iDAN

23 Mei 2009

Jagung manis, kayu gaharu (Sastera)

JALAN ke Desa Tua terus dilalui. Perempuan muda itu menyusuri jalan sempit itu pada petang yang sepi dan suram. Sehabis hujan sebentar tadi dia terus mendaki,

melangkah satu persatu untuk cepat sampai ke Desa Tua. Licin tanah liat, lumpur tanah selut, rimbunan pohon-pohon dan hutan tua dilaluinya dengan penuh debar dan harapan.

Perjalanan ke Desa Tua seharusnya memerlukan masa lebih sejam, melalui liku-liku, melangkah parit-parit kecil. Dan setelah disimbahi hujan, jalan yang berlekit itu sukar dilalui.

Perempuan muda itu Maria namanya, sedang sarat mengandung. Hanya menghitung hari untuk melahirkan. Tetapi kerana mengidam, dia sanggup mendaki bukit, menuruni lurah untuk ke Desa Tua. Suaminya, Budi tidak mahu memenuhi keinginannya. Sejak mengandung pada bulan pertama, dia sudah meminta Budi mencari jagung manis yang sentiasa mengalirkan liurnya.

Setiap waktu Budi lebih suka termenung, mengangankan kerja di kota. Namun setiap kali ke kota, melamar kerja yang diminati, dia pulang kehampaan, termenung penuh angan-angan. Mengelamun semula di pondok kecilnya. Berselimut kabus hingga dari pagi hingga ke petang. Apabila Maria mengadu yang dia mengidam hendak makan jagung manis, Budi hanya tersengeh, memperlihatkan giginya yang tak selalu diurus. Dan apabila Maria mendesaknya bertalu-talu, dia hanya memberi alasan, "Di mana nak kucarikan, kini bukan musimnya."

Sehingga saat ini, saat Maria hampir melahirkan, keinginan Maria belum tercapai.

Di penghujung jalan , di tepi Desa Tua, Maria melihat kepulan asap lembut melintuk liuk naik di celah-celah daun-daun hijau yang merimbun. Senja sedang menunggu waktu untuk melabuhkan tirai. Dengan penuh debar Maria memperlahankan langkah, terhendap-hendap ke hadapan.

"Boleh saya bertanya, siapakah pemilik ladang ini?" dia menuding ibu jarinya ke arah ladang yang menghijau di depan.

Seorang lelaki muda, sebaya Budi, dengan tenang, memandang wajah Maria.

"Boleh kuminta buahnya?"

"Buahnya?"

"Jagung manis untuk anak yang kukandung ini."

Lelaki muda itu tersenyum. Direnungnya wajah Maria dengan penuh simpati.

"Mana ada buahnya? Tapi kalau adik berhajat singgahlah di rumahku ini. Kebetulan saya baru membelinya. Nanti saya rebuskan."

Penuh debar dan harapan, Maria mendaki anak-anak tangga dan merehatkan dirinya pada sebuah kerusi di ruang tamu. Dia mengawasi sekitar. Tidak ternampak lelaki lain mahupun perempuan lain yang berada di rumah itu. Ruang rumah yang mempunyai sebuah bilik tidur, sebuah anjung dan dapur sepi dan sunyi. Dia ingin bertanya untuk meredakan rasa curiga, tetapi lelaki muda itu setelah mempersilakan dia duduk, di sebalik dinding papan, terus menghilang.

Malamnya dada Maria kian bergelombang. Ingin dia membatalkan idamannya untuk menikmati jagung manis dan berpatah balik, tapi dia terhalang. Wajah malam sudah menjelma.

Terdengar bunyi bising. Malah hidungnya yang tercatuk itu dapat menghidu bau wangian manisan jagung rebus dari sana.

