Translate

||| Tentang Aku |||

Foto saya
Jenaris, Kajang Selangor, Malaysia
¤¤ Penyair nan tidak akan berhenti memaparkan sesuatu. Berkata benar biar pahit sekali pun. Kata kata biarlah membawa makna. Makna jangan berbau hina.¤¤

Perlu Baca

masalah tanah pusaka Md Sesh masih tidak selesai Klik Label: Pusaka Mengambil hak milik orang lain tanpa mengikut panduan Islam adalah HARAM; akta tanah yang dipinda oleh manusia hanya perangkap NERAKA bagi mereka yang tamak akan harta dunia

13 Disember 2011

Kucing terkaya di dunia

Si hitam Tommaso, kucing jalanan berusia empat tahun kini menjadi kucing terkaya di dunia. - AGENSI

ROM 13 Dis. - Seekor kucing terbiar yang diselamatkan di sini mewarisi kekayaan berjumlah AS$13 juta (RM49 juta) daripada tuannya, seorang taikun hartanah Itali yang berstatus janda.

Maria Assunta meninggalkan kekayaan tersebut kepada kucing kesayangannya, Tommaso, selepas dia meninggal dua minggu lalu pada usia 94 tahun.

Kekayaan tersebut termasuk wang tunai dan harta di Rom, Milan serta tanah di Calabria.

Sejak kesihatannya merosot dua tahun lalu, Assunta yang tidak memiliki anak, mula mencari jalan agar Tommaso dijaga dengan sempurna selepas ketiadaannya.

Awalnya, Assunta mengarahkan peguamnya mengenal pasti pertubuhan kebajikan haiwan untuk mewariskan estet, sekali gus menjaga Tommaso.

Setelah gagal menemui pertubuhan yang sesuai, Assunta membuat keputusan meninggalkan semua harta tersebut kepada Tommaso melalui jururawatnya, Stefania, yang merawatnya sehingga dia meninggal dunia.

Seorang peguam Assunta, Anna Orecchioni percaya Stefania adalah individu terbaik untuk menunaikan segala hajat wanita tersebut kerana dia menyayangi haiwan dan menjaga Assunta sehingga ke akhir hayatnya.

"Wanita itu mengalami kesunyian sepanjang hayatnya. Dia menjaga kucing melebihi anak sendiri," kata Stefania kepada Telegraph.

Peguam Assunta berkata, mereka menerima banyak e-mel daripada individu yang ingin memelihara Tommaso.

Kekayaan Tommaso menjadikan ia berada di tempat ketiga senarai haiwan peliharaan terkaya di belakang anjing Sheperd, Gunther IV, yang memiliki harta berjumlah AS$372 juta (RM1.016 bilion) dan seekor cimpanzi, Kalu yang memiliki kekayaan berjumlah AS$80 juta (RM240 juta). - Agensi

2/3 Kota Bharu (Episod 10)

Bila merancang berjalan jauh bagiku perlukan kekuatan minda. Aku suka jalan-jalan sambil bersantai. Perbalahan aku & Aziq tentang kelewatan tidur tak mampu aku catatkan di sini. Cukuplah aku berdoa agar perbalahan keluarga sebegini akan dimaafkan Ilahi. Agar Aziq tu faham sendiri kenapa amat perlu waktu rehat yang cukup. Jika setiap malam tidur jam 1:00 atau 2:00 pagi bila mahu bangun waktu subuhnya. Empat ke lima jam tidur pasti akan sukar mahu bangun awal Subuh. Memandu perlukan ketenangan & bukan badan yang mengantuk. Tumpuan kena seimbang dengan kesesakan jalan raya pun kerehatan badan. Jika ayahnya tidur sekadar sekitar empat jam bagaimana mahu memandu sampai lapan jam.

Aku bercadang mahu kembara melalui Cameron Highlands. Tetapi oleh kerana lambat bertolak dari rumah aku buat keputusan ikut saja Tol Gombak ke arah Bentung. Dari Bentong menuju ke Jerantut. Lebuh Raya Karak sentiasa banyak kenderaan, paling tidak ramai pengunjung berulang-alik dari Genting Highlands ke Kuala Lumpur. Jam ketika ini telah 10:00 pagi.

Ini kali ketiga aku memandu sendiri ke Machang. Kali ini untuk Aqiqah si Qasrina cucu sulungku. Ini juga kali pertama aku ikut Lebuh Raya Karak. Sebelum ini pergi & balik aku ikut Cameron. Suka sangat ikut Cameron sebab sempat beli sayur di sepanjang perjalanan. Sejak ada jalan baru ikut Simpang Pulai, aku rasa selesa sangat mendaki gunung ke sana. Aku suka makan tomato hidroponik yang segar, buahnya yang kecil-kecil itu amat sedap dimakan ketika memandu. Timun segar dari ladang Cameron juga amat rangup. Paling ku suka adalah permandangan gunung-ganangnya yang menghijau. Kenderaan dari puncak Kampung Raja ke Gua Musang amat lengang.

