iDAN

18 Ogos 2009

Rencana (Delima Merkah)

"Setiap pegawai yang menerima tanggungjawab tetapi telah membuat kesilapan, segala keputusan & perancangan diambil mengalami kegagalan di mana ianya melibatkan kepentingan orang lain, pihak majikan boleh menarik balik segala keistimewaan seperti menurunkan pangkat, pingat, gaji & sebagainya di samping menasihatkan beliau meletakkan jawatan tanpa apa paksaan & desakan."

"Bila kamu bekerja nanti pasti kamu akan berjumpa dengan sekumpulan pekerja yang sentiasa mencari salah orang lain, mereka ini adalah golongan pengawai bermasalah atau golongan jurnalis. Kamu ketepikan sahaja golongan ini, jika boleh cari jalan agar mereka ini dicantas & carilah pengganti. Yakinkanlah diri pengganti golongan ini akan pasti jauh lebih baik & berketrampilan"

Dua rangkap di atas adalah satu suara atau prinsip tindakan yang lahir dari jiwa seorang pekerja awam atau Pegawai Kerajaan. Seimbas kita baca sememangnya ianya bagaikan pendapat yang jujur & tegas. Namun bila kita kembali ke dalam diri pendapat di atas memang boleh kita perdebatkan.

Bila kita amati rutin kehidupan kita seharian juga tak lari dari membuat kesilapan. Bukanlah tujuan aku mahu membela mereka bermasalah ini tetapi kita harus sedar setiap manusia itu adalah aset buat satu-satu organisasi. Mencantas malahan menurunkan pangkat bukanlah tindakan bijak sayugia (seyogia Kamus Melayu Online) banyak alternatif lain untuk membaiki keadaan. Salah satu cara mungkin boleh dimotivasi atau kaunselingkan.

Bagiku belajar dari kesilapan adalah lebih baik berbanding kita membuat keputusan drastik yang bakal mengaibkan saudara sesama kita.

Sebagai contoh Jurutera jalan raya sering membuat kesilapan lantaran perancangan di atas kertas sering berubah. Jika cadangan awal sekadar membuat bulatan kecil sering menimbulkan kemalangan, apakah wajar kita turunkan pangkat Jurutera ini. Seharusnya beliau mencari alternatif lain dengan mengadakan lampu isyarat yang tentunya lebih selamat.

Bagitu juga Wakil Rakyat yang sering meminta bajet untuk membaiki Dewan Orang Ramai. Jika kita perhatikan boleh dikatakan semua Dewan Orang Ramai memang sering menjadi mangsa si penggodam atau golongan rosak akhlak. Rosak sana sini malahan terkadang ranap terus tak boleh digunakan lagi.

Ada perancangan seorang pegawai itu yang baik tetapi gagal lantaran sikap orang sekeliling atau orang ramai lambat mahu menerima perubahan. Contoh terbaik adalah ide pengurusan khidmat yang boleh diakses secara langsung di internet (online). Memang pada peringkat awal perbagai masalah akan timbul, mungkin terdapat pada perisian, kefahaman orang ramai, arus akses internet, kemudahan persekitaran atau perbagai lagi masalah.

Begitu juga golongan jurnalis, mereka ini memang perlu ada di sesebuah organisasi; sebagai asas untuk majikan mengimbau segala perjalanan pengurusan mereka. Tanpa mereka yang berani menegur memang ibarat kata sokong membawa rebah. Harapkan pagar pagar makan padi. Golongan ini sering mengorban diri lantaran berani bersuara sehinggakan majikan mengatakan beliau bermasalah; tetapi perlu diingat golongan jurnalis ini lah banyak memberikan ide kreatif berbanding mereka yang Pak Turut atau Kaki Mengampu. Golongan ini perlulah didekati mereka bukannya bahaya atau pengganas; Malahan keujudan mereka jika kita pandai menguruskan pasti organisasi anda akan tambah ceria, hebat & cepat membangunnya.

