iDAN

22 Jun 2009

Enam ancaman lelaki (Delima Merkah)


Bagaimanakah seorang lelaki dapat mengekalkan kesihatan mereka?


MEROKOK boleh mengakibatkan penyakit paru-paru.


KEBANYAKAN lelaki sentiasa ingin kelihatan hebat bukan sahaja di mata wanita, tetapi juga di mata lelaki lain walaupun mereka telah berumah tangga dan dikurniakan anak.
Namun, untuk memenuhi definisi lelaki hebat bukanlah mudah. Antara kriteria yang perlu dipenuhi ialah keperibadian dan kesihatan yang baik.
Apabila bercakap soal kesihatan, ramai yang sedia maklum bahawa lelaki tidak gemar berjumpa doktor biarpun masalah yang dihadapi berlarutan sehingga berbulan-bulan atau bertahun lamanya.
Ini kerana, kesukaran menerima hakikat bahawa mereka menghidap penyakit merbahaya terutamanya apabila melibatkan soal kesihatan dalaman.
"Penyakit yang sering dihadapi oleh kaum lelaki kebanyakannya adalah sama dengan wanita.
"Beza di antara keduanya adalah gejala penyakit itu, penerimaan dan kekuatan untuk menempuhinya.
"Berbanding wanita, lelaki lebih mudah mendapat penyakit berkaitan mental atau skizofrenia," kata Ketua Jabatan Perubatan Psikologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Mohd. Hussain Habil kepada Kosmo!.
Jelasnya, lelaki yang menghidap penyakit mental lebih sukar untuk sembuh kerana beberapa faktor antaranya tanggungjawab komuniti dan tekanan.
Habil memberitahu, kebanyakan keluarga pesakit enggan menerima skizofrenia sebagai masalah perubatan.
Sebaliknya, mereka percaya masalah itu disebabkan buatan orang, santau dan ilmu hitam. Justeru, mereka lebih selesa berubat dengan bomoh atau guru agama.
"Penyakit ini tidak dapat dirawat dan gejalanya berlarutan sehingga pesakit sukar dirawat," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Skizofrenia
Skizofrenia bermaksud gangguan kimia dalam otak. Seorang psikiatri Sweden, Eugen Bleuler menggunakan perkataan ini buat pertama kalinya pada tahun 1911 untuk menjelaskan keadaan pesakit yang pemikirannya seakan-akan tidak boleh lagi bersambung.
Simptom skizofrenia muncul pada usia 15 ke 35 tahun. Secara gender, lelaki dan perempuan memiliki risiko yang sama untuk mendapat skizofrenia tetapi simptom lebih cepat muncul pada lelaki.
Sekitar 80 peratus pesakit boleh menikmati kehidupan yang selesa dan produktif jika menjalani rawatan jadual yang ditetapkan.


SKIZOFRENIA antara penyakit yang dihidapi oleh lelaki.


Pesakit skizofrenia lebih ramai membunuh diri jika dibandingkan dengan populasi umum. Dianggarkan 10 peratus pesakit (terutama lelaki muda) membunuh diri.
Skizofrenia boleh terjadi dalam keluarga. Risiko mewarisinya bagi mereka yang memiliki keluarga terdekat mengalami skizofrenia adalah 10 peratus, manakala 40 peratus bagi mereka yang memiliki ibu bapa atau kembar yang menghidap skizofrenia.
Penyakit jantung
Nisbah lelaki yang menghidap penyakit jantung berbanding perempuan ialah 5:1. Penyakit jantung lebih menyerang lelaki kerana tubuh wanita dilindungi oleh sejenis hormon iaitu estrogen.
Hormon ini berfungsi mengekalkan saiz salur darah dalam keadaan normal. Walaupun demikian, wanita yang merokok dan menghidap sakit kencing manis juga berpotensi mendapat sakit jantung seperti lelaki.
Namun bagi wanita yang tidak merokok dan tidak mengalami sebarang masalah kencing manis, peluang mendapat penyakit ini tipis berbanding lelaki.
Kencing manis dan darah tinggi
Kebanyakan pesakit yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi berpotensi mendapat penyakit jantung. Penghidap penyakit kencing manis sering mengalami kekurangan hormon insulin di dalam badan.
Akibatnya lemak di dalam badan sukar diproses dan salur darah menjadi sempit akibat kekurangan bekalan darah ke jantung. Tekanan darah tinggi pula menyebabkan jantung bekerja lebih teruk dan menjadikannya lebih besar.
Barah
Antara penyakit barah yang lelaki hadapi termasuklah barah paru-paru (COPD), barah darah (leukemia), barah ginjal, barah prostat dan kolorektal.


