iDAN

20 Oktober 2009

Menonton Filem Hindustan (Singgahsana)


Dua hari lalu aku menonton filem Hindi; Main Aurr Mrs Khanna (2 jam 30 minit) di TGV CINEMAS- TGV CINEMAS-Sunway Pyramid, Petaling Jaya. Afiz yang tetiba teringin menonton filem Hindustan. Mungkin dia penat amat berpraktikal & berkerja. Aku sendiri pun tak pasti bila masa rehat Afiz. Tetiba dia bersuara mahu menonton filem Hindustan. Pelik juga.

"Tenguklah nanti kalau ibu balik awal kita pergi...!" Dari Jenaris ke Sunway Pyramid mahu mangambil masa sejam. Jalan terdekat mengikut Lebuh Raya Puchong; masalah yang bakal ditempoh ialah di IOI Puchong sering sesak amat lagi pun papan tandanya amat mengelirukan. Aku asyik terlepas ke Bandar Kinrara rumah lama Mila.

"Tenguk betul-betul iyer Afiz, ayah tak cam jalan ni!" Azim & Anif terlelap di belakang. Anif paling pantang kena penghawa dingin kereta. Tak sampai 15 minit dalam kereta sudah terlelap.

"Ikut lorong kiri ayah!" Petaling Jaya (PJ) & Bandar Sunway. Tak kurang empat atau lima lorong searah di depan IOI itu.

Tetiba macam nak masuk ke komplek beli belah; biar bebetul... bila dongak ke papan tanda atas terpampang ke Bandar Sunway di lorong ke dua dari kanan. Gila ke apa papan tanda ini. Tadi tulis Petaling Jaya lorong kiri tetiba terpaksa memintas dua atau tiga lorong ke kanan. Manalah orang Malaysia tak asyik kemalangan. Jika hari-hari ikut jalan yang sama okeylah jika macam aku ini dah tua-tua pelupa lagi memang bermasalah.

Entah berapa banyaklah kereta menjajar berek kecemasan bilamana aku memintas jalan mereka. Melalui lorong paling kiri sebenarnya memang boleh lepas ke PJ tapi silap belok lepaslah ke Lebuh Raya Kesas balik rumah Nyaie. Jalan terbaik dari Putrajaya ikut sahaja lorong kedua dari kanan; naik jejantas belok kiri bayar tol tibalah ke Bandar Sunway.

"Ibu pun satu, selalunya dia boleh sampai ke rumah sekitar jam 6:30 petang tapi ngapa pulak hari ini dia sampai jam 7:30 malam, kita sudah kesuntukan masa 40 minit!" Aku memandu agak laju. Mengejar masa. Dari Jenaris sekitar 7:40 malam. Kasihan Anif ingat nak belanja dia makan Tempura; asyik sebut benda itu sejak Syawal lalu.

Azim mengejutkan Anif.

"Cepat bangun Anif... cepat rugi tak tenguk lampu ini!" Suasana
Sunway Pyramid ketika malam sememangnya amat cantik. Kena pula dengan kepala Singa Jantan ke... apatah. Anif yang amat payah nak ikut ayahnya menonton cerita Hindi tetiba boleh bertukar hati nak ikut bila aku pujuk ceritakan bagaimana cantiknya Sunway Pyramid.

Hebat aku memandu dalam kesesakan jalan raya boleh sampai sekitar 30 minit, selalunya aku mengambil masa sejam. Tiket agak mahal di pawagam ini. Dewasa RM12 kanak-kanak RM7. Panggung pula hampir penuh tinggal empat baris depan yang selalunya tidak dimasukkan di skrin komputer. Aku duduk sebelah Pak Arab isterinya pakai purdah. Afiz pula duduk sebelah Amoi Benggali.

Main Aurr Mrs Khanna yang mendapat 5/5 bintang wirawannya Salman Khan pelakon utama wanita Kareena Kapoor. Preety sekadar Zinta sekadar pelakon undangan menyanyikan lagu "Happening I am Happening". Ada beberapa buah lagu sedap dari filem ini antaranya Tum Ne Socha.

Ceriteranya banyak berkisar tentang suami (Samir Khanna) yang merantau di Australia gagal dalam perkerjaan membuat keputusan tanpa berunding dengan isterinya (Raina). Hanya diberitahu ketika di Lapangan Terbang Melbourn agar Raina kembali ke Delhi. Tiket telah ditempah Samir Khanna ingin mencari perkerjaan di Sinpura.

Raina pula membuat keputusan drastik tak mahu balik Delhi & masih mahu menetap di Australia. Raina bertemu dengan lelaki hidung belang (Akash) yang tergila-gila & jatuh cinta dengan Raina biar pun dia tahu Raina isteri orang. Pergolakan bertambah getir bila ada dua orang batu api yang cuba menyatukan cinta terlarang ini.

Di sinilah menguji kesetiaan seorang isteri & kesangsian seorang suami. Masing-masing ada egonya.

Salman Khan & Kareena nampak berumur dalam ceritera ini; tetapi lakonan mereka memang mantap. Lakonan Sohail Khan sebagai lelaki hidung belang pun menarik. Deepika Padukone hanya memegang watak spontan di hujung ceritera. Tiada watak dush-dush bergaduh tak tentu fasal; ianya drama keluarga & komidi yang bermoral. Memang menghiburkan.

Azim yang selalunya tidur tika menonton tak mengantuk pun. Anif yang memang ikut ibunya (Mila) benci amat bila ayahnya (Aku) tenguk ZEE boleh tertarik dengan ceritera ini. Berjaga sampai pawagam terang.