Masalah Hadas Besar
Apakah hukumnya seorang mukmin yang ketika itu dalam keadaan berhadas
besar memotong rambut atau kuku?. Apakah rambut atau kuku itu masih
dikira berhadas selepas beliau mengangkat hadas ( mandi )?
Kuku dan rambut tersebut mengikut mazhab Syafie, masih berhadas dan
perlu dibawa mandi bersama. Munurut ulama', anggota yang berhadas ini
akan menuntut hak mereka ketika dipadang masyhar nanti.
Antara Adat dan Agama
Sebenarnya saya ingin bertanya mengenai Adat dan Agama dimana agak
mengelirukan saya. Saya berasal dari Kuching Sarawak dan akan
melangsungkan perkahwinan dalam bulan Oktober 1997.Saya ingin Ustaz
huraikan mengenai hak si suami dan adat di mana mengikut adat, si suami
mesti tinggal di rumah ibu mertuanya (iaitu rumah si isteri).sekiranya
si isteri tinggal dirumah pihak lelaki, kononnya masyarakat akan
berfikiran serong yang si perempuan mengikut sisuami tampa restu
ibubapa.Issue ini akan berterusan sehinggalah sisuami membeli rumah
sendiri. Bagi saya, saya mampu untuk membeli rumah tetapi saya masih
merasa pelik mengapa perkara ini masih hidup difikiran kaum masyarakat
melayu terutama golongan Tua.
Dalam soal ini, kebijaksanaan suami adalah penting. Adat yang bercambah
dari dulu adalah amat payah untuk diubah kecuali dengan hikmah.
Sekiranya tiada masalah dari pihak keluarga lelaki maka adalah tidak
salah untuk mendiami rumah mertuanya. Tetapi sekiranya dengan mendiami
rumah mertua itu sisuami telah menderhaka kepada ibu bapanya atau
meninggalkan tanggungjawabnya (seperti menjaga adik-adik dan sebagainya)
maka suami tersebut adalah berdosa. Tanggapan masyarakat adalah tidak
penting jika dibandingkan dengan hukum Allah s.w.t.. InsyaAllah sedikit
demi sedikit ianya akan berubah dan mejurus kearah yang baik sekiranya
kita berusaha dari sekarang. Contohnya sepuluh tahun lalu, sekiranya
berkahwin tanpa sanding, masyarakat akan menyatakan bahawa pengantin
perempuan itu janda. Kemudian apabila ada golongan yang memulakan
perkahwinan tanpa sanding, mereka dicap sebagai 'dakwah' tetapi tidak
dianggap seburuk 'janda', dan sekarang alhamdulillah perkahwinan tanpa
sanding dikira biasa. InsyaAllah suatu masa nanti jika kita terus
menentang budaya ini, perkahwinan dengan persandingan akan dipandang
serong pula oleh masyarakat.
Wuduk Suami Isteri
Mengapakah suamiisteri batal air sembahyang (Wuduk) sedangkan mereka
sudah menjadi suami isteri yang sah(mukhrim) yang menghalalkan jimak ?
Suami isteri asalnya adalah ajnabi iaitu halal bernikah. Maka kerana
itulah terbatal wuduk apabila tersentuh. Sedangkan muhrim azali
(adik-beradik dan sebagainya) dari asalnya telah haram nikah keatas
mereka.
Sujud Imam
Kami sekeluarga bersolat Maghrib secara berjemaah dengan bapa saya
sebagai imam setiap hari. Namun, saya meragui sujud imam kerana hanya
kedua-dua ibu jari kaki sahaja yang mencecah sejadah. Oleh itu, sujudnya
tidak sempurna dan oleh itu, rukun solat tidak disempurnakan juga. Saya
pernah menasihatkan beliau mengenai masalah ini dan telahpun
membetulkan kesalahannya. Namun, setelah beberapa lama dia telah kembali
kepada cara asalnya yang salah itu, mungkin kerana telah menjadi suatu
kebiasaan dan beranggapan kesalahannya itu dapat dimaafkan. Oleh kerana
meragui solat bapa saya, saya mengambil keputusan untuk tidak berniat
mengikut imam. Walaupun saya bersolat dibelakang imam, namun niat saya
adalah sebagai bersembahyang bersendirian. Saya berbuat sedemikian agar
tidak menyinggung perasaan bapa saya sekiranya saya bersembahyang
berasingan bersendirian. Adakah solat imam saya sah kerana tidak
sempurna sujudnya? Adakah sah solat saya apabila berniat sembahyang
bersendirian, namun berdiri dibelakang imam?
