SAYA berumur 19 tahun dan masih belajar. Ketika berumur 10 tahun, saya melakukan hubungan seks dengan sepupu saya. Dalam usia yang terlalu muda, saya langsung tidak mengerti apa yang saya lakukan.
Seingat saya, dua kali sepupu saya meniduri saya dan kejadian berlaku apabila dia datang ke rumah saya ketika cuti sekolah. Ayah tidak tahu hal ini kerana sibuk bekerja, manakala ibu pula sibuk menguruskan hal enam anaknya yang lain.
Ibu juga dulunya tidak mengendahkan saya. Ibu hanya memberi makan dan kasih sayang sekali-sekala kepada saya. Selebihnya saya banyak berdikari. Sekarang, sepupu saya menerima rawatan di Pusat Serenti kerana terbabit dengan dadah.
Saya bersyukur pada Allah kerana tidak menemukan saya dengan dirinya lagi. Mungkin jika berdepan dengannya, segala macam perasaan takut, benci dan marah akan timbul dalam diri saya.
Selain itu, ketika kanak-kanak, saya juga pernah melakukan hubungan seks dengan pak cik saya. Bagaimanapun, ketika usia 11 tahun saya mula mengerti apa maknanya ‘rogol’. Saya juga tahu apabila melakukan hubungan seks, seorang perempuan boleh mengandung dan melahirkan anak.
Saya juga mula faham bahawa hubungan seks sepatutnya hanya boleh dilakukan oleh orang yang berkahwin. Dengan pemahaman itu, saya mula menjaga kehormatan diri dan tidak lagi melakukan hubungan seks dengan sesiapa pun.
Masalahnya, mungkin disebabkan pernah melakukan hubungan seks, kini saya ketagih untuk melakukannya lagi. Untuk memuaskan nafsu, saya kerap melakukan onani dengan sebarang objek.
Saya tak mahu perbuatan ini berterusan, tapi saya sukar menghentikannya. Apa perlu saya lakukan? Saya juga ingin tahu, jika kerap melakukan onani, adakah saya susah dapat anak apabila berkahwin kelak?
Dang Setia, saya sedih dengan apa yang berlaku ke atas diri saya. Ketika di tingkatan dua saya mula terfikir mengenai status saya, adakah saya masih ada dara atau tidak? Saya tidak suka bila nenek, ibu dan ayah panggil saya anak dara.
Sekarang saya ada teman lelaki. Kami berkawan sejak saya tingkatan empat lagi. Dengan dia, saya tidak pernah lakukan hubungan seks betul-betul, tapi secara luaran saja. Saya cerita segala masalah saya padanya dan syukur dia menerima saya seadanya.
Masalahnya, saya senang tergoda dengan rayuannya dan saya bimbang akan terlanjur melakukan hubungan seks. Kini saya keluar malam untuk berjumpa dengannya tanpa pengetahuan ibu bapa, biarpun saya tahu risikonya.
Ayah pernah memberi amaran pada saya jika saya ditangkap (pihak berkuasa) kerana melakukan perbuatan tidak senonoh, ayah tidak akan jamin saya. Saya terfikir, adakah ayah kata begitu kerana dia tidak sayang saya?
Dang Setia, tolong bagi pendapat atau bimbingan apa perlu saya lakukan untuk memperbaiki kehidupan saya.
CUTEGIRL 09
Klang, Selangor
Amat sedih sekali kerana dalam usia yang masih muda adik menempuhi pelbagai pengalaman pahit dan mengaibkan sehingga ia mempengaruhi serta menjejaskan kehidupan adik pada masa kini.
Namun, pada masa sama Dang Setia bersyukur kerana adik diberi kesedaran dan keinsafan untuk keluar daripada kehidupan yang menyesatkan serta kembali kepada kehidupan yang diredai Allah.
Bagi Dang Setia, itu tandanya Allah masih sayangkan adik. Allah tidak mahu adik terus dianiaya, hanyut dan sesat, lalu diberinya adik hidayah atau petunjuk. Namun, adik kini bertanggungjawab menjaga hidayah itu.
