Setelah beberapa abad berlalu; kehidupan ini berlalu bagaikan telah tersurat. Tidak siapa dapat menduga akan jodoh pertemuan. Ajal maut jodoh pertemuan mana mungkin kita menentukan.
"iDAN kalau boleh janganlah iDAN cari jodoh orang Jawa" emak bersuara suatu pagi.
"Kenapa pula emak tak mahu anak bungsu emak ini dapat jodoh dengan orang Jawa!" aku begitu selera makan sardin mentah taruh kicap, asam limau, bawang & cili.
"Susah kita nak sesuaikan budaya kita Melayu dengan cara hidup mereka.." aku lihat emak makan ulaman, pucuk jambu, pucuk kelempung hutan, pucuk jering juga pegaga yang dikutip sekitar rumah.
"Budaya, adat resam semua itu bukankah sekadar ikutan kita, ianya bukan hukum hakam agama emak.." aku pun sama berulam cicah sambal belacan taruh ikan bilis.
"Budaya adat resam itu melambangkan kesopanan kita bangsa Melayu; lagi pun payah iDAN nak bercampur dengan masyarakat yang lain tutur bahasanya. Mereka perantau iDAN sentiasa mencari harta tidak sama kehidupan mereka dengan kita anak bumi jati di negara ini.."
Aku teringat kata-kata itu yang pernah arwah emak lafazkan padaku. Semuanya lantaran heboh seMalaya surat cintaku di rampas Cikgu Rashid; Bila aku selidiki kenapa arwah emak tidak suka anaknya ketemu jodoh dengan orang Jawa; Dapat kufahami kini. Ianya amat sukar dicatatkan takut ianya akan menyinggung banyak hati & kaum kerabatku. Sementelah aku & abangku arwah Abg Din jodohnya kebanyakan orang Jawa.
Bila difikirin Yot yang jodohnya orang Melayu sekampung lagi; jodohnya tidak kekal porak-peranda jua. Hanya Kak Nomie yang sampai kini damai bersama Abg Ali asalnya dari Sabah. Dari kaum Dusun jika tak silapku. Kaum atau bangsa itu bukan masalahnya.
Persoalkan masalah kaum; sebut sahaja kaum cina pasti kita terbayang masalah kongsi gelapnya, sebut sahaja kaum india pasti terbayang akan samsengnya, sebut Melayu nah! lagi bernanah masalahnya; dari dadah, buang anak, terkini berbalah dalam politik; semua kaum ada masalah sendiri.
Maka itu pentingnya agama. Agama yang dapat membataskan kita untuk membetulkan permasalahan di dalam masyarakat kita. Jika kita sentiasa menghayati agama ikut pertunjuk al-Quran & Sunnah Rasul segala dapat disatukan.
Isteri kena hormati suami & suami pula kena sentiasa menjaga tanggungjawabnya.
Dalam rumah tangga jika berlaku perbalahan sebaiknya kita kembali ke arah agama segalanya akan jadi mudah. Keluarga kedua pihak seharusnya mencari jalan damai; bukan campur tangan untuk memisahkan atau memutuskan jodoh. Sering berlaku kita asyik mencari silap pasangan kita, menjadikan ianya penyebab untuk berpisah. Sedangkan jarang kita menerima kelemahan seseorang sebagai kemaafan & memberi peluang demi peluang agar pasangan kita membaiki diri.
Kesabaran dalam memahami kerenah & kekurangan pasangan kita amat penting. Ada pasangan kita kuat beribadah tetapi amat naif dalam menghormati kita; ada pula tak sealim mana tapi amat sabar ketika berhadapan dengan silap laku kita.
Bila terkenang akan arwah emak, aku jadi amat terkesima. Ingin tahu bagaimana pendidikan awalnya. Tanyalah pada anak-anaknya pernahkah emak meninggi suara, tanyalah pada cucunya pernahkah Opah Kamariah ini marah-marah malahan menantunya pun amat kagum kesabaran arwah emak.
Amat sukar kita menyelami hati budi seseorang, amat sukar jua kita mahu memastikan diri kita sempurna sementelah kita lahir di dunia ini pun lantaran sikap kita yang melanggar pantang larang di syurga. Namun kenapa mahu kita akur dengan kelemahan diri; sampai pasangan kita mahu kita berubah pun amat degil & amat egonya.
- bersambung