DIABETES boleh menjejaskan kesihatan jantung sekiranya dibiarkan tanpa rawatan.


Barah prostat berlaku disebabkan terdapat perubahan gen dalam badan lelaki sehingga menyebabkan kelenjar-kelenjar prostat membiak secara abnormal. Barah kolorektal pula merupakan barah yang terdapat di dalam usus besar (kolon) iaitu bahagian bawah sistem pencernaan lelaki.
Disfungsi Ereksi (ED)
Disfungsi ereksi atau impotens adalah ketidakmampuan untuk memula dan mempertahankan ereksi. ED selalunya dikaitkan dengan penuaan dan psikologi lelaki. Namun berdasarkan kajian demi kajian, pakar mendapati, ia satu salah faham yang perlu diperbetulkan.
Masalah psikologi atau dipanggil psikogenik, bukanlah penyumbang besar kerana ia hanya penyebab sekitar 20 peratus kepada ED di kalangan lelaki.
Masalah sebenar lelaki atau baki 80 peratusnya adalah disebabkan oleh masalah kesihatan lelaki itu sendiri.
Pesona

‘Tak perlu pawang’ (Ceritera)

Oleh Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Kami tidak perlukan pawang,” kata Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohamad Abdul Razak mengulas mengenai cadangan orang ramai untuk menghilangkan ketakutan ribuan pelajarnya berikutan dakwaan gangguan lembaga hitam.

Cadangan itu dibuat bagi memulihkan semangat pelajar yang ketakutan apabila seorang pelajarnya mati terjatuh dari tingkat empat asrama itu, Selasa lalu.

Menurut Mohamad, pihak pengurusan universiti tidak memerlukan bantuan pawang atau bomoh, sebaliknya akan mengatur pelbagai program, termasuk mengadakan kenduri doa selamat.

Katanya, bantuan bomoh atau pawang itu tidak difikirkan perlu bagi memulihkan kawasan kediaman terutama di tempat kejadian disebabkan tiada apa yang perlu dibimbangkan.

“Bagaimanapun, kami mengadakan perbincangan lanjut mengenai perkara ini, termasuk mengadakan kenduri doa selamat untuk arwah selain melaksanakan program yang mampu memulihkan semangat pelajar,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Akhbar ini Selasa lalu melaporkan, seorang pelajar sarjana, Wan Siti Farihan Mohamed Hassan, 23, ditemui mati di kawasan letak kenderaan Blok C, Kolej Kediaman Pendeta Za’ba selepas dipercayai terjatuh dari tingkat empat bangunan asrama itu.

Mangsa yang juga siswi Sarjana Sains Kimia UKM yang lengkap berpakaian kemeja-T kuning dan berkain batik dikatakan terjatuh selepas dipercayai dikejar satu lembaga.

Mayat mangsa yang dalam keadaan mengiring dan muka lebam serta mulut berdarah ditemui kira-kira jam 7 pagi oleh seorang tukang sapu di depan pintu laluan utama kolej itu.

Menurut Dr Mohamed, dalam tinjauannya semalam, semua pelajar, termasuk rakan karib serta teman sebilik siswi berkenaan masih dalam keadaan sedih dengan kejadian yang menimpa rakan mereka.

Katanya, pihak pengurusan juga akan berusaha untuk mengatasi masalah ini bagi mengelak sebarang gangguan di dalam kelas pembelajaran.

Harian Metro

Penghuni kolej ketakutan

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my


BANGI: Misteri mengenai punca sebenar kematian seorang siswi ijazah sarjana jurusan Sains Kimia Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, yang ditemui dalam keadaan mengiring di tempat letak kenderaan di Kolej Pendeta Zaba, kelmarin dipercayai ‘terjatuh’ masih menghantui semua pihak.