Solat imam itu sah walaupun sujudnya tidak sempurna. Sujud yang sempurna
memerlukan perut ibu jari kaki memcecah tempat sujud (sejadah, lantai
dsb.). Keadaan ini seolah-olah jari kaki itu menunjuk kearah kiblat.
Solat anda sah tetapi fadilah jemaah tidak anda dapat. Tiada salah
mengikut imam yang tidak sempurna sujudnya kerana solatnya masih sah.
Tegurlah berulang kali supaya kita dapat melakukan solat yang sempurna
bersama-sama. Gunakan cara yang berhikmah dalam menegur bapa anda dan
jika perlu, tunjukkan email ini.
Segan solat
Sekali sekala bila keluar ke "shopping mall" di sini (US), tiada surau
atau tempat untuk sembahyang, so kitorang sembahyang duduk atas kerusi
kerana segan, boleh ke ustaz?
Boleh. Sekiranya semua syarat sah sembahyang diikuti. Ini untuk
mengelakkan dari timbulnya fitnah dari orang lain yang mungkin
mengatakan Islam itu menyusahkan. Tetapi kalau dapat sembahyanglah
dengan sempurna kerana itu lebih afdal. Atau cari masa yang sesuai untuk
shopping yang tidak mejangkau waktu sembahyang. Utamakanlah sembahyang
dari perkara lain.
Kencing berdiri
Di sini tiada jamban cangkung, jadi saya terpaksa kencing berdiri dengan
menjaga percikan serta beristibrak (serta yakin kesemua najis telah
keluar dari saluran kemaluan) dan beristinjak menggunakan tisu. Adakah
berdiri ini harus? Adakah istinjak saya sah? Perlu ke tisu tersebut di
gumpal keras suyapa boleh ia di kategorikan di bawah beristinjak dengan
benda keras (cth: batu, tanah liat atau kayu).
Kencing berdiri itu harus jika kena pada tempatnya seperti dikawasan
berbahaya yang boleh mendatangkan mudarat jika duduk. Walaubagaimanapun,
perlu diingat bahawa satu percikan kecil sahaja yang terkena pada
pakaian kita diibaratkan dapat menghidupkan seekor lipan bara yang boleh
menyengat kita semula. Saya percaya masih ada alternatif lain seperti
menanggalkan seluar dan kencing duduk atau mencangkung diatas tandas
itu. Cara ini biasa dilakukan walaupun tiada siapa yang mahu
menceritakannya kepada orang lain.
Istinjak tidak memerlukan sesuatu yang keras kerana yang pentingnya
adalah kasarnya permukaan itu. Tidak sah beristinjak dengan buluh yang
keras kerana licin permukaannya. Juga haram beristinjak dengan sisa
makanan kerana masih boleh dimakan oleh binatang. Begitu juga haram
beristinjak dengan tulang yang menjadi makanan jin. Tisu boleh digunakan
dengan diberikan perhatian supaya resapan najis ditisu itu tidak
mengotori bahagian tangan pula. Ini dengan mengkiaskan tisu itu sejenis
dengan kayu atau batu.
Perbezaan Mazhab
Bolehkah ustaz senaraikan perbezaan fahaman diantara mazhab - mazhab yg terdapat di dalam Islam.
Perbezaan antara mazhab hanyalah didalam perkara-perkara khilafiah.
Setiap pendapat dari setiap mazhab tersebut mempunyai nas dan hujah
sahihnya sendiri dan tidak pula bercanggah dengan mazhab lain. Sebagai
contoh, batal wuduk dengan sentuhan antara kulit lelaki dan wanita
(kecuali kuku dan rambut) dimana mengikut syafie - batal, maliki - tidak
sekiranya tanpa menaikkan syahwat.
Halal/haram keju
Saya ingin mendapatkan kepastian tentang kedudukan halal/haram keju.
Kalau diperhatikan bahan-bahan yang digunakan untuk membuat keju yang
tertera di bungkusan-bungkusan keju, 90% menyatakan pemakaian bahan
bernama "rennet" iaitu sejenis enzim yang diperolehi daripada intestine
anak lembu. Soalan saya adalah samada dengan penggunaan "rennet" ini,
keju berkenaan halal di makan. Tidak dinyatakan bagaimana caranya bahan
"rennet" ini diperolehi. Jika diperhatikan juga kebanyakkan daripada
bungkusan-bungkusan keju ini dicopkan perkataan halal, sungguhpun bukan
berlogokan "halal" daripada Pusat Islam.
Sekiranya enzim berkenaan diambil ketika lembu itu hidup, maka ianya
halal kerana ianya berasal dari binatang yang halal (seperti meminum
susunya). Sekiranya diambil setelah ianya mati, maka sekiranya tanpa
disembelih, hukumnya halal. Tetapi jika disembelih (secara Islam) maka
ianya halal.
