iDAN

06 Mac 2009

Bila hitam sangat menawan (Santai)

Pemilihan tiga warna kontra – merah, hitam dan putih, menimbulkan mood tersendiri di kediaman kontraktor pembinaan, Izwan Affendy.




PENATAAN ringkas namun penuh bergaya melatari ruang-ruang di kediaman ini. Mengetengahkan konsep moden kontemporari, pemilik rumah teres dua tingkat ini bijak memanfaatkan ruang.

Sebuah set sofa hitam diletakkan kemas di setiap penjuru, betul-betul bersebelahan pintu masuk utama. Di tengah-tengah ialah sebuah meja kaca yang turut dihiasi sejambak bunga lili tiruan berwarna kuning.

Di sudut menonton, sebuah sofa merah membangkitkan suasana tersendiri apatah lagi warna dinding sedondon yang menjadi pilihan si pemilik.

Penghuni pastinya boleh bersantai di atas sebuah sofa empuk sambil menonton televisyen yang dilengkapi set teater rumah. Senario ‘terlekat’ di hadapan TV adalah sesuatu yang lumrah pada hujung minggu.


DARI KIRI: SOFA berona hitam menjadi pilihan.
IZWAN sekeluarga. Dari kiri, Nuriza, Nur Raihan, Muhammad Zarif dan Izwan Effendi.
SOFA berona hitam menjadi pilihan.




Bagi menerbitkan ilusi yang lebih berganda pada ruang yang agak terhad ini, aplikasi cermin merupakan langkah yang amat bijak. Ia juga menjadi objek dekorasi ruang dinding yang praktikal.

Memilih gabungan tiga rona warna yang berbeza – merah, hitam dan putih, keseluruhan isi rumah tampak ringkas dan elegan.

“Pemilihan tiga warna kontra ini boleh menimbulkan mood tersendiri di dalam rumah. Kami menggemari warna kontemporari Inggeris moden.

“Asalnya, inspirasi ini muncul ketika kami melawat rumah teman-teman dan juga daripada majalah-majalah hiasan dalaman.

“Saya sendiri juga mempunyai kepakaran dalam menghias. Oleh itu, kesemua idea itu saya gabungkan dan inilah hasilnya,” ujar pemilik, Izwan Affendy Abdul Malik.

Dalam memilih perabot, bapa kepada dua orang anak ini tidak meletakkan aspek jenama sebagai perkara utama.

“Biasanya saya akan beli dari kedai-kedai perabot biasa dan juga Ikea. Terpulang pada minat ketika itu. Tapi dari segi pemilihan barang-barang hiasan lain, di mana-mana kami rasa sesuai dan suka, kami beli,” akui Izwan, seorang kontraktor pengubahsuaian rumah.

Selain mengemas rumah, pasangan Izwan dan Nuriza Zakaria juga suka menukar kedudukan perabot. “Sekurang-kurangnya kita tak akan rasa bosan dengan penampilan yang sama,” ujarnya yang pernah memberi sentuhan dekorasi pada kediaman pengacara terkenal, AC Mizal.

Menurut Izwan, rumah yang didiaminya selama hampir lima tahun itu tidak menuntut kos yang tinggi. Setelah diubahsuai, kos keseluruhannya adalah kira-kira RM30,000.

“Kami tidak banyak ubahsuai rumah. Lagipun keluasan rumah terhad. Jadi, sedikit demi sedikit kami ubah ikut keperluan,” ujar Izwan.


DARI KIRI: RUANG dapur yang ringkas namun selesa.
KOLEKSI miniatur motosikal.
BINGKAI gambar disusun rapi pada sudut tepi dinding tangga.


Tidak mahu ruang tampak kosong, sebuah kerusi bulat berwarna merah putih turut menjadi hiasan di tepi dinding. Sebuah akuarium menjadi penghias sisi tingkap bagi menimbulkan suasana tenang ketika berada di rumah.

“Saya suka tengok hidupan air. Lebih-lebih lagi bila saya balik kerja pada malam hari. Ikan yang berenang-renang di dalam akuarium sememangnya memberi ketenangan,” katanya.


RUANG menonton yang santai dengan susun atur perabot secara minimum.


Menjengah ke bahagian dapur pula, ternyata aspek keselesaan dan keselamatan menjadi keutamaan.

Ruang ini dilengkapkan dengan binaan kabinet coklat yang kemas dan menarik selain membiarkan tingkap terbuka luas agar banyak pengaliran keluar masuk cahaya dan udara.

Menurut pasangan ini, kediaman adalah tempat terbaik untuk merehatkan diri. Justeru, kebersihan, kekemasan dan keindahan setiap ruang perlu dijaga dengan sebaik-baiknya.

Kosmo!