Aneh! Saat lelaki itu menghidangkan sepinggan jagung yang sudah direbus, lelaki itu amat kacak. Menawan! Berkulit halus. Raut mukanya tenang, dan dia tak sedikit pun merupakan seorang peladang yang memerah keringat dibakari mentari. Maria merenunginya penuh minat. Kalaulah dia dapat melahirkan seorang anak secantik lelaki muda ini alangkah bahagianya

Pada saat Maria mengangkat muka, dia terlihat lelaki itu asyik merenung ke arahnya. Dia seperti terpukau melihatkan rekahan bibir lelaki itu. Sungguh aneh bagi Maria. Kebimbangannya rendap dari sanubarinya.

"Makanlah," pinta lelaki itu, menunjukkan beberapa buah jagung yang sudah dimasak. Asap kecil masih berlegar-legar. "Ini rezekimu. Aku tiada yang lain lagi."

. "Terima kasih. Sudah lama aku mencarinya, sekarang barulah bertemu."

"Jadi, kerana jagung inilah kau sanggup ke mari meredah senja dan tanah lembab?"

Maria mengangguk.

"Kau harus habiskan semuanya. Di rumah ini tidak ada nasi. Jagung inilah untuk mengalas perutmu malam ini."

"Tapi aku mahu pulang ke rumahku, selepas ini. Suamiku sedang menunggu."

"Kau tak harus pulang. Malam gelap. Hujan mungkin akan turun. Kau boleh tidur di sini."

"Tapi…" Maria membisu. Dia berpaling melihat cuaca di luar. Dadanya berombak.

Termenung. Lama dia terdiam. Sungguh. Seumur hidupnya tak pernah dia bermalam bersama lelaki selain suaminya. Aneh dan kecewa jika ini terjadi.

"Aku harus pulang."

"Seharusnya jika hujan tak turun dan malam tak gelap."

"Aku berdoa agar hujan jangan turun!"

Lelaki itu duduk menyandarkan tubuhnya pada dinding bertentangan dengan Maria. Perempuan ini memang cantik. Memiliki wajah lembut. Namun, dia kelihatan banyak masalah. Barangkali suaminya seorang yang tak pandai menilai kecantikan seorang perempuan, lantas diabaikan. Keinginannya tak mahu dipenuhi.

Sekali lagi dia mengangkat muka. Direnungnya wajah lembut dan suci itu. Maria sudah pun menghabiskan semua jagung yang dihidangkan. Bibirnya yang mekar itu dipenuhi saki baki jagung. Namun ia tetap memancarkan seri.

Lelaki itu takjub. Dilihatnya Maria sedikit gelisah.

"Eh, Maria. Kau khuatir jika bermalam di sini? Mana lebih baik jika kau pergi menghadapi haiwan buas daripada kau tinggal di sini?"

"Tapi aku tak pernah tidur bersama-sama lelaki selain daripada suamiku."

"Aku lelaki jujur."

Maria tidak berkata apa-apa. Dia terperangkap dengan kata-kata lelaki itu.

Barulah dia merasakan keletihan. Setelah perutnya berisi dan mendapati keinginannya terisi, dia berbaring di atas katil lelaki itu. Sungguh aneh, mimpinya terlalu bahagia. Lelaki itu jujur. Dia menemani Maria melawat ladangnya yang luas. Di situ dia memetik buah-buahan segar yang menyelerakan. Aneh juga, Maria tiba-tiba bermain dengan anak lelakinya yang comel. Wajahnya mirip lelaki pemilik ladang yang menemani mereka bermain di situ.

"Aku memang mengidamkan keseronokan begini dengan seorang anak, ditemani suami yang kacak seperti kau."

Lelaki itu tersenyum.

"Sudah puas aku impikan kebahagiaan, tapi suamiku seorang pemalas."

Lelaki itu berpusing-pusing, sedikit tersenyum. Sambil melebarkan kedua-dua belah tangannya, dia merenung wajah Maria. Lama-lama.

"Di mana ada kemahuan, di situ ada harapan." Kata lelaki itu, memeluk tubuhnya sendiri.

"Tak mungkin."