Logo halal yang tidak dari Pusat Islam adalah tidak boleh dibuat panduan.
Masalah bersuci
Saya sekarang sedang belajar di USA.Pakaian saya ada tersentuh hidung
anjing. Kalau mengikut hukum, ia perlu dibersihkan dengan menggunakan
air bercampur tanah. Masalahnya sekarang, saya menghadapi kesukaran
untuk mencari tanah kerana saya tinggal di kawasan bandar.Adakah
sebarang alternatif lain? Tolong jelaskan juga jenis-jenis tanah yang
dibenarkan dan yang ditegah untuk tujuan tersebut.
Jika benar-benar tiada tanah, maka boleh digunakan air yang banyak dan
sabun sehingga hilang 'ainnya. Walaubagaimanapun ini hanya setelah
diusahakan sedaya upaya untuk mendapatkan tanah liat tetapi tidak
berhasil. Dibandar sekalipun mungkin ada pokok yang ditanam yang boleh
diambil tanahnya barang secubit dua. Tanah itu hendaklah dari jenis
tanah liat dan bukan pasir atau lumpur dan bukan juga tanah yang
bercampur najis atau berbau busuk.
Zakat kepada ibu bapa.
Tuan, saya ingin meminta jasa baik tuan untuk mendapatkan penjelasan
mengenai satu kemusykilan berkenaan zakat. Ada 8 Asnaf golongan yang
layak menerima zakat. Kemusykilan saya, bolehkah saya mengeluarkan zakat
pendapatan saya kepada kedua ibu-bapa saya, atas dasar kedua ibu-bapa
saya itu tergolong di dalam golongan salah satu dari 8 Asnaf iaitu
"Asnaf Miskin". Untuk pengetahuan tuan, ibu-bapa saya hidup di kampung
berdua, bapa berumur 73 tahun, ibu berumur 58 tahun, dan bapa tiada
pekerjaan sejak 10 tahun lalu. Mereka menyara perbelanjaan harian dengan
wang bulanan yang dikirim oleh saya dan kakak saya.
Zakat tidak sah jika diberikan kepada orang yang dibawah tanggungjawab
kita. Ibubapa adalah menjadi tanggungjawab anak untuk memberi bantuan
baik dari segi kewangan maupun dari segi tenaga. Tidak boleh
dikategorikan seseorang itu miskin sekiranya mempunyai anak yang mampu
kecuali ditinggalkan atau tidak dihiraukan oleh anaknya, dimana dalam
kes yang sebegini anak tersebut tidak menjalankan tanggungjawabnya
sebagai seorang anak yang pernah dilahirkan, dibesarkan, dijaga, dididik
oleh ibubapanya satu ketika dulu.
Ciri-ciri binatang Korban
Saya ingin bertanya ustaz mengenai lembu / kambing yang boleh dijadikan
korban. Apakah ciri-ciri yang perlu ada pada lembu / kambing tersebut
seperti umurnya atau kesihatannya.
Syarat-syarat binatang korban adalah seperti berikut:
Cukup umur
Kambing
satu tahun lebih atau telah bersalin gigi
Lembu Kerbau
dua tahun lebih
Unta
lima tahun lebih
Tidak cacat
buta
tempang
tiada telinga
putus ekor
teralu kurus
lain-lain kecacatan yang meng'aibkan.
Syiah
Adakah cara untuk kita mengenali yang seseorang itu berfahaman syiah.
Adakah boleh kita dari golongan sunnah wal jamaah mengimamkan orang dari
golongan syiah. Akhirnya adakah orang-orang dari golongan syiah itu
dikira islam/muslim.?
Syiah boleh dikenali dari pegangan mereka, diantaranya seperti pendapat
bahawa Solat Jumaat itu tidak wajib kerana tidak difardukan Allah s.w.t.
ketika mi'raj dan ada juga berpegangan sehingga jatuh murtad seperti
mempercayai bahawa Saiyidina Ali itu sebenarnya nabi. Mengimamkan mereka
tidak menjadi salah kecuali kita tidak boleh berimamkan mereka
sekiranya pegangan mereka hingga ketaraf murtad. Selain golongan yang
murtad, mereka masih berugama Islam.
Masalah Dividen Bank
Saya pernah bertanya kepada seorang ustazah tentang dividend yang saya
perolehi melalui simpanan saya dalam bank. Beliau mengatakan bahawa wang
tersebut sebenarnya adalah hak kita kerana kita dianggap sebagai rakan
kongsi kepada bank.Walau bagaimanapun,disebabkan nilai wang keuntungan
yang diberikan kepada kita terlalu sedikit yaini tidak memadai dengan
keuntungan yang dibuat oleh bank maka adalah lebih baik wang itu
digunakan untuk kepentingan agama ie. kita tidak menggunakannya untuk
perbelanjaan peribadi.Alasan ini kurang jelas bagi saya atau saya kurang
puas hati dengan jawapan ini.