Tinjauan yang dilakukan semula Harian Metro di tempat kejadian mendapati kebanyakan pelajar terutama penghuni kolej terbabit berada dalam ketakutan disebabkan mitos yang tersebar kononnya mangsa terjatuh dari tingkat empat kediaman berkenaan gara-gara dikejar ‘lembaga hitam’.

Tidak kurang juga pelajar yang mendakwa mangsa membunuh diri akibat mengalami tekanan dalam menamatkan pengajiannya. Bagaimanapun, semua anggapan dan khabar angin itu belum dapat disahkan.

Semalam, Harian Metro melaporkan penemuan mayat seorang siswi, Wan Siti Farihan Mohamed Hassan, 23, lengkap berpakaian dalam keadaan mengiring oleh pencuci kolej terbabit dipercayai terjatuh.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa dikatakan terjatuh melalui tingkap biliknya pada ketinggian lebih 10 meter menyebabkannya mati di tempat kejadian.

Rakan mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Rosliza, 20-an, berkata sejak mendiami kolej kediaman itu hampir dua tahun lalu, pelbagai cerita mengenai gangguan makhluk halus seperti lembaga hitam tersebar.

“Namun, saya dan rakan sebilik tidak mengendahkannya kerana sehingga kini masih belum ada individu yang terserempak atau diganggu lembaga berkenaan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Rosliza mendakwa ketika kejadian dia dan rakan sebiliknya terdengar seperti orang melarikan diri kerana dikejar di kaki lima, disusuli satu jeritan kuat kira-kira jam 4.30 pagi.

“Ketika itu, kami berada di dalam bilik dan sedang mengulang kaji pelajaran. Disebabkan takut, kami mengunci bilik dan meneruskan ulangkaji biarpun tidak dapat memberikan tumpuan kerana ketakutan selain tertanya-tanya apakah kejadian sebenar yang berlaku.

“Kira-kira 30 minit kemudian, saya dan rakan sebilik membuka pintu bagi memeriksa kaki lima, namun tidak menemui apa-apa,” katanya yang tinggal berhampiran bilik arwah Wan Siti Farihan.

Menurutnya, dia hanya menyerdari mengenai penemuan mayat arwah Farihan pada jam 7 pagi ketika bersiap untuk ke kelas.

“Saya bergegas turun selepas dimaklumkan penghuni lain melihat mayat Farihan berada di kawasan berkenaan.

“Sejak itu, kami ketakutan dan kebanyakan penghuni yang tinggal di tingkat yang sama dengan arwah kini melakukan semua aktiviti secara berkumpulan termasuk mandi kerana bimbang kejadian sama berulang,” katanya.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM, Prof Datuk Dr Mohamad Abdul Razak, ketika dihubungi, berkata pihaknya bercadang memasang jeriji besi di semua blok asrama perempuan terutama pada tingkat tiga dan ke atas sebagai langkah berjaga-jaga.

‘Bagaimanapun, kita akan berbincang terlebih dulu dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat supaya cadangan pemasangan alat itu tidak mengabaikan mana-mana aspek keselamatan sedia ada.

“Kita juga mahu mengelak sebarang kontroversi pada masa akan datang sekiranya alat itu punca penghuni asrama gagal diselamatkan (jika berlaku kebakaran).

“Oleh itu, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan membabitkan pengurus kolej dan pengawal keselamatan bagi membincangkan mengenai masalah dan mengesan punca kematian arwah Farihan yang pertama kali berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Sakaruddin Che Mood, berkata berdasarkan laporan bedah siasat yang dikeluarkan pihak Pusat Perubatan UKM (PPUKM), menunjukkan mangsa maut kerana mengalami kecederaan serius pada bahagian dalaman tubuhnya disebabkan terjatuh.

“Tulang rusuk kanan yang patah dipercayai punca utama menyebabkan kematiannya. Oleh itu, kita akan kekalkan kes ini di bawah siasatan laporan kematian mengejut (SDR),” katanya

Harian Metro