Mila pula suka membeli bunga segar yang amat murah di sini. Seikat sekitar RM10 telah dapat sepasu bunga yang segar berseri. Jika ke Cameron Highlands adalah dinasihatkan pergi tenguk ladang tehnya, pergi lihat sendiri kilang Teh Boh tapi jangan beli teh di sini; agak mahal berbanding di TESCO atau Econsave. Lebih baik beli di dataran atau pasar raya yang banyak membuat tawaran. Strawberi biasalah makan saja di puncak sana jika dibawa turun akan rasa tawar & tidak segar lagi.

Cumanya jika ke pantai timur melalui Cameron Highlands jangan cuaca hujan pun jangan memandu malam-malam di sini. Banyak amat cabaran & ancaman.

Bentong, Raub ke Kuala Lipis sepatutnya aku telah singgah makan tengah hari. Telah sekitar 1:00 tengah hari, aku berhenti sekejap sekitar Kuala tetapi gerai yang kami singgah kehabisan nasi; lauk pun tak banyak pilihan. Hatta kami merancang mencari gerai yang lebih menarik. Nak dijadikan ceritera kami singgah di Restoran Kubang Rusa; sekitar Kampung Kubang Rusa, restoran tersebut tempat bas ekspres berhenti, antaranya Bas Ekspres Mahligai. Kami makan berlima mengalahkan makan di hotel 5 bintang harganya. Tak tergamak nak menyebut kosnya. Awas makan di Restoran Kubang Rusa ini; memang memang dikubangnya kami. Yang sedihnya sup yang kami makan sejuk lesi & berbau. Tak sedap mana pun. Lalat pun amat banyak berkiaran. Padanlah telah dekat jam 2:30 petang makanannya bagaikan tidak diusik pelanggan. Sudahlan taukenya orang kita Melayu. Perempuan yang telah berusia ke ambang Warga Emas; senyum pun tak mahu.

"Mahalnya ayah!.." Mila bersungut

"Manalah ayah tahu kita nak kena sembeleh di sini, kalau tahu mahal ayah sanggup berlapar sekerika kita berhenti di Hentian Rehat Gua Musang tempat kita selalu singgah.


Buat tauke gerai Restoran Kubang Rusa, janganlah aniaya pelanggan yang kelaparan; jika berniaga tak jujur sanggup pekena pelanggan sesama Islam, baik tutup Restoran. Tak akan seberkat mana keuntungan yang dimiliki. Restoran tu sudahlah tepi jalan. Berhabuk tentunya. Layak di panggil gerai sepatutya jangan letak bena restoran; entah-entah sewa tapak pun murah amat atau main cacak saja. Jika nak kenakan pelanggan harga mahal kenalah pastikan makanannya ada kelas, berasap sentiasa; tempat santai pun kenalah berhawa dingin ala hotel berbintang lima; barulah setara dengan harganya.

Lainlah kami mengidam makan daging Pak Belang.

- bersambung


Hidang organ pak belang

TEMERLOH: Tawaran harga RM20,000 hingga RM40,000 untuk hidangan kemaluan harimau belang membuatkan seorang lelaki ‘gelap mata’ sehingga sanggup membuka restoran makanan binatang eksotik di Kampung Kubang Rusa, Merapoh, Kuala Lipis.

Restoran beroperasi sejak lebih tiga tahun itu bukan setakat menyediakan hidangan berkenaan malah lelaki berusia 44 tahun itu turut menghidangkan daging kijang, pelanduk serta pelbagai spesies burung kepada pelanggan.
Bagaimanapun, jam 10 pagi kelmarin, kegiatannya terbongkar apabila menerima kunjungan mengejut anggota penguat kuasa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sekali gus berdepan denda sekurang-kurangnya RM500,000 serta penjara.

Selepas pemeriksaan, Perhilitan menemui pelbagai organ harimau yang sudah dikeringkan serta disimpan di dalam botol di restoran berkenaan seperti kuku, lidah, daging dan bulu.
Pengarah Perhilitan negeri, Khairiah Mohd Shariff berkata, pemeriksaan membawa kepada penemuan 54 helai bulu burung kuang yang dijadikan hiasan.
“Kami juga merampas seekor burung ruak-ruak hidup, kira-kira 16.8 kilogram daging kijang dan dua pelandok yang disimpan di dalam peti sejuk.

“Lelaki itu pernah dikenakan tindakan udang-undang kerana memiliki daging kijang secara haram.
“Mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 seksyen 68(2)(c) yang dikuatkuasakan akhir tahun lalu, jika sabit kesalahan individu memiliki apa juga organ harimau belang boleh didenda sehingga RM500,000 atau penjara lima tahun.

“Bagi kesalahan menyimpan bulu burung kuang, memiliki burung ruak-ruak, daging kijang dan pelanduk dia boleh didenda antara RM50,000 hingga RM100,00 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Difahamkan, harga seekor harimau belang boleh mencecah sehingga RM300,000 seekor dan jumlah itu bertambah bergantung kepada saiz serta tahap kecederaan haiwan itu.

Sumber : Harian Metro