"Maria, aku juga begitu sebelumnya. Tidak ada sesiapa yang dilahirkan bersama kekayaan. Mereka samalah seperti kau. Ketahuilah, angan-angan itu suatu perancangan! Ia akan menjelma seandainya impian dan harapan itu menjadi perancangan bagi hidup seseorang."

Maria merenung; wajah yang ceria di sampingnya terlalu menikam sukma. Aneh, tiba-tiba dia jatuh cinta terhadap lelaki itu.

Bersama-sama bangkitnya fajar subuh, Maria terbangun dari tidur, mendengar kicauan burung-burung di dahan kayu yang berdaun hijau dan rimbun. Dia terpinga-pinga. Menyedari mimpinya yang berlalu, dia tergesa-gesa mahu pulang ke rumahnya. Dia merindukan hangit bau keringat suaminya. Segala mimpi. Segala yang terlihat dan terjadi akan disampaikan sejujur-jujurnya kepada Budi.

"Aku mahu pulang." Katanya kepada lelaki itu.

"Aku tahu. Ini kubekalkan kau sedikit benih. Bila sampai di rumah nanti, tanamlah. Kau harus bersabar menunggu. Kekayaan dan kebahagiaan tak datang serentak dengan impian!"

Termenung. Lama terdiam. Maria memasukkan biji-biji benih itu ke dalam tas tangannya. Sambil mengucapkan terima kasih, dia bersegera meninggalkan lelaki itu.

Kicauan burung, lembab jalan di atas tanah, di bawah payungan pohon-pohon rimbun, di celah-celahnya, Maria berjalan meninggalkan Desa Tua. Hatinya berdebar. Apakah reaksi Budi bila mendapati dia tidak pulang ke rumah semalam?

Di atas tanah pusaka tempat berpijak dan menanti, Budi gelisah. Sejak semalam dia menunggu penuh debar. Masa yang terenggang, membuahkan fikiran yang berkecamuk. Masalah keselamatan diri Maria datang bersama cemburu dan khuatir.

"Aku ke Desa Tua mencari jagung," kata Maria setelah Budi memarahinya sebaik Maria sampai di halaman. Tubuh Maria berpeluh. Dia tercungap-cungap setelah melalui jalan yang masih berembun pada pagi hening begitu. Budi mengeluarkan kata-kata kesat yang tak bersopan.

"Ini aku dapatkan benihnya. Dihadiahkan oleh seorang lelaki sebaya dengan usiamu."

Budi cemas, lantaran darah ditubuhnya menyerbu ke muka. Mukanya keruh melihat benih-benih di tangan Maria.

"Siapakah pemuda yang tinggal di Desa Tua?" perlahan-lahan dia mengingati seseorang lelaki sebaya dengannya di Desa Tua. Lama dia termenung. Tak juga menjelma dalam ingatannya. Lalu dituduhnya Maria berbohong.

"Tak mungkin lelaki itu orang Desa Tua. Kau bohongi aku. Lelaki itu tentunya datang dari desa lain. Berjanji denganmu untuk bermalam di Desa Tua. Kau curang. Kau curang!"

"Tidak. Aku tidak bohong, malah tidak curang."

Maria amat kecewa. Kejujurannya dipersia-siakan, dipersalahkan. Waktu dia hendak mendaki tangga, Budi memegang tangannya. Suaminya yang marah itu merampas biji-biji benih dari genggaman Maria, lalu dibuangkan ke dalam semak. Maria kecewa. Di atas rumah kira-kira lima belas minit berlalu, Maria mengerang kesakitan. Kandungannya meronta-ronta. Sebelum Budi pulang bersama seorang bidan, Maria telah melahirkan. Mereka dikurniakan seorang anak lelaki. Anak itu comel. Kulitnya putih. Sewaktu Maria menatapinya, dia teringatkan lelaki tampan di Desa Tua.

Perjalanan waktu terasa amat singkat. Sehari terlalu cepat berlalu. Sebulan cepat beredar. Setahun yang pergi terasa baru semalam terpisah.