Yang tegak disokong, yang lemah ditopang perlulah ada di jiwa seorang ketua.
Marahkan pijat kelambu dibakar, tidur terdedah.

iDAN: Semasa aku berkerja makan gaji memang aku terkenal dengan golongan jurnalis, cuba baca kes aku di ruang Tutor ooo Tutor. Boleh dikatakan apa yang aku suarakan lalu 101% benar belaka. Tetapi lantaran cerpen itu aku di tribunal selama tiga bulan dicantas semua tulisanku. Jika anda teringin nak baca cerpen
Tutor ooo Tutor taip Tutor ooo Tutor itu di google.


Liza permaisuri hati Ajai (Hiburan)


AJAI mencium dahi Liza selepas selamat dinikahkan di Dewan Syarahan Masjid Negeri Pulau Pinang Sabtu lalu.

BENARLAH kata pepatah yang berbunyi, 'Cinta adalah fajar perkahwinan, dan perkahwinan adalah senja percintaan'. Melayari percintaan selama tiga tahun dengan wanita idaman hatinya pasti bukan satu tempoh yang mudah bagi komposer muda yang tersohor ini, apatah lagi desas-desus dirinya yang dikaitkan dengan beberapa wanita jelita sebelum ini yang kononnya telah berjaya mengetuk pintu hatinya.

Pernah dilabel sebagai antara 'duda terhangat tanah air', pengalaman lalu juga menjadikan dirinya amat berhati-hati bila diajak bicara soal cinta.

Bagaimanapun kisah percintaan antara Ajai dan Norliza Ilias, 37, atau Liza yang mula dihidu rakan wartawan terungkai juga akhirnya melalui titipan kad jemputan ke majlis pernikahan mereka awal bulan lalu.

Ibarat sudah terang lagikan bersuluh, teka-teki cinta Ajai dan Liza berakhir juga ke jenjang pelamin.

Memang benarlah cinta itu buta, tetapi sama ada secara kebetulan atau memang sudah suratan jodoh kedua Ajai atau nama sebenarnya Mohd. Faizal Maas, 36 juga kepada gadis dari Pulau Mutiara.

Sabtu lalu, Dewan Syarahan Masjid Negeri Pulau Pinang menjadi saksi termeterainya kasih Ajai dan Liza. Dengan sekali lafaz akad nikah di hadapan Penolong Pendaftar Nikah Bandaraya Pulau Pinang, Mansor Taib kira-kira pukul 10.45 pagi, kedua-duanya sah bergelar suami isteri.


AJAI dan Liza bagaikan pinang dibelah dua memilih baju pengantin rona putih rekaan Rizalman Ibrahim pada hari pernikahan mereka.

Ajai yang kelihatan tenang tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya pada majlis pernikahan yang berlansung tidak sampai tiga minit itu seraya melemparkan senyuman kepada Liza.

Jelas, senyuman bahagia terpancar di wajah raja sehari ini apatah lagi mahligai baru Ajai dan Liza turut dikongsi dengan permata hati Ajai iaitu Ayu Nazirah, 11. Tidak kekok bergelar ibu segera, seakan-akan ada pertalian erat antara Liza dengan Ayu yang mesra memanggilnya 'Mummy Liza' sambil mengucup tangan ibu barunya selepas majlis pernikahan selesai.

Ini merupakan pernikahan kali kedua buat Ajai yang sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi popular, Nurul Huda Abdul Wahab juga berasal dari Pulau Pinang.

Terdahulu, Liza yang kelihatan manis dan ayu tiba bersama rombongannya kira-kira pukul 10.30 pagi. Kehadiran rombongan keluarga pengantin perempuan yang berpakaian serba biru diketuai oleh bapa dan ibunya, Mohamad Ilias Mohamed dan Asma Hashim.

