Tentunya ada yang tak kena dengan niat puasaku kot. Allah Azzawajalla menolaknya dengan ujian kesakitan. Kesakitan bagiku adalah lantaran dosa-dosa yang pernah aku lakukan. Aku akur.

Aku ke farmasi, untuk mengambil ubat tahan sakit. Entah jenis apa tak pernah aku lihat sebelum ini. Mesti bahasa Malaikat Maut. :( . Diclofenac Sodium. Sodium ini yang aku faham adalah bahasa kimia. Telan kimia dalam perut lantaran takut mati. Tersenyum Malaikat Maut. Nampaknya aku semakin banyak mengenal bahasa Malaikat Maut semenjak November 06 lalu. Rowatinex Anethol Trithione. Macamana boleh ujud perkataan begini. Cuba aku tafsir sendiri. Rowa... roh wafat kot, tinex ... ti macam mati nex.. nex mungkin singkatan nanti dari bahasa orang putih. Roh wafat akan mati. Tak takut ke? Ish! nyanyukan orang dalam kesakitan. Yang pasti ubatan yang aku telan sejak kebelakangan ini sememangnya berjenama belaka amat penat hendak menghafalnya. Olfen mepha, Magnesium Trisilicate Co., Hyoscine N-Buttylbromide. Kasmah Booty yang gedengpong pun aku terpaksa telan.

Aku terus menghidupkan kereta perangku. 1:14 tengahhari. Panas. Apatah lagi kereta perangku meragam sejak lama akan penghawa dinginnya. Tengah ngumpul duit nak membaikinya adalah saja aralnya. Pefaham sajalah zaman serba serbi perlu duit.

Aku teringat Drama Jepun sembilan VCD Kon'na Koi no Hanashi ; A Story of Love,yang baru aku beli, heronya yang dipanggil Pakcik Jam ( Oyashima ) seorang jutawan [: b oleh Jingpeng anak Yorosei oleh langsung tidak percayakan cinta & persahabatan. Pelakun utama wanita Kaori Fujimura & kakaknya Misha tinggal berjiran dikelompok kemiskinan bersama Yorosei. Yorosei ditinggalkan isterinya Tashima yang percayakan kekayaan adalah kebahagiaan. Kaori pula jatuh cinta dengan Pakcik Jam. Tenguk kelembutan watak Kaori aku pun akan jatuh cinta. Encik Jam merahsiakan sakitnya; punyai sakit barah hanya dijangkakan boleh hidup lagi enam bulan sahaja. Watak Yorosei yang miskin, percayakan nilai cinta & persahabatan berbanding duit amat menonjol dalam drama ini.. ah! jauhnya aku mengelamun.


Matsushima Nanako sebagai Kaori Fujimura

Aku terbayang wajah Afiz yang kepenatan didera KFC, Aziq sekolah hari ini, aku terbayang keanggunan Avanza Kemek milik Mila. Jika dia yang menghantarku tentunya aku tidak akan disalai begini, tapi ada baiknya jika bersalai dalam kereta yang tanpa penghawa dingin bagaikan berada di dalam bilik sauna. Sauna percuma. Terimalah seadanya pemberian Ilahi, panjatkan kesyukuran biarpun kita berada dalam serba serbi kekurangan. Aku teringat bagaimana Afiz kepanasan semasa bersauna denganku di Century Mahkota Hotel Melaka. Nampak wajah Anif & Azim di layar kerinduanku. Mereka jauh. Amat jauh rasanya waktu sebegini, Entah apa yang mereka lakukan di Pulau Carey bersama dengan ibu mereka.

Nampaknya memang aku akan terusan berperang sendirian dengan kesakitan ini. Aku mengharapkan dengan kekuatan diri sendiri kini, apa tidaknya sebulan lagi pun tak tahu ceritanya bagaimana. Terpaksa ikut sahaja jadual yang diberikan oleh pihak hospital. Jadual & prosedur orang awam. 15 Februari 07 berulang lagi tanggal itu di kotak ingatanku. Sayogia aku ingin tahu keputusan darah & air kencing pun amatlah terlalu lamanya. Teramat lama. Terima sahajalah. Aku sekadar bergantung dengan pil tahan sakit kini. Selepas sebulan pun belum tentu segalanya jelas, sementelah hampir tiga bulan pun masih kabur apakah sakitnya. Menjelang bulan Februari tentunya ada tindakan positif dari Jabatan Pembedahan Am Kajang. Harap-harap begitu.

Terkadang aku ingin menceritakan derita sakit dalam diri ini tapi tak pasti kepada siapa.

Esok aku perlu ke Pusat Kesihatan UPM (PkUPM) lagi. Huh! @#|~|!~

http://en.wikipedia.org/wiki/Konna_Koi_no_Hanashi

- Bersambung

iDAN: Nov08