iDAN
27 September 2009
Raya ooo Raya 4 (Singgahsana)
"Azim Moh! temankan ayah cari Pucuk Mengkudu!" Hanya Azim anak aku yang bungsu ini rajin temankan ayahnya. Aziq memang payah, Anif ikut angin. Afiz yang sulung tu kalau dia tak sibuk dengan kerja & amalinya mahulah ikut.
"Jauh ke ayah?"
"Tak tahulah kat Meru ini ada tak Pucuk Mengkudu terbiar!" Kalau tak jumpa juga Pucuk Mengkudu nampaknya aku terpaksa pulang ke Jenaris. Teringat Yot malam tadi aku naik seriau. Sakit Diabetesnya semakin kronik. Pengidap Diabetes ini jangan putus ubat. Kalau glukos telah lebih dari 8.++ mmol/l siaplah, seluruh badan rasa gatal-gatal. Badan pun tak berapa kuat. Pening. Kalau sudah sampai belasan mmol/l padah mendapat bisul itu memang mudah.
Dari rumah Mila, Batu 8 Bukit Kapar, aku mengikut jalan ke dusun durian Yaie. Tak masuk dusun; sekitar jalan luarnya sahaja. Cuma banyak pucuk paku rona merah. Banyak juga aku kutip untuk buat ulam, pucuk paku ini kuat angin. Kalau banyak sangat makan tambah peninglah nanti. Tak sangkalah pula jalan yang aku ikut itu sampai ke Jalan Paip. Hingga ke pekan Meru tak nampak pun bayang pokok Mengkudu.
Aku tak kisah Mengkudu jenis apa. Mengkudu Hutan yang burung Merbah suka makan buahnya itu juga aku belasah. Pucuk Mengkudu ini aku suka makan mentah. Selain cicah belacan, daun mengkudu juga boleh dibuat kerabu.
Arwah Emak rajin buat kerabu dari pucuk-pucuk kayu. Kami panggil kerabu yang emak buat ini, Sayur Pucuk atau bahasa sedapnya Pencuk Kayu. Pucuk-pucuk kayu, biasanya pucuk jambu, limau, kelempong, pudin, mempelam, jering, gajus, bebuas, kadok, sentang, silum, pegaga, ulam raja, mengkudu & apa jua pucuk yang buahnya boleh dimakan boleh dicampurkan. Tak perlu dicelur. Janganlah pucuk nangka atau cempedak yang berbulu daunnya, tercekik pula dekat tekak.
Semua pucuk tersebut dihiris halus & digaul dengan kerisik kelapa ala Perak (Agak hitam). Sudah siap & boleh dimakan. Jika mahu kelainan taruhlah bawang, cili & sedikit garam secukup rasa. Perahlah asam limau jika mahu ianya terasa masam sikit. Tapi asasnya dari pucuk-pucuk kayu kampung. Bagus untuk peredaran darah & jika ada masalah angin dalam badan cubalah ramuan ini. Boleh buang angin.
Aku terfikir untuk ke rumah Pak Toyo; rumah Pak Toyo sememangnya agak terpencil & jauh di kawasan kebun, kawasan Bukit Cerakah. Raya Pertama Azim telah pergi bersama Pamannya ke rumah Pak Toyo, katanya jalan lama telah tak boleh dilalui. Berlopak & berlubang. Kereta memang tak lepas. Pak Toyo sekarang makin kaya, pakai Pajero & ada lori. Asalnya memang berdagang; kira pendatang haram dari Indon (PTI) . Terpaksa ikut jalan rumah banglow baru buat untuk sampai ke rumah Pak Toyo. Azim panggil banglow baru buat ini, Banglow Lukisan.
"Ayah tenguk bentuk banglow ini macam lukisan, macam banglow orang beristeri dua!" Di tengah ada menara tinggi kiri kanan ada rumah sama bentuknya. Rona Oren. Azim pun macam aku juga selalu fikir macam itu jika banglow berbentuk kembar ini.
