Translate

||| Tentang Aku |||

Foto saya
Jenaris, Kajang Selangor, Malaysia
¤¤ Penyair nan tidak akan berhenti memaparkan sesuatu. Berkata benar biar pahit sekali pun. Kata kata biarlah membawa makna. Makna jangan berbau hina.¤¤

Perlu Baca

masalah tanah pusaka Md Sesh masih tidak selesai Klik Label: Pusaka Mengambil hak milik orang lain tanpa mengikut panduan Islam adalah HARAM; akta tanah yang dipinda oleh manusia hanya perangkap NERAKA bagi mereka yang tamak akan harta dunia

05 Februari 2010

Saat Paling Gembira ( Singgahsana)

Bila kita menyingkap kenangan, pastinya ada ketikanya kita amat teruja & gembira. Ada ketikanya rasanya tak boleh lelapkan mata lantaran akan menghadapi suasana gembira itu. Taraf kegembiraan itu berbeda-beda antara kita. Terkadang tatkala kita pandai menaiki basikal pun rasanya teramat gembira, biar nak berhenti pun masih gabra sampai terpersuk ke perdu nenas. Mungkin kita dapat berkongsi saat gembira antara kita. Sejak zaman kanak-kanak, remaja, dewasa hinggalah sudah tua bangka ini.

1. Hari mendung sejak pagi lagi, durian telah berbunga. Orang kampung mula gundah, tak dapat memotong (menoreh) getah. Masing-masing ramai duduk kedai kopi, bual kosong. Sekitar rumah semuanya berbau bunga durian, habis digugurkan oleh keluang. Emak mengambil daun pisang yang kering mengikat setiap batang durian. Mengambil paku, memaku batang durian. Banyak lagi petua orang kampung agar bunga durian lekat di dahan.

Hujan turun berhari-hari, berhenti kejap sahaja. Kemudian turun semula bagaikan tak mahu berhenti.

"Sungai Nin telah melimpah weh!, siapa pakai Vespa tak lepas katanya; gerotaknya pun tak nampak!"

Gerotak itu bahasa Perak; maknanya jambatan. Jambatan Sungai Nin diperbuat dari kayu. Katanya Sungai Nin ini ada buaya. Ianya mengalir sampai ke Kota Baru bertemu dengan sungai di Kampung Lalang rumah kartunis Lat sampailah ke Sungai Kinta. Orang kampungku panggil Sungai Kinta itu Sungai Kente. Orang kampung tak ramai pakai kereta, boleh dibilang dengan jari, hanya ramai berbasikal yang punya kebun getah besar, mampulah pakai Vespa atau Honda50cc.

Orang Bandar panggil ikan ini Ikan Laga, orang kampungku panggil Ikan Pilai Lawan.

Inilah saat paling gembira@gumbira anak-anak kampung. Mulalah buat senapang menembak ikan. Matanya dari jaring rim basikal atau pun besi yang lebih kukuh. Mana tahu bahaya ketika itu. Menyelam di Sungai Nin yang jernih amat airnya. Buaya pun tak berani dekat. Orang tua pula berikan menggunakan jala atau jaring. Aku yang masih kanak-kanak tak pakar bab ini selalunya menunggu di tebing sahaja; kutip ikan terboi, lampam, sepat atau sebarau.

Geng aku masa ini gila tangkap ikan Pilai Lawan di paya Seberang, belakang rumah Pak Mansor atau Parit Kiteh Mat Jadi. Pun ikan puyu pasti bermain di Parit Teh Benon. Ikan Pilai Lawan selalunya dibela dalam botol kecil, jika tak elok hitam atau cantik ronanya tanam di bawah perdu pisang. Tapi kena ingat botol ikan perlu kena tutup kemas dengan plastik kalau tidak cicak suka kait ikan Pilai Lawan ini dengan ekornya.

Ikan Puyu pula cantik taruh dalam balang besar. Taruh batu hiasan, samai; zaman dedulu manalah ada elektrik di kampungku; maka tak adalah nak buat akuarium seperti zaman kini. Bila malam tenguk ikan Puyu ini disuluhi pelita cempeni, atau lawankan ikan Pilai Lawan dengan cermin memang amat mengasyikkan.

- bersambung.