Sekiranya wang tersebut juga di anggap riba',apa yang perlu saya lakukan
sekiranya "saya telah terlanjur menggunakan wang tersebut untuk
perbelanjaan peribadi saya". Saya harap ustaz dapat menjawab soalan saya
terutamanya bahagian akhir soalan,dengan seberapa jelas ie. tidak
semestinya panjang dan terperinci.
Pendapat ulama' Fiqah mengatakan bahawa wang riba itu tidak boleh
digunakan untuk peribadi samada sendiri atau peribadi lain (disedekah
kepada orang lain untuk kegunaan peribadi). Samada digunakan untuk
kegiatan ugama ataupun tidak, ianya hendaklah untuk kegunaan masyarakat
dan orang ramai (contoh: membina jalan, longkang, tandas awam dsb).
Sekiranya terlanjur maka hendaklah diganti jumlah tersebut dengan wang
lain dan disalurkan untuk kegunaan diatas.
Beberapa masalah Solat dan ilmu
Apakah kelebihan solat sunnat awabin..?
Diantara kelebihan sunat awabin:
Senang menjawab soalan mungkar nangkir
Senang mengucapkalimah syahadah ketika sakaratul maut.
Mati dalam husnul khatimah.
Apabila saya solat hati dan fikiran saya selalu diganggu dengan bayangan
salib dan macam-macam lagi. Banyak surah-surah pendinding telah saya
baca tetapi masih diganggu lagi.
Antara cara yang dapat dilakukan dalam menghindarkan gangguan dalam solat adalah:
mengelakkan dari makan makanan yang syubahat
memahami makna setiap bacaan dalam solat.
Apakah yang dimaksudkan oleh Junjungan Nabi kita "Carilah ilmu sampai kenegeri cina"
Hadith tersebut menunjukkan betapa pentingnya ilmu. Ianya perlu dicari
walau kemana sekalipun. Begitu juga dengan sebuah lagi hadith yang
bermaksud " Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahat", yang mana
ilmu perlu dituntut sepanjang masa.
Sekiranya kita terlupa atau tertidur hingga terlepas menunaikan solat isyak bagaimana kita nak ganti solat isyak...?
Solat yang tertinggal (apa waktu sekalipun) hendaklah disegerakan
menggantikannya. Ada pendapat ulamak, sekiranya tertinggal kerana
terlupa atau tertidur maka sunat disegerakan solat qado tersebut,
manakala sekiranya sengaja ditinggal, maka wajib disegerakan qadonya.
Masalah Wuduk berkasut
Saya pernah dengar yang bila kita ada wuduk kemudian kita pakai setokin
atau kasut, dan setelah itu wuduk kita batal dan kita belum buka lagi
kasut atau setokin tersebut, kita boleh ambil wuduk dengan cara biasa
tetapi apabila sampai kepada membasuh kaki, tidak perlu membuka
kasut/setokin tersebut; hanya cukup sekadar menyapu air di atas kasut
sebagai syarat membasuh kaki. Dan wuduk kita sah. Bilakah cara wuduk ini
hukumnya "harus"?. Adakah ia hanya di bolehkan dalam keadaan tertentu?.
Jika ya, dalam keadaan apa?. Bolehkah mengambil wuduk seperti diatas
walaupun tiada keuzuran pada diri atau keadaan. Untuk pengetahuan ustaz:
Oleh kerana di universiti saya tiada surau, saya terpaksa mengambil
wuduk di tandas awam dan adalah agak sukar untuk membasuh kaki. Begitu
juga di dalam kapalterbang. Atau apabila tandas tersebut tiada air panas
di musim sejuk.
Kasut yang dibenarkan adalah dari jenis yang tidak boleh dimasuki air
seperti apa yang dinamakan muza atau kaus. Dengan kasut ini, memadai
dengan menyapu bahagian atas dan bawahnya sahaja tanpa perlu membukanya.
Dan untuk solat, jika diragui kesuciannya, bolehlah dibuka. Tiada
syarat dari segi keadaan atau keuzuran selain dari yang disebutkan itu.
Berkunjung keparti
Bolehkah seorang islam pergi ke "party" atau keramaian yang pesertanya
minum minuman keras walaupun dia tidak minum. Atau bolehkah seorang
islam masuk ke dalam "bar", contohnya kerana diajak oleh pensyarahnya di
universiti dimana dia belajar, walaupun di hanya minum oren atau
sebagainya.