Di Meru memang banyak banglow yang baru dibina. Masyarakat Jawa memang rajin kumpul duit & cari harta. Jika kita bertandang ke rumah mereka banyak yang sudah bagaikan Istana rumahnya. Dulunya dari kayu lusuh sahaja. Temasuklah Pakcik Mila yang punyai Pam Minyak Petronas di pekan Meru itu. Dari rumah teres sekarang telah miliki banglow mewah, di belakang Petronas Meru. Aku pernahlah berhari raya di rumahnya. Dia baru sahaja menerima menantu tahun ini, tak pasti menantu yang ke berapa. Aku tidak sempat pergi kerana masa itu Anif ada latihan Taekwondo & kena hantar Aziq ke asramanya di Gombak.
Emmm! sejam lebih aku memandu, masih tak jumpa; itu Pucuk Mengkudu. Di sekitar rumah Pak Toyo pun masih tidak ketemu pokok Mengkudu. Pelik. Setahu aku pokok Mengkudu Hutan bersepahan di mana sahaja. Cukuplah ada sepokok, buahnya akan dimakan burung & akan bersepahanlah disemai merata tempat. Burung di Meru tak makan buah Mengkudu kut!. Burung sakit macam aku sahaja makan!. Selalunya di kawasan jirat cina banyak pokok ini tumbuh melata. Masalahnya geli pulak nak makan Pucuk Mengkudu Hutan di jirat cina. Bajanya dari mana?.
Aku balik hanya dengan ulaman Pucuk Paku Pakis Rona Merah. Kemudian Mandi Tempayan dengan Azim. Terbayang Sofea Jane Mandi Tempayan. Waduh! memang segar badan. Mak Yong & suaminya si Talib sibuk di dapur. Aku perasan ada jantung pisang di tepi tali air depan rumah Nyaie. Sempat aku petik. Ketika makan tengah hari masih tidak siap hati ku terdetik mahu ke dusun durian Yaie. Aku pergi seorang-seorang ke dusun durian yang kira-kira tiga km dari rumah Mila. Bagai ada panggilan.
Sampai di dusun aku parkir Avanza agak jauh; sebab becak & jalannya agak tidak rata. Tak sangka durian Arwah Yaie berbuah lebat. Tak kurang ada kira-kira lima pokok berbuah lebat. Pokok yang berusia lebih dari usiaku itu memanglah nampak agak tua. Tuanya segak dariku. Cumanya buahnya masih tidak gugur. Rasanya menjelang dua tiga minggu pasti buahnya akan gugur. Ada pondok yang sesuai berkelah & tidur bermalam di dusun ini. Maman Akhir sibuk nak tebang semua pokok durian ini. Marah sangat pencuri yang memang menggila. Kalau tak berjaga memanglah. Lagi pun ianya jauh terpencil tak berpagar lagi. Emm! takkan marahkan nyamuk kelambu mahu dibakar.
Dari jauh aku perasan...sekonyong-konyong ada dua pohon Mengkudu Hutan timbuh di bawah pokok durian. Kira satu yang aneh. Bagaimana dua pokok Mengkudu Hutan ini boleh ujud. Bagaimana aku boleh terfikir masuk ke dusun ini. Apakah pancaindera keenamku yang memandunya. Takdir Tuhan. Pokoknya masih kecil, setinggi orang tapi memang rumpunnya segar rimbun.
Talib birasku ada buat sambal ikan bakar; Adoi! asyik makan rendang raya sehari dua lalu, semalam makan sayur kairan, sekadar berlauk ayam goreng. Hari ini makan pula ikan bakar siap berbalut daun pisang lagi; berulam Pucuk Mengkudu. Memanglah membangkit selera.
Tak ada ubat tak kisah, lagi pun aku pakai seluar jenis jerut. Dua pinggan nasi pun memang tak cukup. Inilah nikmat makan. Di Jenaris asyik lauk & gulai beli. Jemu. Di Meru kalau Mak Yong yang masak; memang tak nampak Mak Mertua lalu.
Baru tengah hari Hari Raya ke tiga.
- bersambung
Langgan:
Catatan (Atom)