22:37 AM 1/16/2007
1082, Nombor tiket. 9:50 PkUPM 12.1.07 Cantik tanggal itu. 12+1= 4. Empat nombor maut. Aku sendirian ke Pusat Kesihatan UPM (PkUPM). Ramai mahasiswa, tentunya pelajar cina yang ramai. UPM kini kian dibanjiri pelajar cina lantaran sistem merit..., yang pandai lagi cemerlang sahaja layak memasuki UPM, anak bangsaku makin tercicir!.
Aku tercari-cari Kerani Putih, tak nampakpun dia, cuma aku jumpa Zevior, dia demam.
"Macam mana kaki sekarang, terasa tak sakitnya bila berjalan" Dia baru bercuti panjang kerana kemalangan jalanraya & cedera kakinya. Patahkah atau sekadar kecederaan serius tapi berbulan dia cuti sakit. Jalan tak sesegak dulu, tentunya kesan cedera tempoh hari masih ada.
"Okei, kaki saya okei..awak apahal iDAN.. sakit apa? "
"Biasalah Zevior sakit orang tua "
Tak sempat nak berbual dia telah dipanggil doktor. ku leka melihat pelajar yang ramai sangat cina, amoi & pekerja di PkUPM memang muda-muda belaka. Sistem ISO mereka begitu kemas, tempat menunggu jua amat selesa dengan kusyen mewah di ruang yang lapang.
Pintu 3 tertera nama Dr Mohd Kassim Shafi.
PkUPM menjanjikan setelah mendapat tiket; 22 minit mesti dipanggil doktor. Lebih dari jangka waktu itu boleh komplen. Jadi memang aku tidak perlu risau lama menunggu. 1082 dipanggil.
Aku menghulurkan memo Dr Chong kepada Dr Kassim. Dia membaca & memulangkan semula kepadaku. Dulu Dr Chong memfailkan memo Dr Husni, lain pula cara Dr Kassim. Dari pertuturannya pasti dia bukan orang Malaysia. Indonesia mungkin.
"Ish bapak punya tekanan darah ini terlalu tinggi" Dr Kassim tak puas hati dengan bacaan tekanan darahku, dua kali dia buat dengan alat pengesan yang baru. Tak puas hati & mengambil yang lama. Emmm masih sama 160/100 ke 170/110 lebih.. sekitar itu juga bacaannya. Setelah dua kali dia membuat ujian.
"Saudara Haridan kena makan ubat tekanan darah tinggi.., nanti saya beri " Huh sakit apa pula ini.
"Tak adakah kaitan dengan masalah batu karang saya? "
"Masalah darah tinggi ini berasingan, bapak kena banyak menjaga makan " Isk padanlah bila kena serang sakit semacam badanku.
"Apakah makanan yang pantang saya makan "
" Barangan masin, ikan masin terutamanya, jangan makan ikan masin " Aku ini kembar P. Ramlee mesti kena makan ikan masin. Tak ada ikan masin memang tak selera.
"Nanti saya beri ubat tapi Isnin nanti kena datang semula, kena buat rawatan susulan, hendak lihat perkembangan tekanan darah tinggi ini.." Huh! mengadap lagi.
"Doktor masa saya diserang batu karang, perut kembung bagai nak pecah & saya sukar bernafas, dada saya amat sakit, tidakkah ini boleh merebak ke jantung & boleh melibatkan strok? " Memang melampau sakit & kembungnya, jika dicucuk jarum peniti masa kembung itu mahu pecah, mungkin boleh melantun terbang bak nenek yang terbang sayogia disumpah dengan sihir oleh Harry Plotter.
"Kebarangkalian itu memang ada, jika darah tinggi memang akan melibatkan jantung, kejap saya periksa jantung bapak " Dia meletakkan alat pacu jantung Stethoscope bagi mengesan keadaan sebenar dadaku. Letak kat neneng, sudu hati, dada...
"Memang kebarangkalian itu ada, jantung bapak memang dikesan sakit di sini. kena di buat diagnosis terapi di Hospital, klinik kita tentunya tiada kelengkapan sedemikian.." Isk kronik.