Hukumnya haram jika meredai perbuatan mereka yang mungkar itu iaitu
dengan tidak menegur terutamanya sekiranya mereka itu muslim. Harus
sekiranya untuk pengetahuan dan niat untuk memperbetulkan perbuatan
mereka.
Masalah Waktu Sembahyang
Di USA ada dua cara untuk mengira masa sembahyang. Mana satu patut saya
ikut dan yang mana yang digunakan di Malaysia. Atau adakah perkara ini
khilaf. ( Sila rujuk website http://www.uwm.edu/cgi-bin/bashir/salat.cgi
).
Sebagai pengikut mazhab Shafii, hendaklah kita mengikuti cara kiraan
Syafii jika tidak mengganggu masyarakat setempat. Sekiranya kebanyakan
masyarakat setempat menggunakan cara Hanafi, maka tidak salah sekiranya
mengikuti cara mereka sebagai tanda hormat dan persaudaraan Islam.
Kedua-dua mazhab itu adalah dari golongan empat mazhab yang diikhtiraf
sebagai Ahli Sunnah waljamaah. Perbezaan kiraan hanya pada waktu asar
sahaja (jika tidak silap).
Bersalaman
Apa patut seorang lelaki islam buat jika seorang perempuan bukan islam menghulurkan tangan untuk bersalam.
Menyentuh kulit wanita yang ajnabi dengan ketiadaan berlapik hukumnya
haram bagi lelaki dan wanita tersebut samada wanita itu muslim atau
kafir. Elakkanlah dari berlaku, dan sebagai lelaki keputusan untuk
menyentuh atau tidak adalah ditangan anda.
Aurat wanita
Soalan aurat perempuan. Bagaimana dengan tangan dari pergelangan tangan
(bukan hanya tapak tangan) dan kaki dari buku lali serta bawah dagu
(sempadan muka ?).
Aurat wanita adalah keseluruhan tubuh kecuali muka dan dua tangan. Had
bagi tangan adalah dari pergelangan tangan ke hujung jari termasuk tapak
dan belakang tangan. Had bagi muka adalah dari hujung dagu (dibawah
dagu adalah dikira aurat.) sampai keumbi rambut dibahagian atasdan anak
telinga kanan ke anak telinga kiri. Buku lali dan kaki adalah sebahagian
dari aurat. Aurat perempuan diluar sembahyang adalah sama dengan aurat
didalam sembahyang.
Nisab Zakat
Apakah nisab zakat wang simpanan untuk tahun ini.
Nisab bagi setiap negeri di Malaysia adalah kiraan nilai emas sebanyak
25 mayam harga semasa. Kadar zakat yang wajib dikeluarkan adalah satu
per empat puluh (2.5%) dari jumlah kesemua simpanan. Sila rujuk kepada
Jabatan Ugama berdekatan tempat tinggal anda. Haulnya adalah selama 12
bulan kamariah.
Masalah Air liur Basi
Adakah air liur basi najis.
Air yang keluar ketika tersengguk/terlalai tidur adalah air dari mulut.
Hukumnya tidak najis. Tetapi air yang keluar ketika tidur berbaring,
hukumnya adalah najis kerana ianya berasal dari maidah (perut besar).
Masalah alkohol
Adakah alkohol najis.
Alkohol yang memabukkan adalah haram dan najis. Oleh kerana ada
perselisihan pendapat para ulamak berkenaan masalah alkohol dalam minyak
wangi, maka eloklah dijauhkan dari menggunakannya kerana perkara yang
was-was itu eloklah ditinggalkan.
Masalah Gambar dan ukiran
Apakah hukum mengambil gambar dengan kamera. saya tahu yang melukis
gambar atau membuat patung manusia dan binatang adalah haram.
Membuat patung yang cukup sifat untuk hidup adalah haram. Melukis dan
menangkap gambar dengan kamera adalah harus sekiranya tidak membuka
aurat atau dalam keadaan aib.
Masalah Mandi Wajib
Saya keliru , ada yang mengatakan ambil wuduk dulu baru mandi wajib dan ada yang mengatakan mandi dulu kemudian ambil wuduk.
Mengambil wuduk sebelum mandi wajib adalah sunat. Walaubagaimanapun
sekiranya tidak berlaku perkara-perkara yang membatalkan wuduk dari
ketika kita berniat mandi wajib itu maka dengan sendirinya hadas kecil
kita terangkat, iaitu dengan terangkatnya hadas besar.
Sekiranya kita ambil wuduk dulu, kita tidak dibenarkan menyentuh
kemaluan kita sedangkan saya rasa was-was samada air yang disiram samada
rata ataupun tidak...!