Maria merenungi anaknya yang sudah berusia setahun itu. Anak itu dibesarkan di celah-celah kehijauan semak samun di sekitar rumahnya. Direnunginya lama-lama. Pada wajah yang ceria itu, terlihat wajah seorang lelaki tampan pemilik ladang di Desa Tua.

"Aku mahu ke sana. Lelaki itu tentu gembira melihat anak ini."

Aneh. Setelah tiba di Desa Tua, Maria tak dapat mencari rumah dan ladang jagung milik pemuda itu. Dia berkelilingan. Sehinggalah dia disapa oleh seorang lelaki tua dengan ramah dan mesra.

"Anak mencari siapa?"

Maria termangu, lama terdiam. Dia memikirkan saat pertemuannya dengan lelaki itu. Tak mungkin! Setahun berlalu, takkan lelaki ini menjadi setua begitu. Setahun beredar, takkan ladang jagung yang seluas itu bertukar menjadi hutan kayu yang berdiri tegak, dijaga rapi seperti ini?

"Setahun yang lalu, saya ke sini, saya menemui seorang pemuda tampan, memiliki ladang jagung manis. Saya tak khuatir lagi, di sinilah. Di sinilah." Dia menudingkan ibu jari kanannya ke sebelah kiri. "Di sinilah!"

Lelaki itu tersenyum, "Tak ada sesiapa yang berladang di sini kecuali pakcik. Ini ladang gaharu. Pakcik tidak pernah membuka ladang jagung seluas ladang gaharu ini."

"Tapi… Mustahil…"

"Cuba anak ingatkan betul-betul."

"Ya. Saya pasti."

"Pastikan betul-betul!"

Maria bingung. Dihitungnya dengan teliti hari-hari yang berlalu. Ditatapnya wajah anak lelaki di dalam dukungannya. Rumah kecil di pinggir ladang ini menjadi saksi tempat dia bermalam setahun lalu. Setahun berlalu tidaklah begitu cepat membawa perubahan sehinggakan seorang lelaki muda menjadi lelaki tua di depannya sekarang. Takkan dia tak dapat membezakan ladang jagung dengan tumbuhan-tumbuhan lain.

"Baliklah," ujar lelaki tua itu. "Sesuatu yang aneh mungkin merasuk fikiranmu."

Maria tidak berkata apa-apa. Dan pakcik di depannya menggeleng-gelengkan kepala. Malah menggarunya.

"Selain daripada kau bertemu dengannya, apa lagi yang dia berikan padamu?" Dia teringatkan sesuatu. Semenjak dia mengusahakan kayu gaharu di atas tanah miliknya, banyak perkara ganjil berlaku. Dan dia menghadapinya dengan tabah.

"Dia hadiahkan segenggam benih."

"Benih? Sudahkah kau tanam?" Soalnya. Terkejut.

Maria bingung, menggeleng-gelengkan kepala.

Cemburu Budi semakin tinggi. Pada suatu ketika cemburu itu memuncak apabila dia mendapati isterinya pergi berjumpa dengan lelaki kacak di Desa Tua. Sepeninggalan Maria dia terus mencari parang dan gergaji. Dia terjun ke tanah. "Akan kukerjakan tanah pusaka ini. Akan ku jadikan sebuah ladang seluas-luasnya." Dia menyesali sikap malasnya selama ini. Dia kecewa menanti kerja berpakaian seragam yang masih tidak mendapat jawapan. Dan dia akan tunjukkan kepada Maria bahawa dia juga boleh membuka ladang seperti pemuda di Desa Tua yang disanjung-sanjung Maria.