Rombongan Ajai didahului ibu bapanya, Maas Abd. Rahim dan Ishah Abu Bakar serta adik-beradik dan saudara-mara terdekat dari Johor Bahru serta kenalan dari Kuala Lumpur tiba lebih awal iaitu kira-kira pukul 10.15 pagi.

Pada majlis itu, pihak pengantin perempuan menerima tujuh dulang hantaran termasuk mas kahwin RM1,001, hantaran dalam bentuk cek bernilai RM15,000, beg tangan, kasut, minyak wangi, gubahan buah-buahan serta sirih junjung.

Sementara pengantin lelaki pula menerima balasan sembilan dulang hantaran berupa sirih junjung, baju kemeja, kek, kasut, dompet dan tali pinggang, barang dandanan diri, telefon bimbit, sebentuk cincin dan senaskhah al-Quran.


D: CEK bernilai RM15,000 yang dihias kemas di atas dulung hantaran.

Kedua-dua pasangan yang mengaku bercinta sejak tiga tahun lalu itu kelihatan berseri-seri dengan pilihan busana sedondon berwarna putih rekaan Rizalman Ibrahim.

Pasangan itu kemudiannya diraikan pada satu majlis doa selamat di kediaman keluarga Liza di Jalan Pisang Raja, Kampung Melayu, Air Hitam dekat sini.

"Pengalaman perkahwinan terdahulu menyebabkan saya lebih berhati-hati membuat keputusan untuk kehidupan kali kedua," itu pengakuan jujur Ajai pada sidang media yang diadakan sejurus selepas majlis pernikahan selesai.

Katanya, jiwa wanita Liza yang berjaya mengikat perasaanya itu mengukuhkan hubungan mereka berdua walaupun mengakui sukar mulanya untuk membuat keputusan mencari suri pelengkap kekosongan hati.

"Sudah ketentuan jodoh saya kuat dengan dirinya. Mungkin juga faktor kami kerap berjumpa kerana kerjaya dalam bidang yang sama menerbitkan bibit-bibit cinta, tapi yang jelas 98 peratus ciri-ciri kewanitaan yang saya idamkan ada pada dirinya.

"Memang sebelum ini saya ada berkenalan dengan beberapa wanita tetapi jujur saya katakan, Liza yang paling sesuai. Bercinta dengan saya pula umpama satu pakej kerana saya perlu pastikan Ayu Nazirah setuju dengan siapa yang bakal bergelar ibunya kelak.

"Bukan niat untuk menafikan kisah cinta kami sepertimana dipaparkan media sebelum ini, tetapi biarlah ia begitu kerana saya berminat berkongsi kisah tentang kerjaya selaku penerbit dan pengarah sahaja berbanding kisah-kisah peribadi," jelasnya.

Menurut Ajai, selama ini beliau lebih suka berdiam diri apabila ditanya tentang hubungannya dengan Liza kerana fokus kepada kerjaya tetapi di masa sama tidak menghalang kisah peribadinya itu disiarkan media.

"Cukuplah kalau saya katakan saya amat gembira hari ini dan bersyukur kerana segala yang dirancang akhirnya menjadi kenyataan dan bersedia untuk memulakan satu kehidupan baru.

"Walaupun ada yang kata saya berteka-teki, tetapi jujurnya kami telah merancang untuk bernikah sejak setahun lalu. Syukur kepada Allah, berkat doa keluarga dan kenalan akhirnya hari bahagia yang dinanti muncul juga," ujarnya yang kepingin untuk menimang cahayamata lelaki kembar bagi melengkapi kebahagian yang bakal dilayari.

Selepas sekian lama menduda, adakah Ajai berasa kekok untuk bergelar suami semula?

Pastinya tidak. Kerana menurut Ajai: "Pengalaman 11 tahun ketika pernikahan pertama menjadikan saya lebih matang untuk membuat keputusan kali kedua (bernikah).

