iDAN
09 Jun 2009
Apa Nilainya Kasih Sayang (Singgahsana)
Ketika anda sakit kronik siapakah yang paling mahu anda rasakan berada di sisi. Jika si anak pastinya si ibu, jika suami pastinya si isteri, jika isteri tentunya sang suami, jika kekasih pastinya mahukan pasangan kekasihnya. Jika anda yatim piatu, pastinya rakan terdekat. Jika anda merantau jauh tanpa saudara mara pastinya ada seseorang yang anda mahu menemani diri. Lantaran anda sakit perlu amat simpati & doa dari orang yang mengasihi anda. Itu memang pasti.
Apa pendapat anda jika anda sakit kronik, tak siapa hiraukan anda; sendirianlah anda dengan para doktor atau jururawat atau pembantu perubatan yang garang belaka. Rakan yang terdekat tahu anda sakit tapi tak sudi pun mezirahi anda. Anda buat-buatlah mengadu hal... hantar SMS mengatakan anda di wad kecemasan sekarang ini. Tak seorang jawab pun SMS anda. Yang lagi anda rasa sedih, rakan anda itu hanya sepelaung sahaja dengan hospital di mana anda dirawati. Jika berkapcai sekitar 15 minit dah sampai ke hospital tersebut.
Keluarga anda sibuk dengan dunianya, berkerja mencari rezeki, anak-anak anda pun sama, jika pun masih di bangku sekolah, balik sekolah tak pun teringat untuk mengajak ibunya ke hospital. Isteri anda bukannya ingat mahu melawat, anda pinta tolong jemput dari hospital nak balik nanti pun anda kena marah. Malahan dalam diam-diam dia berdoa agar anda cepat mati. Cepat dicabut nyawa anda. Huh! naifnya anda. Dia bukan isteri yang mahu melayani anda sakit.
Duduklah anda sendirian di wad kecemasan tersebut. Duduk dengan pesakit lain yang tengah nazak. Saudara mara pesakit sebelah katil anda datang bergilir-gilir dengan air mata, dengan wajah sugul & sedih. Anda tetap sendirian dengan mesin menyukat tekanan darah tinggi anda melaung menjerit; bingit satu wad. Jururawat pun tak mahu senyum dengan muka tua anda. Terbaringlah anda seorang diri. Tak ada siapa pun ingin simpati.
Malahan ada rakan anda berkata; setiap kejadian pasti ada sebab musababnya. Berdepan dengan anda dia berkata,
"Sakit awak ini adalah untuk penghapus dosa awak..." Padankan muka anda, pasti balasan Ilahi terhadap anda. Dosa apa yang telah anda lakukan, pening diri memikirkan.
Ketika kesakitan pasti anda teringat betapa meriahnya hidup anda tatkala anda sihat. Semua orang menyukai anda, semua orang sayangkan anda. Anda amat menyayangi keluarga anda hinggakan isteri biarpun kerap meninggalkan anda, anda tetap sabar menunggu. Tidak pun boleh anda berjauhan dengan anak-anak biar pun sehari dua. Anda amat memanjakan keluarga anda. Begitu juga dengan rakan taulan anda; anda adalah pelindung mereka. Anda selalu membantu rakan anda dalam segala kerjayanya. Membantu dalam mengumpul data mereka. Paling tidak anda penyelamat komputer rakan anda. Ketika anda banyak projek luar jika rakan anda putus duit, andalah sebagai bank mereka. Jika rakan anda mahu ke klinik andalah menemaninya. Jika rakan anda mahu membayar bill pun andalah mengiringi mereka. Agar rakan anda tidak rasa sunyi. Malahan anda tak pernah makan sendirian bagai kera sumbang; pasti dikelilingi rakan-rakan anda. Meriahnya hidup anda ketika anda sihat.
Kekinian rasalah anda sendirian ini, peritnya rasa keseorangan ini.
Sekarang bila anda telah sakit kronik, sungguh anda bagaikan kain buruk, kain buruk pun kira okey boleh buat lap bebenda kotor. Anda lebih teruk martabatnya dari kain buruk. Diri anda bagaikan pesakit... pembawa kuman bahaya; kena dikurantin; kena di pisahkan jauh-jauh. Keluarga atau rakan taulan takut terhidu nafas anda. Takut sakit anda berjangkit; apatah terfikir takut akan mati bersama anda. Maka semuanya akan lari lintang pukang dari anda. Naifnya diri anda. Silap-silap jika anda mati pun anda akan disenggarakan bagaikan pengidap sakit AIDS dibalut dengan plastik hitam. Ditegah dari menggunakan Van Jenazah. Naifnya anda.
Itu yang anda rasa jika menjadi seorang yang diketepikan. Tetiba dihalau, dipinggirkan, diperlekehkan, dituduh, diperburukkan sehingga anda terpaksa membuat keputusan drastik. Meninggalkan sahaja dunia kerjaya anda, lantaran ada atau tiadanya anda langsung tidak memberi apa-apa kesan kepada organisasi anda. Pengganti anda berkali-kali lebih bagus & pakarnya berbanding anda. Organisasi anda jauh lebih maju membangun tanpa kehadiran anda.
Memang muka tak malu jika anda tetiba nak menjenguk muka anda; sedangkan anda sakit pun tak siapa mahu datang menziarahi anda. Bagaikan anda terkenang akan kekawan rapat anda yang hilang lama lantaran masalah mentalnya; Din yang sakit jiwa, Jamal yang masuk wad sakit mental, Jamil yang lemas di lombong, Nasha yang gantung diri.. ramai lagi. Yang rata-rata rakan sesama seorganisasi terusan menyalahkan si empunya diri. Dia kata mereka ini lemah semangat tak kuat semangat merentas semua dugaan ini. Rakan anda orang kuat semangat belaka mahu kerja sampai ke 58. Biar pun saban tahun anda dengar seorang demi seorang mati sebelum sempat pun merasa duit pencen mereka. Isteri atau suami yang menjadi orang kaya baru. Mungkin akan dapat suami atau isteri baru.
Ini ceritera benar; lantaran egonya sikap manusiawi yang hanyut terusan mengejar duniawi.
Langgan:
Catatan (Atom)