Jika tiada tindakan atau usaha untuk menterjemahkan hidayah itu kepada amalan, lama kelamaan kesedaran dan keinsafan yang timbul di dalam adik akan hilang secara perlahan-lahan, maka kembalilah adik kepada cara kehidupan lama.
Bila hidayah atau petunjuk Allah itu akan adik dapat semula? Jawapannya, hanya Allah tahu. Cuma yang dibimbangi, jika ia datang hanya sekali dan tiada kali kedua dan ketiga. Nauzubillah, jika itu berlaku, akan hiduplah kita dalam kegelapan hingga ke akhir hayat. Mudah-mudahan itu tidak berlaku.
Persoalannya sekarang, bagaimana untuk menjaga hidayah itu apa usaha yang perlu adik lakukan untuk menterjemahkan hidayah itu kepada amalan atau dalam erti kata lain, mengubah kehidupan adik kepada cara hidup yang diredai Allah.
Untuk berubah, dua faktor penting dan saling berkait perlu diambil kira, iaitu faktor dalaman dan luaran. Faktor dalaman merujuk kepada bekalan diri atau ilmu, usaha dan komitmen.
Faktor luaran pula membabitkan persekitaran seperti suasana dalam rumah atau tempat kerja, hubungan dengan ibu bapa dan adik beradik, siapa kawan dan tidak lupa, hubungan dengan kekasih.
Untuk mewujudkan faktor dalaman yang kondusif atau membina, disiplin dan kesungguhan diri sangat penting. Ada peraturan yang wajib kita patuhi iaitu apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak boleh. Peraturan itu ialah syariat Islam.
Ia dicipta oleh Allah SWT sebagai panduan untuk kita ikuti. Intipati utama syariat Islam ialah lakukan apa yang disuruh Allah dan jauhi apa yang dilarang-Nya. Contohnya, solat fardu tidak boleh adik tinggalkan sama sekali, begitu juga dengan puasa, zakat dan ibadat fardu lain.
Untuk melakukan semua amalan itu, adik perlu ada ilmu. Jadi, carilah ilmu itu. Belajar daripada ustaz atau ustazah, baca buku agama dengan kuliah agama dan lain-lain. Apabila itu adik lakukan, semakin kukuhlah iman adik. Iman yang tuguh amat perlu kerana hanya ia mampu menjadi perisai atau benteng untuk menepis godaan hawa nafsu.
Apabila iman semakin subur, baru saudara ada kekuatan untuk menentang godaan nafsu dan hasutan syaitan. Maksudnya, hanya dengan iman yang teguh adik mampu mengatasi masalah ketagih melakukan onani yang adik alami sekarang.
Bagi Dang Setia, soal sama ada adik masih dara atau tidak tidak perlu adik risaukan sangat. Secara normalnya, berdasarkan sejarah hitam adik, Dang Setia percaya adik sudah hilang dara. Namun, perkara lepas tidak guna kita tangisi, sebaliknya manfaatkan masa sekarang untuk mencipta masa depan yang lebih sempurna.
Sekarang kita pergi pula kepada faktor luaran yang turut penting sebagai sokongan untuk membantu membina faktor dalaman. Tanpa persekitaran yang baik, hubungan positif dengan keluarga dan rakan, selain memastikan rakan dan kekasih turut mematuhi syariat Islam, adik sukar untuk berubah.
Maksudnya, jika adik bimbang atau tidak yakin mampu mengawal diri apabila berjumpa kekasih, elak berjumpa dengannya atau sekurang-kurangnya pastikan perjumpaan itu turut dihadiri peneman serta diadakan di tempat terbuka.
Jika kekasih adik didapati sekadar membuka laluan untuk adik lakukan maksiat, adik perlu berani bertindak sehingga ke tahap memutuskan hubungan dengannya. Ingat, hubungan dengan Allah yang kini perlu adik jaga, bukan hubungan dengan kekasih yang merosakkan.
Harian Metro