iDAN

23 Mac 2008

Hari ke 3 (Singgahsana)

Telah masuk hari ketiga jurnal aku di easyjournal tidak boleh diakses. Tentunya masalah server. Agar apa yang aku tulis di sana tidak sampai hilang. Hanya sebahagian sempat aku salin di PC.

Aku pernah berpesan kepada teman di persada maya agar mengumpul tulisanku & dimuatkan ke dalam CD, namun sejak kebelakangan ini dia yang bertugas di Shah Alam makin sibuk & tidak punya masa untuk bercit-cat sekali pun. Bagaimana punya waktu mengumpul untukku semua karyaku.



Ada beberapa karyaku yang amat aku sayang, seperti kisah arwah Nasha pun himpunan puisiku. Setakad ini aku sendiri tidak pasti telah terkumpul sebanyak manakah puisi@sajak yang aku tulis. Yang telah diterbitkan di akhbar & majalah rasanya telah mencecah puluhan. Sememangnya aku ingin satu hari nanti puisiku akan terbit berbentuk antologi. Jika aku tidak sempat membukukan tentunya anak-anakku ada yang berminat dalam bidang sastera & cuba mengirimkan kemana-mana penerbitan.

Aku memang tidak pernah berhenti menulis. Sebahagiannya ada aku sertakan di jurnalku & sebahagian lagi tersimpan di Diariku. Sejak tahun 70an lagi aku memang tidak pernah terhenti dari menulis. Cuma ianya tidak terkumpul di satu tempat.

Sejak kebelakangan ini; aku kurang pergi melancung atau mengembara. Jika berjalan jauh pun sekadar memancing & alhamdulillah semua pengalaman memancing sempat aku tulis. Banyak berjalan luas pandangan. Banyak melihat negara orang tentunya banyak yang boleh dikongsikan pengalaman di sana.

Dulu aku tak punya jurnal sendiri jadi semuanya bertaburan di mana-mana penulisanku. Kekinian setelah ada jurnal rasanya lebih tersusun & aku bebas menulis. Rasanya aku perlu ada server kedua selain easyjournal untuk merakamkan karyaku. Mungkin ada yang terklik blog ini dapat mengesan karyaku. Harapanku hari mendatang aku punyai kekuatan untuk memindah semua karyaku di easyjournal ke sini supaya penulisanku akan berterusan kesinyambungannya. Aku masih terkial-kial menggunakan ruang blog ini sebab memang jarang aku kemaskinikan. Agar nanti ianya makin tersusun & akan lebih banyak bahan dapat ku kumpulkan di sini.

Lelaki Pakistan kirim SMS ugutan ditahan (Ceritera)

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki warga Pakistan bagi membantu siasatan selepas dia disyaki menghantar SMS berbentuk ugutan berkaitan kes kehilangan Sharlinie Mohd Nashar, kelmarin.

Difahamkan, lelaki berusia 26 tahun yang juga seorang pakar teknologi maklumat itu ditahan selepas siasatan mengesyaki dia menghantar SMS kepada seorang individu mendakwa Sharlinie berada di bawah jagaannya di Sabah.

SMS yang dihantar dalam bahasa Inggeris itu turut menuntut wang tebusan RM25,000 jika mahu kanak-kanak itu dikembalikan kepada jagaannya.

Berikutan itu, individu terbabit kemudian memaklumkan kepada polis berhubung penerimaan SMS itu sebelum polis menahan suspek di Kajang kira-kira jam 2 petang, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner II Mazlan Mansor, berkata lelaki terbabit adalah individu ketiga yang ditahan kerana terbabit dalam penghantaran SMS palsu sejak Sharlinie hilang pada 9 Januari lalu.


“Siasatan polis mendapati lelaki itu memasuki negara ini secara sah pada 29 Januari lalu,” katanya.

Harian Metro

Jejak mirip Awi (Ceritera)

Oleh Mohd Nur Asnawi Daud
asnawi@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak mirip Mohammad Asmawi Jalaluddin atau Awi, 11, didakwa berkeliaran di pusat beli-belah Bangsar Village di sini, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, usaha polis mencari kanak-kanak yang mendapat liputan meluas selepas berita kehilangannya dilaporkan itu gagal kerana kanak-kanak seperti dilaporkan itu tidak berjaya dikesan.

Seorang warga kota yang mendakwa melihat kelibat kanak-kanak berkenaan di pusat beli-belah itu terus menghubungi pihak polis.

Berikutan itu, sepasukan polis bergegas ke sana untuk melakukan siasatan.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, berkata selepas beberapa jam melakukan pemeriksaan di pusat beli-belah itu, kanak-kanak berkenaan, bagaimanapun tidak ditemui.

“Kami ada bertanyakan orang ramai dengan menunjukkan gambar mangsa, namun mereka tidak perasan kewujudan kanak-kanak itu di situ,” katanya.

Beliau berkata, polis menghargai sikap prihatin orang ramai yang menghulurkan maklumat selepas melihat kelibat kanak-kanak itu.

“Kami mengharapkan kerjasama daripada orang ramai yang prihatin dan pada masa sama mereka diminta memberi maklumat yang tepat.

“Mereka diminta meninggalkan nama dan identiti bagi memudahkan pihak polis jika memerlukan maklumat tambahan,” katanya.

Menurutnya, setakat ini, polis tidak menerima sebarang maklumat palsu atau ugutan selepas tangkapan ke atas seorang remaja di Sabah.

Katanya, polis tidak akan berputus asa dan akan terus melakukan gerakan mencari kanak-kanak berkenaan

Harian Metro

Hilang modal (Ceritera)

Oleh Mohd Nur Asnawi Daud
asnawi@hmetro.com.my


SUBANG JAYA: Impian seorang lelaki berusia 43 tahun memulakan perniagaan import eksport kambing berkecai selepas modal perniagaan RM295,000 disamun sekumpulan lelaki bersenjatakan parang di Seri Kembangan, dekat sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, kereta dipandu mangsa dikatakan dihimpit dua kenderaan jenis BMW dan Honda Accord berwarna hitam sebaik dia beredar dari bank selepas mengeluarkan wang.

Dalam kejadian itu, tapak tangan kanan mangsa turut parah dipercayai terkena parang penjenayah yang memecahkan cermin keretanya.

Sumber berkata, ketika kejadian, mangsa bersama seorang pekerjanya pergi ke sebuah bank di Serdang untuk mengeluarkan wang sebagai modal memulakan perniagaan.

Menurutnya, mangsa memandu kenderaannya dan apabila sampai di Taman Sri Andalas, dua kereta iaitu BMW dan Honda Accord menghalang kenderaannya dari arah depan dan belakang.

“Empat lelaki bersenjatakan parang turun dan terus meluru ke arah kenderaan mangsa sebelum memecahkan cermin menggunakan senjata itu.

“Penjenayah terus merampas dua beg mengandungi wang lalu melarikan diri,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Sumber itu berkata, mangsa cedera di tapak tangan dipercayai terkena parang ketika penjenayah memecahkan cermin kereta dan mendapatkan rawatan di sebuah hospital.

Harian Metro