Untuk mengelakkan rasa was-was, mandilah dengan memakai kain basahan. Sentuhan berlapik tidak membatalkan wuduk.
Bersanding dan makan beradat
Apakah hukum Islam tentang bersanding bagi meraikan pengantin yang baru
berkahwin serta apakah hukum makan beradat yang kebiasaannya dilakukan
di hadapan para tamu?
Bersanding adalah sunat sekiranya mengikut cara yang dibuat oleh
Rasulullah kepada Saidina Ali. Antaranya ianya dilakukan dalam bilik
yang tertutup dan disaksikan hanya oleh kaum keluarga. Aurat perempuan
tersebut juga dijaga.
Berkahwin dengan jin
Apakah hukumnya jika seorang manusia berkahwin dengan golongan jin, dan
sebagaimana yang saya tahu allah telah menjadikan manusia untuk manusian
, jin dengan jin , binatang dengan binatang . Dan adakah ini salah satu
dosa besar.
Sekiranya jin tersebut jin Islam, dan menepati segala rukun niqah, maka
perkahwinan itu sah. Walaubagaimanapun perkara sebegini (niqah, qadam
dan sebagainya) perlulah dielakkan.
Beberapa masalah hubungan suami isteri
Apakah hukumnya bagi orang yang mengamalkan onani ... dan bagaimana pula
bagi seorang suami yang terpaksa melakukan onani di ketika isterinya
kotor.
Mengeluarkan mani dengan tangan adalah haram dari segi hukum kecuali dengan tangan isteri.
Apa hukum orang yang melancap? Saya ada mendengar sesetengah pendapat
mengatakan melancap adalah harus jika tidak dapat mengawal perasaan dan
bimbang takut akan berzina. apa pandangan ustaz?
Haram. Islam menetapkan cara lain yang lebih baik untuk mengawal syahwat
iaitu dengan berpuasa dan mengurangkan makan makanan yang berzat.
Soalan saya apa hukumnya jika seorang suami meyetubuhi isterinya melalui
dubur utk kepuasan suami dan isteri..? Apakah hukum nya jika si isteri
menelan benih suaminya semasa mennghisap zakar suami?
Menyetubuhi isteri melalui dubur (liwat) adalah haram. Benih tersebut
adalah suci tetapi perbuatan menghisap zakar suami adalah ditegah.
Masalah sembahyang jamak
Saya difahamkan bahawa sembahyang jamak dilakukan jika kedua-dua waktu
sembahyang adalah dalam perjalanan,contohnya zohor dan asar. Jika saya
sempat sembahyang zohor di rumah, dan kemudian berjalan jauh dan akan
tiba di destinasi masa waktu maghrib, bolehkah saya terlebih dahulu
sembahyang jamak takdim, iaitu dibawa asar ke zohor semasa melakukan
solat zohor di rumah?
Tidak boleh. Sembahyang jamak hanya boleh dilakukan setelah memulakan perjalanan dan tidak boleh dilakukan dirumah.
Saya sedang belajar di luar negeri di mana ketika musim sejuk jarak
antara solat adalah sangat rapat. Contohnya zohor dan asar. Saya tinggal
di kawasan kampung dan jauh dari bandar. Untuk ke bandar, saya pasti
akan tertinggal menunaikan solat. Memandangkan di sini tiada masjiïd
yang saya temui, bolehkah saya membuat sembahyang jamak? Setakat ini
saya hanya menqada'kan sembahyang yang tertinggal tetapi berasa tidak
sedap hati kerana saya tahu, saya akan tidak sembahyang sepenuhnya pada
hari dimana saya akan keluar ke banïdar, sedangkan dalam Islam, qada'
hanyalah dengan alasan terlupa atau tertidur sahaja.
Cubalah cari masa yang tidak melibatkan waktu sembahyang untuk kebandar
kecuali jarak bandar itu melebihi dua marhalah dimana sembahyang jamak
dibolehkan.
Seringkali perjalanan di sini (USA) memakan masa yang lama dan melebihi
jarak dua marhalah. Persoalan yang ingin saya kemukakan disini ialah
mengenai solat Jamak dan Qasar. Adakah masih dibolehkan seseorang itu
untuk melakukan solat tersebut walaupun pada itu, individu tersebut
(musafir) telahpun sampai di bandar tempat dia tinggal tetapi menunaikan
sembahyang tersebut di tempat yang bukan di rumahnya, i.e di Masjid.