Aku tentunya terdiam, dari sakit yang sedikit bagiku cuma batu karang kian melarat-larat. Aku terkenangkan si Surya, aku tidak pernah memberitahu aku ini seorang perokok kepada doktor. Pesakit lagi Perokok memang aku pasti para doktor amat benci. Kalau aku jadi doktorpun silap-silap aku suntik ubat cepat mati kepada perokok. Doktor kejam! maka itu memang tak layakpun aku jadi doktor. Lagipun aku bukan perokok tegar. Seharian tidak merokok pun tidak menjadi masalah bagiku. Jika aku tres sangat barulah terkenang akan si Surya tu. ( Perokok jugalah itu iDAN oii )
Maka tercatatlah sejarah Jumaat 12 Januari 07 sebermulanya aku makan pil darah tinggi. Lafaz & amaran Malaikat Maut, Atacand candesartan cilexetil; Macam jampi serapah pula bunyinya. Perkataan "sartan" itu yang paling seram terpaksa aku telan. "sartan" apakah tiada nama lain, Macam bunyi syaitan pula. :(
Mengikut bacaan yang aku lihat di radas tekanan darah Otoscope sekitar 170/120 sekitar itu. Okeylah berbanding masa jumpa Dr Imah dulu sampai 180/130 lebih. Masa itu memang ketika ada rasa sengatan di sekitar buah pinggangku.
Senin 15.1.07 emmm!... aku suka mengkaji tentang nombor; campur semua jadi 14, empat lagilah tu..
Memandai sahaja aku mereka cerita seram ..ketakutan sendiri; Mana boleh percaya nombor iDAN oii, tak pasal jatuh kurafat nanti. Silap-silap syirik mempercayai kekuasaan nombor berbanding kuasa Ilahi.
Jumaat itu aku tidak diberikan sijil cuti sakit. Lagipun aku rasa diriku kuat melawan sakitnya. Boleh kerja. Memang aku kagumi akan kelancaran ISO Pusat Kesihatan UPM. Tidak banyak masa yang dicurinya, piagam yang mereka gunakan banyak membantu pesakit untuk mengajar pesakit menilai waktu. Mencegah lebih baik dari dirawat. Cepat mengesan sakit, pandai menghargai masa sihat. Kesan sakit dari awal agar dia tidak merebak. Aku pernah mendengar ceramah kesihatan, masa awal kesakitan itu yang bakal menentukan kritikal atau tidaknya seseorang itu. Terutama serangan jantung, tidak boleh bertangguh biar pun seminit, bila dada terasa sakitnya cepat bertindak mencari rawatan. Langkah keselamatan awal banyak membantu diri seseorang itu dari terlantar tenat atau maut.
Apakah ini Gensha yang kerap menjejakiku...
Aku terkenang akan Afiz, dia cuti hari ini, aku berkira petang nanti mahu membawa dia & Aziq ke makmal. Kerja makmal memang tak pernah habis. Borang SKT pun masih tidak dilengkapkan. Aku tak berangan naik pentas lagi, 1999 aku pernah mendapat anugerah cemerlang peringkat Universiti; Biarpun tahun lalu aku dapat markah cemerlang peringkat fakulti ianya sudah cukup satu penghormatan buatku. KJ jabatanku yang baru KKK yang perasan prestasiku. Aku tak nafikan aku dapat membangunkan makmal yang aku ambilalih, dulunya amat teruk & kini makin anggun; Padat penghuni & limpahan pujian dari mahasiswa. Sayang telah dirampas pihak Dekan makmal yang aku bangunkan itu.
Aku jadi mangsa permindahan & terpersuk di makmal kecil ini. Makmal yang baru aku pindah kini, rasanya aku lemas lantaran ruang yang amat terhad, barangan padat kira alatan purba berlonggok di makmalku... huh! malas nak fikirkan. Bab cemerlang tadi; Ramai lagi kalangan rakanku yang masih tidak naik pentas. Sejak dikenalkan SSB lagi. Berbual dengan mereka yang tak pernah dapat anugerah cemerlang ini memang akan tambah menaikkan tekanan darahku. (ewaa! dah boleh guna ayat ini). Tekanan pekerjaan memang banyak menyebabkan pegawai jadi stres & diserang sakit jantung. Apatah lagi risiko persekitaran kerja di kompleks kejuruteraan yang banyak membuat penyelidikan. Universiti Penyelidikan.
Pasti tidak sama risiko kerja di segi kesihatan jika berkhidmat di kaunter pembayaran, berbanding dengan makmal penyelidikan. Maka itu di setengah jabatan stafnya ada elaun kritikal lantaran sentiasa ada kebarangkalian dengan tugasan harian. Kerja kritikal & sakit kritikal. Kait mengait. Tafsirkanlah sendiri.
Emak Mila masuk wad lagi sejak Selasa lagi kot,
Skrin Sony Ericsson 9 Jan 07 12:35 Tengah Malam. Mila di Pulau Carey
As'kum, yong br bg tau, mak masuk wad lg... wad 7A.
Jumaat malam Sabtu semasa aku di makmal aku tidak membuka telefon bimbitku, tertinggal di Jenaris. Aku dapat meramal kemungkinan Mila tidak pulang. Pasti dia ingin menjaga emaknya di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang. Memang aku perasan Mak Nyaie Afiz ni makin lemah. Telah bertahun kena cuci buah pinggang. Dia makin putus asa. Terkadang dia bagaikan ingin menentang sendiri sakitnya tanpa bantuan siapapun. Apatah lagi bantuan mesin yang naik jelak dia berteman. Tangannya pun telah tak tahu mana satu urat mahu disuntik bagi mencuci darahnya. Terkadang kena tebok perut lantaran terlampau kritikal.