Ketika tiba di rumah, hati Maria penuh debar melihat tubuh suaminya terpancang seperti tunggul di belakang rumah. Kilauan matahari menjulur menerangi kawasan yang sudah dipugar. Dia kecewa. Kecewa sekali. Pohon-pohon yang tumbuh dari biji-biji benih yang diperoleh daripada lelaki kacak itu samalah seperti pohon-pohon yang sedang membesar di ladang lelaki tua di Desa Tua. Tetapi pohon-pohon itu sudah tumbang, ditebang suaminya. "Kau kembalilah ke desamu," Maria teringatkan kata-kata lelaki tua sebentar tadi. "Benih-benih yang kau terima dari lelaki itu, benih kayu gaharu. Aku percaya ia mesti tumbuh dan membesar. Itulah hadiah lelaki itu kepada kau dan anak ini."

"Gaharu? Pokoh gaharu? Ah, kalau benar begitu hidup kami akan bahagia!"

Maria berlari pulang. Tidak sabar. Dia ingin melihat pohon-pohon itu. Dia yakin pohon-pohon yang tumbuh di belakang rumahnya sama seperti pohon-pohon gaharu milik lelaki tua di Desa Tua.

Panas memijar. Cahaya matahari menikam tajam ke bumi dan di celah-celah ranting-ranting pohon di sekitar pondok. Dia merenung sayu ke daerah pohon-pohon yang tumbang. Di sana dia melihat bayangan tubuh seorang lelaki kacak yang pernah ditemuinya. Lelaki itu berdiri di celah-celah pohon muda yang sudah menyembah bumi. Samar-samar. Dada Maria bergetar. Dipandangnya sekali lagi. Semuanya tiada. Semuanya hilang! Semuanya musnah oleh keperengusan suaminya.

Utusan

Pesara tentera terima pencen RM66.36 sebulan rayu bantuan (Ceritera)

24/05/2009 11:23am

KOTA BAHARU 24 Mei — Seorang pesara tentera yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) dan menerima pencen RM66.36 sebulan, merayu kerajaan menilai semula kadar pencennya dan diberikan elaun sebagai pesara tentera yang cacat.

Lans Koperal (B) Wan Mohd Afandi Wan Zain, 48, mendakwa beliau juga tidak menerima sebarang ganjaran semasa bersara sekalipun telah berkhidmat selama 23 tahun.

Katanya di akhir perkhidmatannya beliau disahkan menghidap penyakit stres oleh Hospital Tentera Terendak, Melaka sebelum dirawat di Hospital Tentera Lumut Perak dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

“Sejak Disember 2002 saya menerima pencen terbitan sebanyak RM66.36 sebulan, wang itu dibelanjakan untuk keluarga saya,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Kampung Wakaf Mek Zainab di sini.

Wan Mohd Afandi yang menumpang di sebuah rumah milik jirannya bersama-sama isteri dan seorang anak, kini bekerja mengambil upah membersih kawasan rumah orang dengan pendapatan tidak seberapa. - Bernama

iDAN: Nasib orang Stres selalunya tak siapa menganggap ianya serius, maka itu selalu golongan begini terpaksa menanggung risiko sendirian. Mereka yang mengakibatkan golongan ini stres terus melakukan ceritera lama; menjadikan golongan lemah ini sebagai batu loncatan mereka. Tanpa rasa bersalah.

Tuntutan pesara ditimbang

Oleh ZAMZURINA AHMAD
utusanpahang@yahoo.com.my

PEKAN 23 Mei – Berita baik untuk pesara kerajaan. Kerajaan bersedia memperhalusi empat lagi tuntutan golongan itu untuk menjaga kebajikan mereka.

Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan kerajaan pasti akan mempertimbangkan kesemua tuntutan tersebut.

Ini kerana, menurut beliau, kira-kira 90 peratus tuntutan yang dikemukakan oleh Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) sebelum ini diterima dan diluluskan.

Empat tuntutan bagi menjaga kebajikan 48,000 pesara kerajaan adalah:

* Pemberian wang ihsan setiap pembayaran bonus tahunan kepada kakitangan kerajaan;

* Pemberian pencen terbitan bagi wanita yang melangsungkan perkahwinan selepas bersara;

* Pemberian pencen RM720 sebulan kepada pesara yang berkhidmat kurang 25 tahun;

* Pelantikan senator di kalangan ahli PPKM.