Soalan kedua pula, mengenai arah Qiblat. Jika seseorang itu tidak pasti
arah mana Qiblat, tetapi masih mahu menunaikan solat dan tidak ada satu
benda pun yang boleh membantu untuk dia mengetahui arah qiblat, i.e
tidak mempunyai kompas dan ragu-ragu dengan arah cahaya matahari (qiblat
di sini, USA, bukan anggaran ke arah matahari terbenam). Maka adakah
sah solatnya jika dia tunaikan juga solat tanpa mengambil kira arah
tetapi ditetapkan dalam hatinya yang arah yang diambilnya adalah betul.
Boleh, tetapi untuk waktu itu sahaja. Iaitu sekiranya pada waktu zuhor
dia masih dalam perjalanan dan sukar untuk berhenti, maka bolehlah dia
mengerjakan sembahyang jamak takhir walaupun dirumah. Sah sembahyangnya
dengan niat mengadap kiblat, setelah tiada cara lain untuk menentukan
arah yang sebenar.
Solat di tempat awam
Saya seringkali menghadapi kesukaran melakukan solat disini, terutama
ketika saya berada jauh daripada tempat tinggal saya (saya pelajar di
US). Jadi, saya memilah untuk sembahyang di mana sahaja yang saya
fikirkan sesuai. Tempat yang selalu menjadi pilihan saya selalunya
tempat yang tersorok (kalau boleh). Dan ada juga saya sembahyang di kaki
lima. Soalannya Ustaz, adakah sah solat saya itu padahal berkemungkinan
tempat tersebut pernah dilalu benda najis (seperti anjing) dan adakah
sah jika saya hanya melapik hanya pada tempat sujud, yakni dengan
menggunakan sapu tangan. Dan apa pula tindakan yang patut saya buat jika
sapu tangan saya itu diterbangkan angin. Sebelum ini, saya hanya
meneruskan solat saya apabila berhadapan dengan situasi begini. Harap
Ustaz dapat perjelaskan.
Sembahyang itu sah sekiranya tiada kesan (ain) najis dikawasan tempat
sembahyang itu. Bagaimanapun perlu diingat bahawa kita juga perlu
mengelakkan fitnah dimana sekiranya tempat itu tidak wajar dijadikan
tempat sembahyang (seperti dikaki lima yang kotor) maka carilah tempat
yang lebih sesuai. Alas sujud hanyalah sunat dan tidak membatalkan
sembahyang sekiranya diterbangkan angin.
Meninggalkan Solat.
Meninggalkan sembahyang fardhu adalah haram hukumnya. Bagaimanapun
sembahyang yang ditinggalkan itu wajib diqadhokan. Apakah hukumnya
seseorang yang meninggalkan sembahyang dengan niat akan mengqadhokannya?
Haram meninggalkan sembahyang fardu dengan sengaja.
Ramalan Cuaca dan ahli nujum
Ramalan cuaca & ramalan tukang nujum. Adakah hukum mempercayai yang
dua ini sama? Saya tahu yang mempercayai tukang nujum itu haram.
Macammana kita sebagai seorang islam patut laku/fikir tentang ramalan
cuaca ini. Untuk pengetahuan ustaz, hampir setiap hari saya membaca
ramalan cuaca untuk membuat keputusan tentang keesokan harinya (bawak
payung, bawa keluarga berjalan dsb). Walaubagaimanapun dalam hati saya,
saya tahu yang ramalan cuaca itu tidak 100% tepat. Untuk pengetahuan
ustaz, ramalan cuaca disini (US) boleh tahan juga tepatnya. Setahu saya
ramalan cuaca berdasarkan kajian/pemerhatian saintifik dan bukan ramalam
semata-mata.(mungkin ada kaitan tentang permerhatian hukum alam/physic/
hukum sebab-musabbab Allah s.w.t., jadi tidak berdosa mempercayainya?
contoh: kalau baling bola ke atas, jadi kita boleh percaya ia jatuh ke
bawah dari segi hukum alamnya. Tetapi kita tahu ini tidak semestinya
jika Allah kehendaki. Wallahualam)
Ramalan cuaca adalah berbeza dari bertenung nasib. Ini kerana ramalan
cuaca adalah berpandukan ilmu sebagaimana yang disebutkan, tetapi
bertenung nasib adalah menggunakan sihir dan syirik mempercayainya.
Antara Sembahyang Dirumah dan Dimasjid
Mana lebih afdal antara suami sembahyang bersama isteri dirumah atau
suami berjemaah di masjid sedang isteri bersembahyang seorang dirumah.
Suami adalah lebih afdal berjemaah masjid. Isteri pula lebih afdal
sembahyang dirumah walaupun seorang. Sekiranya perempuan itu rupawan
maka hukum bersembahyang dimasjid baginya adalah makruh.