"Saya pernah give up tentang perkahwinan, tapi manusia punyai penilaian yang berbeza dan memang sukar untuk buat pilihan ini, akhirnya ketentuan Ilahi membuatkan saya berfikir semuanya berbalik pada soal jodoh.

"Tentang Ayu Nazirah pula, saya kenal anak saya, dan yang penting dia gembira dengan pilihan saya dan begitulah sebaliknya," kata Ajai lagi.


LIZA selamat menjadi permaisuri hidup Ajai dengan sekali lafaz akad di hadapan kadi, Mansor Taib baru-baru ini.

Sepertimana Ajai, Liza juga tidak menyangka jodohnya dipertemukan dengan insan yang hampir dalam hidupnya.

"Mengenali Ajai, penampilannya cuma nampak garang di kaca televisyen apabila menjadi juri, tapi sebenarnya dia mempunyai ciri-ciri yang gemar berjenaka. Malah jika tertekan semasa kerja, Ajai lebih gemar ketawa.

"Sifat bertanggungjawab yang ada pada dirinya menepati ciri yang saya perlukan kepada lelaki yang bergelar suami. Kami pernah berkerja di syarikat yang sama selama kira-kira tujuh tahun dan walaupun tidak lagi sebumbung tetapi kami sering bertembung atas keperluan tugas.

"Bak kata orang Pulau Pinang 'pi mai pi mai tang tu' menyebabkan jodoh kami begitu dekat dan saya bersyukur ia dimeterai secara sah hari ini," ujarnya.

Tanpa berselindung, Ajai memberitahu sekembalinya ke ibu negara nanti mereka sibuk dengan tugasan syarikat yang perlu diselesaikan.

"Apa yang pasti urusan syarikat tetap berjalan lancar di mana Liza bertanggungjawab menguruskan soal-soal acara dan pengurusan pejabat, manakala saya lebih kepada penerbitan dan kerja kreatif.

"Walaupun berada satu bumbung bukan bermakna kami selalu jumpa di pejabat." ujar Ajai.

Ketika ditanya tentang rancangan berbulan madu, Ajai memilih untuk tidak terlalu memikirkannya.

"Saya rasa lebih manis berbulan madu di rumah sahaja, apatah lagi ini kali pertama kami menyambut Ramadan sebagai suami isteri.

"Telah lama saya mencari erti kewanitaan sebenar pada diri seorang wanita, dan inilah masa paling sesuai untuk saya menyelaminya.

"Apa yang saya pinta ialah panjatkan doa agar pelayaran keluarga kami berdua kekal ke akhir hayat," pintanya sambil mengharap restu seluruh teman dan taulan untuk mendoakan pelayaran keduanya dengan wanita yang dicintai ini.

Kosmo!

Liza sah isteri Ajai

Oleh RUDY SYAREME SHERIFFUDIN
am@hmetro.com.my

GEORGETOWN: “Sembilan puluh lapan peratus ciri-ciri wanita yang saya cari ada pada ‘Baby’. Itu yang menambat hati saya untuk memperisterikannya,” demikian kata komposer dan penyanyi terkenal, Ajai.

Ajai, 35, atau nama sebenarnya Mohd Faizal Maas, selamat diijab kabul dengan Norliza Mohd Illias yang dipanggilnya Baby tepat jam 10.40 pagi semalam di Dewan Syarahan, Masjid Negeri Pulau Pinang, di sini.

Majlis akad nikah disempurnakan Naib Kadi merangkap Penolong Pendaftar Nikah Bandaraya, Mansor Taib, sambil disaksikan Ali Hussin dan Abdul Rahim Aziz dan dengan hanya sekali lafaz, Norliza atau lebih mesra dengan panggilan Liza sah menjadi isteri Ajai.

Pihak pengantin lelaki membawa tujuh dulang hantaran bersama mas kahwin RM1,001, sebentuk cincin berlian dan wang hantaran RM15,000 sebelum dibalas sembilan dulang daripada pihak perempuan.