Perdana Menteri berkata, PPKM boleh terus mengemukakan tuntutan tersebut kepada Bahagian Pencen, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk dirundingkan.

Hasil rundingan itu, kata beliau, akan diperhalusi oleh Kabinet sebelum sebarang keputusan diambil mengenai tuntutan tersebut.

‘‘Saya pasti empat tuntutan tersebut akan dipertimbangkan kerana sebelum ini kira-kira 90 peratus daripada permintaan yang dibawakan oleh PPKM diterima dan diluluskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat agung perwakilan tahunan kali ke-15 di Majlis Daerah Pekan (MDP) di sini hari ini.

Kerajaan, menurut Najib, sentiasa memikirkan kebajikan golongan pesara supaya kehidupan mereka sentiasa terbela selepas menamatkan perkhidmatan.

Dalam pada itu, katanya, sumbangan golongan pesara kepada negara dan masyarakat tidak terhenti meskipun mereka telah menamatkan perkhidmatan dalam kerajaan.

‘‘Walaupun telah tamat perkhidmatan, tidak semestinya jasa dan bakti mereka kepada bangsa, agama dan negara sampai ke penghujungnya.

‘‘Saya masih menganggap setiap pesara boleh mencurahkan khidmat bakti kepada masyarakat dengan apa juga cara mengikut kemampuan masing-masing,” katanya.

Ini kerana, kata Perdana Menteri, ada pesara yang mempunyai kemampuan luar biasa seperti bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang masih cergas dari segi minda dan fizikal walaupun umurnya mencecah 85 tahun.

‘‘Kemampuan ini lahir daripada bagaimana cara kita menguruskan diri walaupun selepas tempoh persaraan.

‘‘Oleh itu, setiap pesara harus sentiasa menjaga kesihatan diri agar dapat membentuk kecergasan fizikal dan menyuburkan minda,” ujarnya.

Tambahnya, setiap kakitangan kerajaan mungkin boleh mencapai umur persaraan sehingga 60 tahun jika mempunyai badan dan minda yang sentiasa sihat dan cergas.

Sementara itu Yang Dipertua PPKM, Datuk Abdul Ghani Sulaiman berkata, pihak persatuan tidak menetapkan jumlah wang ihsan yang juga boleh disebut sebagai ‘bonus’ kepada pesara.

‘‘Jika kakitangan kerajaan mendapat habuan dalam bentuk bonus, maka pesara kerajaan juga tidak boleh dikecualikan,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Menurut Abdul Ghani, beliau yang mewakili Yang Dipertua PPKM kebangsaan, Datuk Wan Mahmood Pawan Teh berharap empat tuntutan itu mendapat pertimbangan sewajarnya daripada Perdana Menteri.

‘‘Kami mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana selama ini begitu prihatin mengenai setiap isu yang diperjuangkan oleh PPKM,” katanya.

Utusan

Jangan Lupa Lirik Seri Gagal..(Hiburan)

Kenapa mesti orang Melaka bersama Seri terlalu payah mahu mempercayai orang luar, mahukan keluarganya juga menjadi pelampung; maka hilang RM25,000. Sedangkan semua kita tahu Nurul adalah penyanyi lagu Melayu yang kita kenali memang mahir dengan lagu lama, telah diundang untuk membantu dia... diketepikan.

Sebab terlampau tamak, takut Nurul minta belanja kot...maka Seri memilih kakaknya menjadi pelampong; Kakaknya juga gagal mengingati bait penghujung lagu Semalam Ku Bermimpi nyanyian Saloma & P. Ramlee. Jadilah pelampung yang terapung.

Bila Nurul mencuba setelah si Seri menarik diri, sememangnya tepat apa yang Nurul ingatkan lirik tersebut. Wajah sadin yang hilang seri & ego orang Melaka ini masih tak berubah. Sakit hati betul tenguk rancangan hiburan macam ini!.