Aku terkenang Cikgu Nanyan yang berbual panjang masalah yang sama. Cerita dia jumpa dukun jantung di Grik ada aku cerita dalam jurnalku. Perkakasan yang membantu menyembuhkan pesakit terkadang sekadar meneruskan hidup, pulih seperti sediakala memang tidak mungkin lagi.
Tiba di Jenaris dari makmal sekitar 11:00 malam, kira awal sikit takut pula Mila balik awal. Biasa sekitar jam 9:00 malam dia telah sampai di Jenaris. Kata Anif dia tenguk TV dulu ada cerita paling dia suka. Mutiara Hati. Lepas magrib baru bersiap nak balik.
Skrin Sony Ericsson 12 Jan 07 07.57 Magrib Pulau Carey. SMS isteriku.
" As'kum. mak nyaie belum keluar & ibu cdg nk jg dia esok lg pun esok anif dah mula kelas tambahan jd mlm ni ibu x balik ya yah... lps hanif hbs kelas ibu hantar dia org balik lps tu pegi hospital utk jg mak mlm ahad tu.. ptg ahad ibu balik kajang " ( Kelas tambahan itu Mila guna Inggeris )
Bab menjaga ibu memang tak jadi masalah. Tapi bab kelas tambahan Anif. Bermakna jika setiap minggu Mila kena hantar Anif Kelas Tambahan, dalam seminggu tak akan sampai dua hari kami dapat berkumpul. Aku pun buat mesyuarat ringkas dengan Afiz & Aziq. Afiz pun kurang setuju dengan keputusan ibu. Anif jika mahu ke kelas tambahan untuk persiapan UPSR dia di sini pun bersepah ada. Cumanya di sini memang agak mahal berbanding di Teluk Panglima Garang itu. Aziq pula kata asal jumpa ibu hari Sabtu tak kisah. Jangan hari Ahad baru jumpa sudahlah katanya.
Aku pula melangkau jauh. Usia makin pendik, bila lagi aku nak bersama anak-anak. Nanti Anif & Azim langsung tak rasa aku ini ayahnya. Anif pun sudah pandai keluar ayat sebegini. Jangan silap tafsir permintaannya.
"Macam ini ke Ayah Anif? " Wah mana dia dapat ayat itu?. Aku sengeh melebar. Anif seorang anak yang amat lembut wataknya boleh keluar ayat itu.
Aku menyuruh Aziq telefon mementangkan keputusan mesyuarakat kami bertiga. Mestilah dia tak berani. Aku juga yang kena membentangnya. Aku pun membuat panggilan & tentunya ditentang hebat oleh Mila. Dia berkeras dengan cadangannya. Aku memulangkan segala keputusan pada Mila. Biarpun telah ada ketegasan & memberi keputusan antara kami. Lalu meletak telefon.
Inilah hakikatnya, kenapa makin ramai manusia kini kian pendik umur, apa tidaknya seperti catatanku. Kemelut sana sini. Masalah kerjaya yang tidak habis. Wawasan keluarga pula bertindih; Seharian aku mendengar keluhan sana sini, seperti isteriku Mila, tak nampak mana arah, mana tujuan yang perlukan diutamakan, suami, anak-anak, kerjaya, ibu, adik beradik atau apa@siapakah?. Kitab ada memandu. Tapi kabur!. Pun dunia aku yang makin singkat ini. Di mana aku mahu ruangkan waktuku. Aku cuma ada isteri, anak-anak, kerjaya & teman-teman. Adik beradik & keluargaku sememangnya amat jauh & membuat hal masing-masing. Terkadang sahaja ada gangguan. Seluruhnya hidupku cumalah mutlak teruntuk isteri & anak-anakku, aku nampak kerjayaku tidaklah dapat membantu aku sepenuhnya. Maka itu aku izinkan isteri berkerja; Kerjayaku.. aku anggap sebagai amal jariah semata, aku buat semampunya, imbuhan tidak seberapa. Apatah kini aku jatuh sakit sekronik ini. Emmm! bagaimana iyer!.
Mila balik Siang Sabtu, Anif tak jadi ambil kelas tambahan, aku sempat melawat Mak Nyaie di hospital. Malam minggu Mila jaga ibunya. Aku menjaga diri & anak-anak.
(Sakit berangkaiku makin kronik@kritikal. Terpaksa dibawa dengan ambulan ke Hospital Serdang. Mengapa macam itu?)
- bersambung.
iDAN: Nov08