Pendapatan Egen Insuran
Apakah hukumnya dengan pendapatan yang diperolehi oleh seseorang ejen
Insuran dimama Syarikat insuran tersebut adalah syarikat insuran Barat.
Haram sekiranya insuran tersebut bertentangan dengan hukum Islam
(insuran nyawa, melibatkan riba, penindasan dsb). Sekiranya insuran
tersebut berlandaskan hukum Islam maka sekiranya ia jujur dalam
menjalankan tugasnya, upah dari jualan tersebut adalah halal.
Samak Tayar Kereta
Perlukah kita menyamak tayar kereta kita apabila ianya dikencing oleh anjing ataupun terlanggar najis anjing.
Perlu tapi tak wajib. Ini kerana najis itu berkemungkinan akan terkena kepada kita atau pakaian kita sekiranya tidak disamak.
Antara Untung dan Riba
Saya ingin bertanyakan Ustaz apakah perbezaan antara "keuntungan" dan
"Riba". Perbezaan yang manakah yang menentukan halal dan haramnya kedua
perkara diatas?
Keuntungan adalah halal tetapi riba adalah haram. Sekiranya saya membeli
sebuah kereta dengan harga RM10,000 dan menjualnya kepada anda dengan
harga RM15,000, maka RM5,000 itu adalah keuntungan perniagaan saya.
Sekiranya sayajual tunai RM15,000 tetapi anda ingin membayar secara
ansuran, maka saya tetapkan harga RM20,000 maka Rm5,00 itu adalah
keuntungan saya dan RM5,000 selebihnya adalah riba yang haram hukumnya.
Direct Selling
Saya telah dijemput menghadiri satu penerangan Perniagaan yang cepat
mendapat keuntungan dengan cara direct selling ... dalam tempuh lapan
bulan. Seseorang perlu menjadi ahli dan membeli barangan tersebut dengan
membayar 1/10dari harga barangan tersebut dan kemudian mencari 5 orang
lagi ahli dan selepas itu saya tidak perlu lagi berbuat apa-apa . Tugas
seterusnya akan dilakukan oleh peserta yang 5 orang tadi.. dansaya
menunggu saja keuntungan/bonos dan saya akan dapat barangan tersebut
dengan tidak payah membayar lagi.Apa pendapat Ustaz berkenaan perniagaan
ini dan apa hukumnya.
Hukumnya halal apabila keuntungan/bonos itu dikira sebagai upah atau
hadiah dari syarikat kerana anda telah mendapatkan jurujual kepada
syarikat. Walaubagaimanapun perlulah dikaji terlebih dahulu secara
mendalam supaya dapat ditentukan tiada unsur-unsur penganiayaan dalam
struktur perniagaan tersebut, sepertimana yang terdapat dalam sistem
piramid.
Sembahyang Jumaat
Sahkah ataupun tidak sah seseorang itu bersembahyang di jumaat di
tingkat bawah masjid. Untuk pengetahuan ustaz, masjid tersebut
mengandungi tingkat bawah, tingkat satu dan tingkat bawah. Dan kalau
sembahyang tak sah macamana pula kalau masjid itu penuh, maksud saya
jika tingkat satu dan tingkat dua penuh. Adakah lantai bawah boleh
digunakan?
Sekiranya syarat-syarat sembahyang Jumaat itu dipenuhi, maka
sembahyangnya sah. Tetapi sekiranya syarat-syarat jemaah tdak dipenuhi,
maka dia tidak akan mendapat pahala jemaah tetapi sembahyangnya masih
sah. Oleh itu datanglah awal untuk mendapatkan tempat terafdal iaitu
disaf terhadapan.
Ciuman terakhir buat jenazah
'Dari Allah s.w.t. kita datang dan padaNya kita akan kembali'
Setelah disempurnakan mandi jenazah maka dipanggillah ahli keluarga yang
terdekat untuk menatap dan selalunya akan mencium dahi yang meninggal
itu..persoalannya.. siapa yang boleh menyentuh/menciumnya... kerana ada
suara-suara dibelakang yang mengatakan mayat itu didalam keadaan
berwudhu'..maka sekiranya isteri,anak menantu (lelaki bagi jenazah
perempuan dan sebaliknya)dan yang bukan muhrim melakukannya maka
terbatallah wudhu' jenazah berkenaan dan jenazah akan dikebumikan tanpa
wudhu'.
Sesiapapun tidak dihalang dari mencium jenazah. Tidak timbul persoalan
wudhu jenazah terbatal kerana apabila seorang anak adam itu meninggal
maka hilanglah tanggungjawabnya. Walaubagaimanapun, sekiranya yang
mencium itu bukan mahramnya, maka wudhu pencium itu terbatal.