iDAN

14 Mac 2011

PERJALANAN 3

i.
Aku telah cuba memetik harum kembangnya bunga kasihmu
tetapi duri ragumu telah menyucuk jantung hatiku
aku telah cuba menghias taman kasih sepimu
tetapi yang tumbuh cuma pepohon keliru sembilu
menyemak rinduku yang sesat di hutan ngerimu.

ii.
Keterasingan ini telah menghantarku jauh ke gua asing
aku hanya nampak sinar harapan ketika usia semakin pendek
suara sakti-Mu sekadar gema di bayangan kelawar liar
mencari arah ketentuan membina mahligai impian
tidak siapa pun menemani diri di kegelapan ini.

iii.
Aku semakin sesat di belantara penantian lara
tiada siapa sudi menyapa atau menggamit aku pulang
semakin jauh mencari cinta bunian di jeram seram
dengan gagasan kecundang yang terlalu lelah lagi walang
biar pun jernih simpati sering memaksi diri abadi.

iv.
Lebuh raya aulia-Mu terusan memintas suasana sengsara
menampakkan pelabuhan murni duniawi yang tidak bernama.

- iDANRADZi
Jenaris, Kajang.

(Puisi 146)

Dalam mengharungi sakit kronik ini aku cuba juga menulis puisi. Cita-citaku amat tinggi jika boleh aku mahu menulis 1001 buah puisi sebelum aku pergi; nampaknya bukan kerja yang mudah lantaran faktor usia & ilham. Buat masa ini mungkin terkumpul sekitar 200 buah puisi sahaja. Jika usiaku ini sekadar 60an berapa sangatlah sisa usiaku buat menulis sebanyak itu puisi. Jika pun mampu tentunya tidak sebaik mana nilai atau kualitinya. Dalam jangkaanku paling kuat aku berpuisi pun mungkin sekadar 500 buah puisi. Belum tentu sebabnya untuk mencipta sebuah puisi tenguklah keadaan. Paling handal pun sekitar dua buah puisi dalam seminggu. Sebulan baru sekitar 8 buah puisi. Setahun kalau hebat pun sekitar 96 buah puisi.

Iyer! jika usiaku 60an seyogia saban hari terusan menulis puisi orang akan kata mabuk puisi. Hidup dalam dunia puisi sentiasa. Naa mungkin. Bagaimana pun jika penuh giat & bertekad kuat bukan perkara mustahil aku dapat mencapai impian 1001 buah puisi tersebut. Kita tunggu & lihat sahaja.

Sesungguhnya bila berusia begini memang kita makin hilang teman, mungkin salah sebab warga emas nyanyuk adalah lantaran asyik berbual sendiri, anak-anak makin menjauh, pasangan pun jika bernasib baik bagai Dzuan & Amid mungkin terus bercinta tapi tidak semua, ramai kalangan orang tua kehilangan rakan berbual. Pasangan ada komitmen sendiri.