Ditemui selepas upacara akad nikah, Ajai bersyukur kerana hasrat untuk mendirikan rumah tangga akhirnya tercapai walaupun sebelum ini menghadapi pelbagai dugaan.

“Kegembiraan saya sukar digambarkan. Yang penting, segala-galanya berjalan lancar meskipun pernah satu ketika saya berputus asa dan tidak mahu berkahwin.

“Saya yakin pemilihan yang dibuat ini tidak silap,” katanya yang turut gembira kerana majlis akad nikahnya dihadiri anak perempuan tunggal kesayangannya, Ayu Nazirah, 11.

Sementara itu, Liza, 37, berkata dia gembira kerana percintaan yang disemai selama tiga tahun disempurnakan dengan perkahwinan dan berharap ia kekal selama-lamanya.

“Saya bersedia memikul tanggungjawab untuk menjadi isteri Ajai dan ibu kepada Ayu Nazirah. Saya akan membuat yang terbaik sebagai isteri yang diamanahkan, walaupun kini sibuk dengan tugas sebagai Pengurus Wake The Baby milik suami,” katanya.

Sementara itu, Ayu Nazirah berkata, dia gembira apabila janji dibuat bapanya tertunai akhirnya dan kini dia mempunyai ibu baru yang dipanggil ‘Mummy’.

“Saya tidak mampu kata apa-apa, namun yang pasti saya gembira dan merestui perkahwinan Papa dan Mummy,” katanya.

Harian Metro

Gelombang kedua H1N1 mungkin oktober ini

KUALA LUMPUR - Perkembangan wabak selesema babi atau H1N1 yang semakin serius sudah memberi petanda bahawa gelombang kedua pandemik itu dengan kesan yang lebih meluas dijangka melanda negara pada musim tengkujuh bermula Oktober ini.

Jika ramalan itu menjadi kenyataan, kerajaan akan mengumumkan perintah darurat kesihatan lebih awal bagi mencegah penularan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, musim tengkujuh tahun ini lebih berbahaya berbanding tahun-tahun terdahulu kerana kecenderungan orang ramai mendapat selesema boleh membawa kepada lebih banyak kes H1N1.

"Kita serah kepada Majlis Keselamatan Negara untuk menentukan waktu terbaik mengumumkan tempoh darurat kesihatan kelak," katanya pada Persidangan Kesihatan Asia 2009 di sini semalam.

Sementara menunggu gelombang kedua wabak itu, Kementerian Kesihatan memperhebatkan usaha pembendungan wabak dengan mengarahkan semua doktor memberikan suntikan antiviral kepada pesakit yang mengalami demam lebih daripada dua hari.

Mengenai isu kekurangan bekalan penutup hidung dan mulut, Tiong Lai berkata, pihaknya dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan berbincang untuk menjadikannya barangan kawalan.

"Kita akan bincang bekalan dan menetapkan harga mengikut jenis-jenis topeng mulut yang ada supaya tidak ada pihak sesuka hati mengambil kesempatan di atas keperluan mendadak barangan itu,'' tegasnya.

Keputusan mengenai harga siling penutup mulut dan hidung itu dijangka diumumkan lusa.

Tindakan segera menetapkan harga barangan itu dibuat selepas ada peniaga menaikkan harga topeng mulut dari 40 sen sekeping kepada RM5 ekoran permintaan yang meningkat.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Hasan Abdul Rahman tidak percaya dengan andaian sesetengah pihak yang bimbang mereka yang berpuasa akan lebih terdedah kepada H1N1.

"Jangkitan wabak H1N1 bukan pasal tidak makan tetapi hubungan langsung seseorang itu dengan persekitaran,'' jelasnya ketika dihubungi semalam.

Sewaktu umat Islam berpuasa pada bulan Ramadan Dr. hassan mencadangkan mereka mengambil makanan berkhasiat dan meminum banyak air pada waktu bersahur bagi mengelak imunisasi tubuh menjadi lemah.

Kosmo!