iDAN

12 Mei 2009

Lima cedera bot dipanah petir (Ceritera)


ARKIB : 11/05/2009


KUALA TERENGGANU 10 Mei - Kegembiraan 10 sahabat menyertai aktiviti mencandat sotong di negeri ini berakhir dengan tragedi apabila bot mereka dipanah petir, di perairan pantai Kuala Terengganu malam tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, hanya seorang daripada mereka, Adnan Dollah, 49, mengalami kecederaan parah pada kepala, mulut dan dada.

Empat lagi rakannya, Mohd. Shahrulnizam Yahya, 25; Shahrulnizam Kamaruddin, 23; Shaminizam Shahar, 17, dan Zuhaimi Md. Amin, 39, hanya cedera ringan manakala lima yang lain terselamat.

Mereka ialah ketua ekspedisi itu, Hamidi Ibrahim, 45; Kamat Ibrahim, 30; Rosli Shafie, 39; Miskom Jemari, 30, dan Shahar Abu Bakar, 49.

Turut menyertai aktiviti mencandat sotong itu ialah tiga pengendali bot termasuk seorang tekong.

Adnan yang bertugas sebagai kakitangan Jabatan Kraftangan di Putrajaya memberitahu, kejadian berlaku ketika dia bersama sembilan lagi rakannya melakukan aktiviti mencandat sotong di perairan pantai di sini.

Katanya, pada mulanya, dia amat gembira kerana berpeluang menyertai kegiatan itu yang pernah disertainya tahun lalu.

''Ketika kami sedang mencandat sotong, berlaku hujan lebat menyebabkan kami mengambil keputusan untuk menghentikan aktiviti serta kembali ke pantai.

''Tiba-tiba, bot yang kami naiki dipanah petir dan saya tidak sempat berbuat apa-apa kerana kejadian berlaku dengan pantas,'' katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini.

Menceritakan lebih lanjut, Adnan memberitahu, berikutan panahan petir itu, dia tercampak ke belakang bot dan kepalanya terhantuk ke dinding bot.

Bagaimanapun, katanya, dia dan rakannya bernasib baik dan sempat kembali ke pantai untuk mendapatkan bantuan setelah bot yang mereka naiki tidak mengalami kerosakan.

Rakannya iaitu Shahrulnizam pula memberitahu, dia dan rakan-rakannya menyertai rombongan dari Putrajaya, mula menaiki bot di Jeti Pulau Duyung kira-kira pukul 5 petang pada Jumaat lalu.

Katanya, hujan lebat selepas beberapa jam mencandat sotong, memaksa mereka menghentikan aktiviti tersebut.

''Semasa dalam perjalanan pulang ke pantai, bot yang kami naiki dipanah petir sehingga menyebabkan saya dan beberapa lagi rakan yang lain mengalami kecederaan,'' katanya.

Utusan

iDAN: Semasa ini aku, Afif, Aziq & rakan-rakan berada di perairan yang sama.

Candat sotong jadi acara tahunan (Ceritera)



CERIA...Jelani (dua kanan) bersama Mustapa (tiga
kanan) melepaskan peserta.
CERIA...Jelani (dua kanan) bersama Mustapa (tiga
kanan) melepaskan peserta.

MARANG: Aktiviti candat sotong yang popular di Terengganu bukan saja menjadi tarikan pelancong ke negeri pantai timur itu, malah menjana ekonomi penduduk tempatan.

Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) negeri, Jelani Hashim, berkata sebelum ini aktiviti candat sotong dijalankan nelayan dan masyarakat setempat, tetapi kini mendapat sambutan ramai sehingga kerajaan negeri menjadikannya sebagai acara tahunan.

“Aktiviti candat sotong ini selaras dengan konsep pelancongan berasaskan pertanian yang menggalakkan pelancong merasai sendiri keunikan menangkap hasil laut itu selain memberi suntikan ekonomi kepada penduduk tempatan terutamanya nelayan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutup Fiesta Makan Sotong Segar & Candat Santai LKIM-Harian Metro yang berlangsung selama dua hari dan berakhir semalam di perairan Pulau Kapas di sini.


Turut hadir Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Mustapa Omar dan Timbalan Pengarang Eksekutif Harian Metro/Metro Ahad, Ahmad Salim Bachok.

Jelani berkata, program julung kali membabitkan 100 peserta dari LKIM dan Harian Metro seharusnya diadakan secara lebih kerap.